ANAK muda ini jiwanya meluap-luap. Teruja membawa darah merahnya yang laju mengalir dengan nota-nota lagu beriringan.
Aizat kalau dalam sembang yang santai tidak pernah lekang dengan perkembangan konsert di sana sini.
Ada sahaja maklumat terkini yang disalurkan. Dia memang 'alah' mendengar perkataan konsert.
Untuk anak muda yang berpasakkan tanah Akademi Fantasia sebagai pemula kerjaya seninya, dia sedang melalui fasa demi fasa sepanjang bergelar penghibur.
Realitinya mungkin benar, kadangkala khalayak terlupa bahawa Aizat adalah produk program realiti.
Kesungguhannya dalam bidang yang dicintainya mengaburi hakikat itu.
Nasihat buat Ana Raffali
Dia antara produk realiti yang kuat bekerja namun tidak gelojoh. Melihat perjalanan yang lancar, khalayak meletakkan dia sebagai komposer generasi muda yang semakin berjaya.
Penulis menyusuri jiwa halusnya seketika. Bertanyakan sesuatu yang mungkin dekat di hatinya.
Lelaki yang lahir pada 21 Januari 1989 ini pernah bergelar juara tahun lepas di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan lagu Pergi nukilan Pete Teo.
Kemenangannya seolah-olah direstui semua. Walaupun ada yang berbunyi, ia tidak kuat berciak seperti tahun ini sebaik sahaja lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Raffali diumumkan sebagai juara.
Kritikan terhadap keputusan juri itu turut bergema di Internet.
Sebagai seorang pemuzik, Aizat sedih melihat insiden itu apatah lagi dia sendiri pernah melalui saat itu.
Live In Damansara
"Saya sedih dengan apa yang terjadi selepas lagu Ana Raffali diumumkan sebagai juara. Kita tidak boleh salahkan Ana.
"Dia hanya mempersembahkan lagu tulisannya. Kalau yang mengkritik itu mahu bersuara, suarakan pada para juri dan kaji sebab lagu itu dipilih.
"Apa yang boleh saya katakan sebagai individu yang pernah melalui pengalaman itu, Ana mesti kuat.
"Memang kita tidak boleh senangkan hati semua pihak.
"Lebih penting lagi, dia perlu lebih dekat dengan keluarganya kerana mereka sebenarnya tulang belakang yang sentiasa menyokong kita," jujurnya bersuara.
Bergelar juara AJL sememangnya mampu meningkatkan lagi tahap populariti dan kepercayaan khalayak kepada seseorang penyanyi dan komposer.
Justeru apa pesan Aizat, juara AJL tahun lalu kepada Ana Raffali?
"Jangan fikir sangatlah. Apa yang perlu dibuat kini adalah maju selangkah lagi.
"Rancang perjalanan seterusnya, itu yang paling penting," ujar si vokalis solo yang popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu ini.
Debaran bukan sedikit yang terkumpul di dada Aizat hingga tanggal 29 Januari depan.
Sebuah konsert sulung yang bakal berlangsung di Bentley Music Auditorium, Wisma Bentley, Damansara bakal menjadi satu lagi pengukur buat Aizat.
Ada alasan mengapa konsert dengan nama Urusan Aizat Amdan - Live In Damansara itu perlu dilaksanakan.
"Dari sudut perniagaan, ia dapat membantu jualan album kedua saya, Urusan Aizat Amdan.
"Dari segi persembahan, saya mahu membuktikan kepada pihak penaja di luar sana bahawa penyanyi kita mampu menarik minat penonton yang mempercayai produk kita sendiri.
"Melalui aspek karier, saya rasa setiap artis perlu mengadakan konsert untuk mempamerkan kemampuan masing-masing," ujarnya yang akan mengadakan konsert tersebut dengan suntikan elemen konseptual dan mempunyai pengaruh grup The Beatles.
Konsert yang bakal berlangsung selama dua jam bermula pukul 8.30 malam itu akan berbalut dengan lagu-lagu Aizat yang pernah dimuatkan dalam album Percubaan Pertama dan Urusan Aizat Amdan.
Mengangkat abangnya Anas selaku pengarah muzik, Aizat yakin benar dengan kemampuan darah dagingnya itu.
Jujur Aizat, dia diselubungi rasa takut. Hakikatnya dia perlu menolak perasaan itu kerana tiket konsert sulungnya itu sudah habis terjual dalam masa yang singkat.
Sudah tentu itu satu petanda baik yang diberikan oleh peminat buat dirinya yang baru mula berkolek dalam sungai hiburan.
"Awalnya saya takut kalau-kalau dewan tersebut tidak penuh. Tapi syukur tiket sudah habis terjual.
"Kini, saya risau dan berasa tercabar, adakah saya mampu menyampaikan setiap lagu dengan baik buat penonton kelak?
"Maklumlah, saya tidak pernah mengadakan konsert. Saya tidak sangka diterima oleh para peminat di kawasan bandar.
"Sebelum ini saya sangka hanya peminat di luar kota yang menyukai saya," katanya.
Jelajah Malaysia
Usai konsertnya kelak, Aizat bakal menjelajah seluruh negara dengan lagu-lagu dan nyanyian jiwanya.
Ini salah satu cara dia menjual produk keluaran Kasi Gegar Entertainment dan merapati peminatnya.
Aizat menyusun satu demi satu langkahnya, bukti dia benar-benar berjiwa anak seni.
Aizat bersuara menyatakan cita-citanya.
Bunyinya seperti satu perancangan jangka panjang tetapi di balik hasrat itu, penulis faham jiwa mudanya sudah berfikir ke arah hidup berpasangan. Lebih serius mungkin.
"Saya perlu tingkatkan pencapaian saya sebagai anak seni.
"Jujurnya, saya mahu menyara isteri dan anak-anak saya dengan hasil titik peluh sebagai penyanyi, penghibur, komposer dan anak seni.
"Itu impian saya untuk keluarga saya kelak," senyum anak muda ini tidak malu-malu.
Enggan penulis bertanyakan lebih lanjut tentang pasangan hatinya kini, penulis tahu jawapannya akan jadi klise - kami berkawan baik.
Senyuman pelakon manis Liyana Jasmay yang tiba-tiba datang memberi minuman buat 'kawan'nya ini sudah penulis fahami.
Ya, mereka memang 'berkawan baik'. Ada bunga di situ buat si kumbang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan