Dalam kejadian terbaru semalam, sekumpulan lima pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur sengaja melakukan pemantauan dengan menaiki motosikal di sekitar kawasan Setiawangsa yang dikesan menjadi ‘lubuk’ aktiviti penjualan DVD cetak rompak.
Sumber KPDNKK berkata, pemantauan menaiki motosikal terbabit dilakukan bagi memastikan pergerakan pegawai penguat kuasa tidak diekori tonto yang diupah sindiket berkenaan.
Menurutnya, dalam operasi bermula jam 8 malam itu, pegawai bertugas yang berpakaian biasa sengaja melakukan rondaan di sekitar kawasan medan selera di Taman Melati, Setiawangsa, di sini.
“Ketika rondaan, seorang lelaki berusia 20-an dilihat berdiri dalam keadaan mencurigakan di belakang tiang bangunan berhampiran sambil memerhatikan orang ramai yang lalu lalang.
“Sesekali lelaki berkenaan menegur orang ramai sebelum menunjukkan ratusan DVD cetak rompak yang diisi dalam bakul khas,” katanya.
Menurutnya, selepas yakin lelaki terbabit menjalankan kegiatan menjual DVD cetak rompak, pegawai KPDNKK segera menghampiri suspek sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota penguat kuasa.
“Bagaimanapun, suspek yang terkejut segera mencampakkan bakul sebelum melarikan diri. Tindakan suspek terbabit menyebabkan pegawai terpaksa mengejarnya sejauh lebih 100 meter.
“Lelaki berkenaan akhirnya diberkas sebelum digari. Suspek dibawa ke Balai Polis Setapak sebelum ditahan reman tiga hari bagi siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati semua DVD cetak rompak yang dirampas adalah filem terkini yang baru ditayangkan di pawagam antaranya Gi Joe, G Force, Surrogates, Upin dan Ipin dan pelbagai judul filem barat lain.
“Sebanyak 217 DVD cetak rompak dirampas daripada suspek yang dijual setiap satu pada harga serendah RM10 sekeping.
“Suspek yang disoal siasat didapati lebih 12 kali diberkas pegawai penguat kuasa sebelum ini, namun masih belum serik dan terus melakukan kegiatan sama sehingga kini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan