Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Ahad, 27 Februari 2011

Kedamaian Janda Baik di Cherengin



BERBICARA mengenai 'janda baik', pasti ada yang mengangkat kening tersenyum mendengar nama itu. Ia hanyalah nama sebuah kampung yang terletak di selatan Pahang dan bersempadan dengan Selangor.

Pada mereka yang mengenali Janda Baik pasti akan terkenangkan kehijauan dan kedamaian sebaik sahaja memandu masuk ke kawasan perkampungan Melayu itu.

Sekarang, Janda Baik merupakan destinasi pilihan bagi mereka yang ingin melakukan pelbagai aktiviti riadah terutama bina diri.

Bagaikan tumbuh bak cendawan selepas hujan, kita boleh saksikan pelbagai chalet diwujudkan bagi tujuan tersebut.
Namun sedikit menghampakan kerana kebanyakan chalet tidak mempunyai prasarana yang lengkap untuk menjalankan aktiviti riadah.

Prihatin dengan keperluan itu, anak jati Janda Baik, Mohd. Fauzi A. Latif terdorong untuk membangunkan kawasan kampungnya yang semakin hari semakin padat dengan pelbagai kemudahan yang menawarkan pakej-pakej bina diri.
Malah, dia juga memikirkan kawasan hijau di Janda Baik perlu dibangunkan dengan cara yang betul dan terkawal selepas melihat banyak kawasan lereng bukit diteroka sesuka hati oleh pendatang luar yang menanam halia di situ.

Untuk itu, berbekalkan pengalaman yang ada, dia membeli tanah seluas 4.4 hektar di Kampung Cherengin dan membangunkan sebuah resort bertaraf antarabangsa, Cherengin Hills Convention & Spa Resort dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 136 bilik penginapan pelbagai saiz termasuk lapan suite dan dua suite perdana.
Terdapat kolam renang, bilik persidangan, kafetaria dan restoran yang menyajikan makanan barat, timur serta beberapa makanan popular penduduk Janda Baik.

MOHD. FAUZI A. LATIF



Menariknya, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Cherengin Hills Convention & Spa Resort dan bukan hanya terbatas untuk riadah atau bina diri.
Bagi mereka yang gemar berekreasi dan sukan lasak, aktiviti memanjat bukit untuk ke Air Terjun Ulu Tampit tersedia di situ.

Menariknya, kepenatan memanjat bukit hilang sebaik menyaksikan air terjun ciptaan Tuhan yang sememangnya mengkagumkan sesiapa saja.
Mengambil masa kira-kira 45 minit hingga sejam perjalanan melalui trek yang sudah disediakan, pengunjung dihidangkan dengan bunyi-bunyian unggas serta deruman air terjun tingkat empat buat pertama kali.
Perjalanan kemudian diteruskan ke air terjun tingkat lima yang mempunyai kolam dan juga kawasan perkhemahan untuk memudahkan pengunjung berehat.

Bagi yang inginkan pengembaraan lebih bermakna, boleh meneruskan perjalanan ke air terjun tingkat tujuh yang pastinya menyajikan satu pengalaman unik ketika merendamkan badan di dalam kesejukan air mineral asli Ulu Tampit.

Untuk ke sana, pengunjung perlu menggunakan pemandu pelancong yang disediakan oleh Cherengin Hills Convention & Spa Resort.



Berehat
Selepas puas menikmati keindahan Air Terjun Ulu Tampit, pengunjung bolehlah berehat di Cafe Tampit dengan merendamkan badan di kolam renang pula.


Cherengin Hills Convention & Spa Resort lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk membolehkan pengunjung selesa bersantai.




Di sini juga disediakan kafe untuk membasahkan tekak atau menikmati hidangan ringan ketika berehat.
Selain itu, banyak lagi tempat menarik yang boleh dilawati ketika berada di Cherengin Hills Convention & Spa Resort antaranya melawat ladang buah-buahan, kolam ternakan ikan, ladang organik yang mempunyai pelbagai sayur dan tumbuh-tumbuhan tempatan selain piknik di Pulau Santap.

Inginkan lebih cabaran, kakitangan rekreasi Cherengin Hills Convention & Spa Resort juga boleh membawa aktiviti mendaki Gunung Nuang atau ke air terjun Kuala Gua.

Keunikan Cherengin Hills Convention & Spa Resort adalah ia terletak di dalam kawasan hijau yang masih terpelihara keasliannya ketika pembinaan resort berkenaan.

Tak hairanlah jika berada di situ, biar pun waktu tengah hari pengunjung masih boleh menikmati udara segar dan sejuk. Pada waktu malam pula ada kalanya suasana nyaman di situ akan mencatatkan suhu sehingga 22 darjah Celsius.
Menurut Mohd. Fauzi, pembangunan Cherengin Hills Convention & Spa Resort juga bertujuan memastikan hasrat membantu penduduk kampung tercapai.


CHERENGIN Hills Resort menawarkan pelbagai jenis bilik.




"Bukan hanya itu, pada waktu-waktu tertentu kami juga akan menyediakan gerai-gerai makanan di depan restoran untuk membolehkan penduduk kampung berniaga pelbagai juadah istimewa yang boleh dinikmati oleh pengunjung," katanya.
Fauzi menambah, matlamat utama resort itu diwujudkan ialah menjadikannya sebagai sebuah pusat sehenti program bina diri dan percutian lengkap.

"Dengan adanya pelbagai jenis bilik hotel yang kami sediakan termasuk kolam renang, bilik persidangan, kafe dan restoran, mereka yang menginap di sini tidak perlu ke mana-mana dan bukan hanya itu, mereka boleh melakukan apa sahaja di sini, lebih-lebih lagi lokasinya yang hampir dengan Kuala Lumpur," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya