Cari Blog Ini

Selasa, 20 Oktober 2009

3 mati ditetak



KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur bunyi ekzos bising, dua sahabat mati manakala seorang lagi cedera parah akibat ditetak sekumpulan Mat Motor yang bengang dengan teguran itu di kawasan flet Desa Puteri, Seri Petaling di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 1 pagi ketika kedua-dua lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakan mereka sedang minum di bawah pokok berhadapan flet berkenaan.

Mangsa, S Chaudry, 32, ditemui mati di persimpangan jalan kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, manakala rakannya, B Gunalan, 23, mati di sebuah bilik milik saudaranya di flet berkenaan dan seorang lagi mangsa yang cedera parah kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Lebih mengerikan apabila Chaudry yang mempunyai kemahiran taekwondo dengan memiliki tali pinggang coklat, ditetak bertalu-talu, ketika cuba menyelamatkan rakannya yang diserang sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas rakan mangsa yang mabuk, menegur seorang daripada suspek yang menaiki motosikal dan membuat bising di kawasan berkenaan.

Kumpulan tiga suspek terbabit yang menaiki tiga motosikal sengaja membuat bising dengan memulas alat pengawal minyak motosikal masing-masing sehingga mengganggu Chaudry bersama rakannya yang ketika itu sedang duduk di bawah pokok berhampiran sambil menikmati hidangan.

Katanya, selepas ditegur dan berlaku pertengkaran sesama mereka, suspek meninggalkan kawasan berkenaan, tetapi muncul kembali tidak lama selepas itu bersama dua rakannya.

“Kumpulan suspek terus meluru dan menyerang ketiga-tiga mangsa dengan menggunakan parang menyebabkan dua daripada mangsa terbunuh dan seorang lagi cedera parah.

“Ada kemungkinan Chaudry dan rakannya cuba melarikan diri selepas ditetak untuk mendapat bantuan, namun kecederaan parah yang dialami menyebabkan kedua-dua mereka gagal diselamatkan,” katanya.

Amir berkata, seorang lagi rakan mangsa yang cedera parah kini dilaporkan kritikal di PPUKM.

“Berikutan kejadian itu, polis yang menjalankan siasatan menemui sebuah motosikal dipercayai milik suspek di kawasan berdekatan dan susulan itu, polis menahan seorang daripada mereka yang berusia 20 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, polis yang melakukan siasatan di lokasi kejadian turut menemui bukti kesan pergaduhan seperti botol minuman keras yang pecah dan tompokan darah mangsa di sekelilingnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan polis.

Sementara itu, adik mendiang Choudry, Visa Letchumy, 31, yang ditemui di Bilik Mayat PPUKM berkata, abangnya ke flet itu bukan saja untuk menghadiri rumah terbuka Deepavali diadakan seorang rakan, malah mahu menjemput rakannya itu ke rumah terbuka keluarga mereka di Jalan Cochrane di sini, yang sepatutnya diadakan semalam.

Menurutnya, dia terkilan dengan kejadian itu berikutan abangnya tidak mungkin sempat menatap wajah anak ketiganya yang bakal lahir beberapa hari lagi.

“Isteri abang saya sedang sarat mengandung dan kami sekeluarga baru saja menyambut Deepavali. Kejadian ini tidak seharusnya berlaku hanya kerana perselisihan faham kecil,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga sangat terkejut apabila menerima berita sedih kematian abangnya itu kira-kira jam 3 pagi.

“Abang saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Malah, isterinya dijangka melahirkan anak ketiga mereka minggu ini. Setahu saya abang tidak suka bergaduh dan gemar membantu orang dalam kesusahan” katanya.

Visa Letchumy berkata, seorang bapa saudara memberitahu abangnya yang tinggal serumah dengan mereka ditetak ketika cuba menghalang suspek menetak rakannya.

12 kali dicekup jual CD cetak rompak



KUALA LUMPUR: Beberapa ulat sindiket menjual cakera padat digital (DVD) cetak rompak tidak menyangka akhirnya terjerat dalam perangkap pegawai penguat kuasa yang bijak menyamar sebagai Mat Motor untuk mengesan kegiatan penjualan bahan haram berkenaan.

Dalam kejadian terbaru semalam, sekumpulan lima pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur sengaja melakukan pemantauan dengan menaiki motosikal di sekitar kawasan Setiawangsa yang dikesan menjadi ‘lubuk’ aktiviti penjualan DVD cetak rompak.

Sumber KPDNKK berkata, pemantauan menaiki motosikal terbabit dilakukan bagi memastikan pergerakan pegawai penguat kuasa tidak diekori tonto yang diupah sindiket berkenaan.

Menurutnya, dalam operasi bermula jam 8 malam itu, pegawai bertugas yang berpakaian biasa sengaja melakukan rondaan di sekitar kawasan medan selera di Taman Melati, Setiawangsa, di sini.

“Ketika rondaan, seorang lelaki berusia 20-an dilihat berdiri dalam keadaan mencurigakan di belakang tiang bangunan berhampiran sambil memerhatikan orang ramai yang lalu lalang.

“Sesekali lelaki berkenaan menegur orang ramai sebelum menunjukkan ratusan DVD cetak rompak yang diisi dalam bakul khas,” katanya.

Menurutnya, selepas yakin lelaki terbabit menjalankan kegiatan menjual DVD cetak rompak, pegawai KPDNKK segera menghampiri suspek sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota penguat kuasa.

“Bagaimanapun, suspek yang terkejut segera mencampakkan bakul sebelum melarikan diri. Tindakan suspek terbabit menyebabkan pegawai terpaksa mengejarnya sejauh lebih 100 meter.

“Lelaki berkenaan akhirnya diberkas sebelum digari. Suspek dibawa ke Balai Polis Setapak sebelum ditahan reman tiga hari bagi siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati semua DVD cetak rompak yang dirampas adalah filem terkini yang baru ditayangkan di pawagam antaranya Gi Joe, G Force, Surrogates, Upin dan Ipin dan pelbagai judul filem barat lain.

“Sebanyak 217 DVD cetak rompak dirampas daripada suspek yang dijual setiap satu pada harga serendah RM10 sekeping.

“Suspek yang disoal siasat didapati lebih 12 kali diberkas pegawai penguat kuasa sebelum ini, namun masih belum serik dan terus melakukan kegiatan sama sehingga kini,” katanya.


Katanya, sebagai manusia biasa, memang berasa trauma dengan kejadian yang menimpa itu. Sekalipun masih trauma, Anita tetap menjalani kehidupan seperti biasa. Anita beruntung kerana suami sentiasa di sisi memberi semangat malah nampaknya Mahathir lebih kuat semangat berbanding dirinya kerana itulah kekuatan lelaki.

“Takkanlah kerana trauma dengan kejadian itu, kami hanya berkurung dalam rumah dan tidak keluar berjumpa orang pula. Tambah pula musim raya ini, banyak undangan menghadiri rumah terbuka. Justeru, saya dan suami tetap tidak melepaskan peluang menghadiri rumah terbuka Aidilfitri NSTP kali ini.

“Ini adalah agenda tetap saya dan suami saban tahun. Acara seperti ini juga boleh mengeratkan silaturahim sesama artis lama dan baru serta bertukar fikiran mengenai perkembangan kerjaya seni masing-masing,” katanya.

Apapun, kata Anita, dia dan suami kini lebih berhati-hati dengan mengelak ke tempat sunyi dan kawasan yang sering terbabit dengan kejadian jenayah. Malah Anita dan suami cuba mengelak keluar rumah pada lewat malam.

“Kami sering berdoa kepada tuhan semoga sentiasa dilindungi daripada kejadian tidak diingini seperti itu pada masa depan. Apapun, saya baru selesai menjayakan program Perang Kuali untuk Astro.

“Keputusan pemenang program ini diumumkan Jumaat lalu. Jika tiada aral, saya akan buat untuk musim kedua nanti.

“Selain itu, selepas tampil dengan single raya Maafkan, saya akan muncul dengan single kedua yang masih dalam perbincangan dengan Astro,” katanya.

Keramahan Anita memang sudah diakui wartawan. Malah pada majlis rumah terbuka Aidilfitri NSTP di Hotel Hilton Kuala Lumpur itu, Anita bangga digandingkan dengan pelakon dan penyanyi Maya Karin.

Kata Anita, kali pertama berjumpa dengan Maya ialah beberapa tahun lalu. Ketika itu, mereka berlakon bersama dalam filem.


“Saya masih ingat, Maya menyambut saya dan suami di lapangan terbang dengan sejambak bunga. Dia juga mengaku sebagai peminat saya. Saya kagum dengan Maya kerana dia kini mencipta nama sebagai pelakon berbakat besar dan menang anugerah.

“Sampai sekarang, kejelitaan Maya tidak berubah. Selepas berkahwin, dia masih cantik seperti dulu dan bakat lakonannya semakin menyerlah di persada perfileman tanah air. Maya juga artis muda generasi baru yang saya minat,” katanya.

Jika Anita kini mempertaruhkan single raya Maafkan, Maya pula berdebar menanti reaksi peminat menerusi filem terbarunya, Pisau Cukur arahan Bernard Chauly yang menjengah pawagam tempatan pada 5 November ini.

Kata Maya, setakat ini, maklum balas yang diterima cukup memberansangkan daripada pihak media pada tayangan malam gala filem itu baru-baru ini. Sebagai pelakon, sudah pasti saya juga berdebar menantikan kutipan filem ini nanti.

“Demi kejayaan filem ini juga, saya dan pelakon lain akan turun padang untuk mempromosikan filem ini kepada peminat. Pada masa sama, Saya bersyukur kerana suami cukup memahami kerjaya seni yang diceburi dan sentiasa menyokong saya,” katanya.

Mengenai pandangannya pada Anita, Maya berkata, dia sangat mengagumi Anita sejak dulu. Kehebatannya ketika beraksi di pentas bukan saja memukau penonton, malah dicemburui generasi muda seperti dirinya.

“Saya kagum dengan tenaga yang dimilikinya hingga mampu beraksi hebat di pentas. Anita juga masih sihat dan aktif dalam bidang seni pada usia sekarang.

“Selain itu, saya juga mengikuti perkembangan kerjaya seni Anita dari dulu sampai sekarang. Antara persembahan hebatnya yang pernah saya saksikan ialah ketika dia beraksi di Royal Albert Hall London yang disiarkan menerusi laman sesawang You Tube tidak lama dulu,” katanya.

Seperti Anita, Maya berkata, dia juga tidak pernah ketinggalan menghadiri acara rumah terbuka NSTP saban tahun. Katanya, sesibuk manapun agenda seni, dia tetap pastikan dapat meluangkan masa sekejap pada acara ini.

“Acara seperti ini juga membolehkan artis yang jarang berjumpa bertanya khabar masing-masing. Ia juga rumah terbuka Aidilfitri ketiga saya hadiri hari ini,” katanya.

Rumah terbuka Aidilfitri NSTP diadakan setiap tahun sebagai meraikan pelanggan korporatnya. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Ariffin Mohammed Isa; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior kamarul Shahid dan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar.

Majlis diserikan dengan kehadiran artis terkenal dan popular tanah air. Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa turut hadir walaupun perlu bergegas untuk memenuhi satu lagi majlis. Begitu juga pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira hadir bersama suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin; biduanita negara, Datuk Sharifah Aini; pelakon dan produser Datin Seri Tiara Jacquelina; Rosyam Nor; Azean Irdawaty dan Aznil Nawawi.

Tidak ketinggalan, produser terkenal, David Teo; Datuk Yusof Haslam; Norman Abdul Halim; penerbit kontroversi ..... Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman; Zaiton Mohd Jiwa dan pereka fesyen terkenal Calvin Thoo.

Tambah meriah dengan kehadiran artis muda, Linda Onn, Mawi, Ekin, Anuar Zain, Farid Kamil, Scha Al Yahya, Marsha Milan Londoh, Ummi Nazeera, Lufya, Lisa Surihani, Fazli Zainal, Iqram Dinzly, Fouziah Gous, Irma Hasmie, Faezah Elai, Awal Ashaari, Diddy AF, Mila, Aizat, Sheila Abdul, Nubhan, Dafi, Riz, Tania Hudson dan Nikki Palikat.

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya