RUMAH tangga pasangan suami isteri, Shukri dan Fida begitu bahagia dalam tempoh 15 tahun lalu. Lebih-lebih lagi mereka telah dikurniakan tiga orang cahaya mata yang comel.
Hidup mereka mungkin tidak mewah tetapi kasih sayang pasangan itu melimpah-ruah. Shukri, 43, bekerja sebagai pegawai berpangkat rendah di sektor kerajaan manakala Fida, 38, ialah seorang suri rumah.
Bagaimanapun, lima bulan lalu hubungan suami isteri ini terganggu.
Rutin harian di rumah pangsapuri mereka yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur hampir berubah seratus peratus. Jika dahulu Fida akan menguruskan anak-anak, kini tiga beradik itu terpaksa berdikari.
Sebelum ini Fida tidak pernah lupa untuk menyambut Shukri di muka pintu apabila si suami pulang daripada kerja, sekarang Shukri hanya menerima makian daripada wanita bertubuh kurus itu.
Berubah
“Dia berubah sejak lima bulan lalu. Semuanya bermula selepas isteri memberitahu saya yang dia mengalami mimpi buruk dan aneh.
“Pada awalnya saya menganggap mimpi itu perkara biasa. Tetapi lama-kelamaan sikapnya berlainan sekali. Dia berubah menjadi pemarah,” terang Shukri.
Fida kerap meracau dan menghamburkan kata-kata kesat kepada Shukri dan anak-anak terutamanya pada awal pagi dan senja.
Fida juga tidak boleh ditegur. Dia akan menengking dan meminta Shukri menceraikannya.
Disebabkan masalah itu, Shukri terpaksa mengambil cuti untuk menguruskan keluarganya. Dia juga tidak dapat melakukan hubungan intim bersama si isteri kerana sering berdepan halangan.
“Setiap kali didekati, isteri saya seperti tidak selesa dan dia berasa mual. Boleh dikatakan sejak dia mengalami mimpi aneh itu saya tidak lagi dapat bersama dengannya hingga sekarang.
“Apabila masuk sahaja waktu Maghrib atau awal pagi, dia akan berubah sikap. Peliknya dia akan berkeadaan biasa pada waktu lain cuma dia kelihatan sugul dan sensitif,” kata Shukri.
Menyedari Fida berubah perilaku daripada seorang isteri yang mentaati suami kepada seseorang yang seakan-akan musuh, Shukri membawa Fida ke sebuah pusat rawatan Islam di Nilai, Negeri Sembilan.
Di sana Fida dirawat dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan diberi minum air zam-zam menyebabkan jin yang menguasai tubuh Fida kepanasan.
Sudahnya, semua rahsia mengenai siapa yang melakukan ilmu hitam yang dikenali sebagai sihir pemisah itu dibongkar oleh jin itu.
Dalam keadaan tidak sedar, jin yang menghuni badan Fida memberitahu nama seorang wanita yang didakwa Shukri merupakan sahabat dan jirannya.
Fida turut menjerit meluahkan apa yang diingininya iaitu agar dia ditinggalkan oleh Shukri.
“Aku benci kau. Ceraikan aku, ceraikan aku,” jerit Fida sambil menuding jari telunjuk tepat ke arah suaminya.
Setelah dibacakan ayat-ayat rukyah oleh pengamal perubatan Islam di situ, Fida menggelupur kesakitan. Pada masa yang sama dia menjerit meminta tolong daripada seseorang yang dipercayai bomoh yang melakukan sihir terhadapnya.
“Tolong aku tok cha. Aku panas. Jaga kau Shukri aku akan ganggu kau sampai mati,” laung Fida dalam loghat Melayu Selatan Thailand sebelum dia rebah dan pengsan.
Tok cha merupakan panggilan untuk bomoh Siam. Dalam kalangan penduduk Kelantan dan Selatan Thailand, tok cha juga merujuk kepada sami Buddha.
Seketika kemudian Fida bangkit. Dia sempat menjeling kepada tiga orang anaknya yang sedang memerhati gelagat ibu mereka dengan perasaan sayu.
“Kau bukan anak aku,” jerit Fida kepada anak sulungnya yang berusia 14 tahun.
Luluh dengan kata-kata itu, ketiga-tiga kanak-kanak itu berundur sambil menangis.
Mereka memahami situasi yang dialami ibu mereka itu, tetapi jauh di sudut hati mereka terkesan dengan kata-kata wanita yang sebelum ini begitu akrab dengan mereka.
Tokong
“Memang berat kesedihan yang terpaksa ditanggung. Tetapi selagi perasaan dengki ada dalam diri, manusia tidak akan senang melihat kebahagiaan orang lain.
“Susah untuk saya mengungkapkan dengan kata-kata apa yang dirasai. Tuhan sahaja yang tahu betapa luluhnya hati saya,” kata Shukri.
Walaupun niat jahat orang yang menghantar sihir pembenci kepada Fida itu hampir berjaya, Shukri pula semakin tekad untuk mempertahankan rumah tangga yang telah lama terbina. Dia sedaya upaya mengusir jin yang menguasai jiwa isterinya itu.
Seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie memberitahu, sihir berbentuk jampi oleh bomoh Siam untuk memisahkan pasangan suami isteri sering terjadi.
“Selalunya, barang-barang peribadi mangsa digunakan untuk dijampi.
“Selepas itu, tok cha akan menghantar jinnya berlegar-legar di rumah mangsa sebelum menabur serbuk besi bak atau ibu besi yang sudah dijampi di sekeliling rumah. Kebiasaannya jampi itu dibuat di dalam tokong.
“Selain menggunakan debu besi, kaedah sihir menerusi menjampi nama, pakaian dan makanan mangsa selain santau angin turut digunakan.
“Jadi berhati-hatilah jika kita menjemur pakaian dalam di luar rumah kerana ia memudahkan musuh kita melakukan sihir seperti itu,” nasihat Shamsuri.
Jelas Shamsuri, antara ciri yang ditunjukkan oleh mereka yang telah terkena sihir pemisah adalah perasaan cinta bertukar benci secara tiba-tiba, menjadi begitu sensitif, sukar mengaku kesalahan diri, melihat pasangan berwajah hodoh dan membenci anak-anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan