Cari Blog Ini

Khamis, 1 Oktober 2009

Gempa bumi melanda sumatera barat



JAKARTA: Lebih 1,000 penduduk dikhuatiri terkorban di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi melanda Sumatera Barat, semalam.

Setakat ini, 75 orang dilaporkan maut dan jumlah korban dijangka meningkat dengan mendadak.

Banyak bangunan besar, termasuk hospital dan hotel, rosak teruk, manakala kediaman ranap dan kebakaran berlaku di kebanyakan tempat di bandar Padang yang didiami hampir sejuta penduduk.

Komunikasi dan bekalan tenaga terus terputus sehingga malam tadi.

Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya, berkata antara bangunan utama yang musnah adalah sebuah hospital penting di Padang.

Mengesahkan jumlah kematian, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, berkata hampir pasti angka korban akan bertambah.

“Kebimbangan utama adalah mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan,” katanya.

Media melaporkan, orang ramai panik dan bergegas meninggalkan kediaman masing-masing apabila menyedari gempa bumi berlaku.

Ketua agensi pemantau tsunami Indonesia, Rahmat Triyono, berkata sejumlah hotel di padang turut musnah tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

“Sehingga kini (malam tadi), kami masih gagal tiba di Padang dan komunikasi juga terputus,” katanya.

Sementara itu, saksi berkata mereka panik apabila gegaran berlaku.

“Gegaran yang saya alami adalah paling menakutkan setakat ini,” kata penduduk Pariaman, Yuliarni.

Katanya, banyak rumah runtuh dan bekalan elektrik terputus.

“Orang ramai bertempiaran lari ke tempat lebih tinggi, malah ada sebahagian yang cedera,” katanya.

Turut terjejas, banyak rumah di sekitar Tasik Maninjau apabila gempa bumi menyebabkan berlakunya tanah runtuh.

Pegawai lapangan terbang Padang turut mengesahkan sebahagian daripada bangunan di situ runtuh, tetapi tiada sesiapa cedera.

Ketua Pusat Bantuan Bencana Geologi dan Gunung Berapi, Surono, berkata akan berlaku gegaran susulan selepas ini tetapi sukar diramalkan skalanya.

“Ada tiga gunung berapi di Sumatera Barat - Merapi, Talang dan Tandikat.

“Kami bimbang gempa bumi ini akan menyebabkan gunung berapi meletus,” katanya. - AFP

Hajat buat rumah terbuka tidak kesampaian







HANGUS...Maziah (kiri) sedih melihat rumahnya rentung
dalam kebakaran, semalam


RAWANG: “Saya sedih tragedi menimpa Syawal ini. Belum sempat mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, rumah kami hangus dijilat api,” kata Maziah Abdul Malik, 31.

Menurutnya, kebakaran berlaku jam 6.30 petang semalam dipercayai berpunca daripada litar pintas di rumah jirannya, memusnahkan lima rumah di Taman Hidayah, Sungai Choh, di sini.

Katanya, anak jirannya, Nuralia Farahanin Mohd Tajuddin, 12, menyedari kebakaran itu sebaik memasuki rumah selepas bermain di halamannya.

“Asap tebal datang dari dapur rumah kami. Saya tergamam melihat api mejulang tinggi membakar bahan kering termasuk perabot dan tilam.

“Saya cuba memadam api, tetapi gagal dan memanggil jiran untuk membantu. Tetapi api terlalu pantas merebak dan kami hanya mampu melihat saja sebelum bomba tiba,” katanya.

Katanya, kebakaran itu berlaku ketika dia baru pulang bekerja dan hanya mampu melihat semua peralatan rumah hangus termasuk juadah Aidilfitri.

Menurutnya, kerugian dialami keluarganya dianggarkan melebihi RM100,000 dan keluarganya kini hanya mengharapkan belas ihsan dan sumbangan pelbagai pihak.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dan berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berdekatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim, turut melawat tempat kejadian dan menghulurkan sumbangan peribadi.

Pembunuhan kejam umpama binatang



KOTA BHARU: “Saya nampak tangan mangsa terkulai dan hampir putus akibat ditetak sebelum penjenayah terbabit terjun melalui belakang rumah.

“Saya cuba mengejar penjenayah itu yang berlari sambil memegang sebilah golok berlumuran darah,” kata saksi pembunuhan kejam seorang wanita warga Thailand yang mati ditetak berulang kali bersama anak perempuannya berusia dua tahun di Kampung Sireh, Bawah Lembah, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, mangsa, Mae Nak Ya, 36, dan anak perempuannya, Norashikin Rosli, 2, ditemui mati dibunuh menggunakan senjata tajam di rumah mereka.

Saksi yang enggan dikenali itu berkata, sebelum kejadian, dia terdengar jeritan dari rumah mangsa sebelum mengetuk pintu kediaman terbabit untuk mengetahui apa yang berlaku.

Menurutnya, dia mulanya terdengar mangsa seolah-olah sedang bertengkar dengan seseorang menyebabkan dia terus bergegas ke rumah berkenaan.

“Kira-kira jam 2 pagi, saya mengetuk pintu rumah berkenaan dan memanggil mangsa enam kali sebelum dijawab seorang lelaki. Saya bertanya apa yang berlaku dalam bilik itu, namun lelaki itu hanya berkata tiada apa-apa.

“Tidak lama kemudian, lelaki terbabit terjun dari belakang rumah dan saya sempat melihat tangan mangsa hampir putus sebelum mengejar penjenayah itu, tapi dia dapat meloloskan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, sejurus selepas itu, seorang rakannya menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira jam 3 pagi.

“Setahu saya, mangsa dan anaknya tinggal berdua, manakala suaminya bekerja di Terengganu. Saya kemudian menghubungi suaminya dikenali sebagai Ali dan dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa, Rosli Abdullah, 50, berkata dia terkilan kerana tidak sempat bertemu isteri dan anaknya walaupun merancang mengambil mereka untuk dibawa ke Terengganu, Ahad ini.

Dia berkata, isterinya ada menghubunginya Jumaat lalu yang memberitahu bersedia ke Terengganu bersama anak mereka.

“Saya tinggal di Terengganu dan bercadang mengambil mereka Ahad ini. Namun, tidak sangka ini yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di sini.

Katanya, jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sabak, Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, Mae Nak mati akibat ditetak menggunakan senjata tajam manakala anaknya, Norashikin cedera parah di kepala sebelum turut meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, polis sedang memburu seorang suspek berusia 31 tahun yang dipercayai tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.

“Ketika kejadian, orang ramai ternampak seorang lelaki terjun dari rumah terbabit. Berikutan itu, kami memburu seorang lelaki, Mazdi Muhammad atau nama samaran, ‘Edi Tua’ bagi membantu siasatan kejadian pembunuhan kejam itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.25 pagi.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai pembunuhan kejam apabila mangsa ditetak berulang kali sehingga menyebabkan kedua-dua pergelangan tangan wanita itu terputus.

“Kami masih menyiasat motif pembunuhan ini dan lelaki diburu itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Mangsa juga dipercayai memang mengenali lelaki terbabit yang tinggal tidak jauh dari rumahnya,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Deputi Superintendan Goh Lee Foo atau menghubungi Bilik Gerakan di 09-7741022.

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya