Setakat ini, 75 orang dilaporkan maut dan jumlah korban dijangka meningkat dengan mendadak.
Banyak bangunan besar, termasuk hospital dan hotel, rosak teruk, manakala kediaman ranap dan kebakaran berlaku di kebanyakan tempat di bandar Padang yang didiami hampir sejuta penduduk.
Komunikasi dan bekalan tenaga terus terputus sehingga malam tadi.
Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya, berkata antara bangunan utama yang musnah adalah sebuah hospital penting di Padang.
Mengesahkan jumlah kematian, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, berkata hampir pasti angka korban akan bertambah.
“Kebimbangan utama adalah mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan,” katanya.
Media melaporkan, orang ramai panik dan bergegas meninggalkan kediaman masing-masing apabila menyedari gempa bumi berlaku.
Ketua agensi pemantau tsunami Indonesia, Rahmat Triyono, berkata sejumlah hotel di padang turut musnah tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.
“Sehingga kini (malam tadi), kami masih gagal tiba di Padang dan komunikasi juga terputus,” katanya.
Sementara itu, saksi berkata mereka panik apabila gegaran berlaku.
“Gegaran yang saya alami adalah paling menakutkan setakat ini,” kata penduduk Pariaman, Yuliarni.
Katanya, banyak rumah runtuh dan bekalan elektrik terputus.
“Orang ramai bertempiaran lari ke tempat lebih tinggi, malah ada sebahagian yang cedera,” katanya.
Turut terjejas, banyak rumah di sekitar Tasik Maninjau apabila gempa bumi menyebabkan berlakunya tanah runtuh.
Pegawai lapangan terbang Padang turut mengesahkan sebahagian daripada bangunan di situ runtuh, tetapi tiada sesiapa cedera.
Ketua Pusat Bantuan Bencana Geologi dan Gunung Berapi, Surono, berkata akan berlaku gegaran susulan selepas ini tetapi sukar diramalkan skalanya.
“Ada tiga gunung berapi di Sumatera Barat - Merapi, Talang dan Tandikat.
“Kami bimbang gempa bumi ini akan menyebabkan gunung berapi meletus,” katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan