Cari Blog Ini

Rabu, 4 November 2009

Bekas mufti mahu saman



BUKIT MERTAJAM: “Tuduhan itu melampau dan mahu menjatuhkan kredibiliti saya pada pandangan masyarakat umum.

“Justeru, saya akan ambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain AlGhari) serta Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam tempoh terdekat,” kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai tindakan pihak berkenaan yang disifatkannya keterlaluan.

Bercakap kepada pemberita ketika memberi penjelasan mengenai isu berkaitan di Institut al-Qayyim di sini, kira-kira jam 10 malam tadi, beliau berkata tindakan Zamihan adalah perbuatan memfitnah dan berniat memalukannya.

“Zamihan berkata, sijil saya palsu tapi bagaimana sebagai bekas mufti boleh memalsukan sijil sedangkan ia perlu untuk tujuan tertentu seperti menyambung pelajaran selain bertugas sebagai pensyarah.

“Sebenarnya saya malu untuk menjawab perkara ini tapi pada masa sama dukacita dengan dakwaan dilemparkannya.

“Peguam saya kini dalam proses menyiapkan draf terakhir dan esok (hari ini), saya akan menelitinya sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Dr Asri berkata demikian ketika mengulas dakwaan Zamihan dalam laporan sebuah akhbar, semalam bahawa beliau memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Zamihan mendakwa, bidang pengkhususan Dr Asri ialah Bahasa Arab dan Sastera kerana Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

Bekas mufti itu berkata, tindakan Zamihan mempunyai niat tertentu yang boleh menjejas dan memalukan institusi berkenaan.

Pada sidang media itu, Dr Mohd Asri turut menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab/Syariah yang diperolehnya pada 1995.

“Bagaimana saya hendak palsukan ijazah ini dan saya yakin dia hendak beritahu masyarakat supaya tidak percaya dengan saya,” katanya dengan nada kesal.

Mengenai tindakan saman ke atas PGSM, beliau berkata, ia berikutan rentetan memorandum yang dihantar persatuan itu serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Oktober lalu yang membantah cadangan melantik beliau sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Dr Mohd Asri turut meminta Jakim memohon maaf terhadap tindakan Zamihan dan meminta jabatan itu memberi penjelasan mengenai perkara berkenaan.

Wanita tendang perut penyamun



TELUK INTAN: Tindakan pantas seorang wanita menendang kaki serta perut seorang penyamun bersenjata pisau bukan saja mengelaknya daripada risiko kecederaan, malah aksi beraninya itu menyebabkan suspek dicekup dan dibelasah orang ramai sebelum ditahan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, seorang wanita berusia 40-an yang enggan dikenali cuba disamun seorang lelaki bersenjata pisau sebaik keluar dari sebuah bank di Jalan Syed Abu Bakar di sini.

Pada mulanya, suspek berusia 30 tahun itu mengekori mangsa sehingga ke tempat letak kereta sebelum mendakap mangsa dari belakang dan mengarah mangsa masuk dalam kereta.

Mangsa yang pada mulanya panik, bertindak berani menendang suspek sebelum menjerit meminta tolong.



Tindakan mangsa menjerit sekuat-kuat hati menyebabkan orang ramai dan pelanggan dalam bank keluar dan menyebabkan suspek cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, suspek ditahan sebelum diserahkan kepada seorang anggota polis berpakaian biasa yang lalu di kawasan itu.

Aksi cemas itu bukan saja mengejutkan orang ramai di Jalan Syed Abu Bakar, malah memberi amaran kepada mereka supaya berhati-hati terutama selepas keluar dari bank.

Suspek yang juga seorang penagih dadah dibawa ke Balai Polis Teluk Intan untuk siasatan sebelum direman untuk siasatan lanjut.

Kira-kira sebulan lalu, kejadian hampir sama berlaku di depan sebuah bank di Jalan Pasar apabila dua suspek menerpa seorang wanita yang baru hendak menaiki keretanya selepas berurusan di bank berkenaan sebelum diarah masuk dalam kereta.

Suspek menculik mangsa dan merompak wang RM400 dan melarikan kereta mangsa sebelum ditinggalkan keseorangan di Jalan Tembaga kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Selasa, 3 November 2009

Sasar gadis montel



KUALA LUMPUR: Kata-kata memikat dan ayat meraih simpati cukup menjadi helah bagi seorang penganggur mengikis wang beberapa gadis berbadan montel sebelum ditinggalkan di kawasan terpencil selepas mereka kehabisan duit.

Dengan penampilan bertindik sebelah telinga serta berbadan kurus, kasanova junior berusia 19 tahun itu bijak menggunakan laman sosial MySpace di Internet untuk mencari mangsa gadis berbadan gempal sebelum dipujuk bertemu.

Mangsa diajak bersiar-siar dan amalan itu diulang beberapa hari dan pada masa sama, gadis yang menjadi sasaran tipu, dipujuk supaya meminta wang daripada ibu bapa untuk berbelanja.

Bagaimanapun, mangsa ditinggalkan sehelai sepinggang di tempat tertentu selepas semua wang dibawa dihabiskan kasanova itu.

Kegiatan kasanova itu didedahkan seorang bapa yang turut kehilangan anaknya dipercayai mengikut pemuda terbabit hampir dua minggu lalu dan gagal dikesan sehingga kini

Roni Mat Zin, 45, berkata pada jam 3.30 petang pada 23 Oktober lalu, anaknya, Asmira, 19, menghubunginya untuk meminta izin ke Kuantan, Pahang, bagi membeli peralatan menyiapkan kertas kerja pengajiannya.

“Anak saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di Kuantan dan dengan ditemani seorang rakan, dia ke bandar tetapi sebenarnya untuk bertemu lelaki itu.

“Saya tak tahu perkara itu sehinggalah dimaklumkan kehilangan Asmira keesokan hari oleh seorang rakannya dan diberitahu mengenai kejadian sebenar,” katanya yang datang ke Balai Berita, semalam.

Roni yang bertugas sebagai pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, selepas pertemuan itu, pemuda terbabit menghubungi Asmira sebelah malam memberitahu dia tidak mempunyai wang membeli tiket bas pulang ke Kuala Lumpur.

“Dengan bantuan seorang rakan, anak saya keluar dari asrama ke stesen bas dan meminta rakannya pulang dulu sehingga dihubungi menjemputnya ke asrama semula. Anak saya ketika itu hanya memakai seluar trek, tudung putih dan baju-T jingga.

“Asmira gagal dihubungi dan usaha menjejakinya mendapati dia kerap bergerak antara Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur, berdasarkan rekod pengeluaran wang di ATM serta penggunaan telefon bimbitnya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sentul.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada rakan anaknya dan polis, dia mendapatkan gambar wajah pemuda terbabit serta mangsa lain kasanova itu.

“Saya menemui seorang gadis berusia 21 tahun di Shah Alam dan dimaklumkan dia juga dipengaruhi kasanova itu dan berlegar-legar tanpa tujuan dua minggu sebelum ditinggalkan di sebuah rumah sewa di Ipoh, Perak, selepas tidak lagi mampu memberikan wang.

“Malah, saya terkejut apabila dia mendakwa lebih daripada empat gadis yang semuanya berbadan besar menjadi mangsa kikis pemuda itu,” katanya.

Roni berkata, dia tidak tahu sama ada kasanova itu menggunakan ilmu pukau, namun dia didakwa mampu mempengaruhi ramai gadis dengan menceritakan kesusahan dan keperitan hidupnya.

“Saya bimbang keselamatan Asmira yang tidak diketahui di mana dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi saya di talian 013-3434604 atau balai polis berdekatan,” katanya.

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya