Cari Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label Kisah Rasul Dan pejuang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Rasul Dan pejuang. Papar semua catatan

Sabtu, 5 September 2009

AL-ALLAMAH TUAN GURU HAJI MAHMUD NASRI OTHMANI

 
Dilahirkan pada 13 Safar 1316 / 14 Julai 1898
di Kampung Alor Besar, Kota Sarang Semut, Kedah.

Pulang ke Rahmatullah pada 28 Safar 1400 / 16 Januari 1980
Dilahirkan dan kembali ke Rahmatullah pada hari Rabu


Pengenalan

Nama Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri bukanlah nama yang asing di kalangan masyarakat negeri Kedah dan Seberang Perai. Beliau dikenali sebagai seorang ulama, tuan guru dan pengasas Pondok Lanai Negeri Kedah Darul Aman yang dikenali sebagai Madrasah Misbahul Salam. Selain itu, beliau juga menjadi guru agama di surau-surau dan masjid-masjid yang menjemput beliau mengajar kitab-kitab dalam bidang tauhid, feqah , usuluddin, tasauf dan lain-lain. Isterinya juga mengajar Al-Quran dan kitab-kitab asas fardhu ain. Tuan Guru Sheikh Mahmud banyak memenuhi masa lapangnya dengan beruzlah bersendirian bagi mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T.

Silsilah Keturunan

Keturunan bapa : Haji Mahmud Nasri Othmani bin Haji Othman bin Haji Senik bin Haji Wan Hashim bin Haji Wan Abdul Wahab.

Datuknya ialah Allahyarham Assyahid Tok Nik Had keturunan Tok Mekong Awang Hitam, seorang hulubalang melayu yang syahid dipancung oleh tentera siam ketika sedang menunaikan solat di pinggir medan perang mempertahankan Pattany sekitar tahun 1730M.

Keturunan ibu : Haji Mahmud Nasri bin Hajjah Kamaliah binti Haji Saman bin Haji Abd Samad (Tok Fakeh) bin Hashim bin Wan Abdul Wahab.

Haji Mahmud adalah cicit kepada penghulu kampung Bera Pattany. Semasa kejatuhan Pattany, Wan Hashim (anak kepada AsSyahid Tok Nik Had (Tok Mekong Awang Hitam) telah berpindah ke Negeri Kelantan. Bapanya Haji Othman dilahirkan di Kampung Kuala Lengkung, kawasan bendang padi di pendalaman Kampong Belimbing dalam Jajahan Pasir Mas. Haji Othman dibesarkan dan dididik oleh datuknya dengan pelajaran agama dan kemudiannya di Pondok. Setelah dewasa, Haji Othman dibawa oleh datonya ke Negeri Kedah dan dijodohkan dengan ibunya (Hajjah Kamaliah) bagi merapatkan semula pertalian keluarga keturunannya.

Hasil perkongsian hidup itu, ibubapanya telah dikurniakan Allah SWT dengan 10 orang anak iaitu Ismail, Mahmud Nasri, Saat, Ahmad, Aisyah , Salmah, Cik, Zainab, Rokiah, dan Huduh.

Pengajian Agama

Haji Othman dan Hajjah Kamaliah yang mempunyai pendidikan agama yang baik telah membesar dan mendidik Haji Mahmud. Pada usia 7 tahun, Haji Mahmud telah khatam Al-Qu’ran dan beliau diserahkan kepada seorang guru Al-Quran yang mahir (berasal dari Pattany tetapi telah menetap di Kedah selama 5 tahun) iaitu Pak Ngah Idris untuk mempelajari Al-Quran dan pendidikan agama secara lebih mendalam. Ketika itu, pengajian Islam merupakan pelajaran utama untuk orang Melayu Malaya dan ramai anak-anak watan telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Makkatul Mukarramah.

Pada usia 12 tahun, beliau telah berguru pula dengan Tuan Guru Haji Ismail (Tok Chik Dol) di Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah selama 3 tahun. Tidak lama kemudian, beliau telah berguru dengan Tuan Guru Haji Yaakob Kemelong Sik Kedah, seorang ulamak yang masyhur ketika itu.

Selepas itu, beliau telah berhijrah ke Kelantan (bersama kakandanya Ismail) pada usia 18 tahun dan berguru pula dengan seorang lagi ulama terkenal iaitu Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Abdul Halim (Tok Padang Jelapang).Pondok Jelapang juga ketika itu merupakan pusat pengajian yang terkenal. Pada usia 21 tahun, Haji Mahmud masih meneruskan pelajarannya dengan Haji Wan Ahmad tetapi di Pondok Pasir Mas Salor.

Semasa di Pondok Pasir Mas Salor inilah, Haji Mahmud mengenali seorang lagi Ulama Terkemuka iaitu Al-Allamah Syeikh Yusuf Kenali (Tok Kenali)

Akhirnya Haji Mahmud telah berguru dengan Tok Kenali.

Perguruan dengan Tok Kenali

Tok Kenali adalah seorang tokoh ulama yang menguasai banyak bidang ilmu agama. Beliau juga merupakan murid kesayangan Al-Allamah Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zin Mustafa Al-Fathoni.

Tok Kenali rata-rata dikenali di Kelantan ketika itu sebagai seorang ‘keramat’ dan ‘wali’ di samping seorang ilmuwan yang bertanggungjawab di atas penerbitan Majalah Pengasuh, Majlis Agama Islam Kelantan.

Di sinilah Tok Kenali telah mengajar Syeikh Mahmud ‘rahsia shatar’ (titik perbezaan antara hak-hak hamba dengan Allah SWT) dan ‘amalan khalifah pusaka wali agama Islam’ bagi melayakkan manusia menjadi Khalifah dalam ertikata sebenar di muka bumi dan tahu membezakan antara ar-risalah (yang dikurniakan kepada Para Rasul) dan an-nubuwah (yang dikurniakan kepada Para Anbia) serta mengikuti sunnah/contoh/teladan.

Dengan adanya hak-hak kehambaan kepada Allah SWT semata-mata barulah seseorang manusia yang digelar Khalifah itu dapat mentadbir dan memakmurkan seluruh isi alam ciptaan Allah SWT.

Tok Kenali juga telah mengarahkan Syeikh Mahmud untuk mempelajari langkahan hulubalang (Jabat dll)/Silat Khalifah dengan Tuan Guru Haji Muhammad Taib (rakan kepada Datuk Perdana Nik Mahmud) di Kota Bharu. Syeikh Mahmud juga telah menerima amalan aurad dengan ayah kepada Haji Taib iaitu Al-Allamah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pattany (juga dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jabat/Tengku Abdul Rahman Tok Tama) Tok Kenali telah menjelaskan antara lain tujuan mempelajari langkahan hulubalang dan amalan aurad ini ialah untuk mempertahankan agama, keluarga, bangsa dan negara dari sebarang bentuk penjajahan/serangan luar.

Akhirnya Tok Kenali telah mengijazahkan Amalan Khalifah Pusaka Wali Agama Islam kepada Syeikh Mahmud Nasri Osman.

Sebelum kembali ke Kedah pada usia 27 tahun (bersama sahabat-sahabatnya Tuan Guru Haji Othman Yunusi dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Ibrahim) Tok Kenali telah mendoakan Syeikh Mahmud dan berwasiat :

“Di mana ada rimba di situ tempatmu, di mana kamu duduk, hendaklah mendirikan madrasah, kamu jangan tinggal madrasah”.

Pulang Ke Kedah

Syeikh Mahmud Nasri Othmani telah pulang ke kampung halamannya dan tinggal bersama keluarganya. Tidak lama selepas itu, beliau kembali semula ke Pondok Gajah Mati dan tinggal di sana. Beliau telah dikunjungi oleh Tuan Guru Syeikh Othman Jalaluddin (Lebai Salam Penanti) untuk ke Madrasah Manabil Ulum Penanti Bukit Mertajam bagi guru ganti kepada Tuan Guru Syeikh Othman sementara anaknya Haji Muthalib pulang dari Makkatul Mukarramah.

Berkhidmat Di Penanti

Syeikh Mahmud berkhidmat di Madrasah Manabil Ulum Penanti Bukit Mertajam selama setahun sehingga anak Tuan Guru Syeikh Othman iaitu Setelah itu Tuan Guru Haji Muthalib pulang mengambilalih tugasnya sebagaimana pesanan ayahandanya.

Berkhidmat dan berhijrah ke Lenggong

Syeikh Mahmud Nasri kemudiannya dijemput pula oleh saudara sepupunya iaitu Tuan Imam Haji Yusuf Haji Ibrahim, Imam Masjid Lenggong Perak untuk mengajar agama. Imam Haji Yusuf merupakan murid kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik bin Haji Hasan Pondok Sungai Pinang.

Syeikh Mahmud telah berhijrah/bermukim di Lenggong selama 2 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau mengajar tauhid, feqah, tasauf di masjid dan surau-surau yang terdekat. Pada usia 31 tahun, beliau kemudiannya berkahwin dengan anak saudara sepupunya Tuan Imam Haji Yusuf yang bernama Azizah. Isterinya merupakan seorang guru Al-Qur’an dan Fardhu Ain dan merupakan murid kepada bapanya sendiri dan bapa saudaranya iaitu Haji Ahmad (Pak Chu Mat Kelantan – murid kepada Tuan Guru Haji Abdullah Senik, Pondok Padang, Pasir Mas Kelantan) yang juga telah berhijrah dan menetap di Lenggong.

Selain Pak Chu Mat, Imam Haji Yusuf iaitu mertua Syeikh Mahmud juga telah berhijrah ke Lenggong selepas Hulu Perak, Kelantan dan Pahang telah dibuka dengan selamatnya oleh Tuan Guru Syeikh Abdul Rahman Jabat. Sebelum pembukaan, kawasan ini amat digeruni orang kerana ‘permainan raja orang asli’ yang mempunyai amalan memuja binatang-binatang buas bagi mengganggu sesiapa sahaja yang mencerobohi kawasan-kawasan yang ‘dijaga’ oleh mereka.

Kisah pembukaan ini telah meninggalkan kesan sejarah di hulu Perak, Kelantan dan Pahang menerusi lambang Gajah Putih iaitu tunggangan Tengku Abdul Rahman Tok Tama atau Sheikh Abdul Rahman Jabat.

Kembali Ke Kedah

Tiada berapa lama selepas perkahwinan beliau, Syeikh Mahmud merasakan amanat gurunya Tok Kenali belum dapat dilaksanakan. Pada tahun 1932 M, dia telah kembali ke Kedah dengan hasrat untuk membuka pondoknya di kawasan rimba yang baru diterokai di mana penduduknya tidak mempunyai guru yang boeh mengajar mereka tentang ilmu-ilmu agama.

Membuka Madrasah Misbahus Salam.

Pada 12 Rabi’ul awal 1351 H bersamaan 15 Ogos1932 M, Syeikh Mahmud telah berhijrah ke Kampung Lanai, Baling, Kedah Darul Aman; selaras dengan amanat Tok Kenali; Kampung Lanai merupakan suatu kawasan yang asalnya rimba yang belum diterokai dan hanya didiami oleh beberapa keluarga sahaja.

Semasa itu, penduduk Lanai mengerjakan solat Jumaat dengan berjalan-kaki sejauh 15km di Masjid Kampung Padang. Syeikh Mahmud telah berbincang dengan penduduk setempat seterusnya mencapai kata persetujuan untuk membuka Madrasah Misbahul Salam bagi digunakan sebagai tempat solat dan mempelajari agama.

Madrasah ini akhirnya menjadi terkenal dan semakin ramailah orang berhijrah ke Kampung Lanai untuk mempelajari agama dengan Syeikh Mahmud Nasri Osmani, murid kepada Ulama Terkemuka Asia Tenggara iaitu Al-Allamah Syeikh/Maulana Muhammad Yusuf Al-Kenali Al-Kelantani (Tok Kenali) Akhirnya Madrasah Misbahus Salam telah dipindahkan ke Caruk Salang, 3 km dari tapak asal.

Titah DYMM Sultan Badlishah

Selepas hampir tamat zaman pemerintahan Jepun, komunis cuba mengambilalih pentadbiran dengan menangkap Syed Abu Bakar dan Tuan Adam, DO Baling dan Residennya dan dibawa ke Kampung Dalam Wang Bawah Gunung, Baling dengan diikat seluruh badan mereka untuk ditanam dalam satu lubang secara hidup-hidup.

Syeikh Mahmud Nasri Osmani telah diminta oleh Tuan Guru Syeikh Yahya Taha, Kg. Pisang, Kupang (bapa mertua Tuan Guru Haji Umar Zuhdi) atas titah DYMM Sultan Badlishah untuk mengetuai operasi menyelamatkan Syed Abu Bakar dan Tuan Adam yang ditangkap bagi memaksa DYMM Sultan Badlishah menyerah diri kepada komunis.

Syeikh Mahmud Nasri dibantu oleh Tuan Haji Ahmad Bok Bak dan Tuan Haji Daud Bongor. Mereka telah pergi tanpa menggunakan sebarang senjata. Dengan Izin Allah, komunis seramai 600 orang yang diketuai oleh Chin Peng menjadi seperti terpukau dan melihat sahaja malah membenarkan Syeikh Mahmud dan rakan-rakannya membawa keluar Syed Abu Bakar/Tuan Adam sehingga jarak 40 meter. Komunis tiba-tiba menembak pasukan penyelamat selama 30 minit tetapi sekali lagi dengan izin Allah SWT, tidak ada satu pun peluru yang mengena mereka.

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Othmani dan rakan-rakannya telah menyerahkan Syed Abu Bakar dan Tuan Adam kepada DYMM Tuanku Sultan Badlishah dan Tuan Guru Haji Yahya Taha di Kampung Caruk Bembam, Kupang. Tempat penyerahan inilah hari ini telah didirikan Sekolah Menengah Syed Abu Bakar, Baling sempena nama Syed Abu Bakar.

Perasmian Madrasah Misbahul Falah

Pembukaan semula Madarasah Misbahul Falah telah disempurnakan pada tahun 1957 setelah terjadinya kesepakatan di antara Tuan Haji Abu Bakar dan menantunya Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih, Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Othmani dan penduduk tempatan.

Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih adalah anak kelahiran Kelantan yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Beliau merupakan anak murid kepada Tuan Guru Haji Yahya Taha Kampung Pisang yang kemudiannya telah melanjutkan pelajaran ke Makkatul Mukarramah. Semasa di Mekah, Tuan Guru Haji Umar Zuhdi telah berguru kepada beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir (Pak Da’el), Syeikh Mukhtar Abdul Malik Kudri Al-Makki, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al-Mandili dan Sheikh Muhammad Daud Sulaiman Al-Kelantani Al-Makki.

Sekembalinya beliau dari Makkatul Mukarramah bersama isteri dan anak-anaknya, Tuan Guru Haji Umar berhasrat untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama yang dipelajarinya kepada anak-anak bangsanya. Atas kehendak bapanya, Tuan Guru Hj Umar Zuhdi mengambil keputusan untuk menetap di Banggol Berangan, Lanai, Kupang, Kedah dan bersama-sama membuka semula pondok Madrasah Misbahul Falah.

Atas mengenang jasa Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Othmani dan rakan-rakannya menyelamatkan Syed Abu Bakar dan Tuan Adam, DYMM Sultan Badlishah telah berkenan merancang untuk berangkat merasmikan Misbahul Falah. Namun, hasrat baginda tidak kesampaian kerana telah mangkat pada hari berkenaan Majlis kenduri untuk menyambut baginda telah bertukar menjadi majlis tahlil untuk Almarhum DYMM Baginda dan akhirnya Madrasah Misbahul Falah telah dirasmikan sendiri oleh Tuan Guru Haji Umar Zuhdi Solih.

Madrasah Misbahul Falah terus berkembang mengikut manhaj yang telah disediakan oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi sendiri, mengikut system pengajian Nizhomi dan Umumi.Sistem pengajian nizhomi adalah system pengajian kelas bermula tahun I’dadi hingga ke thanawi dan sistem pengajian umumi adalah pengajian kitab-kitab torah dari kulit ke kulit.Sistem pengajian nizhomi dan umumi mendapat sambutan yang hangat di kalangan masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan agama dan suasana ini berjalan baik sehingga ke hari ini. Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani pula mendirikan sebuah madrasah dengan mengekalkan nama madrasah Misbahus Salam di rumahnya berhampiran dengan madrasah tersebut.Beliau membantu mengajar kitab-kitab torah secara umumi kepada pelajar-pelajar Madrasah Misbahul Falah yang gemar menuntut ilmu dengannya.

Gerak Seni Silat Abjad.

Gerak Seni Silat Abjad telah diasaskan oleh Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani adalah sebagai menggantikan nama ilmu dan amalan yang asal diterima daripada gurunya Sheikh Yusuf Kenali dan menerima latihan daripada gurunya Sheikh Muhammad Taib bin Tuan Guru Sheikh Abdul Rahman Jabat. Nama asal ialah Amalan Khalifah Pusaka Wali.

Syeikh Mahmud Nasri memperkenalkan Gerak Seni Silat Abjad ini ialah kerana pada masa itu beliau melihat kedudukan umat Melayu Islam terumbang-ambing selepas peristiwa 13 Mei, 1969. Ketika itu lahirlah berbagai-bagai unsur-unsur syirik, khurafat dan bidaah berlaku berleluasa dalam masyarakat melayu. Lalu beliau berhasrat untuk membersihkan amalan-amalan karut yang tiada dalam ajaran agama.

Amanat Al-Allamah Syeikh Mahmud Nasri Osmani :

Banyak barang tiruan dalam pasaran,
Barang asli dalam rumah ahli,
Dapat beza dalam majlis tandingan,
Datang benar hancur binasa yang bathil,
Benar tetap benar, bathil tetap bathil,
Datanglah kepada kami jika mahu barang yang asli,
Tiada menjadi korban pengorbanan,
Tiada dimahkotakan pahlawan,
Nafsu tujuh rupa tujuh terbit,
Taulannya di luar atas rupanya baik atau jahat,
Tiap-tiap bergerak ditanya guru asal,
Dosa pahala dikira melaluinya,
Tiada guru syaitan mengaku jadi guru,
Ahli sufi palsu berbagai ragam ratib jampian,
Lumrah insan kalah memakai menang membeli.

----------------------------------

AL-FATIHAH

Isnin, 31 Ogos 2009

Silat Malaysia di National Geographic

 
BUAT pertama kalinya, dokumentari khas seni silat disiarkan saluran National Geographic.
SETELAH penerbitan dokumentari Becoming A King dan Smart Tunnel berjaya ditayangkan di 166 buah negara pada tahun lalu menerusi saluran National Geographic Channel International, kini sebuah lagi karya, Fight Masters: Silat bakal menjunjung nama Malaysia ke persada dunia.
Fight Masters: Silat merupakan salah satu daripada dua penerbitan di bawah projek dokumentari Malaysia To The World 2 hasil kerjasama berterusan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan National Geographic.
Dengan kejayaan Becoming A King dan Smart Tunnel yang bersiaran meliputi 290 juta isi rumah dalam 27 bahasa itu membuatkan dokumentari Fight Masters: Silat bakal mengulangi sejarah sama.
Ditambah subjek seni silat gayong yang dibentangkan dengan indah, maka dokumentari yang diarahkan oleh anak tempatan, Justin Ong itu terlihat sebagai sebuah naskhah istimewa untuk ditonton oleh khalayak terutama bangsa asing.
Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, dia menganggap kolaborasi dua hala di antara Finas dan National Geographic itu memberikan banyak kebaikan dalam mengenengahkan dokumentari tempatan kepada pihak luar.
"Dokumentari tidak dinafikan menjadi medium terpenting bagi perkembangan dan pemahaman budaya sesuatu bangsa yang merentasi setiap sempadan dunia.
"Penayangan dokumentari seperti Fight Masters: Silat dan yang lainnya sebelum ini di saluran National Geographic diharap mampu membangunkan industri dokumentari Malaysia," katanya ketika bercakap pada majlis pelancaran dokumentari berkenaan di Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd. Daud, Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong dan Pengarah Produksi National Geographic International, Mok Choy Lin.
"Dokumentari Fight Masters: Silat ini berperanan sebagai visual atau gambaran sebenar tentang seni mempertahankan diri yang diamalkan oleh orang Melayu sejak berabad lamanya.
"Dalam waktu sama, dokumentari ini juga dapat memperlihatkan uniknya silat gayong selain kung fu dan taekwando yang sering dipaparkan di kaca televisyen sebelum ini.
"Lantaran itu, saya percaya dokumentari Fight Masters: Silat ini menjadi sebuah karya yang menarik untuk ditonton oleh khalayak yang pelbagai," jelasnya penuh bersemangat.
Dokumentari Fight Masters: Silat yang mengambil waktu selama setahun untuk disudahkan sebelum ditayangkan di kaca televisyen seluruh dunia itu menampilkan jalan cerita tersendiri dan pastinya mampu memukau setiap mata yang menontonnya.
Dokumentari berkenaan menceritakan mengenai seorang tentera Amerika Syarikat, Joel Champ, 32, yang menghabiskan masa selama 14 tahun mengkaji dan mempelajari silat gayong bagi mendapatkan tali pinggang hitam dengan tiga garisan.
Jejaka tinggi lampai itu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan sebelum dia mencapai impian yang dihajati untuk bergelar pesilat seni gayong yang bertauliah.
Untuk mengetahui lebih lanjut apakah yang bakal terjadi kepada Joel yang memiliki angan-angan tinggi melangit itu, jangan lupa untuk menyaksikan dokumentari Fight Masters: Silat yang pastinya tidak menghampakan anda.
Dokumentari itu bakal ditayangkan secara eksklusif sempena Hari Kemerdekaan ke-52 pada hari ini, pukul 9 malam di saluran National Geographic Asia dan di saluran Astro 553.

Selasa, 25 Ogos 2009

Alexander the Great dan Zulqarnain Bukan Orang yang Sama

 


Ketika masih remaja dulu saya percaya Zulqarnain dan Alexander the Great kedua-duanya orang yang sama. Namun setelah membaca di sana-sini hasil kajian mereka yang berkemahiran, saya beranggapan kedua-duanya orang yang berlainan.

Zulqarnain seorang yang beriman sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran sedangkan Alexander seorang yang kufur. Zulqarnain hidup lebih awal daripada Alexander. Masyhurnya Iskandar Zulqarnain ini menyebabkan banyak raja-raja selepasnya menggunakan nama Iskandar/ Alexander termasuklah Alexander the Great dari Macedonia (Maquduniah) itu. Raja-raja Melayu sendiri banyak yang menggunakan nama Iskandar. Bahkan secara peribadi saya memandang nama ‘Rajendra’ yang digunakan oleh beberapa orang raja di India tidak lain ialah ‘Alexander’ ataupun ‘Iskandar’. Yang paling terkenal ialah Rajendra 1 (Raja Suran) dari Kerajaan Chola yang berjaya menakluk Tanah Melayu termasuklah kerajaan Gangga Negara di Perak.
Saya (*ketika artikel ini ditulis, sebelum saya menyelidiki sendiri siapa Zulqarnain) memilih pemerintah Parsi kuno sebagai Zulqarnain iaitu antara Maharaja Cyrus (Korsh/ Kursh) ataupun Darius (Dara) , tapi bukan Maharaja Dara yang berperang dengan Alexander Macedonia. Kajian menunjukkan empayar Parsi kuno ini antara empayar yang paling luas pernah wujud di muka bumi, melebar dari Barat (Eropah dan Afrika) hingga ke Timur (China dan Jepun).
Bukti-bukti menunjukkan perjalanan Alexander Macedonia tidak sampai pun ke negara China, paling jauhpun di pinggirnya saja, kemudian dia menemui maut dalam usia yang muda. Alexander juga tidak membina apa-apa benteng sedangkan Zulqarnain membina benteng kukuh antara gunung (yang saya percaya binaan awal Tembok Besar China sebelum disambung hingga menjadi beribu-ribu kilometer kerana memang ada bahagian tembok itu berteraskan logam bersalut tembaga di sebelah dalamnya) untuk menyekat kaum Yakjud Makjud (bangsa-bangsa gusar di utara China).
Sumber-sumber Barat tentang Alexander Macedonia tidak menyentuh tentang pembinaan benteng. Namun Barat mula menyentuhnya apabila mereka menyedari wujudnya cerita benteng Zulqarnain dalam al-Quran.
Zulqarnain membawa agama tauhid yang saya yakini sebagai agama Zoroaster (Zarathustra yang kemudiannya terseleweng hingga menjadi agama Majusi yang menyembah api . Agama inilah yang bertapak kukuh di Parsi kuno. Ada juga pendapat mengatakan beliau membawa agama Nabi Ibrahim ataupun agama peninggalan Nabi Nuh.
Agama Zoroaster dikatakan membawa pemahaman wujudnya Tuhan baik yang diseimbangkan dengan tuhan jahat. Berkemungkinan perkara ini menghasilkan pemahaman yin dan yang di China.
Salah seorang penasihat utama Alexander ialah Aristotle (Aristun Syah) . Hingga kini agama Aristotle masih diragukan sungguhpun dia dan guru-guru sebelumnya seperti Socrates dan Plato nampak tidak sealiran dengan pemerintah dalam isu ‘sembahan’. Mereka lebih kepada ahli falsafah berbanding Nabi ataupun seorang yang menganut agama tauhid. Penasihat Zulqarnain yang masyhur pula ialah Nabi Khidhir, yang jelas-jelas bertauhid.
Beberapa pengkaji berpendapat ‘Barat’ yang terkenal dengan sikap suka memanipulasikan sejarah itu memainkan peranan penting untuk men’Zulqarnain’kan Alexander Macedonia. Mereka cukup sakit hati jika apa-apa kelebihan memihak kepada ‘Timur’ termasuklah dalam hal Zulqarnain. Barat mahu Alexander Macedonia diyakini semua orang sebagai Zulqarnain dalam Quran. Quran dengan bijaknya menyanggah hal itu apabila menyanjung keagamaan Zulqarnain yang jauh berbeza dengan ‘keliaran’ Alexander Macedonia.
Lihat sajalah filem Alexander keluaran Barat, ‘diwarnakannya’ rambut Zulqarnain dengan warna perang. Padahal sisa-sisa bukti yang ada menunjukkan Zulqarnain berambut hitam. Namun dalam hal ini ada kekecualian. Boleh jadi memang filem itu hendak menceritakan Alexander the Great dan bukannya Iskandar Zulqarnain al-Quran.
Rom dan Parsi saling beralih kuasa pemerintahan (pentadbiran dunia digilir-gilirkan antara Timur dengan Barat). Kedua-duanya ada raja yang bernama ataupun bergelar Iskandar. Rom pastinya iri hati dengan Iskandar Zulqarnain Parsi yang gah suatu waktu dahulu. Atas sebab itu Rom (Barat) mahu membuktikan Iskandar merekalah yang paling agung. Seboleh-bolehnya mereka mahu menutup kisah Iskandar Zulqarnain dari Parsi. Sekali lagi Quran begitu bijak menyanggah hal ini dengan menyebut tokoh ini sebagai ‘Zulqarnain’ sahaja tanpa ‘Iskandar/ Alexander’. ‘Zulqarnain’ hanya ada di Parsi dan bukan di Rom (ketika itu berpusat di Macedonia).
Saya ada menyimpan satu artikel lama (lebih kurang 20 tahun dulu) yang saya koyak dari sebuah akhbar (rasanya Utusan ataupun Berita Harian) tapi kini entah di mana. Penulisnya berpendapat Zulqarnain ialah anak Nabi Ibrahim daripada isteri(gundik)nya iaitu Qanturah/ Ketura. Anak inilah yang berguru dengan Aristotle. Penulis cenderung untuk mengakui keimanan Aristotle, Plato dan Socrates.
Pada saya, pandangan ini tidaklah kukuh. Sebagaimana yang kita maklumi, Iskandar/ Alexander yang berguru kepada Aristotle ialah anak Raja Phillips (Filaqus), bukan anak Nabi Ibrahim. Tentang keimanan ketiga-tiga tokoh falsafah itu, tidaklah kita ada maklumat yang selengkapnya.
Menurut buku ‘Lelaki Misteri Dalam Al-Quran-Iskandar Zulkarnain’, banyak ulama dan sejarahwan menyokong Alexander the Great sebagai Zulqarnain tetapi semakin hari semakin ramai yang menolaknya termasuklah Ibnu al-Qayyim, Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah dan Sayyid Qutb.
Wallahualam.

Sumber:
‘Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’

Khamis, 20 Ogos 2009

YAKJUJ DAN MAKJUJ


Nama Yakjuj dan Makjuj disebut sebanyak dua kali di dalam al-Quran, iaitu di dalam surah al-Kahfi ayat 94 dan surah al-Anbiya ayat 96. Di dalam surah al-Kahfi diterangkan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi yang ditakuti oleh suatu kaum yang tinggal di antara dua pergunungan sehingga ketika Zulkarnain datang ke tempat itu, kaum tersebut memohon kepadanya agar dibuatkan tembok penghalang daripada serangan mereka. Di dalam surah al-Anbiya, disebutkan bahawa Yakjuj dan Makjuj itu akan segera turun dengan cepat dari tempat yang tinggi ketika tembok penghalang mereka terbuka sebagai tanda telah dekatnya kedatangan janji Allah s.w.t.

Al-Quran tidak menerangkan siapa sebenarnya Yakjuj dan Makjuj, daripada bangsa dan keturunan mana mereka itu. Al-Quran hanya menjelaskan sifat-sifat mereka, iaitu kaum pembuat kerosakan di bumi; kalau tembok penghalang dibuka, mereka akan turun mengalir seperti mengalirnya air bah, dan apabila tembok penghalang kukuh, mereka tidak masuk dan tidak dapat membuat kerosakan. Oleh kerana itu timbullah beberapa tafsiran, antara lain:

(1) Ahmad Mustafa al-Maragi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa Yakjuj adalah berbangsa Tartar, dan Makjuj adalah berbangsa Mongol. Mereka berasal daripada satu bapa yang bernama Turk, tempat tinggal mereka di bahagian utara Asia. Daerah mereka memanjang dari Tibet dan China sampai ke Laut Baku Utara, di barat sampai Turkestan.

Dalam pelbagai zaman, bangsa-bangsa ini sering menyerang, membuat kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa-bangsa lain. Di antara mereka terdapat bangsa-bangsa yang kejam, turun dari bukit-bukit di Asia Tengah dan pergi ke Eropah pada masa dahulu, seperti bangsa Semith, Simeria, dan Hun. Mereka banyak menyerang negeri-negeri China dan Asia Barat. Dengan munculnya Temujin yang dikenal dengan nama Genghis Khan (di dalam bahasa Mongol bermaksud “Raja Alam”; 1167-1227), pada awal abad ke-7 H / 12 M, berikutan tenteranya yang perkasa keluar jauh ke Asia Tengah. Ia menundukkan China Utara kemudian pergi ke negeri-negeri Islam, lalu menundukkan Sultan Qutbuddin bin Armilan, salah seorang raja Seljuk yang menganut aliran Khawarij. Genghis Khan melakukan kekejaman yang belum pernah berlaku sebelumnya di negeri tersebut.

(2) Musnad Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali), seperti dikutip Ibnu Kasir menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Nuh memiliki tiga orang anak, iaitu Sam, nenek moyang orang Arab; Ham, nenek moyang orang Sudan; dan Yafis, nenek moyang orang Turk.” Menurut sebahagian ulama, Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Yafis, putera Nuh ini. Demikian juga pendapat Nasafi, seorang ahli fekah, usul fekah dan tafsir yang bermazhab Hanafi yang menyatakan bahawa Yakjuj berasal daripada suku Turk, manakala Makjuj pula berasal daripada suku Jail serta Dailam keturunan Yafis yang membuat kerosakan di muka bumi. Mereka tidak mati dan masing-masing memiliki seribu keturunan yang diperlengkapi dengan senjata.

(3) Hamka pula memberi tafsiran bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah segala gerakan yang telah dan akan merosakkan dunia ini. Oleh hal yang demikian, baik diri, keluarga, mahupun negara serta bangsa wajib mendirikan tirai besi sebagai benteng agar Yakjuj dan Makjuj tidak dapat masuk. Mungkin Yakjuj dan Makjuj dapat ditafsirkan sebagai berfikiran jahat, bermaksud buruk, dan ideologi yang menyesatkan yang dianuti sebahagian manusia. Manusia yang menganutnya dengan kelicikan kejahatannya boleh mempergunakan manusia sesamanya sebagai alat untuk merosakkan bumi ini. Sebab itu, fikiran yang baik, cita-cita yang mulia, dan ideologi yang sihat harus ditanam dengan teguh pada setiap diri, keluarga, dan negara serta bangsa untuk membentengi Yakjuj dan Makjuj. Yakjuj dan Makjuj laksana air, senantiasa mencari tempat untuk masuk walaupun hanya sebesar lubang jarum.

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya