Cari Blog Ini

Jumaat, 18 Disember 2009

Dua ditahan, 21 landak raya dirampas



SHAH ALAM 17 Dis. - Seorang kakitangan dan pesara kerajaan ditahan setelah didapati memiliki dan memelihara 21 ekor landak raya tanpa permit dalam dua serbuan di kawasan Kuang, Rawang, kelmarin.
Serbuan dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, hasil maklumat awam, pada pukul 1 petang.

Timbalan Pengarahnya, Mohammad Khairi Ahmad berkata, siasatan mendapati kesemua haiwan tersebut dipercayai adalah untuk dijual.

Katanya, dalam operasi pertama sebanyak 13 ekor landak dirampas dari rumah pesara kerajaan berusia 50 tahun di Jalan Kuang, Batu 19, Rawang.

"Operasi melibatkan lima kakitangan diketuai oleh Penolong Pegawai Perhilitan, Mohd. Firdaus Hasbullah itu juga menemui seekor anak landak raya yang sudah mati dan sebahagian daging haiwan tersebut.

"Dalam serbuan kedua, kita merampas lapan ekor landak raya dan seekor musang pulut di sebuah rumah kakitangan kerajaan berusia 30 tahun di Kampung Bukit Tempurung, Kuang, pada pukul 8.50 malam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah diambil keterangan untuk didakwa di bawah Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76).

Mohammad Khairi berkata, kedua-duanya boleh dikenakan denda maksimum tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai memiliki dan memelihara haiwan itu tanpa permit bagi tujuan untuk dijual sejak dua tahun lalu.

"Bagi seekor induk landak yang hendak dijadikan baka, bernilai kira-kira RM400 dan dagingnya pula boleh mencecah sehingga RM80 sekilogram.

"Kesemua landak raya itu dipercayai ditangkap di kawasan berhampiran. Kita akan lepaskan haiwan itu di satu kawasan habitat asalnya di Kuala Kubu Baru yang dikawal selia oleh Perhilitan," jelasnya.

Dalam kejayaan lain, beliau berkata, sebanyak enam ekor ular sawa iaitu tiga jenis African Ball Python, dua Burmese Python dan seekor sawa batik spesies tempatan dirampas dari sebuah kedai binatang pemeliharaan di Seksyen 24, di sini, malam tadi.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76) dan Seksyen 83 kerana berniaga haiwan perlindungan tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," ujar beliau.

Sejarah tercipta



VIENTIANE – Malaysia mencatat sejarah menjuarai acara bola sepak Sukan SEA XXV selepas 20 tahun apabila mengalahkan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos di sini, semalam.

Jaringan sendiri pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 ketika cuba menahan serangan Malaysia memberikan anak buah K. Rajagobal kejuaraan pertama selepas kali terakhir melalukannya pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Emas acara bola sepak semalam merupakan pingat emas ke-40 buat kontinjen negara semalam.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2001 di Kuala Lumpur tetapi kalah 1-0 kepada Thailand menerusi gol masa tambahan.

Ini merupakan kali pertama Malaysia mengalahkan Vietnam sejak 2001 pada semua peringkat kejohanan Asia Tenggara termasuk Piala Tiger.

Kemenangan semalam turut menebus kehampaan setelah kalah kepada Vietnam 3-1 pada perlawanan peringkat kumpulan.

Vietnam yang turun selaku pasukan pilihan memulakan asakan sejak awal perlawanan, namun skuad negara kental bertahan daripada dibocori.

Malaysia bangkit memberi saingan dengan asakan kemas dengan kemasukan Zaquan Adha Abdul Razak, yang pulih daripada masalah mata di babak kedua.

Hantaran silang Norshahrul Idlan Talaha ditahan oleh pemain pertahanan Vietnam sehingga masuk ke gawang sendiri, yang memberikan jaringan kemenangan kepada Malaysia pada minit ke-83.

Mengulas kemenangan bersejarah itu, Rajagobal berkata, dia amat gembira kerana berjaya memberikan kemenangan acara bola sepak Sukan SEA selepas 20 tahun menanti.

Katanya, dia bangga dengan semangat dan kesungguhan pemain di sepanjang perlawanan sehingga berjaya menjelmakan kejayaan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kemenangan ini amat besar maknanya bagi saya. Saya amat gembira kerana kami akhirnya berjaya juga memberikan kemenangan yang kita sama-sama nantikan sejak sekian lama.

“Pujian harus perlu diberikan kepada para pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang demi merealisasikan impian kita selama ini.

“Kemenangan ini adalah untuk rakyat Malaysia. Lebih penting emas yang kita menangi ini diharap akan mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Ibu Zizie restu Bung Moktar



KUALA LUMPUR: “Saya akan tetap merestui jika memang sudah ditakdirkan Datuk Bung menjadi pasangan hidupnya,” kata pelakon Khaty Fauziah mengulas desas-desus anaknya, pelakon popular, Zizie Izette Abd Samad sudah dilamar Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Moktar Radin.

“Zizie sudah mula bercinta sejak usia 14 tahun dan dia juga sudah berjumpa dengan ramai lelaki tapi nampaknya dia masih belum bertemu jodoh.

“Justeru, sebagai ibu saya terima jika ditakdirkan tuhan, Zizie berkahwin dengan suami orang atau menjadi isteri kedua kerana siapalah kita untuk menolak ketentuan tuhan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Bagaimanapun, dia menafikan anak gadisnya itu sudah dilamar ahli parlimen berkenaan.

“Sebenarnya tidak ada ura-urapun pihak Datuk Bung ingin melamar Zizie lagi. Saya juga tidak tahu dari mana pihak media mendapat cerita Zizie dilamar. Saya juga malu untuk bertanya kepada Datuk Bung sendiri bagaimana pihak media mendapat cerita berkenaan,” katanya.

Apapun, Khaty mengakui Zizie memang berkawan dengan ahli parlimen berusia 50 tahun itu.

“Saya cuma tahu mereka baru saja berkawan dan Zizie juga belum memberitahu saya jika dia ada perancangan untuk berkahwin dengan Datuk Bung. Sebenarnya bukan Zizie saja yang kenal Datuk Bung, saya juga sudah mengenalinya sejak dulu. Tapi saya tidak tahu pula jika Zizie dan Datuk Bung ada perancangan untuk berkahwin,” katanya.

Kata Khaty, dia juga tidak tahu-menahu bilakah pihak Datuk Bung akan menghantar rombongan meminang Zizie.

“Saya juga tidak boleh menjangka perkara seperti itu kerana ia boleh memalukan saya sekeluarga jika jangkaan saya tidak betul kelak,” katanya.

Sementara itu pembantu peribadi kepada pelakon popular, Zizie Izette Abd Samad, dikenali sebagai Erin ketika dihubungi berkata: “Memang benar Zizie sudah dilamar Datuk Bung (Moktar Radin) baru-baru ini, tapi dia masih belum memberi kata putus berhubung lamaran itu. Buat masa ini maaflah, dia tidak boleh komen lanjut mengenai perkara ini.

“Maklumlah banyak perkara perlu diambil kira sebelum Zizie membuat keputusan untuk menerima lamarannya itu kerana seperti yang kita sedia maklum, status beliau (Bung Moktar) yang sudah berkeluarga,” katanya.

Bagaimanapun, ketika diminta mengesahkan gosip berhubung rancangan Zizie untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinannya dengan Datuk Bung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi, Erin mendakwa tiada sebarang perancangan ke arah itu.

“Zizie memang mengambil cuti selama dua hari daripada penggambaran drama bersiri Suraya iaitu pada 16 dan 17 Disember (semalam dan hari ini) atas urusan peribadi semata-mata dan bukan untuk persiapan majlis resepsi berkenaan. Saya juga baru pulang dari Genting Highland, hari ini (semalam) bersamanya dan Zizie terus pulang ke rumahnya selepas itu,” katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Zizie gagal apabila panggilan kepadanya tidak dijawab manakala SMS yang dihantar berulang kali tidak dibalas.

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya