Cari Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label Jenayah Dan Kematian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah Dan Kematian. Papar semua catatan

Ahad, 16 Januari 2011

Nenek harap cucu insaf, bertaubat





JEMPOL - Walaupun suaminya mati di tangan sekumpulan penjenayah remaja yang melibatkan cucu sendiri pada malam Khamis lalu, pertalian darah mendorong seorang nenek sanggup menjadi pemaaf dengan menganggap peristiwa hitam itu sebagai satu ujian tuhan.
Halimah Yasin, 57, berkata, dia reda dengan kematian suaminya, Mohtar Yusof, 71, yang diserang dan ditikam dengan pisau dari belakang dalam kejadian di Felda Palong Dua di sini.
"Peristiwa itu sudah berlaku. Walaupun dia (cucu) terlibat, saya sudah memaafkan serta ampun kesalahannya.
"Saya harap dia insaf dan bertaubat,'' kata Halimah ketika ditemui di rumahnya semalam.
Pasangan warga emas itu pulang daripada satu kenduri tahlil pada malam kejadian sebelum mendapati bilik tidur mereka sedang digeledah.
Mohtar yang bergelut dengan kumpulan penjenayah remaja berusia 15 hingga 18 tahun itu akhirnya ditikam dengan pisau dari belakang sebelum kesemua suspek lari bersama wang dan barang kemas bernilai RM10,000.
Halimah yang tidak berupaya menyelamatkan suaminya sempat melihat kelibat cucunya itu yang berusia 17 tahun dan menetap di Melaka.

2 wanita Myanmar maut

PILU... Nanda mendukung bayi yang terselamat dalam kejadian bunuh itu.
PILU... Nanda mendukung bayi yang terselamat dalam kejadian bunuh itu.
MELAKA: Dua wanita warga Myanmar masing-masing seorang pengantara pekerja dan seorang dipercayai pembantu rumahnya ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh mereka yang dipercayai dilakukan oleh tiga suspek di Malim, dekat sini, tengah hari semalam.
Kedua-dua wanita berusia 30-an itu ditemui terbaring di atas lantai di dalam sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Malim Permai, dengan keadaan mangsa berlumuran darah di ruang tamu rumahnya, manakala pembantu rumahnya pula ditemui mati dalam keadaan sama di ruang dapur.

Difahamkan, sebelum itu ada saksi mendakwa mendengar bunyi pertengkaran antara lelaki dan wanita di rumah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, turut ditemui di tingkat atas rumah itu adalah sebilah pisau dan tukul besi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 2.15 petang sebelum sepasukan polis tiba untuk melakukan siasatan.

Katanya, kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu disedari oleh adik lelaki mangsa apabila gagal menghubungi kakaknya itu yang juga isteri kepada pemilik rumah ketika datang untuk menghantar makanan ke rumahnya.


“Adik mangsa mengetuk pintu rumah, namun tiada jawapan. Dia kemudian pergi ke belakang rumah dan melihat melalui cermin tingkap dan mendapati kakaknya terbaring di ruang tamu. Dia kemudian memberitahu dan meminta pertolongan daripada jiran menghubungi polis,” katanya.

Raja Shahrom berkata, sebaik tiba polis mendapati pintu rumah mangsa berkunci dan selepas membukanya, kedua-duanya mangsa ditemui berlumuran darah.

“Anak lelaki mangsa yang berusia enam bulan dan turut berada di dalam rumah itu bagaimanapun terselamat dan dibawa oleh bapanya ke hospital,” katanya yang enggan mendedahkan identiti kedua-dua mangsa kerana masih dalam siasatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati ada saksi mendengar pertengkaran berlaku kira-kira jam 11.30 pagi membabitkan seorang lelaki dipercayai warga Myanmar dengan wanita pada peringkat awal di dalam rumah terbabit.

“Kemudian diikuti dua lelaki masuk serta menutup pintu dan kita tidak tahu apa berlaku hinggalah adik mangsa tiba. Kita percaya senjata pisau dan tukul yang ditemui di tingkat atas digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, adik mangsa yang hanya dikenali sebagai Nanda, 30, berkata ketika tiba di rumah itu dia mengetuk pintu dan memanggil kakaknya namun tiada jawapan lalu cuba pula menghubungi telefon bimbitnya.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Rabu, 23 Jun 2010

Tragedi maut menjelang subuh

TIGA mangsa bot karam yang terselamat memasuki ambulans untuk dibawa ke Hospital Port Dickson bagi rawatan lanjut semalam.




PORT DICKSON - Hajat 25 warga Indonesia untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki sebuah bot pancung musnah apabila dua maut manakala 15 lagi dikhuatiri hilang selepas bot itu karam berhampiran perairan Port Dickson di sini semalam.
Bagaimanapun, lapan lagi penumpang berusia di antara 20 dan 31 tahun dapat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tong dan cebisan kayu bot dalam kejadian pukul 3 pagi kira-kira 12 batu nautika dari arah barat Port Dickson.
Mereka merupakan enam lelaki dan dua wanita di mana salah seorangnya sedang mengandung lapan bulan. Dia kini menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD) akibat melecur terkena minyak diesel panas ketika bot itu karam.
Dalam kejadian tersebut, seorang kanak-kanak perempuan berusia di antara tujuh dan lapan tahun dan seorang lelaki berusia 30-an ditemui lemas.
Mayat kanak-kanak itu dijumpai oleh kapal dagang kontena MV Kota Raya yang dalam perjalanan dari Chittagong, Bangladesh ke Singapura pada pukul 10.30 pagi di lokasi kejadian bot karam itu.
Kapal yang sama juga menyelamatkan lapan mangsa yang ditemui terkapai-kapai di tengah laut.
Mayat lelaki berkenaan pula ditemui oleh nelayan kira-kira 4.45 petang di lokasi yang sama sebelum dibawa ke Jeti Jabatan Laut pada pukul 5.30 petang.
Difahamkan, hujan lebat dan laut bergelora antara penyebab bot pancung yang dalam perjalanan ke Dumai, Indonesia itu karam selepas bertolak dari jeti di Banting, Selangor pada pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, setakat petang semalam, pihaknya mengesahkan dua mayat sudah ditemui dan dihantar ke Hospital Port Dickson.
"Selain itu, lapan mangsa yang terselamat dihantar ke hospital yang sama dan berdasarkan keterangan mereka, kita percaya jumlah penumpang yang ada ketika itu di antara 22 dan 25 orang," katanya pada sidang akhbar di sini.

Meninggal dunia selang 15 minit

KELUARGA bahagia, Md. Jan (berkaca mata hitam) dan isterinya, Kamsiah bersama anak dan cucu mereka kini tinggal kenangan apabila pasangan sejati itu meninggal dunia di Hospital Melaka kelmarin


JASIN - Ketika masih hidup, pasangan suami isteri, Md. Jan Abdul Hadi, 56, dan Kamsiah Bakau, 54, dianggap pasangan yang romantik oleh anak-anak dan masyarakat setempat.
Ke mana saja pasangan yang mempunyai enam anak berusia di antara 16 dan 31 tahun itu pergi, mereka tidak pernah berenggang dan sentiasa dilihat berdua.
Jika ke mana destinasi pun, pasangan yang telah berkahwin selama 32 tahun itu akan dilihat pergi bersama-sama, dan bagai pasangan pengantin baru, Md. Jan seorang pesara kerajaan dan Kamsiah juga akan bersarapan bersama hampir setiap hari.
Mungkin kerana terlalu akrab dan sentiasa berdua ketika masih hidup, pasangan itu secara kebetulan juga meninggal dunia pada hari yang sama.
Kamsiah terlebih dahulu meninggal dunia pada pukul 7.05 pagi kelmarin sebelum diikuti Md. Jan yang lebih mesra dengan panggilan Pak Uda 15 minit kemudian.
Anak sulung pasangan itu, Nurman, 31, berkata, jika keluar berjalan-jalan, kedua-dua ibu bapanya tidak pernah berpisah dan akan pergi bersama-sama.
"Bukan saja keluar bersama, kereta yang dinaiki mereka juga mesti sama.
"Pernah suatu ketika dulu, ketika saya meminta emak dan abah naik kereta berasingan untuk keluar berjalan, mereka enggan berpisah dan meminta untuk bersama dalam satu kereta dan tidak kisah siapa yang memandunya," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Kesang Jaya di sini semalam.
Nurman berkata, apa yang membuatkan dia begitu mengagumi ibu dan ayahnya, mereka juga tidak pernah lekang untuk bersarapan bersama setiap pagi.
"Ayah akan beli sarapan di luar dan dibawa ke rumah untuk makan bersama, jarang sekali mereka makan di luar mungkin kerana di rumah lebih selesa," katanya.
Sementara itu, anak kedua pasangan itu, Nor Azlina, 29, berkata, ibunya itu rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja doktor memberitahu penyakit barah hati yang dihidapi oleh ayahnya semakin kritikal.
"Emak mungkin tidak dapat terima hakikat bakal kehilangan ayah menyebabkan dia terus rebah dan tidak sedarkan diri.
"Tidak lama kemudian ayah pula menurut jejak ibu," katanya.

Sabtu, 27 Mac 2010

Anjing gonggong mayat bayi lelaki

IMEJ video menunjukkan cebisan mayat bayi lelaki yang ditemui di Jalan Padang Tembak, Petaling Jaya semalam.
 
 
PETALING JAYA - Menyayat hati apabila mayat bayi lelaki yang dibuang ibu bapanya digonggong seekor anjing sebelum disedari orang awam di Jalan Padang Tembak, Subang di sini semalam.

Lebih menyedihkan, ketika ditemui pukul 4.05 petang, salah satu tangan bayi telah terputus dan terjatuh atas jalan manakala badannya digonggong anjing berkenaan.

Ketika itu, tangan bayi itu dibungkus dengan plastik manakala badannya pula tidak berbalut.
 

4 sekeluarga dikurung 2 jam

Mardiana ditemani suaminya Mahadzir Mohd. Saad menunjukkan salinan laporan polis selepas mendakwa dia dan tiga ahli keluarganya dikurung oleh penarik kereta di Alor Setar, Kedah Rabu lalu. 
 
 
KANGAR - Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak trauma selepas mendakwa menjadi tahanan selama dua jam oleh empat penarik kereta yang bertindak ala ah long apabila mengurung mangsa-mangsanya di dalam sebuah stor kenderaan di Alor Setar pada Rabu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, kumpulan penarik kereta itu telah melarikan kereta jenis Hyundai milik Mardiana Mohamad, 31, di tempat letak kereta di Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar.

Tiga yang lain turut berada dalam kereta tersebut ialah anak Mardiana, Afif Al-Iqram, 2, anak saudaranya, Armarsya, 3, dan ibu kanak-kanak itu, Aminah Ismail, 51.

Mardiana dari Jalan Sultan telah ke Alor Setar kerana menghantar anaknya yang menghidap penyakit asma kronik. Cerita Mardiana, selepas mengambil ubat, Afif dan mereka yang mahu masuk ke kereta, tiba-tiba dihampiri dua lelaki.

"Kedua-dua lelaki itu tanpa apa-apa dokumen memberitahu, mereka mahu tarik kereta saya kerana mendakwa saya tidak membayar ansuran kereta itu," katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo!, di sini semalam.
 
 
 

Ahad, 21 Februari 2010

Sebahagian Pulai Chondong hangus

KEADAAN deretan 20 buah rumah kedai yang musnah dalam kebakaran di Kampung Pulai Chondong, Machang malam kelmarin. 
 
 
MACHANG – Sebahagian pekan Pulai Chondong di sini musnah dijilat api dalam kebakaran besar di pekan itu malam kelmarin.

Kebakaran membabitkan 20 unit rumah kedai dua tingkat melibatkan kerugian mencecah RM1 juta.
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Antara yang musnah dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu ialah kedai emas, kedai kek, kedai telekomunikasi dan kedai gigi palsu.

Menurut salah seorang mangsa, Mohd. Faizal Che Musa, 32, beliau menyedari kejadian ketika pulang dari majlis kenduri di kampung isterinya tidak jauh dari situ.
 

Remaja maut dihempap jentolak

IBU mangsa, Esam Eddie (tengah) ditemani saudara-mara berada di sisi mayat Mohamad Aiman yang dihempap jentolak di Kampung Sungai Jernih, Alor Gajah semalam. 


ALOR GAJAH – Sifat aktif seorang remaja, Mohamad Aiman Mohd. Darus, 14, untuk mencuba sesuatu yang luar biasa dengan menaiki sebuah jentolak membawa padah apabila dia menemui ajal akibat dihempap kenderaan itu semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi di kawasan sawah Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina di sini itu, jentolak seberat kira-kira lapan tan yang dinaiki Mohamad Aiman ketika sedang beroperasi itu tiba-tiba tumbang lalu menghempap dirinya.

Sebelum kejadian ngeri itu, Mohamad Aiman yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina bersama dua lagi rakannya bermain di kawasan sawah berdekatan jentolak tersebut.

Ketika itu, pemandu jentolak berkenaan dikatakan tidak berada di atas kenderaan terbabit tetapi enjinnya hidup kerana pemandu terbabit dikatakan berhenti seketika selepas kerja-kerja penanaman semula padi di kawasan itu.

Jurucakap polis memberitahu, pada ketika itulah Mohamad Aiman bersama seorang lagi rakannya, Mohd. Izwan Mustafa, 10, tiba-tiba bertindak menaiki jentolak terbabit dan duduk di tempat pemandu.

“Selepas mereka naik, jentolak itu tiba-tiba tidak stabil lalu menyebabkan ia terbalik menghempap kedua-duanya manakala seorang lagi terselamat,” kata jurucakap polis itu semalam.

Khamis, 4 Februari 2010

Waris nahas bas menangis

MAYAT mangsa nahas diletakkan depan bas dua tingkat yang remuk dalam tragedi bas Sani Express yang mengorbankan 10 nyawa dekat Plaza Tol Jelapang dekat Ipoh pada 26 Disember lalu. 

KIRI: Gambar Mohd. Kamil semalam. KERATAN Kosmo! 27 Disember 2009 
IPOH - Suasana hiba menyelubungi hari pertama pembicaraan pemandu bas ekspres dua tingkat Sani Express, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 37, yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan 10 penumpang maut di Mahkamah Khas Trafik di sini semalam.

Beberapa orang waris korban nahas itu menangis semasa tampil sebagai saksi pendakwa khususnya sewaktu mereka diminta membuat pengecaman gambar mayat sanak saudara masing-masing.

Antara saksi yang tidak dapat menahan air mata ialah Ng Chin Beng yang kehilangan dua anak, Ng Kak Kit, 12, dan Ng Ph Ngoh, 23.

Ayah mati ditikam anak sendiri

IRWAN dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kuala Terengganu selepas cedera parah ditikam oleh adik lelakinya semalam. Gambar kecil, Zainun.


KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda berusia 20 tahun terkedu melihat badannya berlumuran darah setelah menikam ayahnya sehingga mati manakala abangnya cedera parah akibat perbuatannya yang didakwa dilakukan tanpa disedari.

Lelaki itu bertindak demikian selepas mendakwa terdengar bisikan suara seorang gadis bernama Siti Aishah yang menyuruhnya menikam ayahnya, Che Mat Nik, 51, dan abang sulungnya, Irwan Affandi, 30.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi di sebuah rumah di Kampung Duyung Wan Su, Duyong Besar dekat sini, suspek hanya menyedari jenayah yang dilakukannya selepas dia mendengar suara ibunya, Zainun Hassan, 50 (gambar).

Mengikut Zainun, sebelum kejadian, suspek tidur bersama adiknya Mohd. Zulkifli, 13, di tingkat bawah manakala dia dan suami serta Irwan tidur di dua bilik di tingkat atas.

Khamis, 21 Januari 2010

Hobi gila duda tua



MERSING: Seorang lelaki berusia 56 tahun yang baru tiga bulan kematian isteri membuat kerja gila dengan merayau di beberapa taman perumahan pada tengah malam, sebelum mengintai dan merakam aksi ranjang di bilik tidur penduduk menggunakan perakam video yang baru dibelinya.

Perangai miang warga emas itu terbongkar apabila dia ditahan seorang penduduk ketika dipercayai cuba merakam aksi ranjang sepasang suami isteri di Taman Sri Daik, dekat bandar ini, kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu.

Ketika itu, seorang penduduk di kawasan taman perumahan berkenaan melihat kelibat seseorang di belakang rumahnya menyebabkan dia mengendap kerana menyangkakan pencuri.
Penduduk terbabit menghampiri lelaki berkenaan dan menangkapnya sebelum mendapati suspek memegang sebuah alat perakam video.

Nasib warga emas itu bertambah malang apabila kebetulan pasukan peronda polis melalui taman perumahan berkenaan dan dia terus diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, berkata pemeriksaan terhadap perakam video milik mangsa mendapati banyak rakaman aksi ranjang dan gambar orang sedang mandi disimpan di dalamnya.

Menurutnya, rakaman itu dipercayai dibuat di rumah penduduk di beberapa taman perumahan di daerah ini dan hasil soal siasat, lelaki itu dipercayai melakukan kegiatan tidak senonoh itu sejak lebih setahun lalu.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai buruh mengumpul wang untuk membeli perakam video bagi melakukan kerja terkutuk itu.

Mohd Nor berkata, warga emas yang mempunyai empat anak hasil perkongsian hidup bersama arwah isterinya direman bagi membantu siasatan hingga hari ini.

“Siasatan mendapati hasil rakaman yang dibuat warga emas itu tidak disalur atau disebarkan ke mana-mana, sebaliknya untuk suka-suka dan koleksi peribadi,” katanya.

Menurutnya, warga emas itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.

Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum denda dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-keduanya sekali jika didapati bersalah.

Dua nahas angkara lori pasir pancit



BUKIT BERUNTUNG: Seorang penunggang cedera parah selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori di Kilometer 427 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berdekatan Plaza Tol Bukit Beruntung di sini, malam kelmarin

Pemandu lori berkenaan, Kamaruzaman Ahmad, 36, berkata lori dipandunya tiba-tiba bocor menyebabkan dia menggunakan laluan paling kiri sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah lori membawa muatan barangan runcit.

Katanya, ketika sedang memeriksa kejadian itu, tiba-tiba sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki merempuh belakang sebuah lori yang sebelum itu merempuh lorinya.

Menurutnya, selepas melihat penunggang itu terjatuh dan cedera parah, dia nekad mengambil langkah keselamatan dengan melambai kepada pemandu lain agar tidak melanggar mangsa yang ketika itu tercampak ke laluan paling kanan lebuh raya.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu sebuah lagi lori, Yap Guan Teh, 51, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur membawa muatan barangan untuk dihantar kepada pelanggan.

Katanya, dia tidak menyedari ada lori yang dipandu perlahan tanpa isyarat kecemasan di selekoh yang gelap itu. “Saya cuba elak lori pasir itu dan mahu ke lorong tengah, tetapi tidak gagal kerana banyak kenderaan laju mengekori di belakang. “Lori saya remuk di hadapan dan sebelah pintu kiri, namun saya bersyukur kerana tidak cedera,” katanya. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kaki terpelanting



KUALA TERENGGANU: “Selepas dirempuh, saya cuba berdiri tetapi terjatuh semula....Saya nyaris pitam apabila kaki kanan sudah tiada,’’ kata Mohammad Ikhwan Muhammad, 16, menceritakan detik cemas dia kehilangan kaki kanannya selepas dirempuh kereta di Kampung Tualan, Manir jam 8.30 malam, Sabtu lalu.

Beliau berkata, sebelum kejadian, dia sudah tidak sedap hati, namun tidak mengendahkannya dan tetap ke keluar ke pekan Manir kira-kira dua kilometer dari rumah untuk membeli kad tambah nilai.

“Disebabkan hati tidak keruan ketika itu, saya menunggang motosikal perlahan sehinggalah dikejutkan dengan silauan cahaya yang terang dan mengaburi mata.

“Saya tidak dapat melihat apa-apa ketika itu sehinggalah muncul sebuah kereta terus merempuh motosikal saya. Saya tercampak beberapa meter dari tempat kejadian,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, selepas itu dia mendapati bahagian bawah badannya kebas dan tidak mampu bangun semula untuk mengambil motosikalnya.

“Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya sebaik menyedari betis kanan terputus akibat kemalangan itu,’’ katanya sebak sambil memberitahu dia dibantu orang kampung.

“Saya dimaklumkan betis kanan yang terputus itu tercampak beberapa meter dari kawasan saya terjatuh dan tidak boleh disambung kembali kerana dijangkiti kuman," katanya.

Bapanya, Muhammad Abdullah, 49, ketika ditemui berkata, dia mengetahui insiden menimpa anaknya selepas dihubungi warisnya kira-kira 30 minit selepas kemalangan berlaku.

Dia yang bekerja sebagai pemandu van berkata, dirinya tergamam menerima berita menyedihkan itu terutama memikirkan masa depan anaknya itu.

Khamis, 14 Januari 2010

Operasi haram di tengah laut



JOHOR BAHRU - Perairan selatan negara sarang pemindahan minyak secara haram?
Minggu lepas, Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan tiga kapal tangki asing yang sedang memindahkan 350,000 liter minyak secara haram di perairan Pontian.

Namun kelmarin, dua buah lagi kapal didapati melakukan kegiatan pemindahan minyak haram manakala tiga bot tunda juga ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan lain di perairan Tanjung Setapa, Kota Tinggi.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Selatan, Kapten Maritim Mohd. Zubil Mat Som berkata, kedua-dua kapal dan tiga buah bot itu ditahan dalam rondaan di antara pukul 5 petang hingga 8.30 malam kelmarin pada kedudukan tiga batu nautikal di selatan Tanjung Setapa.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal MV Marine Force telah memindahkan sebanyak 199,907 liter minyak 'Marine Fuel Oil' ke sebuah kapal lain, MV Ayu Pertama.

Ahad, 10 Januari 2010

Gereja Good Shepherd Lutheran di PJ - Sumbangan bukti kerajaan ikhlas




NAJIB (tengah) bersama beberapa orang menteri Kabinet melawat Gereja Metro Tabernacle yang terbakar di Desa Melawati, Kuala Lumpur semalam. Gambar kecil, polis memeriksa bangunan Gereja Good Shepherd Lutheran yang didakwa dibaling molotov cocktail di Petaling Jaya, semalam




KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan geran bantuan sebanyak RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle di Desa Melati bagi membina semula gereja itu di tempat lain.
Jelas beliau, usaha tersebut merupakan bukti sokongan dan tanda keikhlasan kerajaan menangani insiden kebakaran gereja.
“Saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 supaya mereka dapat membangunkan sebuah gereja di tempat yang lain, tempat yang baru untuk menjalankan urusan ibadat dan pentadbiran.
“Ini merupakan sokongan daripada kerajaan dan tanda keikhlasan kerajaan dan semua pihak diharap bertenang kerana kerajaan amat komited untuk jaga keadaan harmoni dan hubungan baik antara kaum dan agama di dalam negara ini,” katanya selepas melawat gereja dua tingkat yang hangus terbakar dipercayai selepas dibaling dengan bom petrol awal pagi kelmarin.



Dua penjenayah ditembak mati - Cuba baling bom ke arah polis tetapi bergolek masuk ke dalam kereta sendiri



BEBERAPA orang anggota polis menjalankan siasatan di kawasan dua 

penjenayah ditembak mati di Sungai Bakap, Pulau Pinang semalam.


NIBONG TEBAL - Dua penjenayah yang sangat-sangat dikehendaki mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Tasek, Sungai Bakap di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, kedua-dua penjenayah yang masing-masing berusia 25 tahun dan 40-an itu bukan sahaja melepaskan tembakan tetapi juga cuba melempar sebutir bom tangan ke arah polis.
Bagaimanapun bom itu tidak meletup dan tersangkut pada pintu sebelum bergolek semula ke dalam kereta jenis Nissan Sentra yang mereka naiki.




Bunuh kekasih gelap isteri


SEORANG penduduk, Shah Kuruddin Mas Kur menunjukkan lubang dipercayai tempat mangsa ditanam di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara 6, Puchong semalam.



SUBANG JAYA - Perasaan cemburu yang meluap-luap terhadap rakan senegara yang disyaki kekasih isterinya sejak tiga bulan lalu mendorong seorang lelaki warga Indonesia membunuh dan menanam mayat mangsa di belakang rumah kongsi di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara 6 di Puchong kelmarin.
Sebelum kejadian, suspek menghubungi mangsa yang bekerja sebagai konduktor bas dengan menyatakan hasrat untuk menceraikan isterinya agar dapat dikahwini oleh lelaki itu.
Bagaimanapun sebaik sahaja mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an tiba di tempat kejadian pukul 11 malam kelmarin, suami wanita itu muncul dengan tiga orang rakannya dan terus menangkap mangsa.

Empat bas hangus dibakar


PUVANESVARI mengutip barangan jualannya yang rosak di hadapan empat buah bas yang hangus dibakar di Stesen Bas Medan Kidd, Ipoh semalam.



IPOH - Dua buah syarikat bas melaporkan kerugian ratusan ribu ringgit apabila empat buah bas henti-henti milik mereka musnah dalam kebakaran yang dipercayai angkara khianat awal pagi semalam.
Kejadian pukul 3.30 pagi di Stesen Bas Medan Kidd di sini itu melibatkan tiga buah bas milik Reliance Omnibus Company Sdn. Bhd. (Reliance Omnibus) manakala sebuah lagi milik Kinta Omnibus Company Sdn. Bhd. (Kinta Omnibus).
Turut terbakar ialah kaunter tiket Reliance Omnibus dan sebahagian daripada tingkat dua stesen bas tersebut yang menempatkan pejabat syarikat bas terbabit.
Selain itu, sebuah gerai menjual kacang putih milik L. Puvanesvari, 46, yang baru tiga hari beroperasi turut terbakar.

Geng Empat Jahanam tumpas - Kes samun klinik selesai dengan tangkapan empat lelaki


OMAR sambil memegang imej rakaman CCTV kes samun klinik di Ampang pada 7 Disember lalu yakin siasatan kes itu selesai selepas empat suspek berjaya ditangkap.



KUALA LUMPUR - Kumpulan samun premis bersenjata yang dianggotai empat lelaki digelar Penjahat Empat Jahanam akhirnya tumpas dengan tangkapan terbaru membabitkan tiga lelaki yang bersembunyi dalam sebuah rumah di Pasir Puteh, Kelantan kelmarin.
Selepas suspek pertama yang berusia 33 tahun ditahan pada 6 Januari lalu dan diikuti dengan kejayaan kelmarin, polis yakin siasatan kes tersebut telah selesai.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah memberitahu, pihaknya turut merampas beberapa buah telefon bimbit milik mangsa di klinik tersebut daripada suspek.

Tragedi Gemencheh bukan baru Pembunuhan kejam empat sekeluarga menggemparkan negara.




"SAYA buat kerana ia perintah daripada kuasa agung. Mereka adalah syaitan-syaitan yang menyamar."
Itulah kononnya kata-kata Rashidi Ismail, 34, kepada pihak polis mengenai tindakannya menyembelih bapanya, Ismail Awang, 76, serta mengerat jari adiknya, Siti Khadijah Ismail, 22, dalam kejadian bunuh melibatkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan, Selasa lalu.
Dalam tragedi yang disifatkan sangat kejam itu, bekas imam kampung yang juga datuk suspek, Atan Daud, 90, dan isterinya, Sufiah Keatas, 80, turut maut dibunuh.
Atan ditemui dengan tangan kiri terputus, Sufiah putus tangan kanan, Ismail hilang kepala manakala Siti Khadijah terbaring kaku dengan pisau tercacak di dada.
Suspek kemudian membawa kepala bapanya dari Tampin ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sejauh 120 kilometer sebelum ditanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
"Masih sukar untuk dilupakan. Setiap kali mahu lelapkan mata, pasti terbayang-bayang wajah orang-orang yang saya sayangi itu menemui ajal dalam keadaan yang menyedihkan," luah Siti Mariam Ismail, 19, orang pertama menemui empat mayat ahli keluarganya itu sekembalinya dari sekolah kira-kira pukul 3.30 petang.




Menurut Mariam, kebiasaannya Ismail akan menjemputnya dengan motosikal di jalan besar. Namun, pada hari kejadian, kelibat bapanya tidak kelihatan dan dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah.
"Sampai saja di rumah, saya panggil kakak, tapi dia tak jawab. Pelik juga sebab biasanya dia akan sambut saya pulang. Bila saya buka pintu, saya nampak kakak terbaring di lantai dengan pisau terpacak di dadanya.
"Saya berlari ke rumah datuk dan nenek yang terletak berdekatan. Malangnya, di sana saya menemui pula datuk, nenek dan ayah terbujur kaku di lantai rumah," katanya yang masih trauma dan murung akibat kejadian itu.
Kasih ibu
Bagi Zaharah Atan, 59, peristiwa itu adalah tragedi paling besar dalam hidupnya. Beliau yang kematian suami, ibu, bapa serta anak perempuan turut diuji apabila suspek utama, Rashidi juga merupakan anaknya.
"Semasa kejadian, saya keluar bekerja di kilang ayam tidak jauh dari sini. Lebih kurang pukul 4.50 petang, ada jiran datang ke kilang dan menjemput saya pulang.
"Bila saya tanya kenapa, dia kata sabarlah. Bila sampai di rumah, saya nampak orang ramai dan kereta polis.
"Saya ingat ada pokok tumbang menghempap rumah. Disebabkan saya tak dibenarkan masuk ke rumah, saya duduklah di kebun getah," cerita beliau.




Apabila Mariam datang, Zaharah bertanya kenapa tetapi Mariam hanya menggelengkan kepala. Mariam pula menjawab 'ada' bila ditanya di mana kakaknya, Siti Khadijah.
Zaharah bertanya lagi, balik sekolah tadi naik apa? Mariam hanya kata jalan kaki dan tidak tahu kenapa bapanya tidak datang menjemput seperti biasa.
"Saya mula rasa sesuatu yang buruk telah berlaku. Setengah jam selepas itu, baru saya dapat tahu, suami, anak, ibu dan bapanya mati dibunuh," beritahu Zaharah kepada Jurnal.
Pada awalnya, Zaharah tidak percaya apabila Rashidi dikaitkan sebagai suspek utama sementelah dia disifatkan sebagai anak yang baik.
"Dia anak saya yang terbaik dalam pelajaran. Tak pernah dia tinggi suara, membentak atau bertempik dengan orang tua. Dengan adik-beradik pun dia tak macam itu," kata Zaharah.
Digambarkan sebagai anak yang soleh, Rashidi yang juga bekas pegawai bank itu sentiasa tersenyum.
Tidak pernah menyusahkan ibu bapa, Rashidi yang mendapat pendidikan sekolah agama juga amat disenangi oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.




"Kalau diikutkan perangai Rashidi yang saya kenal, dia bukan panas baran orangnya. Saya dapat rasakan ada sesuatu yang mendorong dia buat begitu.
"Begitupun, saya reda dengan apa yang telah terjadi. Kalau ditakdirkan anak saya itu bersalah dan dihukum gantung, saya terima.
"Kalau dia disahkan sakit jiwa pun, saya masih terima dia sebagai anak.
"Saya memang marah dan terkilan, tapi itu tidak akan buang perasaan sayang saya pada dia," tuturnya yang sempat mencium pipi Rashidi semasa anaknya itu dibawa ke lokasi pembunuhan.
Bukan kes pertama
Menyelusuri misteri di sebalik kejadian ini, belum ada petunjuk kukuh yang dapat merungkainya.
Ada yang mengatakan ia berpunca daripada tekanan, sakit jiwa dan tidak kurang yang mengaitkannya dengan ilmu hitam.
Apa pun, kejadian yang menimpa keluarga Zaharah bukan kes pembunuhan beramai-ramai sebuah keluarga yang pertama dilaporkan di negara ini.
Pada Jun 1998, empat sekeluarga mati dibunuh kejam di Kampung Parit Hussin, Lubuk Sipat, Benut, Pontian, Johor.
Empat sekeluarga malang itu ditemui mati dalam keadaan ngeri dan berulat oleh seorang ahli keluarga mereka pada 10 Jun. Mereka dipercayai dibunuh tiga hari sebelum itu.




Dalam kejadian yang berlaku di antara pukul 7 petang dan 10 malam itu, mangsa-mangsa yang terlibat ialah Ridlian Mansor, 55, isterinya Rosnah Asari, 44, dan anaknya iaitu Hamsah, 20, dan Mohd. Azizul, lapan tahun.
Mayat Ridlian, Rosnah dan Mohd. Azizul yang mempunyai kesan tetakan di kepala, leher dan dada ditemui di sebuah bilik dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.
Mayat Hamsah, gadis yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 5 Julai pula dijumpai dalam keadaan separuh bogel. Pada lehernya terdapat kesan jerutan dan mulutnya disumbat tuala.
Ekoran kejadian itu, seorang pemandu lori yang juga menantu keluarga itu, Khasiran Jamari, 27, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas tuduhan membunuh. Dia kemudian didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Selain itu, kes tujuh orang termasuk lima wanita daripada sebuah keluarga dibunuh dalam keadaan ngeri, dipercayai diserang oleh sekumpulan pembunuh di rumah mereka di Taman Johor Jaya, Johor Bahru di antara pukul 1.41 pagi hingga 7.43 pagi, 28 Julai 2001.
Mangsa yang terlibat ialah K. Mangala Gowri, 42, S. Muniandi, 71, B. Vasagi, 27, S. Suppiah Amuaavalli, 44, S. Perumal, 49, S. Letchimee, 51 dan S. Ramaiee, 64.
Pakar forensik mengesahkan punca kematian semua mangsa adalah kerana luka yang teruk di leher akibat tetakan dengan senjata tajam.
Ekoran insiden itu, Md Masud Rana, 32, bekas pekerja kilang dan rakannya yang juga berasal dari Jugdumpur, Bangladesh, Razaul Karim Md Soleman Ali Fakiruddin, 37, dituduh membunuh.
Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, pembunuhan berkumpulan yang melibatkan lebih daripada dua mangsa bukan kes baru. Malah ia sudah lama berada dalam landskap jenayah negara.
Jelasnya, wujud dua faktor yang mendorong suspek bertindak di luar kawalan sehingga berupaya membunuh dengan cara yang kejam.




"Kemarahan yang luar biasa dan gangguan jiwa mampu mempengaruhi penjenayah untuk melakukan sesuatu di luar kewarasan mindanya.
"Walaupun pakar psikiatri menolak gangguan jiwa sebagai penyakit namun dari segi kriminalogi, ia tidak boleh dijadikan satu bentuk justifikasi yang menghalalkan golongan pesakit jiwa melakukan jenayah," ujarnya.
Mengulas senario pembunuhan melibatkan lebih daripada dua mangsa, Kamal berpendapat ia merupakan pembunuhan berkumpulan, bukannya pembunuhan beramai-ramai.
"Pembunuhan berkumpulan boleh ditakrifkan sebagai pembunuhan lebih daripada dua mangsa yang mempunyai pertalian antara mereka.
"Mangsa juga dibunuh dengan lebih tragis, sebagai contoh, kes pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh baru-baru ini," katanya.



FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya