“Saya cuba mengejar penjenayah itu yang berlari sambil memegang sebilah golok berlumuran darah,” kata saksi pembunuhan kejam seorang wanita warga Thailand yang mati ditetak berulang kali bersama anak perempuannya berusia dua tahun di Kampung Sireh, Bawah Lembah, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, mangsa, Mae Nak Ya, 36, dan anak perempuannya, Norashikin Rosli, 2, ditemui mati dibunuh menggunakan senjata tajam di rumah mereka.
Saksi yang enggan dikenali itu berkata, sebelum kejadian, dia terdengar jeritan dari rumah mangsa sebelum mengetuk pintu kediaman terbabit untuk mengetahui apa yang berlaku.
Menurutnya, dia mulanya terdengar mangsa seolah-olah sedang bertengkar dengan seseorang menyebabkan dia terus bergegas ke rumah berkenaan.
“Kira-kira jam 2 pagi, saya mengetuk pintu rumah berkenaan dan memanggil mangsa enam kali sebelum dijawab seorang lelaki. Saya bertanya apa yang berlaku dalam bilik itu, namun lelaki itu hanya berkata tiada apa-apa.
“Tidak lama kemudian, lelaki terbabit terjun dari belakang rumah dan saya sempat melihat tangan mangsa hampir putus sebelum mengejar penjenayah itu, tapi dia dapat meloloskan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Menurutnya, sejurus selepas itu, seorang rakannya menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira jam 3 pagi.
“Setahu saya, mangsa dan anaknya tinggal berdua, manakala suaminya bekerja di Terengganu. Saya kemudian menghubungi suaminya dikenali sebagai Ali dan dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, suami mangsa, Rosli Abdullah, 50, berkata dia terkilan kerana tidak sempat bertemu isteri dan anaknya walaupun merancang mengambil mereka untuk dibawa ke Terengganu, Ahad ini.
Dia berkata, isterinya ada menghubunginya Jumaat lalu yang memberitahu bersedia ke Terengganu bersama anak mereka.
“Saya tinggal di Terengganu dan bercadang mengambil mereka Ahad ini. Namun, tidak sangka ini yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di sini.
Katanya, jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sabak, Pengkalan Chepa di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, Mae Nak mati akibat ditetak menggunakan senjata tajam manakala anaknya, Norashikin cedera parah di kepala sebelum turut meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, polis sedang memburu seorang suspek berusia 31 tahun yang dipercayai tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.
“Ketika kejadian, orang ramai ternampak seorang lelaki terjun dari rumah terbabit. Berikutan itu, kami memburu seorang lelaki, Mazdi Muhammad atau nama samaran, ‘Edi Tua’ bagi membantu siasatan kejadian pembunuhan kejam itu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.25 pagi.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai pembunuhan kejam apabila mangsa ditetak berulang kali sehingga menyebabkan kedua-dua pergelangan tangan wanita itu terputus.
“Kami masih menyiasat motif pembunuhan ini dan lelaki diburu itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Mangsa juga dipercayai memang mengenali lelaki terbabit yang tinggal tidak jauh dari rumahnya,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Deputi Superintendan Goh Lee Foo atau menghubungi Bilik Gerakan di 09-7741022.
sian...
BalasPadam