Dengan masalah kesihatan yang puncanya masih menjadi misteri, penyakit fibromyalgia akan menyebabkan sakit, tegang dan bengkak pada bahagian otot, tendon dan sendi, sekali gus menjejaskan keupayaan bekerja atau untuk melakukan aktiviti harian.
Sesetengah pakar perubatan berpendapat fibromyalgia kemungkinan disebabkan penghidapnya mempunyai sel saraf terlalu sensitif dan bahan kimia dalam otak (neurotransmitter) keluar daripada keseimbangan atau berkaitan dengan masalah dengan fasa dalam tidur tetapi tiada fakta yang boleh menyokongnya, sekali gus menyebabkan ia menjadi sungguh `unik'.
Berikutan keunikan fibromyalgia itu, sekumpulan pakar dari seluruh Asia Tenggara cuba menjalankan kaji selidik mengenai penyakit berkenaan menerusi program Kaji Selidik Kesedaran, Kebimbangan dan Gaya Fibromyalgia Asia Tenggara (S.E Asia FACTS) yang diketuai Presiden Persatuan Pengajian Kesakitan Kronik Thailand, Prof Bersekutu Pradit Prateepavanich.
|
Kaji selidik itu dibentangkan sendiri oleh Prof Pradit dan Ketua Kawalan Kesakitan Klinik Makati di Pusat Perubatan Makati, Filipina, Dr Henry Lu.
Turut serta pesakit fibromyalgia, Angela Chiarapurk, bagi menceritakan pengalamannya sehingga diagnosis.
Kaji selidik berkenaan membabitkan 506 responden awam dan 941 doktor di lima negara Asia Tenggara iaitu Thailand, Singapura, Filipina, Malaysia dan Indonesia.
Hasilnya menunjukkan bahawa fibromyalgia kurang difahami sama ada oleh responden awam atau doktor sendiri hingga menyebabkan pesakit terpaksa menunggu antara tiga hingga empat bulan untuk diagnosis.
Kaji selidik juga mendedahkan pesakit yang mempunyai pengalaman fibromyalgia akan mengalami konsekuensi kewangan yang serius kerana tidak mampu bekerja hingga menyebabkan hidup mereka semakin tertekan.
“Kaji selidik ini adalah yang pertama dibuat di Asia Tenggara, hasilnya amat penting bagi membolehkan kita menilai tahap dan `berurusan' dengan fibromyalgia di Asia Tenggarai.
"Saya berharap kesedaran penemuan laporan kami membantu memulakan dialog mengenai cara meningkatkan diagnosis dan pengurusan orang dengan fibromialgia di Asia." kata Prof Bersekutu Pradit.
Menurutnya, fibromyalgia disifatkan sebagai sesuatu yang umum tetapi ia kronik, tersebar luas dan sudah mempengaruhi 40 juta orang di seluruh dunia.
Data saintifik menyokong konsep `neuron hiper-sifat dapat dirangsang di bahagian pemprosesan dan emosional dalam otak' dan ini menjelaskan kenapa pesakit fibromyalgia lebih peka terhadap rasa sakit, sakit lebih teruk daripada orang lain, pesakit miskin yang sangat respons terhadap tekanan.
Beliau berkata, fibromyalgia biasanya disertai kurang tidur, simpulan dan kelelahan. Perempuan lebih senang mengalaminya berbanding lelaki dengan nisbah 9:1.
Di samping itu, hampir 60 peratus daripada pesakit Thailand dan sekurang-kurangnya 20 peratus responden di empat negara lain yang menjalani kaji selidik menyatakan kualiti kerja mereka terjejas kerana terpaksa mengambil cuti sakit.
Kira-kira 60 peratus pesakit di Indonesia, Filipina dan Thailand serta 30 peratus lagi di Malaysia dan Singapura mendakwa sukar untuk mendapatkan diagnosis fibromyalgia.
Pesakit terpaksa menunggu antara lima hingga 15 bulan untuk diagnosis selepas mengalami gejala pertama dan terpaksa melalui tambahan sehingga tiga hingga sembilan bulan lagi untuk rawatan.
Bagi Ketua Kawalan Kesakitan Klinik Makati di Pusat Perubatan Makati, Filipina, Dr Henry Lu, berkata masalah ketara bukan hanya untuk mencari punca kepada fibromyalgia tetapi juga didapati sebahagian besar doktor di Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand sendiri tidak begitu mengenali fibromyalgia serta lebih separuh daripada mereka tidak yakin mengenai kaedah rawatan atau menguruskan pesakit mereka.
"Keadaan ini menunjukkan bahawa fibromyalgia adalah topik yang tidak dikenali. Justeru, hasil kaji selidik ini menunjukkan bahawa doktor di seluruh Asia memerlukan lebih banyak pengalaman dan latihan dalam menguruskan pesakit fibromyalgia.
"Sangat penting bahawa komuniti perubatan sekarang mengambil langkah untuk menyediakan doktor dengan pendidikan, latihan dan sokongan yang mereka perlukan untuk membantu menguruskan pesakit," katanya.
Secara umumnya, menurut Dr Henry, kesakitan akibat fibromyalgia selalunya bermula daripada otot dan boleh berlaku pada dua bahagian tubuh sama ada di bawah atau atas paras pinggang yang menjejaskan leher, punggung, bahu, lengan, bahagian atas badan dan dada.
"Fibromyalgia ialah masalah yang biasa berlaku di otot. Tisu yang sakit biasanya tidak disertai dengan masalah radang. Maka, ia tidak merosakkan tubuh atau organ dalaman.
“Kesakitan pula selalunya bertumpu di kawasan lembut yang membolehkan rasa sakit ketara apabila disentuh, terutama pada bahagian siku, bahu, lutut, pinggul, belakang kepala serta bahagian tepi tulang dada.
"Walaupun puncanya tidak diketahui, bagi kebanyakan kes, ia lebih kerap berlaku pada wanita berusia 35 hingga 55 tahun. Ada kalanya berlaku sendiri dan ada kalanya berkaitan dengan penyakit lain," katanya.
Simptom fibromyalgia juga berbeza bagi setiap penghidapnya iaitu hampir 90 peratus pesakitnya akan berasa keletihan yang keterlaluan yang dikaitkan dengan pola tidur yang luar biasa disebabkan tidak mendapat kualiti tidur yang cukup kerana biasanya akan kerap terjaga daripada tidur dan sukar melelapkan mata kerana sakit otot.
Katanya, pesakit fibromyalgia juga biasanya akan mengalami gangguan emosi yang boleh dilihat menerusi masalah seperti kurang tumpuan, mudah lupa, perasaan mudah berubah-ubah, tertekan dan kerisauan.
“Satu lagi simptom yang biasa dialami pesakit ialah masalah migrain dan kebas di beberapa bahagian badan. Malah, ada yang mengalami gangguan pada sistem pencernaan. Disebabkan simptom yang pelbagai itulah, setiap pesakit fibromyalgia dianggap unik,” katanya.
Disebabkan punca fibromyalgia tidak diketahui, tiada satu rawatan khusus untuk membantu melegakan simptom berkenaan. Oleh itu, perbincangan dengan doktor membantu memastikan rawatan terbaik tetapi biasanya akan mengambil pil atau ubat melegakan otot serta senaman terapi yang dikenal pasti juga boleh membantu.
Sementara itu, Angela, 33, yang mengalami fibromyalgia sejak berusia 24 tahun mengakui pengalaman akibat penyakit berkenaan amat memeritkannya sebelum didiagnosis pada tahun lalu oleh Pradit.
Sebelum didiagnosis menderita fibromyalgia, Angela sudah bertemu dengan sembilan profesional kesihatan yang berbeza dalam sembilan tahun, termasuk ahli saraf, dua akupunktur, pakar tulang dan pengamal perubatan Cina dengan harapan mendapatkan memberi rawatan terhadap penyakitnya ketika itu.
“Keadaan tetap tidak berubah dan menyebabkan saya agak kecewa kerana semua itu tidak membantu melegakan sakit dan terus `terseksa' secara fizikal dan mental,” katanya.
Beliau berkata, kerana sakitnya itu menyebabkan dia berhadapan sukar untuk tidur dan keadaan itu menyebabkan dia mengalami gangguan dalam kemampuannya untuk ke tempat kerja.
“Saya turut mengalami perubahan dalam kegiatan sosial serta kesakitan itu juga membuat saya cepat hilang sabar dan lebih mudah tersinggung,” katanya.
Angela kemudian dirujuk kepada Pradit sebelum mengesannya sedang menderita fibromyalgia yang dikenal pasti sebagai penyakit kronik tanpa ubat kekal.
Namun, Angela tidak menyerah dan bertekad untuk mengembalikan hidup normalnya dan atas nasihat Pradit dengan mengubah gaya hidupnya, termasuk dari segi mengguna bantal ketika tidur hingga kepada pemakaian kasut agar mengikut postur yang lebih seimbang dengan fizikalnya serta mengamalkan senaman terapi.
Sejak itu, sakitnya semakin berkurangan dan sudah boleh dapat tidur lebih lena dan lama.
rupanya ini di 'copy paste' dari harian metro... tapi bagus juga. sekurang2nya, apabila harian metro dah jadikan artikelnya sebagai sejarah, masih boleh dibaca di blog ini kan. good job...
BalasPadam