Cari Blog Ini

Rabu, 30 Disember 2009

SEBAHAGIAN daripada 17 pekerja di spa Hotel Armada yang diperiksa polis dan JAIS. 


PETALING JAYA - Malang bagi dua lelaki yang leka diurut oleh dua wanita apabila mereka tiba-tiba diserbu dan ditahan oleh polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah spa di tingkat dua Hotel Armada di sini semalam.

Ketika serbuan pada pukul 5.30 petang, kedua-dua lelaki tersebut berada di dalam dua bilik berasingan dan sedang diurut oleh dua pekerja wanita tempatan.



ATAS: SEBUAH spa di Hotel Armada, Petaling Jaya diserbu polis dan JAIS semalam.
 

 Ketua Operasi Unit Penguatkuasaan JAIS, Mohd. Haffizi Mohd. Roslan berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan bagi kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 29 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda kurang RM3,000 atau penjara kurang daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut beliau, dua tukang urut wanita yang mengurut dua lelaki itu tidak ditahan kerana mereka berketurunan Cina.

Mayat mangsa lemas kedua ditemui



KUALA TERENGGANU - Mayat mangsa kedua yang hilang ketika mandi di Pantai Teluk Lipat, Sura Tengah, Dungun Ahad lalu ditemui selepas lebih 38 jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Mayat Ahmad Amirul Haikal Jaafar (gambar), 9, ditemui terdampar oleh orang awam berhampiran stesen janakuasa Paka, kira-kira 30 kilometer dari tempatnya hilang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Dahlan Mohd. Nor berkata, orang awam yang melalui kawasan itu ternampak satu objek terdampar di tepi pantai tersebut pada pukul 7.15 pagi sebelum ia didapati mayat seorang kanak-kanak.

Terkejut dengar harimau mengaum - Tiga anggota bomba panjat pagar futsal setinggi enam meter


NORAINI menunjukkan pagar futsal setinggi enam meter yang dipanjat oleh tiga anggota bomba selepas terdengar ngauman harimau di Kampung Pelangi, Kuala Perlis kelmarin.


KUALA PERLIS - Tiga anggota Bomba dan Penyelamat memperoleh kekuatan luar biasa apabila berupaya memanjat pagar padang futsal setinggi enam meter dalam beberapa saat selepas terdengar bunyi ngauman dua ekor harimau di Kampung Pelangi di sini kelmarin.

Pada mulanya, anggota itu tidak mempercayai aduan penduduk di situ yang mendakwa terlihat kelibat haiwan itu berkeliaran di kawasan belukar kampung tersebut.

Nat ditinggal dalam perut



KUALA LUMPUR - Seorang wanita kini hidup dalam ketakutan apabila sebiji nat berukuran 0.5 sm tertinggal dalam badannya semasa dia menjalani pembedahan keretakan tulang belakang di sebuah hospital swasta di sini tahun lepas.

Tan Khai Yien, 29, yang juga seorang pereka dalaman mendakwa pembedahan menggunakan teknik implan logam yang disokong dengan nat itu dilakukan selepas dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lepas.

Bagaimanapun, selepas pembedahan itu dilakukan, dia dikejutkan dengan kenyataan doktor terbabit bahawa salah satu nat yang dipasang telah tertanggal dan jatuh dalam bahagian tubuhnya yang dibedah.

Mentua kepung rumah



KOTA BHARU: Suasana tegang menyelubungi perkarangan rumah isteri kedua bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abd Kadir, 35, di Kampung Telipot di sini, semalam, apabila dikepung sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan terbabit yang didakwa enggan mematuhi perintah mahkamah syariah mengarahkan mereka dimufarakah (dipisahkan) sehingga perbicaraan kes mereka selesai.

Tindakan mengepung kediaman Dr Rosli dan isteri, Ilyani Mohd Noor, 30, itu dipercayai dilakukan selepas bapa mentuanya, Mohd Noor Che Man, 58, tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan terbabit yang didakwa gagal mematuhi perintah mufarakah dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Mohd Yusof Awang pada 21 Disember lalu.

Difahamkan, Dr Rosli bersama Ilyani dikatakan pulang ke rumah sewa terbabit kira-kira jam 9 pagi semalam selepas beberapa hari menghilangkan diri tanpa dapat dikesan bapa mentuanya.

Sebaik mendapat tahu kepulangan Ilyani dan Dr Rosli, Mohd Noor meminta bantuan beberapa rakannya mengepung rumah berkenaan, kira-kira jam 3 petang.







Keadaan menjadi tegang apabila satu lagi kumpulan dipercayai penyokong Dr Rosli tiba dan mengawal rumah dua tingkat itu sebelum melarang mana-mana pihak membuat liputan atau merakamkan gambar.



Bagi memastikan keadaan terkawal, beberapa anggota polis mengawal persekitaran rumah itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Kira-kira jam 7.15 malam tadi, Mohd Noor yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih tiba di perkarangan rumah terbabit.

Dia kemudian dilihat berbincang dengan beberapa rakan sebelum meminta mereka tidak menimbulkan sebarang kekecohan, sebaliknya terus menunggu di depan rumah terbabit hingga jam 8 pagi esok (hari ini).

Kira-kira jam 7.30 malam, Mohd Noor dilihat berbual dengan Ilyani dari luar rumah itu dan meminta anak sulungnya itu menunjukkan surat nikah yang mengesahkan mereka sudah berkahwin secara sah.

Bagaimanapun, permintaan Mohd Noor untuk melihat kandungan surat terbabit tidak dipenuhi anak perempuannya itu sebelum seorang lelaki mengarahkan Dr Rosli menutup pintu rumah berkenaan.

Ketika ditemui untuk mengulas perkara itu, Mohd Noor berkata tindakan mengepung rumah anaknya itu akan dilakukan sehingga dia memohon waran tangkap pasangan berkenaan daripada mahkamah syariah, hari ini.

“Kita perlu tunggu sampai esok (hari ini) untuk mendapatkan surat daripada hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu. Kita perlu tunggu (kepung) untuk elak dia (Dr Rosli) lari. Kalau dia lari, tidak ada bukti.

“Surat kebenaran untuk mendapatkan waran tangkap perlu. Sekarang waran tangkap belum dikeluarkan lagi kerana waktu pejabat sudah habis dan penguat kuasa tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah terbabit, malam tadi.

Mohd Noor mendakwa Dr Rosli melanggar perintah mahkamah syariah yang mengarahkannya tinggal berasingan dengan Ilyani sehingga kes tuntutan pembatalan perkahwinan difailkan terhadapnya selesai.

“Dia melanggar arahan sebab mahkamah sudah putuskan pada perbicaraan 21 Disember lalu untuk mereka mufarakah dan nampaknya dia (Dr Rosli) melanggar peraturan yang melarang mereka tinggal bersama hingga kes selesai.

“Sekarang jelas mereka berada bersama. Saya pun tak tahu siapa lagi ada di dalam (rumah). Dia (anak perempuan) sudah lama menyewa rumah ini dan baru balik pagi tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, sebaik melepaskan jawatan pada 22 Disember lalu, anak perempuannya gagal dikesan sebelum menghantar pesanan melalui Internet mengesahkannya selamat dan sedang berehat.

“Bila saya balik ke rumah, dia (anak) tidak boleh dikesan. Tapi, bila saya periksa dia hantar mesej dan kata selamat. Kenyataan itu dikeluarkan dalam sebuah laman sosial yang turut menyatakan dia nak pergi berehat.

“Kalau dia (anak) kata nak pergi rehat, saya banyak rumah rehat dan saya boleh bagi. Saya boleh bagi rumah di Shah Alam, apartmen di sini pun ada dan dia perlu pergi sendiri dan mengapa perlu lari,” katanya.

Pada prosiding 21 Disember lalu, Dr Rosli diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu supaya berpisah dan tinggal berasingan dengan Ilyani sehingga kes mereka dibicarakan pada 26 April depan.

Perintah itu dikeluarkan selepas bapa mentuanya menolak hasrat Dr Rosli untuk mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah.

Hakim Mohd Yusof Awang dalam keputusannya memerintahkan pasangan terbabit mematuhi perintah mufarakah yang dikeluarkan sejak 9 November lalu.

Mahkamah juga akan memberi keutamaan terhadap kes berkenaan dengan mempercepatkan perbicaraan bagi mendapatkan jalan penyelesaian kerana menyentuh kepentingan awam dan hukum syarak.

Mohd Noor dalam penyataan tuntutan pembatalan perkahwinan anaknya menamakan Dr Rosli serta Ilyani sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan afidavit yang terkandung dalam pernyataan itu, Mohd Noor selaku bapa kandung dan wali mujbir (wali sah) kepada Ilyani mendakwa pasangan itu berkahwin di Masjid Subang Airport, Selangor, pada 26 Disember 2008.

Dia tidak bersetuju dengan perkahwinan itu disebabkan mengesyaki tidak memenuhi rukun dan syarat perkahwinan kerana mendakwa tatacara perkahwinan serta surat akuan nikah terbabit adalah dokumen tidak sah.

Bantah roboh gerai


PETALING JAYA: “Di sinilah periuk nasi kami sejak empat tahun lalu, jika dirobohkan di mana kami nak berniaga selepas ini?,” rayu Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Penjaja Kecil (JPPK) Jalan Meranti, Bandar Sri Damansara di sini, Shahron Pin.

Ini berikutan, nasib 21 peniaga gerai makan di jalan itu ibarat telur di hujung tanduk berikutan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan notis mengosongkan tapak perniagaan mereka sebelum hujung tahun ini.

Shahron berkata, permohonan mendapatkan permit dan lesen niaga bagi menjalankan aktiviti perniagaan di situ dibuat sejak beberapa tahun lalu.

“Malah, pada Ogos 2007, MBPJ meluluskan pembinaan 30 tapak gerai penjaja di Jalan SD3/1 dan Jalan SD12/1 di sini untuk kemudahan kami tapi dibatalkan tanpa sebab,” katanya.




Sebelum itu, sebahagian peniaga menemui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu berkenaan.


Menurut Dr Hassan, beliau berjanji akan mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua MBPJ dan Ahli Majlis terbabit mengenai isu berkenaan sebelum aktiviti meroboh gerai dilaksanakan.

Shahron berkata, selain surat permohonan permit, surat bantahan meroboh gerai dan permohonan tapak niaga baru turut dihantar kepada MBPJ melalui Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Norzaton Aini Mohd Kassim.

“MBPJ turut memberi alasan gerai yang didirikan ini mengganggu lalu lintas penduduk sekitar padahal tinjauan bertanda tangan lebih 500 penduduk di sini menunjukkan perkara sebaliknya,” katanya.

Ahli JPPK percaya punca gerai mereka bakal dirobohkan adalah berikutan laporan sebuah akhbar tabloid tempatan berbahasa Inggeris yang menyiarkan laporan kononnya tapak perniagaan mereka kotor dan tidak patut didirikan di situ kerana menyusahkan penduduk.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro semalam mendapati, persekitaran dijaga dengan baik tanpa gangguan bau busuk ataupun sampah di dalam longkang.

Peniaga, Mohd Asri Awang, 41, berkata gerai berkenaan menjadi tumpuan komuniti di sekitar untuk mendapatkan masakan Melayu sejak dulu lagi.

“Selain peniaga, keistimewaan tempat ini sebagai tempat tumpuan masyarakat setempat juga akan turut terjejas.

“Kebanyakan peniaga membuat pinjaman perniagaan daripada pelbagai agensi kerajaan yang sah, tapi jika dirobohkan bagaimana kami nak melunaskan pinjaman?” katanya.

Kata Asri, jika aktiviti meroboh tetap diteruskan, mereka mungkin akan bertindak lebih agresif demi mempertahankan hak sumber pendapatan mereka.

Seorang lagi peniaga, Rosnita Radzali, 35, turut bersetuju kerana mereka bergantung hidup pada aktiviti perniagaan untuk menampung kehidupan seharian.

Ahad, 27 Disember 2009

Pemandu bas mengaku terlelap



IPOH - Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 38, menjadi orang yang paling dibenci semalam selepas dia mengaku terlelap ketika memandu bas ekspres dua tingkat Sani Express sehingga mengakibatkan nahas yang mengorbankan nyawa 10 penumpang awal pagi semalam.

Bas tersebut pada waktu itu membawa 48 penumpang dalam perjalanan dari Klang ke Kangar sebelum merempuh besi penghadang jalan di laluan terus Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Jelapang pukul 1 pagi semalam.



Dia memandu bas dengan nombor pendaftaran WSX 5101 itu sejak pukul 9 malam dari Klang dan menyambungnya semula selepas mereka berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R & R) Tapah.
Ketua Polis Trafik Perak, Supritendan Wan Abdullah Ishak memberitahu, siasatan awal mendapati pemandu itu telah mengaku mengantuk dan terlelap semasa kejadian.


Kena 'badi' tol Jelapang - Bas ekspres dua tingkat rempuh penghadang 10 maut






IPOH - Bas ekspres dua tingkat Sani Express yang meninggalkan Terminal Bas dan Teksi Seksyen 17, Shah Alam pukul 9 malam kelmarin sepatutnya menurunkan dengan selamat 48 penumpangnya di destinasi masing-masing pagi semalam sepanjang perjalanan menuju ke Kangar.

Di dalam bas itu, penumpang yang juga pekerja kilang pencetakan di Shah Alam, Noor Jismi Noordin, 25, berdebar-debar pulang ke Kangar untuk majlis pertunangan dengan gadis pilihannya, Rosma Abdullah, 23, petang ini.

Pemandu kontena dari Taman Setia, Klang, Shaharin Mohd. Nor, 61, pula menuju ke Kuala Perlis untuk membawa pulang kenderaan syarikat dan seperti mahu mati bersama, dia berjaya memujuk isteri, Supiah Adam, 46, untuk menemaninya.

Ng Poh Ngoh, 23, dari Taman Desa Seraya, Alor Setar memikul tanggung jawab sebagai anak harapan keluarga ketika menghadiri temuduga kerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur selepas menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.

Dia ditemani adik bongsunya, Ng Kah Kit, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Shin Min, Alor Setar.

Hayat kesemua lima penumpang itu, bersama lima lagi yang lain berakhir di dalam bas tersebut selepas ia terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Jelapang (arah selatan) pukul 1 pagi semalam.

Sabtu, 26 Disember 2009

Penulis novel lumpuh meninggal dunia


KUALA TERENGGANU - Penulis novel yang lumpuh sebelah kaki sejak lima tahun lalu akibat digigit kucing, Arifin Ngah, 70, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal di sini pada pukul 1.15 petang semalam.

Allahyarham yang turut mengalami komplikasi pelbagai penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang sejak insiden tersebut menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Zainab Mohamad, 63 dan tiga anaknya.

Menurut Zainab, dalam insiden pada April 2005 itu, suaminya digigit kucing peliharaan mereka yang dinamakan Putih ketika hendak mengambil wuduk untuk solat subuh di rumahnya.

Berikutan kejadian itu, bekas guru yang merupakan pemenang Anugerah Sastera Darul Iman sebanyak dua kali melalui karya bertajuk Wahyu dan Tangisan Bangsaku mendapat rawatan di Kuantan Medical Centre di Kuantan.

"Bagaimanapun, doktor memberitahu saraf kakinya telah putus," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini semalam.

Menurutnya, selama lima tahun arwah berulang alik ke hospital tetapi baru-baru ini penyakitnya bertambah parah dan terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah selama 26 hari tetapi arwah minta untuk pulang ke rumah pada Ahad lalu.

"Semalam dia masih boleh bercakap dan memberitahu rakan-rakannya yang sudah meninggal dunia datang melawatnya," katanya yang dapat merasakan ajal suaminya makin dekat selepas mendengar kata-kata itu.

Bagaimanapun, menurut Zainab, dia reda dengan pemergian arwah yang sudah lama menderita sakit itu tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk menguruskan lebih 10 buah novel yang sudah disiapkan tetapi belum dihantar kepada penerbit.

Antara karya arwah yang sudah diterbitkan ialah Bila Siulan Berbunyi, Anak Pondok, Panglima Datu, Sewak, Gadis Vokasional dan Taubah.

Sejadah gambar buah mahjong



BATU PAHAT - Seorang lelaki terkejut apabila mendapati sejadah yang digunakan di sebuah surau berhampiran kawasan Parit Besar dekat sini baru-baru ini mempunyai tenunan berupa buah dadu yang digunakan dalam permainan mahjong.

Lelaki terbabit, Shahril Abdullah, 52, berkata, ketika hendak menunaikan solat, dia mengambil sehelai sejadah yang kelihatan agak baru.

"Namun, sebaik nampak sesuatu yang pelik, saya guna sejadah lain untuk solat.
"Sejadah itu kemudian saya bawa balik bagi mengelak orang lain menggunakannya," katanya.

Tetapi, katanya, selepas beberapa hari, dia berasa terpanggil untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak akhbar kerana khuatir terdapat lagi sejadah sama di negara ini.

Jelasnya, sejadah yang mempunyai tenunan berbentuk buah dadu itu dipercayai diimport dari luar negara berdasarkan cebisan notis buatan Turki yang terdapat pada sejadah terbabit.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat memantau penjualan sejadah di pasaran agar sejadah dengan hiasan seperti itu tidak dijual oleh mana-mana pihak.

Lima artis berpesta diserbu polis



KUALA LUMPUR - Lima artis adalah antara 361 pengunjung pusat hiburan eksklusif Rootz Club di pusat beli-belah Lot 10 di Jalan Bukit Bintang di sini yang terkedu apabila premis tersebut diserbu secara tiba-tiba oleh polis semalam.

Serbuan pada pukul 3 pagi itu dilakukan di tingkat lapan ruang bumbung pusat beli-belah Lot 10 yang menempatkan pub yang didakwa popular di kalangan artis dan orang kenamaan.

Daripada mereka yang ditahan, 20 positif ujian air kencing, dua ditahan kerana memaki hamun polis dan dua lagi ditangkap kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Siapakah artis itu.???

Bayi koma didera



KUANTAN: Seorang lelaki mendakwa anaknya terjatuh dari dukungannya ketika membawa bayi perempuan berusia tujuh bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini (HTAA), pagi semalam.

Bagaimanapun, doktor yang memeriksa bayi malang itu mendapati alasan berkenaan tidak masuk akal dan mengesyaki dia didera kerana anak berkenaan bukan sekadar luka akibat terjatuh, sebaliknya mengalami penderitaan amat sangat akibat pelbagai kecederaan, antaranya pendarahan otak, luka di kelopak mata, lebam di badan serta sawan akibat sering menangis.

Menyedari ada yang tidak kena menyebabkan bayi itu kini terpaksa bertarung nyawa akibat kritikal dan masih koma di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor terbabit membuat laporan polis.

Berikutan itu, ibu bapa bayi terbabit berusia 19 dan 20 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut sebelum kedua-duanya direman seminggu bermula semalam.

Kejadian menimpa bayi itu disyaki berlaku di sebuah rumah di Bukit Setongkol di sini, beberapa minggu lalu, namun penderitaannya hanya diketahui selepas dia dibawa ke hospital kira-kira jam 10 pagi semalam selepas tidak sedarkan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata penderitaan bayi itu terbongkar selepas doktor yang merawatnya mendapati terdapat beberapa kesan lebam di badannya.

“Sebaik dihantar ke hospital kerana tidak sedarkan diri, bayi malang itu didapati mengalami kecederaan luar biasa menyebabkan pihak hospital menjalankan siasatan lanjut.

“Mereka cuba mendapatkan penjelasan daripada bapa mangsa, namun curiga dengan jawapan lelaki itu menyebabkan laporan polis dibuat,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang tinggal serumah bersama ibu bapanya dipercayai sering diabaikan hingga menyebabkan bayi berkenaan sakit dan sering menangis akibat kelaparan.

Zulkifli berkata, pada mulanya, bapa bayi terbabit yang bekerja sebagai pembantu kedai memberi alasan kononnya anaknya terjatuh ketika didukung hingga mengakibatkan cedera di badan sedangkan doktor mengesyaki kecederaan itu bukan akibat terjatuh.

Menurutnya, sebaik menerima laporan, anggota polis menyerbu sebuah rumah dan menahan pasangan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan hingga kini, mangsa masih terlantar di ICU HTAA,” katanya.

Khamis, 24 Disember 2009

Gajet hiburan masa kini

 
Rekaan terkini Nokia X6 dicipta untuk pengalaman hiburan yang lebih berkualiti. X6 dilancarkan dengan sistem operasi Symbian yang membenarkan pengguna mengaplikasi muat turun daripada Nokia Ovi, sekali gus memaparkan menu kegemaran sahaja pada skrin utama.


NOKIA X6 berukuran 8.13 sentimeter dengan paparan skrin sentuh muncul di pasaran hari ini. Bahagian belakang dan keseluruhan tepinya diliputi dengan material plastik yang lebih baik berbanding dengan logam.

Jika dilihat dari aspek luarannya, ia seakan-akan model Nokia N95 yang berbentuk nipis dan mempunyai resolusi skrin 640 x 360 piksel.

Skrin yang besar itu amat sesuai untuk menonton filem atau melayari Internet. X6 juga menyokong skrin putaran automatik dengan menggunakan teknologi accelerometer. Di samping itu, isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak akan hilang sekiranya tiba-tiba anda menerima panggilan telefon ketika sedang menaip SMS.

Teknologi kapasitif memberi kelebihan kepada Nokia X6 kerana skrin sesentuh itu akan memberi tindak balas, meskipun anda menggunakan jari untuk melayari setiap menu.

Dengan keupayaan yang cukup membanggakan, ia sesuai untuk mereka yang gemar melayari laman sosial Facebook dan Twitter pada setiap masa. Nokia X6 merupakan gajet terbaik untuk tujuan tersebut.

Sistem yang menggunakan pilihan butang operasi besar dan jelas memberikan keselesaan kepada anda untuk menggunakannya.

Dari segi fungsi mainan lagu yang pastinya menjadi keutamaan bagi pengguna, ia memang tidak menghampakan. Ini kerana Nokia X6 mampu menarik minat anda apabila keupayaan 32GB dalaman sudah pun tersedia.


Ini bermakna dengan kapisiti itu, anda boleh memuat turun seberapa banyak lagu tanpa perlu risau sama ada ruang mencukupi atau tidak.

Kualiti bunyi pula amat menakjubkan meskipun anda mendengarnya menerusi fon telinga kerana ia menggunakan 3.5 milimeter (mm) penuras audio.

Untuk memasukkan lagu ke dalam telefon itu, ia mudah sahaja iaitu dengan menyambungkan wayar pada komputer, maka pilihan lagu akan bergerak laju untuk disimpan terus ke gajet anda.

Selain itu, ia digabungkan dengan kelebihan HSDPA, WiFi, GPS dan kamera yang mempunyai 5.0 megapiksel sekali gus membuatkan pengguna tidak perlu mendapatkan gajet lain untuk merakamkan gambar.

Berdasarkan aplikasi sistem operasi Symbian, ia membenarkan anda mengendalikan sendiri apa yang diinginkan dengan menggunakan Nokia Ovi, misalnya untuk memaparkan panggilan kegemaran di bahagian skrin utama.

Anda juga tidak perlu bersusah payah untuk menekan butang menu bagi mencari nombor telefon individu yang kerap dihubungi.

Menariknya lagi, pengguna boleh mengakses Internet tanpa sempadan secara terus dengan telefon itu.



Antaranya peminat bola sepak boleh mengemaskini keputusan perlawanan, jadual penerbangan dan laporan cuaca dalam beberapa minit sahaja.
Kesimpulannya, Nokia X6 mendekatkan lagi hubungan anda bukan hanya dengan saudara atau rakan-rakan, sebaliknya teknologi kemudahan Internet hanya di hujung jari anda sahaja.
Penggunaan bateri pula dijamin tahan sepanjang hari walaupun anda sentiasa menggunakan WiFi atau e-mel. Bagaimanapun di sebalik kelebihan, pengguna juga terpaksa berhadapan dengan masalah butang fungsi setiap operasi kerana ia agak bercelaru. - AQMAR ALLADAD

Komputer Citigroup diceroboh



NEW YORK - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat kini menjalankan siasatan terhadap kegiatan penggodam terhadap kumpulan perbankan terkemuka, Citigroup Inc yang mengakibatkan kehilangan wang berjumlah puluhan juta dolar Amerika dari akaun para pelanggan, lapor The Wall Street Journal kelmarin.

Institusi kewangan itu bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya sistem komputer mereka telah diceroboh.
"Tidak ada pencerobohan dan tidak ada apa-apa kerugian yang ditanggung,'' jelas Citigroup dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, memang pada waktu tertentu berlaku kes-kes seperti pecah amanah atau masalah ketirisan membabitkan sistem pihak ketiga tetapi mereka sentiasa mengambil tindakan segera untuk menjaga kepentingan pelanggan dan Citigroup.

Bagaimanapun, The Wall Street Journal melaporkan bahawa seorang pelanggan Citibank, institusi perbankan di bawah Citigroup mendapati wang simpanannya sebanyak AS$1 juta (RM3.5 juta) telah lesap dan akhirnya didapati disalurkan kepada bank di Latvia dan Ukraine.

Angkara lori pasir



JITRA: “Saya dengar bunyi dentuman kuat seperti gempa bumi sebelum melihat lori pasir terhuyung-hayang lalu merempuh empat kereta dan mengheret sebuah Proton Wira dan Naza Sutera,” kata Nor Azelin Mansor, 42, yang menyaksikan kejadian kemalangan ngeri menyebabkan tiga beranak maut dan tiga lagi cedera di Jalan Ibrahim-Jalan Kodiang di sini, petang semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama tiga rakan minum di Bazar Mara di sini, sebelum melihat sebuah lori yang menuju pekan ini melanggar pembahagi jalan di hadapan lampu isyarat berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, sebuah lori pasir dari bulatan Hospital Jitra (HJ) yang dipercayai menghadapi masalah brek melanggar pembahagi jalan dan nyaris merempuh sebuah pondok polis di IPD berkenaan.

Difahamkan, pemandu berusia 34 tahun itu hilang kawalan dan panik melihat ramai orang berada di depan IPD Kubang Pasu sebelum nekad mengelak pondok polis dan melanggar persimpangan lampu isyarat di jalan berkenaan.

Nor Azelin berkata, dia dan rakannya hanya sempat menyelamatkan pemandu Naza Sutera yang parah dan tidak berupaya membantu mangsa yang tersepit dalam Proton Wira.

“Sebaik melihat lori berkenaan merempuh kereta terbabit, kami lari menyelamatkan diri kerana bimbang ia menghala ke arah kami yang sedang minum,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenuddin, berkata mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Benyamin Yaakub, 30, isterinya, Normah Md Isa, 29, dan anak perempuan mereka, Nur Balkis, 9 bulan.

“Pemandu Naza Sutera, Othman Bakar, 50, pula parah di kepala, manakala isterinya, Noor Zarina Bakar, 47, tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati lori itu datang dari Jitra ke Bandar Darulaman, manakala kereta Proton Wira terbabit dari Kodiang ke Jitra,” katanya.

Sawaludin berkata, siasatan awal polis mendapati, lori berkenaan yang dipandu laju dipercayai hilang kawalan akibat kerosakan brek menyebabkan ia terbabas ke laluan bertentangan melepasi pembahagi jalan lalu merempuh Proton Wira dan Naza Sutera selain bergesel dengan dua Proton Wira dan Perodua Kancil.

Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan kereta dipandu Benyamin remuk dan terperosok di bawah kepala lori selepas diseret kira-kira 20 meter sebelum merempuh sebuah bazar di situ.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jitra (HJ) untuk dibedah siasat, manakala Othman yang parah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 34 tahun itu luka kecil di kepala dan ditahan untuk membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Lee Ah Heng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.20 petang dan mengambil masa 30 minit bagi mengeluarkan mayat tiga beranak yang tersepit dalam kenderaan yang remuk itu.



>Petanda keletah cucu



JITRA: “Dia seolah-olah tak mahu mengikut ibu bapanya keluar sambil merengek dan memeluk saya,” kata Siti Bedah Husin, 48, nenek kepada Ilnur Balqis Benyamin, 9 bulan, yang maut apabila kereta dinaikinya dirempuh sebuah lori sarat muatan batu di persimpangan lampu isyarat Jalan Jitra-Kodiang di sini, petang semalam.

Turut maut dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu ialah ibu dan bapanya, Normah Mat Isa, 29, dan Benyamin Yaakub, 30.

Siti Bedah berkata, sebelum kejadian anaknya, Normah dan menantu, Benyamin keluar dari rumahnya di Kampung Permatang Bongor, dekat sini, untuk makan bersama sempena ulang tahun perkahwinan kedua mereka.

“Apabila melihat Ilnur Balqis seperti tak mahu mengikut mereka, saya melarang Normah membawanya, namun dia tetap mahu membawa anaknya itu kerana disuruh Benyamin,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Jitra di sini, semalam.

Siti Bedah berkata, anak dan menantunya yang berniaga kain di Cherating, Pahang, juga tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik kecuali cucunya yang seolah-olah tidak mahu berpisah dengannya.

Menurutnya, tiga beranak itu pulang ke sini untuk bercuti sejak tiga hari lalu.

“Saya masih terbayang-bayangkan cucu sulung saya yang keletah itu. Pemergiannya cukup mengejutkan saya, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, adik Normah, Norliza, 28, berkata seminggu sebelum kejadian, dia bermimpi telinga kakaknya berdarah kerana dipotong, namun tidak menceritakannya kepada Normah.

“Saya ada menceritakan mimpi itu kepada ibu dan adik-beradik yang lain, tapi mereka minta saya jangan percaya dan anggap sebagai mainan tidur,” katanya.

Dalam kejadian itu, tiga beranak berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian badan.

Jenazah mereka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Bongor, dekat sini, hari ini.

10 jenis ubat di sisi katil



LOS ANGELES: Sepuluh jenis ubat berbahaya, termasuk ubat penenang dan tahan sakit ditemui dalam botol di sisi katil pelakon, Brittany Murphy selepas kematiannya.

Menurut akhbar laman web selebriti, TMZ, antara ubat yang dibimbangi dimakan oleh aktres berusia 32 tahun itu termasuk ubat untuk rawatan mencegah radang.

Polis yang menyiasat kematiannya Ahad lalu akibat serangan sakit jantung dijangka menyoalsiasat doktor yang memberikan ubat itu kepadanya.

Britanny disahkan mati di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di Los Angeles selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di Hollywood Hills.

Pejabat koroner daerah kini menanti ujian toksik dan tisu sebelum menyatakan secara rasmi punca kematiannya.

Suaminya, penulis skrip lakon layar warga Britain, Simon Monjack yang bercakap kali pertama mengenai kematian isterinya semalam berkata: “Kehidupan saya musnah pada hari kematiannya.”

Senarai ubat-ubatan itu terkandung dalam laporan penyiasat.

Laporan itu antara lain menyebut: “Pemeriksaan yang dilakukan mendapati sejumlah besar ubat-ubatan atas nama si mati.

“Turut ditemui ialah beberapa botol ubat atas nama suami dan ibunya serta nama orang ketiga.”

Ubat yang temui itu termasuk Carbamazepine, ubat sawan, Methylprednisolone, ubat pencegah radang, Propranolol, ubat jantung, Klonopin dan Ativan, dua ubat penenang, Topamax, satu lagi ubat pencegah sawan, Biaxin, ubat antibiotik, Vicoprofen, Fluoxetine dan Hydrocodone iaitu tiga ubat tahan sakit.

Aktres berkenaan berlakon dalam beberapa projek perfileman beberapa bulan sebelum kematiannya.

Dia sepatutnya memulakan penggambaran untuk filem Shrinking Charlotte bulan depan.

Penulis yang juga pengarah filem, Rene Eram menyifatkan Brittany sebagai pelakon yang hebat dan profesional tetapi kelihatan terlalu kurus.

“Saya menyedari berat badannya turun secara mendadak sepanjang enam bulan lalu,” kata Eram.

Adik tiri pelakon 8 Mile dan Clueless itu, Jeff Bertolotti berkata, Hollywood menjadi sebahagian daripada punca kematian Brittany.

“Mereka yang bercita-cita menjadi selebriti datang ke Hollywood dan sama ada mereka berjaya atau tidak, mereka akan tenggelam akhirnya. Itu yang berlaku pada Brittany,” kata Bertolotti. — Agensi

Destinasi paling basah



BUKIT Larut seperti stesen bukit lain pada zaman pramerdeka menjadi tumpuan warga British yang mahu lari dari cuaca panas tropika di Tanah Melayu.

Sesuai dengan status sebagai destinasi percutian tanah tinggi tertua, ia menjadi tumpuan kerana cuaca sejuk pergunungan selain kawasan hujan tahunan tertinggi di Malaysia.

Selepas pertama kali diterokai Residen British, George Maxwell pada 1880, ia menerima kunjungan pelancong yang mahu meneroka suasana percutian damai dikelilingi kehijauan alam semula jadi.

Hidupan liar yang masih mendiami kawasan Larut turut menjadi tumpuan pelancong.

Beberapa bangunan dengan gaya kolonial berdiri kukuh sebagai saksi sejarah pembangunan lombong bijih timah. Berek rumah papan pekerja ladang teh yang pernah dijadikan hospital ketika Perang Dunia Kedua masih ada lagi.

Malah, kediaman Residen British pertama, JWW Birch, The Cottage di puncak Bukit Larut setinggi 1,376 meter (m) dari aras laut, masih wujud.

Bagaimanapun, banglo yang dibina pada 1884 itu tidak dibuka untuk orang ramai kerana terletak di kawasan stesen pemancar syarikat telekomunikasi.

Menyedari keunikan Bukit Larut, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia menganjurkan ekspedisi merentasi denai ke puncak Bukit Larut menggunakan laluan dari Kampung Anak Kurau, mukim Batu Kurau.

Ekspedisi dua hari dengan jarak perjalanan sejauh kira-kira 13 kilometer (km) itu dimulakan pada pada pagi 24 Oktober lalu di titik pelepasan di Sungai Bubu, Kampung Anak Kurau pada ketinggian 100 m dari aras laut.

Namun, sebelum tiba di Sungai Bubu, peserta perlu berjalan sejauh tiga km melalui kawasan kampung, dusun durian, ladang getah serta kawasan padang ragut.

Penyelaras Program, Hanim Ramly, berkata 10 stesen dikenal pasti sebagai 'check point' di sepanjang perjalanan. Seramai 69 peserta bermalam di Stesen 5 dikenali Stesen Bukit Pelita terletak pada ketinggian 986 m dari aras laut.

"Berbanding laluan biasa ke Bukit Larut, peserta yang merentasi denai hutan dapat menyaksikan pelbagai jenis flora dan fauna, berdepan dengan halangan anak sungai jernih dan turut melewati kawasan gua. Kelebihan ini hanya akan dapat dialami apabila menempuh perjalanan dalam hutan.

"Paling menarik, peserta melihat beberapa terowong tanah yang ditebuk oleh pencari bijih timah pada suatu masa dulu. Lubang terowong bersaiz kecil hanya boleh memuatkan seorang lelaki dewasa itu masih kekal sehingga kini dan masih dalam keadaan baik walaupun lama ditinggalkan," katanya.

Menurut penduduk setempat, terowong itu menjadi bukti kepada kegigihan penduduk kampung yang pernah bergantung hidup kepada kerja mencari 'emas hitam' secara tradisional ketika ia menjadi komoditi utama dunia satu ketika dulu.

Lubang kecil itu pernah menjadi kubur kepada pekerja yang terkambus selepas terperangkap sewaktu kerja menggali.

Selepas meredah pelbagai halangan, peserta melalui check point tertinggi di Stesen 7 pada ketinggian 1,267 m dari aras laut sebelum menamat pendakian di banglo The Box, Bukit Larut.

Selepas berehat seketika, semua peserta dibawa turun ke kaki Bukit Larut dengan menaiki Land Rover Pejabat Bukit Larut, Pejabat Daerah Larut Matang.



>Info BUKIT LARUT

> Jika cuaca tidak berkabus, keindahan bandar Taiping hingga ke kawasan pesisiran laut Kuala Sepetang termasuk kawasan Taman Tema Air Bukit Merah boleh dilihat dari atas bukit itu dengan jelas.

> Lebih menarik pada waktu malam kerana limpahan lampu di seluruh Taiping serta kerlipan lampu bot nelayan di laut Selat Melaka mampu menjadi santapan jiwa sebelum melelapkan mata.

> Bukit Larut adalah kawasan yang paling lembap di Malaysia. Hampir setiap hari pada waktu petang, hujan melanda bukit di kawasan ini. Suhu siangnya antara 15 dan 25 darjah selsius dan boleh mencecah 10 darjah selsius pada waktu malam.

> Sebelum jalan tar dibina pada 1948, British menggunakan kuda padi dan kerusi pengusung sebagai pengangkutan untuk ke puncak bukit.



BANGUNAN WARISAN

> Tea Garden dibina pada 1887 dengan kos RM3,600 untuk kegunaan pegawai British. Pada asalnya kawasan ini terdapat ladang teh jenis Assam, kemudian dipindahkan ke Cameron Highlands.

> Rumah Rehat Bukit Larut terletak 1,034 meter di atas paras laut dan 10.1 km dari kaki Bukit Larut dengan keluasan kawasan 1.2 hektar.

> Banglo Beringin asalnya dikenali sebagai Rumah Rehat Watson. Luas kawasannya 1.2 hektar dan berada pada ketinggian 1,036 m atas paras laut dengan jarak 10.2 km dari kaki Bukti Larut.

> Banglo Angkasa dibina pada 1906 dan dikenali sebagai 'The Federal Bungalows.' Banglo ini disewakan khas untuk golongan kenamaan atau VIP saja.

> Banglo Cendana dikenali sebagai The Hut yang dibina pada 1889 dengan kos RM 2,000. Banglo Tempinis asalnya dikenali sebagai Banglo Treacher. Sejarah pembinaan dan tujuannya tidak diketahui.

> Sri Kayangan dikenali sebagai The Box yang juga rumah kediaman rasmi Residen Perak. Kawasan ini mempunyai ketinggian 1,242 m dari paras laut dengan jarak 11.7 km dari kaki Bukit Larut.

> Rumah Rehat Gunung Hijau asalnya dikenali sebagai The Speedy Resthouse dan terletak pada ketinggian 1,113 m dari paras laut.



RUJUKAN PERCUTIAN

Tourism Malaysia

Tel: 03-2615 8188

Talian Pelancongan: 1-300-88-5050

E-mel: enquiries@tourism.gov.my

www.tourism.gov.my

Lapan kedai runcit hangus



BATANG KALI: “Saya sayu lihat api ‘rakus’ membakar kedai runcit pusaka ini depan mata sendiri, namun bersyukur nyawa masih selamat,” kata seorang mangsa kebakaran lapan kedai runcit di pekan Ulu Yam, dekat sini, malam kelmarin.

Leow Bie Yan, 55, berkata kejadian jam 11.30 malam itu berlaku ketika ketiadaan penghuni di kedai runcit yang diperbuat daripada binaan kayu dan papan sepenuhnya itu.

Katanya, dia dan suaminya, Wong Wing Lee, 62, mengambil masa lima minit bergegas ke tempat kejadian dari rumahnya di Batang Kali selepas dihubungi seorang rakan di situ.

“Kebakaran ini memusnahkan lapan kedai runcit milik penduduk kurang setengah jam kerana cuaca kering ketika itu. Kami tidak dapat mengambil apa-apa dalam kedai ini.



“Saya sedih melihat api marak dengan cepat, tetapi belum dapat dipadam anggota bomba kerana menghadapi masalah tekanan air rendah di sini,” katanya ketika ditemui selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim dan Adun Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun, melawat mangsa kebakaran terbabit.


Berikutan kejadian itu, Leow mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM200,000 apabila barangan jualannya tidak dapat diselamatkan.

Katanya, kejadian semalam adalah kali keempat berlaku dalam tempoh 40 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Hulu Selangor, Superintendan Mohd Zainuddin Nasir, berkata bomba menerima aduan mengenai kebakaran itu pada jam 12.20 tengah malam dari Bilik Gerakan Bomba Selangor melalui panggilan dibuat seorang penduduk di talian 999.

“Kami menghantar dua jentera yang tiba pada 12.37 tengah malam dan tiga minit kemudian pasukan bomba sukarela daripada Ulu Yam tiba.

“Bagaimanapun, kami mengalami kesukaran memadam kebakaran berikutan tekanan rendah selain sumber air jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, anggotanya menghadapi masalah apabila bekalan elektrik belum diputuskan yang juga menyumbang kepada kelewatan dan ini perkara yang perlu diambil berat kerana membabitkan keselamatan.

Katanya, punca kejadian dan kerugian sebenar masih dalam siasatan pihak bomba.

Selasa, 22 Disember 2009

29 berpesta dadah ditahan



BENTONG - Seramai 29 rakyat tempatan termasuk tujuh wanita ditahan kerana berpesta dadah di dua blok Pangsapuri Amber Court dekat sini dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supritendan Rosli Abdul Rahman berkata, dalam serbuan pertama pukul 2.45 pagi di tingkat 6, blok A pangsapuri itu, polis menahan sembilan lelaki dan seorang wanita berumur di antara 19 dan 25 tahun.

Tiga daripada mereka yang ditahan adalah pelajar kolej swasta manakala tujuh lagi sudah bekerja termasuk tiga orang penjawat awam.

"Ketika ditahan kesemua mereka dalam keadaan khayal," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, ujian air kencing ke atas mereka mendapati sembilan lelaki terbabit positif ganja manakala wanita yang juga pelajar itu didapati negatif dadah.

Pemeriksaan polis di dalam pangsapuri itu menemui ketulan mampat ganja seberat 61 gram yang dibungkus dengan kertas surat khabar, sebungkus plastik lutsinar mengandungi ketamin seberat 5.6 gram dan sebiji pil ekstasi yang diletakkan di atas meja.

Empat cedera bumbung runtuh




HULU TERENGGANU - Bumbung Terminal Pengangkutan Awam bernilai RM4.2 juta yang dalam pembinaan di Kuala Berang dekat sini runtuh menyebabkan empat pekerja di situ cedera.

Kejadian pada pukul 3 petang semalam berlaku ketika 15 pekerja dengan dua daripada mereka sedang memasang kaca sebagai bumbung penghadang cahaya.




Kerja-kerja memasang kaca di atas bumbung penghadang cahaya di terminal pengangkutan awam itu telah bermula sejak seminggu lalu.

Penyelia projek, Zahir Hariri berkata, dia terdengar bunyi kuat ketika berada di pejabatnya dan terkejut apabila mendapati bumbung sepanjang 27.4 meter itu telah runtuh.



"Ia menyebabkan dua pekerja warga Bangladesh yang berada di atas bumbung dan dua lagi iaitu seorang warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan yang berada di bawah cedera," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Menurut beliau, kesemua yang mengalami cedera ringan di kaki, dahi dan tangan akibat terkena serpihan kaca itu dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan dirawat sebagai pesakit luar.

Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada penyambungan panel yang tidak sempurna pada penghadang cahaya itu.

Kebas, gadai barang kemas ibu



KUALA LUMPUR: Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah ungkapan sesuai bagi seorang anak yang sanggup bertindak biadab dengan mencuri puluhan barang kemas ibunya sebelum ke kedai pajak gadai semata-mata mahu membelanja rakannya makan.

Dalam kejadian jam 8 malam, Rabu minggu lalu, seorang wanita berusia 53 tahun menyedari puluhan barang kemas miliknya bernilai RM6,500 yang diletakkan di atas almari dengan ditutupi barangan lain tiba-tiba lesap di kediamannya di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, di sini.

Kerana pelik dengan apa yang berlaku dan mengesyaki angkara anak lelakinya, tukang sapu itu segera membuat laporan di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Brickfields, Superintendan Azri Abd Rahman, berkata pihaknya kemudian pergi ke rumah mangsa dan hasil siasatan mendapati barang kemas berkenaan sememangnya dicuri anak mangsa yang berusia 19 tahun.

“Suspek yang juga penganggur mengaku perbuatannya dan memberitahu menjual semua aksesori terbabit di sebuah kedai pajak gadai di sekitar Jalan Klang Lama.

“Kami (polis) turut menemui lima resit jualan 20 barang kemas antaranya anting-anting, cincin, gelang dan loket yang baru dijual suspek dengan harga kira-kira RM2,000,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Azri berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati semua barangan itu dibeli seorang wanita berusia 32 tahun di premis berkenaan pada hari sama.

“Berikutan itu, kami terpaksa menahan wanita berkenaan kerana kesalahan memiliki barangan curi, sekali gus membantu siasatan.

“Suspek yang direman sehingga Rabu ini (esok) bertindak seumpama itu untuk kegunaan peribadi dan dipercayai mahu membelanja rakannya,” katanya.

Beliau berkata, pemilik kedai pajak gadai seharusnya meneliti terlebih dulu barangan yang dibeli dan tidak menjual dengan sewenang-wenangnya sehingga menyusahkan orang ramai.

Saya tak peduli



KUALA LUMPUR: “Saya tak kisah orang nak cakap apa pun selepas ini. Itu terpulanglah kepada mereka. Pada masa sama, saya juga tidak tertekan dengan apa yang berlaku.

“Apa yang penting, saya melakukan perkara yang baik di sisi Allah. Siapa pun jodoh saya, itu ketentuan Allah. Saya juga mendapat restu keluarga sebelum memutuskan untuk berkahwin dengannya,” kata pelakon popular, Zizie Izette Abd Samad ketika diminta mengulas mengenai pernikahannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Selepas sekian lama berteka-teki, Zizie akhirnya tampil membuat pengakuan dia memang sudah berkahwin dengan Bung Moktar seperti dihebohkan ketika ini.

Sehubungan itu, Zizie, 31, ketika dihubungi Harian Metro semalam berharap pihak media tidak akan memperbesarkan lagi cerita itu selepas pengakuannya.

“Maaflah, saya tak boleh beritahu lebih lanjut di mana dan bilakah majlis pernikahan kami berlangsung.

“Saya juga tak dapat mengulas lanjut cerita berkaitan majlis pernikahan kami kerana perlu menjaga hati pihak satu lagi (isteri pertama Bung Moktar, Datin Nor Asidah Alimuddin),” katanya.

Zizie berkata, dia yakin keputusannya menamatkan zaman bujang perkara terbaik dilakukan dalam hidupnya.

“Sebelum ini, saya memang tak pernah menyembunyikan apa-apa daripada media mahupun peminat kerana saya tak suka bersikap hipokrit. Cuma kali ini saya terpaksa berdiam diri daripada bercerita perkara sebenar untuk kebaikan semua pihak.

“Saya berharap media dan peminat memahami keadaan dan situasi yang saya hadapi ketika ini. Saya juga ucapkan jutaan terima kasih kepada media yang sentiasa menyokong,” katanya.

Zizie berkata, dia akan tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa.

“Bagi saya, semuanya selesai. Saya masih di lokasi penggambaran drama Suraya sehingga 25 Disember ini. Selepas semuanya reda dan apabila sampai masanya, saya akan fokus kepada kerjaya seni dan syarikat produksi yang ditubuhkan lebih sebulan lalu, 2121 Vision Pictures Sdn Bhd,” katanya.

3 tuntutan Elin kepada Woods



WINDEMERE: Isteri Tiger Woods, Elin Nordegren, dilaporkan bersiap sedia memberikan tiga ‘pukulan maut’ ke atas jaguh golf itu menjelang perceraian mereka, kata sumber semalam.

Katanya, Elin, 29, merancang menuntut perceraian, mendapatkan hak penjagaan tunggal ke atas dua anaknya serta mendapatkan separuh daripada RM2 bilion harta Woods.

Menurut sumber berkenaan, peluang untuk pasangan itu berbaik semula sangat tipis kerana Woods tidak menunaikan janji menjalani proses pemulihan daripada pengambilan ubat Ambien dan Vicodin.

“Woods sepatutnya berusaha keras memulihkan keadaan, tetapi dia tak melakukan apa-apa, sebaliknya menumpang di rumah kawan di Maryland dan berkata, dia cuba menjadi lebih baik dengan usaha sendiri.

“Dia bersikap kebudak-budakan,” katanya.

Melihat keadaan itu, katanya, Elin nekad memfailkan perceraian dan mendapatkan hak penjagaan sepenuhnya ke atas dua anak mereka, Sam, 2, dan Charlie, 10 bulan.

“Elin tidak akan mengubah fikirannya,” katanya.

Sumber itu berkata, keyakinan Elin bertambah selepas berhubung dengan peguam terkenal di California, Sorrell Trope, yang pernah mewakili Britney Spears ketika penyanyi itu berdepan dengan suaminya, Kevin Federline, di mahkamah.

Walaupun kembar Elin, Josefin - juga seorang peguam - berpendapat model Sweden itu mempunyai hujah kukuh memisahkan langsung Sam dan Charlie daripada Woods, ia mungkin tidak berakhir begitu.

Sumber itu berkata, Elin bersedia memberi hak lawatan kepada Woods, 33, tetapi dengan syarat ia di bawah pemantauan ketat.

Katanya, ketika ini Elin tidak mempedulikan langsung sama ada Woods masih berhubung dengan gundiknya.

“Bagi Elin, jika Woods mahu memporak-perandakan hidupnya lagi, dia tidak peduli,” katanya. - Agensi

Bedah di hotel



JOHOR BAHRU: Kemaruk bedah plastik serta tidak mahu menunggu lama untuk mencantikkan wajah dan penampilan diri, ada wanita sanggup menghadapi risiko mendapatkan perkhidmatan ‘doktor ajaib’ dari luar negara yang melakukan pembedahan kosmetik selama tiga jam di bilik hotel di bandar raya ini.

Lebih mengejutkan, tanpa was-was dan prasangka terhadap keselamatan masing-masing, wanita terbabit juga sanggup memperjudikan anggota tubuh yang ingin diubah doktor dikatakan berkebolehan melakukan proses pembedahan hidung, kelopak mata dan menegangkan wajah dalam tempoh singkat.

Pakar bedah tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Roy berkata, doktor dari Hong Kong dan China itu mendakwa kononnya memiliki kepakaran lebih tinggi berikutan berkebolehan melakukan pembedahan di bilik hotel tanpa peralatan lengkap, manakala pesakit tidak perlu melalui prosedur sulit.

Menurutnya, berbekalkan suntikan bius bagi menahan sakit, jarum, benang, pisau, gunting dan beberapa peralatan asas pembedahan, ‘doktor ajaib’ terbabit didakwa mampu mengubah penampilan wanita tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

“Mana-mana wanita boleh membuat temu janji bagi menjalani pembedahan kosmetik dengan doktor yang tinggal di luar negara itu dengan mudah selepas menghubunginya.


“Doktor terbabit sanggup menaburkan pelbagai janji kepada wanita bagi meyakinkan kepakaran mereka selain mengenakan syarat jika berminat perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Roy berkata, antara syarat ditetapkan ialah tidak membongkar rahsia mengenai pembedahan yang bakal dijalankan kepada pihak lain bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Menurutnya, pesakit juga perlu membiayai kos tiket penerbangan doktor dan pembantunya yang dibawa bersama.

“Ada antara pelanggan juga dikenakan syarat membayar bilik hotel yang disewa berkenaan.

“Hakikatnya, kos pembedahan yang terpaksa dibiayai wanita terbabit adalah dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding di pusat perubatan tempatan kerana mencecah belasan ribu ringgit,” katanya.

Roy berkata, wanita yang kebiasaannya mendapatkan perkhidmatan doktor terbabit terdiri daripada ahli perniagaan, suri rumah serta eksekutif yang mempunyai pelbagai masalah berusia 30-an hingga 50-an.

“Perbuatan itu mengundang padah kepada wanita terbabit kerana bukan saja perlu menanggung kos berlipat kali ganda, malah mudah terdedah pada jangkitan kuman hingga memudaratkan kesihatan.

“Ada juga yang tertipu apabila doktor terbabit gagal menawarkan rawatan susulan selepas mengambil wang mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Lipolisis and Mediceutical Clinic, Dr Ungku Mohd Shahrin, berkata seorang pelanggan ‘doktor ajaib’ terbabit pernah datang ke kliniknya dengan hidung berbalut dan terpaksa menanggung penderitaan selepas melakukan pembedahan kosmetik di hidung.

“Ini berikutan ‘doktor’ terbabit gagal memberi rawatan susulan terhadap wanita berusia 30-an itu yang sepatutnya membuka jahitan di hidung selepas tempoh tertentu.

“Wanita itu mengakui menjalani pembedahan di bilik hotel. Bagaimanapun, ‘doktor’ terbabit gagal kembali semula ke negara ini bagi melakukan rawatan susulan hingga mengakibatkan wanita itu kesakitan.

“Kerana simpati, klinik kami terpaksa merawat wanita berkenaan bagi mengelakkan keadaannya bertambah parah,” katanya.

Dr Ungku Mohd Shahrin berkata, mengikut prosedur, setiap pesakit yang ingin menjalankan pembedahan perlu dinilai tahap kesihatan mereka terlebih dulu.

“Sekiranya mereka mempunyai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi, pakar bedah terpaksa melakukan kawalan lebih ketat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub, berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkenaan sepatutnya melaporkan kepada jabatan secepat mungkin.

Katanya, tindakan segera itu membolehkan jabatan mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa sanggup menjalankan pembedahan di bilik hotel.

“Menjadikan bilik hotel sebagai premis menawarkan perkhidmatan perubatan adalah satu kesalahan.

“Hingga kini kami tidak menerima sebarang aduan mengenai kegiatan itu. Mungkin wanita yang terpaksa menanggung derita segan untuk tampil melaporkannya.

“Orang ramai dinasihati mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang berdaftar dan berlesen,” katanya ketika dihubungi.

Jumaat, 18 Disember 2009

Dua ditahan, 21 landak raya dirampas



SHAH ALAM 17 Dis. - Seorang kakitangan dan pesara kerajaan ditahan setelah didapati memiliki dan memelihara 21 ekor landak raya tanpa permit dalam dua serbuan di kawasan Kuang, Rawang, kelmarin.
Serbuan dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, hasil maklumat awam, pada pukul 1 petang.

Timbalan Pengarahnya, Mohammad Khairi Ahmad berkata, siasatan mendapati kesemua haiwan tersebut dipercayai adalah untuk dijual.

Katanya, dalam operasi pertama sebanyak 13 ekor landak dirampas dari rumah pesara kerajaan berusia 50 tahun di Jalan Kuang, Batu 19, Rawang.

"Operasi melibatkan lima kakitangan diketuai oleh Penolong Pegawai Perhilitan, Mohd. Firdaus Hasbullah itu juga menemui seekor anak landak raya yang sudah mati dan sebahagian daging haiwan tersebut.

"Dalam serbuan kedua, kita merampas lapan ekor landak raya dan seekor musang pulut di sebuah rumah kakitangan kerajaan berusia 30 tahun di Kampung Bukit Tempurung, Kuang, pada pukul 8.50 malam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah diambil keterangan untuk didakwa di bawah Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76).

Mohammad Khairi berkata, kedua-duanya boleh dikenakan denda maksimum tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai memiliki dan memelihara haiwan itu tanpa permit bagi tujuan untuk dijual sejak dua tahun lalu.

"Bagi seekor induk landak yang hendak dijadikan baka, bernilai kira-kira RM400 dan dagingnya pula boleh mencecah sehingga RM80 sekilogram.

"Kesemua landak raya itu dipercayai ditangkap di kawasan berhampiran. Kita akan lepaskan haiwan itu di satu kawasan habitat asalnya di Kuala Kubu Baru yang dikawal selia oleh Perhilitan," jelasnya.

Dalam kejayaan lain, beliau berkata, sebanyak enam ekor ular sawa iaitu tiga jenis African Ball Python, dua Burmese Python dan seekor sawa batik spesies tempatan dirampas dari sebuah kedai binatang pemeliharaan di Seksyen 24, di sini, malam tadi.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76) dan Seksyen 83 kerana berniaga haiwan perlindungan tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," ujar beliau.

Sejarah tercipta



VIENTIANE – Malaysia mencatat sejarah menjuarai acara bola sepak Sukan SEA XXV selepas 20 tahun apabila mengalahkan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos di sini, semalam.

Jaringan sendiri pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 ketika cuba menahan serangan Malaysia memberikan anak buah K. Rajagobal kejuaraan pertama selepas kali terakhir melalukannya pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Emas acara bola sepak semalam merupakan pingat emas ke-40 buat kontinjen negara semalam.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2001 di Kuala Lumpur tetapi kalah 1-0 kepada Thailand menerusi gol masa tambahan.

Ini merupakan kali pertama Malaysia mengalahkan Vietnam sejak 2001 pada semua peringkat kejohanan Asia Tenggara termasuk Piala Tiger.

Kemenangan semalam turut menebus kehampaan setelah kalah kepada Vietnam 3-1 pada perlawanan peringkat kumpulan.

Vietnam yang turun selaku pasukan pilihan memulakan asakan sejak awal perlawanan, namun skuad negara kental bertahan daripada dibocori.

Malaysia bangkit memberi saingan dengan asakan kemas dengan kemasukan Zaquan Adha Abdul Razak, yang pulih daripada masalah mata di babak kedua.

Hantaran silang Norshahrul Idlan Talaha ditahan oleh pemain pertahanan Vietnam sehingga masuk ke gawang sendiri, yang memberikan jaringan kemenangan kepada Malaysia pada minit ke-83.

Mengulas kemenangan bersejarah itu, Rajagobal berkata, dia amat gembira kerana berjaya memberikan kemenangan acara bola sepak Sukan SEA selepas 20 tahun menanti.

Katanya, dia bangga dengan semangat dan kesungguhan pemain di sepanjang perlawanan sehingga berjaya menjelmakan kejayaan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kemenangan ini amat besar maknanya bagi saya. Saya amat gembira kerana kami akhirnya berjaya juga memberikan kemenangan yang kita sama-sama nantikan sejak sekian lama.

“Pujian harus perlu diberikan kepada para pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang demi merealisasikan impian kita selama ini.

“Kemenangan ini adalah untuk rakyat Malaysia. Lebih penting emas yang kita menangi ini diharap akan mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Ibu Zizie restu Bung Moktar



KUALA LUMPUR: “Saya akan tetap merestui jika memang sudah ditakdirkan Datuk Bung menjadi pasangan hidupnya,” kata pelakon Khaty Fauziah mengulas desas-desus anaknya, pelakon popular, Zizie Izette Abd Samad sudah dilamar Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Moktar Radin.

“Zizie sudah mula bercinta sejak usia 14 tahun dan dia juga sudah berjumpa dengan ramai lelaki tapi nampaknya dia masih belum bertemu jodoh.

“Justeru, sebagai ibu saya terima jika ditakdirkan tuhan, Zizie berkahwin dengan suami orang atau menjadi isteri kedua kerana siapalah kita untuk menolak ketentuan tuhan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Bagaimanapun, dia menafikan anak gadisnya itu sudah dilamar ahli parlimen berkenaan.

“Sebenarnya tidak ada ura-urapun pihak Datuk Bung ingin melamar Zizie lagi. Saya juga tidak tahu dari mana pihak media mendapat cerita Zizie dilamar. Saya juga malu untuk bertanya kepada Datuk Bung sendiri bagaimana pihak media mendapat cerita berkenaan,” katanya.

Apapun, Khaty mengakui Zizie memang berkawan dengan ahli parlimen berusia 50 tahun itu.

“Saya cuma tahu mereka baru saja berkawan dan Zizie juga belum memberitahu saya jika dia ada perancangan untuk berkahwin dengan Datuk Bung. Sebenarnya bukan Zizie saja yang kenal Datuk Bung, saya juga sudah mengenalinya sejak dulu. Tapi saya tidak tahu pula jika Zizie dan Datuk Bung ada perancangan untuk berkahwin,” katanya.

Kata Khaty, dia juga tidak tahu-menahu bilakah pihak Datuk Bung akan menghantar rombongan meminang Zizie.

“Saya juga tidak boleh menjangka perkara seperti itu kerana ia boleh memalukan saya sekeluarga jika jangkaan saya tidak betul kelak,” katanya.

Sementara itu pembantu peribadi kepada pelakon popular, Zizie Izette Abd Samad, dikenali sebagai Erin ketika dihubungi berkata: “Memang benar Zizie sudah dilamar Datuk Bung (Moktar Radin) baru-baru ini, tapi dia masih belum memberi kata putus berhubung lamaran itu. Buat masa ini maaflah, dia tidak boleh komen lanjut mengenai perkara ini.

“Maklumlah banyak perkara perlu diambil kira sebelum Zizie membuat keputusan untuk menerima lamarannya itu kerana seperti yang kita sedia maklum, status beliau (Bung Moktar) yang sudah berkeluarga,” katanya.

Bagaimanapun, ketika diminta mengesahkan gosip berhubung rancangan Zizie untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinannya dengan Datuk Bung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi, Erin mendakwa tiada sebarang perancangan ke arah itu.

“Zizie memang mengambil cuti selama dua hari daripada penggambaran drama bersiri Suraya iaitu pada 16 dan 17 Disember (semalam dan hari ini) atas urusan peribadi semata-mata dan bukan untuk persiapan majlis resepsi berkenaan. Saya juga baru pulang dari Genting Highland, hari ini (semalam) bersamanya dan Zizie terus pulang ke rumahnya selepas itu,” katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Zizie gagal apabila panggilan kepadanya tidak dijawab manakala SMS yang dihantar berulang kali tidak dibalas.

GAMITAN PULAU JEREJAK



DAHULU, sebut sahaja ke Pulau Jerejak, ramai menggelengkan kepala. Jika tidak melawat saudara yang menghidap kusta, tibi atau pesalah jenayah, pasti kaki tidak menjejak ke pulau ini.

Imej sebagai penempatan pesakit tibi dan kusta selain menempatkan penjara untuk penjenayah tegar menyebabkan pulau itu turut digelar, 'Alcatraz Malaysia'.

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, ia mula meniti populariti sebagai destinasi percutian terbaru pulau mutiara itu, selain tarikan bangunan bersejarah di sekitar Georgetown dan kemeriahan di pantai Batu Feringghi.

Mereka yang gemarkan aktiviti mencabar boleh menyertai pelbagai aktiviti ketika menginap di pusat peranginan Jerejak Resort & Spa.

Tetamu berkumpulan terutama dari agensi kerajaan dan syarikat korporat lazimnya memilih lokasi itu untuk mengadakan kem bina semangat berikutan suasana dikelilingi hutan hijau.

Dengan keluasan 362 hektar ini, pulau ini sebahagian besarnya masih dilitupi hutan tebal menjadi medan terbaik untuk menyertai pelbagai aktiviti luar yang menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang.

Tidak perlu pergi jauh, anda hanya perlu berjalan kaki atau berbasikal di sepanjang denai untuk menikmati suasana damai.

Muka buminya yang berbukit juga menjadikannya sesuai untuk aktiviti sukan basikal bukit dengan tiga laluan disediakan iaitu Dipterocarp Trail sepanjang 1.549 kilometer (km), Hill Trail (703 meter), Razak Ridge Trail (1.853km) dan Balqis Bike Trail (2.4km) - masing-masing mempunyai cabaran tersendiri.

Menawarkan halangan semula jadi yang menuntut kepintaran menunggang, trek berkenaan sesuai dijadikan gelanggang latihan bagi mereka yang berminat menceburi sukan lasak berbasikal. Namun, jika baru berjinak-jinak dalam aktiviti ini, pengunjung boleh mendapatkan tunjuk ajar dari pelatih berpengalaman.

Aktiviti paling popular di pusat peranginan ini adalah flying fox dan abseilling menjadi komponen utama dalam kem bina semangat atau boleh dicuba sebagai aktiviti mengisi waktu terluang pada waktu petang.

Jika berminat mempelajari sukan memanah, ia menyediakan lapangan khas untuk menguji kemahiran.

Sebaik senja melabuhkan tirai, tetamu masih boleh menyertai pelbagai aktiviti malam, termasuk merentas denai, atau perkhemahan, jika mahu mencari pengalaman bermalam sambil ditemani bunyi unggas alam.

Ada banyak pilihan penginapan disediakan bergantung kepada kehendak dan bajet setiap golongan pengguna.

Pasangan yang mahu meraikan bulan madu boleh memilih chalet eksekutif untuk suasana lebih eksklusif atau jenis asrama untuk pengembara bajet atau tetamu yang datang secara berkumpulan.

Selain itu, mereka yang mahukan pengalaman berbeza boleh menempah chalet yang bertemakan reka bentuk warisan tradisional termasuk budaya Peranakan, Melayu Kelantan dan Borneo.

Jika kurang berminat dengan aktiviti luar, anda masih menikmati percutian di pulau ini dengan mencuba terapi urutan Bali di spa pusat peranginan ini.

Tidak hanya menempatkan pelbagai khazanah hutan yang tidak ternilai harganya termasuk meranti, mersawa dan keruing, kawasan hutan yang meliputi sebahagian besar pulau juga menjadi kediaman kepada pelbagai spesies tumbuhan herba liar.

Malah, jika kepada pada masanya, anda akan dapat melihat hidupan liar termasuk kera dan helang laut perut putih dan reptilia lain yang turut mendiami pulau itu. Sekiranya sudah puas dengan segala macam aktiviti, pastikan anda meluangkan masa untuk melihat tinggalan penjara dan pusat tahanan, sebelum melangkah pulang.



INFO


  • Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, anda boleh menaiki teksi untuk ke Jeti Sungai Nibong yang memakan masa kira-kira 10 minit. Jika datang dari arah Georgetown, anda boleh menaiki teksi terus ke Jeti Sungai Nibong dengan bayaran antara RM15 hingga RM20. Selain itu, banyak bas RapidPenang turut melalui Jeti Sungai Nibong.


  • Dari jeti berkenaan, anda perlu menaiki bot selama 15 minit untuk ke Pulau Jerejak. Perkhidmatan bot dari Jeti Sungai Nibong ke Pulau Jerejak bermula dari jam 6.30 pagi hingga 10 malam dengan setiap Jumaat dan Sabtu pula sehingga 12.30 tengah malam.


  • Bagi perkhidmatan ke Pulau Pinang bermula jam 7.30 pagi hingga jam 11.30 malam dengan setiap Jumaat dan Sabtu sehingga 1.30 pagi. Hubungi pihak resort untuk pindaan mutakhir mengenai waktu perjalanan dan kadar bayaran.

  • Rabu, 9 Disember 2009

    Isteri pakai buang




    JOHOR BAHRU: “Semalam (kelmarin) genap sebulan dia menjatuhkan talak tiga terhadap saya dengan alasan tak mahu menanggung dosa jika terus memperisterikan saya yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

    “Padahal, dia menjadi punca saya kembali ke kancah maksiat meskipun saya memasang impian menjadi suri rumah selepas berkahwin,” kata seorang wanita yang mendakwa dijadikan umpama ‘isteri pakai buang’ oleh seorang eksekutif dengan hanya bertopengkan gelaran suami.

    Wanita berusia 32 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nana berkata, dia mengenali bekas suaminya di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini pada 2006 sebelum berkahwin di Perlis pada 3 Oktober 2007.

    Menurutnya, dia yakin dengan hasrat bekas suami yang ingin berpoligami kerana bukan saja dilihat selesa dari segi kewangan, malah lelaki terbabit pendidikan dari luar negara.

    “Bagaimanapun, jangkaan itu meleset apabila bekas suami berusia 48 tahun gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami, sebaliknya hanya mahu keseronokan di ranjang selain menikmati hasil pendapatan saya sebagai GRO.

    “Dia mengizinkan saya kembali menjadi GRO kerana kononnya tidak mahu menghalang keinginan saya sedangkan dia menyedari saya terdesak melakukan kerja itu kerana tiada sumber pendapatan.

    “Nasib saya tiada beza dengan pelacur kerana bekas suami tidak pernah mengakui saya sebagai isteri kedua selain membiarkan saya berseorangan menguruskan rumah tangga termasuk membayar duit sewa rumah. Lebih mengecewakan, saya umpama ‘hidangan’ waktu tengah hari hampir setiap hari apabila dia sanggup membohongi kakitangan pejabatnya kononnya ingin berjumpa pelanggan sedangkan waktu itu sebenarnya digunakan untuk memuaskan nafsunya,” katanya yang sudah sembilan tahun menjadi GRO.

    Nana mendakwa pernah mengalami keguguran kerana tertekan dengan perangai bekas suaminya.

    Menurutnya, lelaki terbabit menggunakan hasil titik peluhnya sebagai GRO untuk menampung perbelanjaan termasuk membayar ansuran dua kereta mewah dimilikinya selain menguruskan perbelanjaan keluarga isteri pertama biarpun pendapatan bulanannya sendiri mencecah lima angka.

    “Biarpun tertekan dengan perbuatannya, saya tetap menyayanginya sebagai suami kerana percaya dia akan berubah.

    “Siapa tidak terkilan apabila suami menjatuhkan talak tiga sekali gus pada jam 8.45 pagi 7 November lalu secara spontan di telefon apabila hubungan kami diketahui isteri pertamanya.

    “Dia memang menganiaya saya dengan janji-janji manisnya. Akibatnya saya tertekan dan diserang sakit jantung hingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 8 November,” katanya yang menambah perbuatan lelaki itu menghancurkan segala harapan dan impian dibina mereka.

    Nana berkata, berikutan patah hati dengan perbuatan suaminya, dia kerap mengalami masalah kesihatan sehingga kehilangan berat badan hampir 10 kilogram dalam tempoh sebulan.

    Lebih malang, katanya, doktor yang merawatnya menyatakan dia boleh mengalami masalah kesihatan serius kerana kandungan darah dalam badan berkurangan secara mendadak.

    “Saya nekad menguatkan semangat termasuk membuat laporan mengenai perbuatan suami di Pejabat Agama Johor Bahru.

    “Saya juga ingin menuntut hak sebagai bekas isteri di mahkamah syariah kerana tidak mahu lelaki sepertinya memperdaya gadis lain untuk dijadikan mangsa dengan menggunakan lesen perkahwinan,” katanya.

    Curiga isteri dengan jiran



    SHAH ALAM: Bekas isteri Raja Pop, Jamal Abdillah mendakwa penyanyi itu curiga dan mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan jiran sebelum memukulnya sehingga bengkak pada bahagian kanan kepala dan jari tangan.

    Perkara itu dimaklumkan Pegawai Penyiasat, Cif Inspektor Rokiah Majid, 37, yang juga saksi pertama dalam perbicaraan Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 49, yang menghadapi tuduhan mengugut bekas isterinya, Fatimatu Zahra Samad, 25, dua tahun lalu, di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

    Rokiah berkata, berdasarkan rakaman percakapan, bekas isteri penyanyi itu mendakwa mereka bertengkar sehingga berlaku pergelutan sebelum Jamal menumbuk wanita berkenaan.

    “Suspek (Jamal) mengambil penyapu dan cuba serang pengadu (Fatimatu ), tetapi wanita itu melarikan diri ke dalam bilik.

    “Pada masa sama, bapa pengadu sampai dan menghalang suspek memukul Fatimatu Zahra,” katanya.

    Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim pada hari pertama perbicaraan selepas tujuh kali kes itu tertangguh.

    Mengikut pertuduhan, Jamal yang juga Juara Bintang RTM 1979 didakwa mendatangkan ketakutan jenayah terhadap Fatimatu Zahra dengan menyatakan kata ugutan jenayah melalui SMS.

    Dia didakwa menghantar ugutan berbunyi: ‘Tunggu dan lihat apa akan terjadi’ menggunakan nombor telefon miliknya kepada telefon Fatimatu Zahra di No 2, Jalan Pauh 4/2B, Seksyen 4 di sini, jam 7.44 pagi, 30 April 2007.

    Jamal didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    SITI SYAKIMAH: Ketika merakam percakapan, ada kamu merujuk laporan polis dibuat Fatimah Zahra pada 21 April 2007?

    ROKIAH: Ada.

    SITI SYAKIMAH: Laporan apa?

    ROKIAH: Pengadu dipukul suspek akibat mendakwa wanita itu ada hubungan dengan jiran sebelah. Pengadu mengalami bengkak pada bahagian kanan kepala dan jari. Suspek ada memegang kayu, tetapi pengadu sempat melarikan diri.

    SITI SYAKIMAH: Selepas itu?

    ROKIAH: Saya menyuruh pengadu mendapat rawatan di hospital.

    SITI SYAKIMAH: Kemudian?

    ROKIAH: Saya memaklumkan kes ini kepada pegawai bahagian jenayah untuk membuat siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun yang sama.

    SITI SYAKIMAH: Selepas siasatan dibuka?

    ROKIAH: Pihak kami membuat tangkapan dan menangkapnya di Angkasapuri Kuala Lumpur pada 30 April 2007.

    SITI SYAKIMAH: Berapa ramai membuat tangkapan itu?

    ROKIAH: Saya bersama lima anggota detektif menangkapnya pada jam 11.09 malam serta membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk merakam percakapan.

    SITI SYAKIMAH: Bagaimana reaksinya?

    ROKIAH: Dia ikut saja dan memberi kerjasama kepada pihak polis.

    Rokiah bersetuju laporan polis itu tidak mempunyai perkataan mengugut ketika ditanya peguam Ahmad Fariz Mohamed yang mewakili Jamal.

    Menurutnya, Fatimatu Zahra tidak diiringi anggota polis membuat rawatan berikutan wanita terbabit masih boleh berjalan dan tidak cedera parah.

    Sementara itu, Fatimatu Zahra yang juga saksi kedua perbicaraan itu memberitahu dia tidak mahu meneruskan perbicaraan berkenaan.

    “Saya minta kes ini ditarik balik balik atas alasan menjaga maruah saya, anak dan keluarga. Saya tidak mahu meneruskan kes ini lagi.

    “Sudah dua kali saya membuat rayuan supaya kes ini ditarik balik, tetapi Peguam Negara menolaknya. Bagaimanapun, saya mencuba sekali lagi membuat rayuan,” katanya.

    Justeru, Majistret Norkamilah Aziz menangguhkan perbicaraan itu pada 27 Januari depan untuk mendapat jawapan bagi permohonan Fatimatu Zahra.

    FOLLOW ME

    CHATROOM

    http://www.meebo.com/rooms

    BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

    LINK Blog Saya