Cari Blog Ini

Rabu, 23 Jun 2010

Tg. Bidara Resort bakal ditutup

SUASANA muram di Tanjung Bidara Beach Resort di Alor Gajah, Melaka .

ALOR GAJAH - Ketika era 90-an dahulu, nama pusat peranginan Tanjung Bidara Beach Resort begitu sinonim dengan pelancong yang datang ke Melaka.
Lokasinya yang mendamaikan kerana terletak di tepi laut Selat Melaka membuatkan sesiapa yang menduduki pusat peranginan tersebut walaupun sekejap begitu teruja dengan keadaan sekitarnya.
Namun entah apa silapnya sejak akhir-akhir ini, destinasi percutian terkenal itu semakin tenggelam kerana pelbagai masalah selepas sebuah syarikat mengambil alih pengurusan resort itu pada tahun 2003.
Lebih menyedihkan, resort yang disifatkan sebagai lambang kebanggaan penduduk sekitar Masjid Tanah itu kini berada di ambang 'hidup segan mati tak mahu' yang berkemungkinan ditutup atas alasan tidak mampu beroperasi lagi.
Difahamkan, resort tersebut didakwa menanggung kerugian lebih daripada RM4 juta sejak tempoh berkenaan.
Ekoran masalah tersebut, surat pemberitahuan telah diedarkan kepada pekerjanya pada 15 Jun lalu dan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kakitangannya khususnya yang setia bersama resort berkenaan sejak ia mula dibuka pada tahun 1985.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati beberapa kakitangan resort berkenaan resah dengan masalah yang dihadapi khususnya mengenai pembayaran gaji yang tidak diterima sejak tiga bulan lalu dan dalam masa yang sama terpaksa menyara perbelanjaan keluarga serta persekolahan anak-anak.
Sementara itu, IIUM Holdings Sdn. Bhd.(IIUM), pemaju Tanjung Bidara Beach Resort mengesahkan bahawa pusat peranginan itu berkemungkinan akan ditutup ekoran kerugian yang dialaminya.

Ribuan pindah di China

GAMBAR menunjukkan banjir yang melanda sebatang jalan raya di Fuzhou, selatan China semalam.

BEIJING - Hujan lebat menyebabkan sebuah tambak runtuh di selatan China sekali gus menyebabkan 88,000 orang terpaksa dipindahkan. Keadaan ini mendorong beberapa pemimpin tertinggi China mengeluarkan arahan agar operasi menyelamat dilakukan dengan segera.
Agensi berita Xinhua melaporkan, banjir memecahkan tambak di Sungai Fu di Chungkai, Jiangxi kelmarin sehingga memaksa beberapa penduduk berpindah dari rumah mereka. Menurut agensi berita itu, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Ribut yang melanda selatan China lebih dari seminggu itu mengorbankan sekurang-kurangnya 199 orang dan 123 orang lagi masih hilang. - AP

Tragedi maut menjelang subuh

TIGA mangsa bot karam yang terselamat memasuki ambulans untuk dibawa ke Hospital Port Dickson bagi rawatan lanjut semalam.




PORT DICKSON - Hajat 25 warga Indonesia untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki sebuah bot pancung musnah apabila dua maut manakala 15 lagi dikhuatiri hilang selepas bot itu karam berhampiran perairan Port Dickson di sini semalam.
Bagaimanapun, lapan lagi penumpang berusia di antara 20 dan 31 tahun dapat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tong dan cebisan kayu bot dalam kejadian pukul 3 pagi kira-kira 12 batu nautika dari arah barat Port Dickson.
Mereka merupakan enam lelaki dan dua wanita di mana salah seorangnya sedang mengandung lapan bulan. Dia kini menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD) akibat melecur terkena minyak diesel panas ketika bot itu karam.
Dalam kejadian tersebut, seorang kanak-kanak perempuan berusia di antara tujuh dan lapan tahun dan seorang lelaki berusia 30-an ditemui lemas.
Mayat kanak-kanak itu dijumpai oleh kapal dagang kontena MV Kota Raya yang dalam perjalanan dari Chittagong, Bangladesh ke Singapura pada pukul 10.30 pagi di lokasi kejadian bot karam itu.
Kapal yang sama juga menyelamatkan lapan mangsa yang ditemui terkapai-kapai di tengah laut.
Mayat lelaki berkenaan pula ditemui oleh nelayan kira-kira 4.45 petang di lokasi yang sama sebelum dibawa ke Jeti Jabatan Laut pada pukul 5.30 petang.
Difahamkan, hujan lebat dan laut bergelora antara penyebab bot pancung yang dalam perjalanan ke Dumai, Indonesia itu karam selepas bertolak dari jeti di Banting, Selangor pada pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, setakat petang semalam, pihaknya mengesahkan dua mayat sudah ditemui dan dihantar ke Hospital Port Dickson.
"Selain itu, lapan mangsa yang terselamat dihantar ke hospital yang sama dan berdasarkan keterangan mereka, kita percaya jumlah penumpang yang ada ketika itu di antara 22 dan 25 orang," katanya pada sidang akhbar di sini.

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya