Cari Blog Ini

Khamis, 14 Januari 2010

RapidKL mungkiri piagam sendiri - Bas tidak ikut jadual, tidak selesa, mengabaikan aspek keselamatan


SEBUAH bas RapidKL di Kuala Lumpur semalam mengambil penumpang di tengah-tengah jalan yang sibuk dengan kenderaan ketika sebuah motosikal (dalam bulatan) memecut laju sehingga membahayakan nyawa penumpang.



KUALA LUMPUR - Selepas tujuh tahun beroperasi dan diberi kuasa mendominasi sistem pengangkutan awam di ibu kota, rupa-rupanya Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) ternyata masih gagal memenuhi janji-janji kepada pengguna.

Pada awal kehadiran RapidKL, ia ternyata lebih baik daripada sistem bas mini yang satu masa dahulu 'menguasai' jalan-jalan utama di ibu kota.

Namun, harapkan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Perkhidmatan bas terbabit ternyata masih banyak yang tidak kena. Ia tidak seperti piagam RapidKL sendiri yang menjanjikan masa yang menjimatkan, perjalanan selesa tambang yang berpatutan dan keselamatan.



Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, Kempat-empat matlamat RapidKL yang mempunyai 750 buah bas dan beroperasi melalui 159 laluan itu masih jauh daripada sasaran.

Buktinya, masih lagi kedengaran pelbagai rungutan di kalangan 300,000 orang penumpang bas di Lembah Klang setiap hari yang tidak puas hati dengan perkhidmatan RapidKL.

Kosmo! dalam tinjauan di beberapa laluan utama perkhidmatan bas tersebut seperti di Perhentian Bas Klang, Pasar Seni, Jalan Pudu, Jalan Bangsar dan Taman Maluri di sini mendapati pengguna mahu RapidKL serius menyelesaikan masalah.



Antara masalahnya ialah bas RapidKL itu ternyata masih lewat dan tidak menepati jadual, kekerapan bas yang masih kurang di banyak laluan serta keadaan bas yang tidak selesa termasuk tanpa pendingin hawa.

Tidak cukup dengan itu, aspek keselamatan juga masih dipandang sebelah mata. 

Masih kelihatan penumpang dibenarkan masuk ke dalam bas walaupun bas sudah padat macam tin sardin.
Tinjauan juga mendapati bukan semua bas RapidKL beroperasi mengikut jadual.




Ada antara bas milik syarikat itu sengaja menunggu lama di satu-satu hentian sehingga penumpang penuh sebelum bergerak menuju ke destinasinya.

Malah had kelajuan ketika bas berhenti satu-satu stesen juga tidak dipatuhi dan ada di kalangan pemandu bas seperti hendak 'berlumba-lumba' dengan kenderaan lain semata-mata mahu merebut tempat letak kenderaan.

Lebih buruk, apabila terdapat deretan teksi di sesuatu hentian, pemandu bas RapidKL sanggup berhenti di tengah jalan untuk mengambil penumpang tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain.



Meskipun pelbagai langkah penambahbaikan perkhidmatan sepanjang beroperasi dilancarkan termasuk sistem bas ekspres transit (BET) yang diperkenalkan semalam, namun masih ada yang tidak kena dengan perkhidmatan terbaru itu.

Wartawan Kosmo! yang menaiki bas RapidKL menggunakan salah satu laluan bas sistem BET dari Pasar Seni ke Kota Damansara - yang menggunakan laluan lebuh raya - mendapati bas itu masih gagal menepati masa.

Pada mulanya, sebaik sampai di terminal Pasar Seni, pemandu bas berkenaan menjerit: "Bas ekspres baru ke Kota Damansara, satu jam boleh sampai."

Wartawan Kosmo! menaiki bas RapidBET1 yang menuju ke Kota Damansara menerusi Penchala Link pukul 5.40 petang. Namun ia hanya mula bergerak tepat pukul 6 petang.



Pada pukul 6.15 petang, bas berkenaan memasuki Penchala Link dan menjelaskan bayaran tol Penchala Link lima minit kemudian sebelum memecut laju.

Di pertengahan jalan, pemandu bas didapati menurunkan seorang penumpang warga Bangladesh yang dipercayai tinggal di kawasan pembinaan di Mutiara Damansara.

Sejurus berhenti di lampu trafik berhadapan pusat beli-belah The Curve, pemandu tiba-tiba membuka pintu bas dan membenarkan penumpang itu turun di tengah jalan yang sesak dengan kenderaan.



Akhirnya apabila sampai ke destinasi terakhir di kawasan perumahan Flat Seksyen 8, Jalan Pekaka 8/1 di Kota Damansara, jam menunjukkan pukul 7.20 malam.
Ternyata sasaran sejam tidak berjaya dipenuhi oleh RapidKL melalui sistem BET yang baru diperkenalkan semalam.
Janji 60 minit, tetapi wartawan Kosmo! berada dalam bas selama 100 minit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya