Dalam kejadian jam 8 pagi, polis yang menerima maklumat mengenai perbuatan wanita terbabit menyerbu bilik hotel bertaraf lima bintang yang dihuninya bersama seorang lelaki, juga warga Iran.
Hasil pemeriksaan polis menemui dua beg yang mengandung syabu seberat kira-kira empat kilogram yang dianggarkan bernilai RM1 juta.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Abd Razak Md Zin, berkata kejayaan itu hasil maklumat awam sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bukit Aman diketuai Cif Inspektor Azizan Ganti, menyerbu hotel yang disewa suspek.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati wanita berusia 33 tahun baru tiba di negara ini menerusi penerbangan terus Dubai-KLIA, kira-kira jam 6 pagi.
“Hasil siasatan mendapati wanita ini tidak bekerja dan enam kali memasuki negara ini dari awal tahun dan kami sedang menyiasat tujuan dia datang ke negara ini.
“Manakala suspek lelaki yang berusia 43 tahun bekerja sebagai pengurus produk di ibu kota dan tinggal di negara ini sejak lebih tiga tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Turut dirampas wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk RM5,000, AS$2,000 dan sejumlah matawang Iran.
Abd Razak berkata, wanita dan lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang ikatan dan polis sedang menyiasat sejauh mana pembabitan mereka dalam aktiviti pengedaran dadah di negara ini.
“Siasatan juga dibuat bagaimana suspek berjaya melepasi kawalan ketat di KLIA dan membawa masuk dadah,” katanya, sambil menambah dadah itu untuk pasaran di negara ini.
Kedua-dua suspek itu direman tujuh hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan