Cari Blog Ini

Sabtu, 31 Oktober 2009

Bapa tertua kembar Britain



LONDON: Bekas pengimpal, Richard Roden, 71, mencatat sejarah apabila menjadi bapa pasangan kembar tertua di Britain dengan kelahiran anak terbarunya, Emily dan Ruby, Februari lalu.

Berasal dari Walsall, West Midlands, Roden mempunyai 10 anak hasil dua perkahwinan terdahulu.

Kembar Emily dan Ruby dilahirkan isteri ketiganya, Lisa, 25.

Menurut Roden, walaupun berusia lanjut, dia yakin tiada masalah untuknya membesarkan pasangan kembar itu kerana ‘banyak menjalani latihan dengan anak-anak’ sebelum ini.

Usia lanjut juga, katanya, tidak menghalang dia dan Lisa cuba mendapatkan lebih banyak zuriat.

“Memanglah agak memenatkan menjadi bapa pada usia begini, tetapi saya hanya ada tiga anak lelaki.

“Kami akan cuba mendapatkan lebih ramai anak lelaki dua tahun lagi,” katanya.

Sementara itu, Roden berkata, dia tidak akan menukarkan kembar berusia lapan bulan itu dengan apa saja tawaran, termasuk memenangi loteri.

“Mereka menjadikan hidup saya sempurna,” katanya.

Bagi Lisa pula, kedatangan Emily dan Ruby dalam keluarganya menjadikan dia ‘muda 20 tahun’.

Roden dan Lisa bertemu kali pertama pada 2005 ketika mereka melanjutkan pengajian di sebuah kolej.

Kedua-dua mereka kemudian bercinta setahun kemudian sebelum berkahwin bulan lalu.

Menurut Roden, ketika bersiar-siar bersama anak-anak, orang ramai selalu menyangka dia ditemani cucunya.

“Kini saya lali dan tidak keberatan menjelaskan kepada orang ramai bahawa mereka melihat anak saya, bukan cucu,” katanya. - Agensi

Ibu lapor anak tanam bayi



KELANA JAYA: Tidak tahan menyembunyikan rasa bersalah atas perbuatan anak gadisnya yang menanam bayi baru lahir menyebabkan seorang ibu nekad membuat laporan polis sebelum mayat bayi yang ditanam di kawasan pembuangan sampah itu ditemui.

Difahamkan, gadis berusia 15 tahun berkenaan yang melahirkan bayi tidak cukup bulan minggu lalu bertindak memasukkan bayi terbabit ke dalam bungkusan surat khabar sebelum dibalut pula dengan sarung bantal.

Gadis terbabit kemudian dikatakan menyembunyikan bayi yang sudah mati itu ke dalam plastik sebelum menanamnya di kawasan pembuangan sampah kira-kira 200 meter dari rumahnya di Kampung Cempaka, di sini.

Sumber polis berkata, ibu gadis terbabit yang mungkin berasa berdosa atas perbuatan anaknya itu dikatakan memaksa mangsa mengikutnya ke Balai Polis Kelana Jaya untuk membuat pengakuan terhadap perbuatannya itu.

Menurutnya, hasil laporan diterima itu, pihak polis dibantu lapan anggota forensik bertindak pergi ke lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang semalam bagi melakukan siasatan selain mengeluarkan mayat bayi berkenaan.

Pihak polis terpaksa memanggil ibu gadis terbabit yang berusia 50-an keluar dari rumahnya bagi menunjukkan lokasi tepat mayat bayi berkenaan ditanam di kawasan pembuangan sisa sampah pepejal berhampiran.

Susulan maklumat diperoleh itu, anggota polis forensik memulakan kerja menggali berhampiran kawasan belukar berkenaan sebelum menemui satu bungkusan plastik di dalam lubang sedalam kira-kira 0.2 meter.

Berdasarkan apa ditemui, polis membuka plastik terbabit sebelum menemui kertas surat khabar dan kain sarung bantal digunakan untuk membalut bayi terbabit yang dalam keadaan berdarah.

Bagaimanapun ketika ditemui, mayat bayi terbabit dikatakan mulai reput hingga menyukarkan polis untuk mengenal pasti jantina serta punca kematiannya. Susulan itu, mayat bayi berkenaan yang sudah mereput terpaksa dibungkus dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Ibu gadis terbabit yang ditemui di lokasi kejadian mendakwa anak gadisnya sebelum ini diperkosa seorang lelaki kumpulan samseng sekitar Mac dan April lalu.

Menurutnya, perbuatan itu menyebabkan anaknya mengandung sebelum melahirkan kandungan terbabit dalam keadaan tidak cukup bulan di rumahnya.

“Anak saya kemudian tanam bayi itu di depan rumah. Kalau simpan (mayat bayi) dalam rumah nanti akan berbau busuk,” katanya yang turut menemani polis ketika kerja menggali dilakukan.

Dia yang sudah kematian suami sejak beberapa tahun lalu mendakwa bayi terbabit dipercayai mati ketika dilahirkan tidak cukup bulan.

“Mula-mula saya mahu diam tapi perkara ini adalah salah dan saya tidak mahu subahat. Saya mahu orang jahat (suspek yang merogol anaknya) kena tahan polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan namun enggan mengulas lanjut berikutan polis masih menyiasat motif kejadian berkenaan.

Umpan roti samun OKU




RAWANG: Hanya berumpankan juadah sarapan pagi iaitu roti canai dan air minuman kotak, dua lelaki yang menyamar sebagai dermawan menyamun Rumah Badan Latihan dan Hidup Berdikari di Taman Garing di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 10.30 pagi ketika mangsa yang juga setiausaha rumah itu, Gurdip Kaur @ Dina, 49, didatangi dua suspek yang menyamar sebagai pelawat dan ingin menderma makanan kepada mereka sebelum melarikan wang dan barangan berharga RM20,000.

Menurutnya, dia tidak menyangka suspek sebagai penjenayah kerana mereka bijak mempedayakannya dengan berpura-pura sebagai penderma.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di rumah itu bersama seorang penghuni, Lawrence Joseph, 22, dan pelajar asing dari Universiti Jerman, Sussanne Neiro, 24, yang menjalani latihan bidang sains politik di negara ini.

“Mereka datang dua kali ke sini. Sebelum menyamun, mereka membawa sarapan iaitu roti canai, bungkusan roti dan air minuman kotak untuk didermakan kepada 15 penghuni di rumah ini.

“Kira-kira 10 minit kemudian, suspek datang semula dan kali ini mengugut akan mencederakan kami dengan parang tajam jika enggan menyerahkan wang tunai dan barangan berharga,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, dia mengikut arahan suspek dengan menyerahkan wang RM10,000 hasil jualan kupon konsert amal rumah itu yang disimpan dalam laci pejabatnya.

Katanya, suspek turut merampas barangan kemas miliknya iaitu seutas rantai emas, sepasang subang emas, cincin dan sebuah komputer riba.

“Sebaik mendapat wang dan barangan berharga berkenaan, suspek melarikan diri dengan menaiki Proton Wira merah hati.

“Saya kemudian menghubungi polis. Amat sedih, kami yang cacat anggota ini juga disamun mereka yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Gurdip berkata, kehilangan komputer riba miliknya cukup menyedihkan kerana banyak data dan laporan kegiatan pusat itu disimpan di dalamnya.

Sementara itu, Sussanne berkata, pengalaman ngeri berlaku kali pertama dalam hidupnya ketika berada di negara ini sukar dilupakan.

Katanya, golongan kurang upaya perlu dibantu dan bukannya disamun kerana mereka memerlukan pembelaan yang sepatutnya.

“Saya takut mereka (penjenayah) guna parang ugut mangsa. Kejadian begini memberi pengajaran kepada semua. Saya tidak anggap negara ini bahaya. Ini kerja orang tertentu saja.

“Saya gembira melayani orang cacat di pusat ini sejak melapor diri tiga hari lalu sehingga akhir Disember ini,” katanya.

Jumaat, 30 Oktober 2009

Sungai sejarah









PADA tanggal 24 Ogos 1511, Afonso de Albuquerque dengan armada 17 atau 18 kapal dan lebih 1,000 soldadu menakluk Melaka, sekali gus menandakan permulaan episod baru kepada pelabuhan utama dari kampung nelayan kecil yang diasaskan Parameswara.










 PADA tanggal 24 Ogos 1511, Afonso de Albuquerque dengan armada 17 atau 18 kapal dan lebih 1,000 soldadu menakluk Melaka, sekali gus menandakan permulaan episod baru kepada pelabuhan utama dari kampung nelayan kecil yang diasaskan Parameswara.

Kini, selepas hampir 500 tahun, apa yang tinggal adalah runtuhan kota, monumen agama dan bangunan bersejarah kesan penjajahan kuasa besar Portugis, Belanda dan British.

Tidak perlu menyemak lembaran manuskrip lama, sejarah panjangnya dapat dihayati jika menyusuri Sungai Melaka dengan pakej Malacca River Cruise.

Kampung dinamakan sempena nama Pesuruhjaya Inggeris, Frederick Joseph Morten umpamanya menawarkan pemandangan rumah kampung dengan reka bentuk tradisional Melayu lama.

Asalnya, kampung itu dibuka Allahyarham Othman Mohd Noh pada 1920-an.

Keluasan tangga dan jenis jubin hiasan menjadi lambang kepada status pemilik rumah.

Seperti kata pemandu pelancong, Bernard: "Hanya penduduk yang kaya boleh membeli jubin import dari Itali."

Penghuninya gemar bersantai dengan membuka tingkap untuk menghirup udara dari luar.

Salah satu rumah di sini adalah Villa Sentosa. Muzium milik persendirian itu diwarisi sembilan generasi menghimpunkan pelbagai artifak termasuk gong berusia 200 tahun, almari antik berusia 100 tahun, tembikar dan arca lama, senaskhah al-Quran berusia 80 tahun serta kamus Inggeris-Arab terbitan 1926.

Villa ini juga menyajikan pengunjung dengan himpunan piring hitam era 50-an selain pameran senjata tradisional seperti tekpi yang berusia 100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan Perancis.

Di ruang tengah villa, ditempatkan sebuah pelamin tradisional Melayu yang dihiasi warna kuning.

Menghampiri tengah bandar, pengunjung dapat keindahan Hotel Majestic, hotel butik milik YTL yang pernah menjadi kediaman kepada ahli perniagaan berasal dari Guangzhao yagn dibina pada 1929.

Bangunan hotel yang asal dengan 24 bilik ini pernah menghimpunkan golongan ternama di Melaka.

Bekas pawagam lama Cathay, kata Bernard, menyimpan zaman kegemilangan wayang hitam putih studio Jalan Ampas. "Kelas pertama dikenakan bayaran RM1.77, kedua RM1.40 dan ketiga hanya 65 sen. Berhampirannya ialah Dewan Hang Tuah yang pernah menjadi Dewan Undangan Negeri Melaka," katanya.

Legasi British di Melaka pada 1800 dapat disaksikan pada binaan tangga lingkaran di belakang rumah kedai, manakala sesetengahnya masih memiliki cerobong asap.

Selang seminit kemudian, bot menyusuri rumah kedai berhampiran Jambatan Pasar yang pernah diabadikan dalam filem Hollywood lakonan Catherine Zeta-Jones dan Sean Connery pada 1999 menerusi filem Entrapment.

Tarikan utama pakej ini ialah Kota A'Famosa. Ia dibina Portugis selepas menakluk Melaka 1511.

Kota sepanjang satu kilometer ini memiliki lapan rumah kubu atau bastion, selain empat pintu gerbang untuk keluar masuk penduduk.

Namun, ia mula diruntuhkan pada 1807 selepas British mengambil alih pentadbiran Melaka dan prosesnya dikatakan mengambil masa tiga bulan dengan menggunakan bom. Apa yang tinggal hari ini adalah salah satu pintu utama, dengan runtuhan Gereja St Paul dibina pada 1521 oleh kapten Portugis, Duarte Coelho di puncak bukit.

Sambil mendengar fakta sejarah ratusan tahun Melaka, mata menangkap pemandangan sekumpulan burung merpati sering berlegar di satu dinding belakang rumah kedai. Burung itu mematuk batu merah untuk mendapatkan mineral dan kalsium.

Stadthuys, yang dibina Belanda, menjadi tarikan utama di kawasan yang kini dikenali sebagai Red Square atau Dataran Merah.

Dibina pada 1650, ia adalah bangunan tertua milik Kompeni India Timur Belanda atau VOC dan terletak berdekatan dengan gereja protestan tertua negara, Christ Church yang didirikan pada 1753.

Bastion Middleburgh, kubu di tepi sungai Melaka antara Bangunan Stadhuys atau lebih sinonim disebut Rumah Merah dan Quayside atau replika Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka yang ditemui pada 2006 kini dibina semula menggunakan batu laterit diimport khas dari Thailand untuk tujuan pelancongan.

Kubu menjadi sebahagian dari Kota A''Famosa, dihiasi lapan laras meriam yang beratnya dianggarkan 1,500 kilogram.

Sebelum bot berlabuh di Quayside Heritage Centre, Bernard, anak jati Melaka, mengejutkan kami dengan mengucapkan selamat tinggal dalam lebih 80 bahasa asing.

Ini seakan mengajak kami merentas masa kerana menurut pemandu pelancong berdarah kacukan itu: "Melaka pada zaman kegemilangannya menyaksikan lebih 80 bahasa dipertuturkan di muara sungai ini."


INFO


  • Bot akan melayari jambatan utama di Melaka termasuk Jambatan Tan Boon Seng, Ghostbridge of Malacca, Jambatan Pasar dan Jambatan Hang Tuah. Selain itu, bot akan melalui pokok Melaka, yang menjadi permulaan kepada empayar Melaka.




  • Ada dua jenis pakej utama - rakaman komentar atau terus dari pemandu pelancong. Pakej boleh dimulakan dari Taman Rempah, Pangkalan Rama dan Pusat Warisan Quayside yang mengambil masa kurang sejam.




  • Bot gentian kaca digunakan dinamakan sempena tokoh utama dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Munshi Abdullah dan Tun Perak. Pakej malam meliputi persembahan lagu tradisional dari penyanyi tempatan.




  • Perkhidmatan disediakan antara 9 pagi dan 11.30 malam. Tempahan dibuka untuk kumpulan dan acara khas. Maklumat lanjut hubungi Malacca River Cruise di talian 06-2814322.



  • Lemas depan masjid




    PUTRAJAYA: Adegan ‘pelukan ghairah’ pasangan muda di depan Masjid Putra di sini, semakin menjijikkan sehingga pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan lebih 180 surat hadir untuk soal siasat dalam tempoh sebulan terhadap pasangan kekasih kemaruk seks yang melakukan perbuatan tidak senonoh di lokasi terbabit.

    Lokasi hangat yang hanya kira-kira 200 meter dari masjid berkenaan yang dikenali sebagai ‘dataran romantik’ itu semakin meriah dengan kegiatan berpelukan dan bercium secara terbuka pasangan kekasih terutama selepas solat Maghrib, setiap hari.

    Bukan itu saja, adegan memberahikan sehingga terlupa azan Maghrib dan Isyak dilaungkan itu seolah-olah mengasyikkan pasangan terbabit untuk terus memainkan peranan bagi memuaskan nafsu masing-masing di depan khalayak, termasuk kanak-kanak yang mengunjungi kawasan itu.

    Malah, bagi pasangan kekasih yang sudah ‘khayal’, mereka tidak segan silu beralih angin bagi meneruskan adegan seks sama ada di dalam kereta atau bergerak ke flet yang disewa pasangan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

    Kegiatan tidak bermoral dan menjijikkan itu didedahkan sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kepada Harian Metro, yang mengakui kegiatan itu dilakukan pasangan kekasih berusia antara 19 hingga 28 tahun dan tidak kurang enam surat hadir dikeluarkan pada pasangan terbabit setiap hari.

    Menurutnya, kegiatan pasangan kemaruk seks itu boleh dilihat hampir setiap hari apabila mereka menjadikan kawasan sekitar masjid berkenaan sebagai lokasi untuk melakukan kegiatan tidak senonoh secara terbuka.

    “Pasangan ini datang dengan menaiki kereta mewah seperti Mercedez Benz dan Honda sebelum berpura-pura menjadi pelancong dengan melakukan aktiviti ringan, termasuk mengambil gambar pasangan masing-masing.

    “Mereka akan mencari lokasi ‘panas’ sebelum duduk berdua-duaan dan perlahan-lahan memulakan adegan ringan diikuti berpelukan dan bercium dengan penuh ghairah secara terbuka,” katanya, semalam.

    Sumber itu berkata, kegiatan maksiat secara terbuka di depan masjid itu berlarutan sejak beberapa bulan lalu, malah walaupun dipantau setiap hari, pasangan kemaruk seks tetap menjadikan dataran itu sebagai lokasi pemanas badan.

    Beliau berkata, kebanyakan pasangan terbabit dipercayai bertugas dengan syarikat swasta dan kakitangan kerajaan berhampiran dan memberikan pelbagai alasan apabila didekati penguat kuasa.

    “Kami terpaksa menggertak mereka dengan surat hadir kepada pejabat bagi mendapatkan penjelasan mengenai maksiat yang dilakukan secara terbuka dan memberikan tempoh dua hari untuk hadir di pejabat untuk diambil keterangan.

    “Apa yang pasti, sama ada pasangan berkelakuan tidak senonoh ini ditarbiah atau didakwa di mahkamah syariah bergantung kepada penjelasan yang mereka berikan.

    “Bagaimanapun, bagi pasangan yang ingkar dengan surat hadir itu, pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan waran tangkap,” katanya.

    Selain itu, katanya, ada antara pasangan yang diberikan surat hadir itu seolah-olah tidak mengetahui mereka melakukan maksiat di depan masjid.

    “Apa yang menyedihkan, ada pasangan yang tidak menyedari mereka berkelakuan tidak senonoh berhampiran masjid kerana dipercayai asyik dan khayal dengan pasangan masing-masing.

    “Perbuatan tidak bermoral ini sepatutnya tidak berlaku di kawasan berhampiran masjid yang menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat,” katanya.

    Bukan itu saja, katanya, ada pasangan yang terus melakukan pelukan dan bercium walaupun berhampiran mereka ada kanak-kanak yang mengunjungi tempat itu bersama ibu bapa mereka.

    Sumber itu berkata, beliau hairan mengapa kawasan itu terus menjadi lokasi maksiat pasangan kekasih walaupun pemantauan pihak berkuasa dilakukan hampir setiap hari.

    “Kami percaya, pasangan terbabit beranggapan mereka bebas berpelukan dan bercium berhampiran masjid kerana yakin pihak berkuasa akan terperangkap dengan anggapan lokasi berkenaan lazimnya bebas daripada kegiatan tidak senonoh.

    “Berdasarkan, anggapan itu, pasangan terbabit tidak segan silu melakukan perbuatan tidak senonoh kerana yakin tidak ada pihak berkuasa yang memantau mereka,” katanya.

    Bagaimanapun, sumber berkata, berdasarkan kepada peningkatan pasangan yang melakukan maksiat itu, pemantauan pihak berkuasa dipertingkatkan bagi menahan pasangan terbabit sebelum mereka melakukan perbuatan yang lebih buruk.

    Warga pakistan edar dadah




    NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menahan sepasang suami isteri warga Pakistan dan menemui dadah jenis ketamin seberat kira-kira 1.7 kilogram disembunyikan dalam kotak pameran barang kemas ketika serbuan dilakukan di rumah mereka di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, kelmarin.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Md Hassim Pardi, berkata serbuan berkenaan dilakukan anggota Bahagian Pencegahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama Cawangan Narkotik dari Ibu Pejabat KDRM.

    Beliau berkata, dalam serbuan jam 12.15 tengah hari itu, pasangan suami isteri berusia 30-an itu ditahan selepas menerima bungkusan dikirim dari Mumbai, India melalui perkhidmatan kurier.

    “Bungkusan itu mengandungi lima kotak pameran barang kemas dan hasil pemeriksaan, kami menemui serbuk putih disyaki ketamin disembunyikan dalam bingkai kotak itu untuk mengelirukan pihak berkuasa.

    “Berat kasar ketamin berkenaan dianggarkan 1.7 kilogram dengan nilai pasaran RM35,320 dan pasangan suami isteri itu ditahan reman enam hari untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Kampung Jijan, dekat sini, semalam.

    Dalam kejadian berasingan, Md Hassim berkata, pihaknya menemui 15 kilogram serbuk yang disyaki dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3.75 juta di bahagian bagasi yang tidak dituntut di KLIA, pada 3 September lalu.

    Katanya, ketika imbasan dilakukan pegawai pemeriksaan penumpang, mereka mensyaki imej yang meragukan ke atas satu bagasi yang tidak dituntut itu.

    “Hasil pemeriksaan itu, mereka menemui serbuk disyaki dadah jenis syabu seberat 15 kilogram dianggarkan bernilai RM3.75 juta dan siasatan sedang dijalankan mengesan pemilik bagasi sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

    Rabu, 28 Oktober 2009

    Mewah dan termaju MPV Mercedes









    KENDERAAN pelbagai guna (MPV) memang sesuai dijadikan 'jentera pengembaraan' berikutan faktor keluasan dan keselesaan sepanjang menempuh perjalanan jauh.











    KENDERAAN pelbagai guna (MPV) memang sesuai dijadikan 'jentera pengembaraan' berikutan faktor keluasan dan keselesaan sepanjang menempuh perjalanan jauh.

    Namun, mencari MPV menyamai sebuah jentera mewah agak sukar jika ia bukan daripada jenama kenderaan bertaraf dunia.


    Pengeluar kenderaan gergasi Jerman, Mercedes melihat jentera MPV boleh disatukan melalui produk terbarunya.

    Peluang memandu uji MPV Mercedes R280 membuktikan suntikan kemewahan tetap sama pada semua model keluaran syarikat bintang bucu tiga itu.

    Pertama kali melihat susuk tubuh R280, tergambar keluasan dalamannya dan sebaik pintu dibuka, jelas jentera besar ini menawarkan keselesaan paling tinggi dalam kelasnya.

    Sudut luaran bersama alunan lentur angin setiap sisi menjadikannya lebih aerodinamik walaupun bersaiz mega.

    Gril hadapan yang dihiasi logo bintang bucu tiga besar mencerminkan bahawa jentera berkenaan tetap mengutamakan kemewahan.

    Lampu projektor teknologi HID manakala sistem LED di dalam perumah lampu belakang membantu penglihatan lebih jelas pada waktu malam.

    Padanan ekzos berkembar menjadikannya lebih sporty dan garang dan hiasan bumbung suria tampak lebih bergaya.

    Semua tujuh kerusi termasuk dua kerusi penumpang barisan ketiga disaluti kulit mewah berwarna hitam manakala papan pemuka lebih kepada sedan versi E Class atau ML 350.

    Skrin digital untuk sistem Command APS mendominasi papan pemuka tengah.

    Sistem audio boleh bertukar kepada telefon bimbit dengan mengaktifkan teknologi Bluetooth.

    Pemandu hanya perlu menekan butang di stereng untuk menjawab panggilan.

    Teknologi Comand APS dan Linguatronic membolehkan sistem audio, navigasi, telefon dan pemain cakera padat dikawal menggunakan suara.

    Sistem ini adalah standard bagi semua model kenderaan mewah Jerman ini.

    MPV mewah ini mendapat suntikan nadi enam silinder (V6) 3.0 L tujuh kelajuan (7G-Tronik) menawarkan kuasa kuda sehingga 231hp manakala tork mencecah 300Nm pada 2,500 rpm hingga 5,000 rpm.

    Walaupun memiliki tubuh yang besar dan sasa, R280 hanya mengambil masa 9.6 saat untuk memecut dari kedudukan pegun hingga ke kelajuan 100km/j.

    Malah, tahap penggunaan bahan api juga boleh dianggap berbaloi apabila purata mencatatkan sebanyak 10.9L bagi 100 km.

    Ini kerana R280 sepanjang 5,157 mm dan seberat 2,810 kilogram manakala tangki petrolnya sebesar 80 liter.

    Bagi penulis yang pertama kali memandunya, pasti faktor saiz menjadi isu, tetapi selepas beberapa jam memandunya, R280 mudah dikendalikan termasuk bantuan sensor hadapan dan belakang ketika mahu meletak kenderaan di parkir.

    R280 memang tidak mengecewakan terutama ketika memecut di lebuh raya.

    Bantuan sistem suspensi udara Airmatic dengan Adaptive Damping System (ADS) banyak membantu menstabilkan kenderaan.

    R280 dibekalkan denga ndua mod pemanduan iaitu Comfort untuk keselesaan semua penumpang manakala mod Sport bagi pemanduan lebih keras.

    Seperti kenderaan Mercedes-Benz yang lain, R280 tidak ketinggalan dilengkapi kemampuan dan kawalan elektronik yang menjadi teras pembuat kenderaan Jerman ini.

    Antaranya ialah Thermotronik yang membantu pemandu melaraskan suhu dalam kabin manakala sistem perlindungan Pre-Safe dengan beg udara hadapan dan sisi menjamin keselamatan setiap penumpangnya.

    Berharga 458,888 seunit, Mercedes R280 menjadi satu-satunya MPV kelas mewah tanpa kompromi walaupun ketika berada di kerusi penumpang paling belakang.

    SPESIFIKASI

    Mercedes-Benz R280

    Enjin: V6 2,996cc 24 injap

    Kuasa maksimum: 231hp pada 6000 rpm

    Tork maksimum: 300 pada 2500-5000 rpm

    Transmisi: 7G-Tronik

    Ciri keselamatan: ADS, ABS, beg udara

    Harga: RM458,888.00

    Tayar dicadangkan: ContiCrossContact UHP 255/55R18 105W

    hanyut depan mata (susulan tragedi jambatan runtah)




    KAMPAR: “Saya lihat mangsa perlahan-lahan melepaskan tangan dari pautan kabel itu kerana kehabisan tenaga sebelum hanyut dibawa arus kuat. Saya tak dapat tolong mereka, itu yang saya sedih,” kata pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Mohd Rosli Mohamad, 49.

    Katanya, ketika itu, dia kehabisan tenaga selepas menyusur kabel menyelamatkan beberapa murid lain.

    “Walaupun penat, saya tetap turun dan cuba menyelamatkan tiga lagi murid yang berpaut pada kabel itu. Namun, ajal lebih kuat menjemput mereka,” katanya.

    Mohd Rosli dan rakan sejawatnya, Ismail Ahmad, 63, antara saksi terawal kejadian jambatan runtuh di kem aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan, berhampiran tempat mereka bertugas yang menyebabkan seorang murid lemas manakala dua lagi hilang, malam kelmarin.

    Menurutnya, dia dan Ismail bersedia menghadapi kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini apabila air sungai naik sejak jam 7 malam berikutan hujan lebat di hulu.

    Mereka menyelamatkan sembilan murid termasuk seorang guru lelaki dengan menyusuri arus sungai menggunakan kabel jambatan berkenaan sebelum membawa mangsa ke tebing.

    Sebelum kejadian, Mohd Rosli berkata, dia mendengar pekikan murid meminta tolong dari arah sungai kira-kira 200 meter dari pos kawalan tempatnya bertugas lalu segera meminta bantuan Ismail yang ketika itu di surau.

    Katanya, sebaik tiba, dia dan Ismail melihat kira-kira 20 murid sedang bergayut pada kabel jambatan itu dengan sebahagian mereka berada dalam sungai.

    “Tanpa berfikir panjang, kami terus terjun sungai dan berpaut pada kabel sebelum menyelamatkan guru lelaki itu terlebih dulu kerana kakinya tersepit pada kabel.

    “Ketika itu air sungai sedang naik dan arus semakin laju. Kerana mahu menyelamatkan mereka, saya gadaikan nyawa dengan berpaut pada kabel sebelum menarik mereka seorang demi seorang,” katanya.

    Katanya, walaupun berjaya menyelamatkan sembilan daripada mereka, dia dan Ismail terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan tiga murid lain yang masih berpaut di tengah jambatan runtuh itu.

    Mohd Rosli berkata, dia dan Ismail mengambil masa kira-kira dua jam menyelamatkan semua mangsa.

    Dia yang juga anak jati Kuala Dipang berkata, sepanjang tiga tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu, ia kejadian lemas pertama berlaku di sungai itu.

    Sementara itu, Ismail berkata, dia menangis sebaik melihat tiga mangsa lemas itu melepaskan pautan tangan masing-masing pada kabel jambatan sebelum hanyut dibawa arus.

    “Kami mencuba sedaya upaya menyelamatkan semua mangsa, namun keadaan sukar kerana air sungai semakin lama semakin tinggi,” katanya.

    Ismail berkata, dalam keadaan panik itu, dia sentiasa mengingatkan semua murid yang sedang berpaut di kabel itu tidak melepaskan pautan masing-masing.

    Jenazah dikebumi satu liang lahad



    PUTRAJAYA: Suasana suram dan sepi menyelubungi pekarangan kediaman keluarga Mohd Zawawi Ablah, semalam, yang kematian isteri, dua anak serta cucunya yang terbabit dalam kemalangan ngeri di sini, semalam.

    Zawawi, 56, pegawai kanan di Kementerian Kewangan di sini, berkata tiada lagi gurauan dan tawa kedengaran dengan selepas pemergian empat orang ahli keluarganya.

    Isterinya Wan Hamisah Wan Ibrahim, 53, dua anak perempuannya, Nor Lenny Marlina, 28, dan Nor Adila, 26, serta cucunya, seorang bayi berumur tiga bulan, Siti Nur Balqis Muhammad Ariffadilah, terkorban apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lagi kereta di kilometer 1.5 Jalan Pinggiran Selatan Kajang-Dengkil jam 1 tengah hari, semalam.

    Sebuah lagi kereta yang terbabit dalam kemalangan itu dipandu seorang wanita yang patah kaki dan masih tidak sedarkan diri di hospital.

    Keempat-empat jenazah itu selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Desa Pinggiran Putra, Kampung Limau Manis, dekat sini, malam semalam.

    “Dulu kalau waktu lapang atau bercuti, saya akan bersama-sama mereka, bermain dengan cucu pertama saya itu yang jarang dapat luangkan masa bersama kerana tinggal di Kelantan.

    “Namun, inilah dugaan paling besar dalam keluarga saya dan perkara ini perlu dilalui dan dihadapi dengan reda,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui di kediamannya di Desa Pinggiran Putra di sini, semalam.

    Zawawi berkata, Nor Lenny Marlina dan anaknya Siti Nur Balqis yang tinggal di Kelantan tiba di sini Ahad lalu untuk bercuti.

    Menurutnya jodoh dan pertemuan mereka sekeluarga singkat dan beliau serta ahli keluarga yang lain perlu tabah untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan isteri yang menemaninya sejak 32 tahun lalu, dan dua daripada sembilan anak serta cucu pertamanya.

    “Nasihat saya memandulah berhati-hati... setiap manusia akan pergi cuma bagaimana dan bila saja kita tidak tahu...kita kena sentiasa beringat kepada Tuhan,” katanya.

    Polis turut meminta saksi kejadian kemalangan itu menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Zaidi Hashim di talian 013-3230811 untuk membantu siasatan. - Bernama

    Struktur lemah punca tragedi?



    Cara pembinaan jambatan gantung menyeberang Sungai Kampar di Kuala Dipang dekat Kampar yang runtuh menyebabkan seorang murid lemas dan dua lagi hilang semalam hangat dipersoalkan oleh pelbagai pihak yang berada di tempat kejadian.

    Kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan terhadap kejadian itu namun kalangan ibu bapa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian, membuat andaian terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sebagai punca utama kejadian.

    "Saya seperti tidak percaya apabila melihat saiz konkrit pelapik tiang jambatan... ia terlalu kecil dan tiada cerucuk," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.




     Beliau yang mendakwa berpengalaman dalam sektor pembinaan berkata saiz konkrit berkenaan yang kecil tidak sepadan dengan tiang besi jambatan yang turut menampung kabel besi jambatan.

    Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam tadi, 19 murid lain sempat diselamatkan oleh guru dan pengawal SK Kuala Dipang apabila mereka terhumban ke dalam sungai yang mengalir deras apabila sepasang tiang berkenaan runtuh semasa mereka sedang menyeberang Sungai Kampar untuk jamuan.

    Murid berkenaan sebahagian daripada 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

    Seorang bapa murid, S Thiagaran, 42, berkata beliau hairan apabila melihat konkrit bagi tiang jambatan itu tidak dipasang besi cerucuk.




    "Dari pemerhatian saya, simen pada kaki jambatan ini juga masih belum kering dan ia menunjukkan keadaan yang tidak selamat," katanya.

    Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dua minggu lepas dan menurut seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kuala Dipang, ia dibina bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang telah runtuh sebelum ini.

    Seorang lagi bapa murid Jaafar Arif, 65, berkata tindakan tegas perlu diambil hasil daripada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa kerana kejadian itu telah menyebabkan kehilangan nyawa.

    Seorang penjawat awam yang berpengalaman dalam kegiatan lasak pula berpendapat bahawa jambatan gantung biasanya dihadkan bilangan pengguna kerana ia berbuai-buai atau bergoyang dan boleh menyebabkan pengguna terjatuh jika tidak berhati-hati.



    Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat tempat kejadian (foto, bertopi) mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan negeri Perak.

    Jawatankuasa itu akan membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada beliau, katanya.

    "Kita akan bagi mereka tempoh masa yang sesuai supaya hal ini dapat dilaporkan dengan lengkap dan terperinci," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian pada Selasa.

    Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas melawat tempat kejadian malam tadi turut mengarahkan siasatan terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sama ada mengikut spesifikasi. BERNAMA

    bubar pekida???



    Dewasa ini isu Pekida semakin hangat diperkatakan. Malah, setiap kali di bangkitkan isu pekida, ia dilihat seperti duri dalam daging bangsa melayu. Menagapakah tanggapan ini terpalit begitu tepat terjelepuk ke arah Pekida.?

    Komen yang di terima di blog ini seperti menyampaikan satu signal yang Pekida sudah tidak relevan. Ramai yang seolah-olah mengahrapkan Pekida ini berkubur dengan begitu saja. Lebig pahit lagi, komen-komen itu di terima dari bangsa sendiri. Benarkah Pekida begitu jijik di mata bangsa melayu? Segala persoalan negatif di dalam Pekida ada jawapannya.

    Baru-baru ini negara kita telah menerima pendedahan eksklusif tentang Pekida di rancangan 360 di TV3. Pendedahan ini dilakukan semata-mata untuk memberi penerangan sebenar tentang apa itu Pekida. Tetapi natijah yang di terima masih negatif. Ini bermakna seolah-olah mencurahkan air di atas daun keladi. Tidak berguna langsung jadinya.

    Mengapa ini terjadi?

    Sikap mementingkan diri serta katak di bawah tempurung membuatkan orang lain mendapat serpihan. Busuknya nama Pekida ini kerana tidak mahu tidak kita ahli jemaah harus terima yang ada di kalangan ahli Pekida masih berada di takuk lama. Tidak mahu berubah kepada arah kebaikkan. Masih lagi minum arak dan melakukan maksiat sambil melaungkan dirinya itu ahli Pekida. Orang seperti ini, nak di telan mati emak nak diludah mati bapa. Kita harus kaji langkah terbaik untuk membendung masalah ini.

    Kami melihat Pekida pusat menggunakan pendekatan melucutkan keahlian mereka. Tetapi mereka yang di pecat masih melaungkan yang mereka itu Pekida. Jadi, kesannya masih terpalit ke atas Pekida itu sendiri. Kami sarankan penggunaan atau mewujudkan badan bertindak 13 adalah antara jalan yang terbaik. Jika ingin melucutkan keahlian perlu ada pengisytiharan yang nyata di keluarkan seperti yang dilakukan di Melaka satu ketika dahulu.

    Satu ketika dahulu, Pekida Melaka pernah mewujudkan tribunal Pekida bagi memantau setiap ahli di dalam Pekida. Malangnya kerana sedikit salah faham segalanya terkandas di tengah jalan. Perkara seperti ini sepatutnya lebih membantu dengan wujudnya Papim iaitu satu badan induk ayahanda.

    Kami menyokong hala tuju Papim. Ternyata ianya satu usaha menyatupadukan ayahanda-ayahanda di Malaysia. Kami akur kerana setiap perkara baru pasti banyak kelemahan. kami menggesa Papim memantau seluruh pergerakan Ayahanda di Malaysia. Tidak ada gunanya jika kuantiti ramai tetapi kualitinya kurang. Setiap usah perlu membuahkan kualiti yang baik. Kami percaya sedikit masa lagi dengan wujudnya Papim ini maka usaha memperkasakan Pekida menjadi semakin baik.

    Di dalam Pekida perlu ada permuafakatan. Semangat bersatu padu lamabang perpaduan. Pekida tidak wajar dibubarkan. Jangan kerana beberapa duri dalam daging habis satu Pekida kita bakar. Kami akui nama baik Pekida tercalar kerana golongan segelintir ini yang membuat onar. Namun tidakkah kita terfikir yang masih ramai cendikiawan dan ahli profesonal serta pejuang kemanusian di dalam Pekida? Tidak pula kita tuding jari kepada mereka tanda pujian. Perdana Menteri kita merupaka penaung kepada Pekida. Jadi apakah kita melihat dia sebagai simbol yang tidak baik. Kita cuma menyalahkan orang di kaki lima yang berbuih-buih mengaku dirinya Pekida sambil membuat onar itu adalah orang penting di dalam Pekida. Tetapi kita langsung tidak pandang yang ramai negarawan kita adalah Pekida. Mereka berjuang di dalam bidang mereka. Mereka berjuang menggunakan kepakaran mereka demi memartabatkan neghara kita di mata dunia. Jadi, adakah wajar Pekida itu di bubarkan.

    Pernah kami menemu ramah seorang ayahanda di negeri melaka. Katanya, ahli Pekida ini merangkumi segenap lapisan masyarakat. Tidak semua ahli melakukan kejahatan, tidak pula semua ahli melakukan kebaikan. Seperti di dalam keluarga tidak semua adik beradik dilahirkan rupanya sama. Jadi yang menentukan baik buruknya keluarga itu adalah ketuanya. Keluarga Pekida diketuai oleh Ayahanda. Kami memohon kerjasama dari Papim, bersama kita terus membanteras segala anasir di dalam Pekida. Isu 3 line tidak timbul kerana masyarakat sudah lama tahu dengan isu itu. Jadi yang lebih penting adalah perpaduan dan semangat kekeluargaan di kembalikan semula di dalam Pekida.

    Tidak kira apa lamabang telah terukir, atau apa jua kod sudah terbentuk selagi tersebut saja bai'ah di lidah kita adalah sama. Kami Pekida Bukit Beruang cuma meluahkan pandangan supaya kita berkongsi bersama. Segala teguran adalah demi membina semula kekuatan ummah di dalam Pekida.

    Sesungguhnya Pekida ini ditubuhkan oleh pejuang-pejuang bangsa. Kita sebagai waris mereka perlulah bersatu padu menjaga dan memantapkan lagi perjuangan Pekida ini.

    Jangan sibuk!



    PUTRAJAYA: Bengang dengan kritikan Akhil Hayy, penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, mahu penceramah itu tutup mulut dan mencermin diri sendiri sebelum cuba mentarbiah artis yang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat.

    Malah, penyanyi kumpulan Wings itu mengakui telinganya ‘panas’ apabila mendengar nama artis berkenaan dan memberi amaran kepada Akhil supaya tidak lagi bercakap mengenai dunia artis atau mengaitkan golongan itu dengan sebarang bentuk ajaran sesat.

    Awie mendakwa gelaran ‘ustaz’ yang diberikan masyarakat terhadap Akhil tidak wajar kerana penceramah itu sepatutnya mencerminkan kredibiliti dirinya terlebih dulu.

    Tanpa berselindung, Awie mempertikaikan kewibawaan Akhil untuk mentarbiah golongan artis berdasarkan kredibiliti kehidupan rumah tangganya yang boleh dipertikaikan bukan saja di kalangan penggiat seni, malah masyarakat umum.

    “Jangan ingat golongan artis tidak mengetahui kehidupan dunia dan akhirat.

    “Apa saja yang dilakukan manusia di bumi ini hanya Allah yang tahu, tidak salah untuk ingat-mengingati,” katanya, semalam.

    Awie yang popular dengan lagu Sejati mengulas dakwaan Akhil Hayy bahawa ada segelintir artis yang sudah ada nama menggunakan kedudukan mereka mempengaruhi artis lain supaya melakukan maksiat selain mempermudahkan Islam.

    Malah, penceramah muda dan pengacara sebuah rancangan ilmiah itu turut mengakui ada artis membenarkan gejala bersekedudukan dan berzina dengan alasan apa yang dilakukan sudah ditentukan Allah selain manusia (artis) mempunyai ruang dan masa untuk bertaubat.

    Akhil turut menyentuh mengenai ajaran sesat artis terbabit yang dipercayai menjadi pegangan melalui ajaran pelik dipercayai diperoleh daripada ‘guru ghaib’ yang sukar untuk dikesan.

    Mengulas lanjut isu berkenaan, Awie berkata Akhil perlu mencermin dirinya dulu yang sebelum ini turut terpalit dengan dunia glamor.

    Awie berkata, kehidupan artis yang menjadi ‘public figure’ memang sentiasa disuluh lampu terang yang semestinya mahu memperlihatkan kecantikan yang dimiliki dalam sinaran cahaya berkenaan.

    Walaupun mengakui ada artis yang tergelincir (terbabit dengan kegiatan maksiat), Awie mempertikaikan mengapa hanya golongan itu dikaitkan dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral, termasuk ajaran sesat.

    “Sebagai artis kita fokus terhadap apa yang hendak kita lakukan dan tidak berdiri di pentas ceramah sambil memaki dan mencerca orang lain,” katanya

    Awie turut mendakwa penceramah terbabit pernah memperlekehkan lagu Sejati mengikut selera sendiri ketika berada di pentas ceramah.

    “Saya meminta penceramah muda ini supaya tidak menilai seseorang itu secara melulu dan melalui ‘kulit’ saja, kerana ada ketikanya ada individu mempunyai ‘kulit’ yang baik, tetapi sebenarnya busuk di dalam.

    “Dia baru setahun jagung dalam dunia artis dan terlalu mudah serta sewenang-wenangnya mahu menilai kehidupan artis sekarang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat,” katanya.



    >Hanya dakwah, saling mengingati



    PUTRAJAYA: “Apa yang saya luahkan (amalan ajaran sesat di kalangan artis) atas dasar dakwah dan saling mengingati sesama golongan artis dan tiada niat untuk menunjukkan saya ini ‘suci’ berbanding orang lain.

    “Saya juga manusia dan tidak menafikan ada melakukan kesilapan, tetapi saya mahu melihat kehidupan golongan artis diperbaiki agar berada di landasan sepatutnya,” kata penceramah dan pengacara rancangan ilmiah televisyen, Akhil Hayy, semalam.

    Menurutnya, walaupun niatnya ikhlas untuk berbuat kebaikan sesama artis, dia akur jika ada di kalangan penggiat seni sukar dan tidak mahu menerima hakikat cabaran baik dan buruk dalam dunia itu.

    Akhil berkata, dia bukan bercakap berdasarkan nafsu, tetapi satu peringatan bukan untuk dirinya, malah untuk rakan artis supaya berwaspada dan tidak tergelincir sehingga membawa kepada jurang kesesatan.

    “Sebenarnya, saya tidak menuduh mana-mana pihak tapi berdasarkan kepada pengalaman sepanjang terbabit dalam dunia artis yang penuh cabaran.

    “Bagi saya, apabila membabitkan soal akidah, ia bukan tanggungjawab saya saja, tapi juga tanggungjawab semua umat Islam termasuk juga artis yang juga ikon masyarakat.

    “Sebagai ikon, kita perlu menunjukkan contoh dan teladan baik supaya mampu melahirkan masyarakat yang memiliki nilai murni,” katanya.

    Dia mengulas kritikan penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, yang tidak selesa dengan kritikan Akhil terhadap segelintir golongan artis yang kononnya menjadi tali barut ‘guru ghaib’ bagi menyebarkan ajaran sesat.

    Akhil berkata, dia tidak mempunyai niat tersirat atau mencari publisiti murahan, tetapi hanya mahu mengingatkan rakan artis mengenai pentingnya memberi perhatian terhadap soal akidah.

    Menurutnya, memang kebanyakan umat Islam mengaku Islam, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman kepada Allah.

    “Jika mereka tidak salah mengapa perlu hendak memarahi orang lain dan saya tetap perlu melakukan kebaikan walaupun terpaksa menghadapi banyak cabaran.

    “Saya meminta golongan artis yang terasa `pedas’ dengan `cili’ yang diberikan supaya melihat nasihat itu dengan mata hati dan cuba berprasangka baik yang mungkin boleh membawa kebaikan kepada mereka,” katanya.

    Akhil berkata, sebagai umat Islam, dia tidak mahu kehidupan artis masih dibelenggu dengan konsep `lu lu’ dan `gua gua’ yang sebenarnya tidak dianjurkan Islam.

    Menurutnya, walaupun tidak menafikan rasa tidak senang segelintir artis, dia mengakui masih ada artis yang celik dan menerima nasihat diberikan dengan hati terbuka.

    “Saya masih melihat ada artis yang mempunyai kekuatan untuk melihat kebaikan hendak kita sampaikan,” katanya.

    Oleh itu, dia berharap mesej yang cuba dibawa kepada masyarakat artis perlu diberikan perhatian kerana mereka adalah ikon masyarakat yang mempunyai ramai pengikut.

    Amuk tauke bengkel



    KUALA LUMPUR: Berang selepas ditetak berulang kali, seorang pemilik bengkel kereta mengamuk sebelum melawan dua lelaki yang menetaknya dengan bersenjatakan perkakas membaiki kenderaan menyebabkan mereka melarikan diri.

    Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, mangsa, Woon Kim Yu, 46, yang bersendirian dikatakan datang ke premisnya di Segambut di sini, untuk membaiki kenderaan.

    Dia yang ditemui semalam berkata, sudah menjadi kelazimannya datang awal ke kedainya bagi memulakan tugas sejak mula membuka bengkel 10 tahun lalu.

    Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menyapu sampah dan membersih perkakas di hadapan kaki lima premisnya sebelum dua lelaki tidak dikenali tiba-tiba muncul dengan menunggang motosikal.

    “Saya benar-benar terkejut apabila seorang daripada lelaki itu tiba-tiba mendekati saya sambil mengeluarkan parang dari dalam jaketnya.

    “Lelaki terbabit yang membalut parang itu dengan kertas surat khabar terus menyerang dan menetak kepala saya berulang kali tanpa memberi sebarang amaran,” katanya.

    Menurutnya, tindakan lelaki berkenaan menyebabkan kepalanya berlumuran darah.

    “Saya hanya mampu merayu tidak dicederakan. Bimbang keselamatan nyawa terancam, saya terus menawarkan wang kepada suspek.

    “Walaupun ditawarkan wang, lelaki terbabit menolak tetapi memberitahu inginkan Nissan Sentra milik saya,” katanya.

    Katanya, dia masuk ke dalam bengkel untuk mengambil kunci kereta terbabit sambil diekori lelaki berkenaan.

    “Ketika dalam kedai, suspek sekali lagi menetak kepala saya menyebabkan saya hilang sabar sebelum melawan menggunakan pelbagai peralatan membaiki kenderaan yang sempat dicapai.

    “Saya tidak hanya memukul suspek dengan besi, malah turut membalingnya dengan pelbagai peralatan menyebabkan mangsa kelam-kabut melarikan diri,” katanya.

    Woon berkata, tindakannya melawan menyebabkan suspek yang berusia 20-an itu segera melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di atas motosikal di hadapan premisnya.

    “Dalam keadaan cedera parah, saya cuba untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai di hadapan premis. Mujur seorang kenalan melalui hadapan premis saya sebelum membawa saya ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

    Berikutan itu, dia terpaksa menerima 30 jahitan di kepala.

    Sementara itu Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, yang dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu polis sedang mengenal pasti kedua-dua suspek yang melakukan jenayah berkenaan.

    Jumaat, 23 Oktober 2009

    Halal zina, arak



    PUTRAJAYA: Segelintir artis tersohor tanah air yang didakwa terpengaruh dengan ajaran sesat disebarkan ‘guru ghaib’ mereka, dipercayai menjadi tali barut menyebarkan ajaran pelik yang antara lain menghalalkan mereka melakukan perbuatan tidak bermoral termasuk bersekedudukan, berzina dan meneguk minuman keras.

    Penyebaran ajaran yang dengan jelas memperlekehkan hukum Islam itu bukan saja dilakukan di kalangan artis veteran, malah membabitkan artis baru yang begitu teruja mahu popular di kalangan peminat dengan melakukan perbuatan yang sebenarnya boleh merosakkan masa depan mereka.

    Aktiviti terkutuk artis terbabit yang kebanyakannya memang selesa dalam ‘zon maksiat’ dilakukan secara sulit dengan mendekati rakan artis yang mudah dipengaruhi terutama mereka yang menjadikan kerjaya lakonan dan nyanyian sebagai sumber pendapatan utama.

    Kumpulan artis terbabit memang berniat menyesatkan rakan seperjuangan selain merosakkan akidah mereka dengan mengumpan kononnya mahu mempermudahkan ajaran Islam mengikut selera ‘guru ghaib.’

    Artis terbabit juga dikesan gemar mengadakan majlis tahlil dan kenduri, tetapi aktiviti itu sebenarnya diadakan semata-mata untuk berdiskusi mengenai ajaran ‘guru ghaib’ bagi mengaburi mata artis lain kononnya mereka membawa ajaran benar.

    Pendedahan mengejutkan itu dilakukan penceramah, artis dan pengacara rancangan televisyen, Akhil Hayy, yang mengakui artis ‘tali barut’ ajaran sesat itu nampak baik dan alim pada luaran, tetapi sebenarnya mereka penyebar ajaran sesat.

    Menurutnya, artis terbabit membawa ajaran pelik, termasuk memesongkan ajaran al-Quran dengan membenarkan maksiat dilakukan dalam kehidupan harian.

    “Ajaran yang dibawa artis yang sudah selesa dalam zon maksiat itu tidak melarang artis bersekedudukan dengan suami atau isteri orang lain, termasuk artis remaja lain yang beria-ria mahu dikenali ramai sehingga terpedaya melakukan perbuatan tidak bermoral.

    “Sebenarnya, kegiatan ini memang wujud dan ia dilakukan segelintir artis yang sudah ada dalam zon maksiat dan mahu maksiat yang mereka lakukan diikuti artis lain dengan alasan apa saja amalan yang dilakukan sudah ‘ditulis’ Allah.

    “Mereka mengatakan perbuatan maksiat yang dilakukan sudah ditulis Allah (sejak azali) dan tidak perlu bimbang kerana boleh bertaubat,” katanya.

    Akhil yang terkenal dalam rancangan ilmiah terbitan sebuah stesen televisyen berbayar berkata, dia tidak berniat menuding jari kepada sesiapa, tetapi amalan berkenaan hakikat dalam dunia artis yang perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa.

    Tanpa berselindung, Akhil berkata, kegiatan itu dikesan apabila dia sendiri mendekati dan berbual dengan beberapa artis yang menjadi pengikut ajaran sesat berkenaan sebelum mendapati mereka memiliki pegangan dipercayai menyeleweng daripada al-Quran dan hadis serta boleh merosakkan akidah.

    “Bukan itu saja, artis terbabit dipercayai menggunakan pegangan pelik itu untuk disebarkan di kalangan artis lain, termasuk artis gemar bersosial yang dikenali pasti mudah dipengaruhi.

    “Sebagai contoh, ada artis kononnya alim dalam filem atau drama, tetapi dalam kehidupan sebenar, jiwanya kosong dan artis ini jugalah antara individu yang menjadi sasaran artis ajaran sesat ini,” katanya.

    Selain orang awam, Akhil berkata, artis adalah golongan yang menjadi sasaran artis sesat terbabit kerana mereka menjadi ikon masyarakat dan mempunyai agenda supaya perbuatan tidak bermoral artis itu menjadi ikutan masyarakat, terutama remaja.

    Bagaimananpun, katanya, ada artis yang terpengaruh dengan kehidupan penuh maksiat itu akhirnya insaf dan kembali ke pangkal jalan selepas mendapat hidayah Allah.

    Tetapi, katanya, apa yang amat ketara, artis sesat terbabit menggunakan kepetahan bercakap dan nama yang mereka ada untuk memberikan ‘bimbingan palsu’ kepada rakan artis lain dengan alasan mendapat ilmu daripada guru ghaib mereka.

    “Berdasarkan pemerhatian dan perbualan dengan artis terbabit, mereka mendakwa menimba ilmu pelik itu daripada guru tertentu yang sudah jelas menyebar ajaran sesat.

    “Artis sesat ini sentiasa akur dan taat serta dipercayai tidak akan mendedahkan kaitan mereka dengan guru terbabit kerana pegangan ajaran itu yang tidak membenarkan mereka mempersoalkan apa yang dilaku dan disuruh guru terbabit.

    “Artis ini hanya akur dan meneruskan usaha menyebarkan ajaran pelik di kalangan artis kononnya Islam membenarkan maksiat dilakukan dan tidak perlu bimbang perbuatan tidak bermoral dilakukan kerana ada ruang untuk bertaubat kepada Allah,” katanya.

    Tanpa berselindung, Akhil mempertikaikan kedangkalan artis yang terlalu ghairah mengikut ajaran sesat terbabit, walhal mereka sepatutnya peka dengan kepalsuan ajaran yang disebarkan guru ghaib terbabit.

    Dadah serbuk kayu



    KUALA LUMPUR: Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan Bukit Aman ke atas tiga makmal syabu dan Ecstasy di sekitar Lembah Klang membawa penemuan beberapa kilogram serbuk kayu dipercayai antara ramuan terbaru untuk membuat dadah terbabit.

    Sindiket didalangi warga Iran itu dipercayai bergerak aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan beberapa unit kondominium di negara ini sebagai makmal memproses dadah terbabit bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

    Bertindak atas maklumat risikan, kegiatan sindiket terbabit ditumpaskan dengan penahanan tujuh lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun dalam beberapa serbuan di ibu negara empat hari lalu selain merampas sejumlah dadah bernilai RM2.3 juta.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat, berkata kegiatan sindiket itu terbongkar susulan penahanan dua lelaki, seorang rakyat tempatan dan Iran di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Syed Putra di sini, kira-kira jam 3.30 petang Isnin lalu.

    “Mereka berdua ditahan ketika sedang melakukan urus niaga dengan membawa 1,570 gram dadah jenis syabu. Susulan tangkapan itu, polis menyerbu dua unit kondominium di Taman Gembira di sini, yang dipercayai digunakan sebagai makmal memproses dadah jenis syabu dan Ecstasy serta menahan dua lagi lelaki Iran dan seorang wanita warga Indonesia

    “Selain menemui 48 kilogram serbuk Ecstasy, 3.3 kilogram syabu, 4.6 liter cecair syabu, 1,000 pil Ecstasy dan peralatan untuk memproses dadah, polis turut menjumpai beberapa kilogram serbuk kayu dipercayai untuk dicampurkan sewaktu menghasilkan dadah itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), semalam.

    Menurutnya, serbuan ketiga dilakukan ke atas tiga unit kondominium di Jalan Putra di sini, kira-kira jam 1.30 pagi membawa penemuan satu lagi makmal memproses dadah.

    “Kali ini, polis merampas 6,437 gram dadah jenis syabu dan menahan dua lagi lelaki Iran termasuk ketua sindiket itu.

    “Turut ditemui beberapa peralatan memproses termasuk penapis, tong plastik dan lesung batu serta wang tunai RM133,572.46 dalam pelbagai mata wang termasuk RM51,433, AS$10,000 (RM34,019), mata wang Iran IRR 13,951,800 (RM48,054.63) dan HK$150 (RM65.83),” katanya.

    Semua mereka ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya sabit kesalahan hukuman gantung mandatori.

    Pastikan konsisten


    ALIH ANGIN...Elly (kanan) dan Zulfahmi ambil bahagian
    dalam pelumbaan go-kart sempena MotoGP Malaysia di Litar  Sepang, semalam.

    LIMA pusingan awal menjadi penentu cabaran dua pelumba wild card negara, Elly Idzlianizar Ilias dan Mohd Zulfahmi Khairuddin sekiranya layak beraksi dalam perlumbaan utama kelas 125cc Motosikal Grand Prix Malaysia (MotoGP) di Litar Sepang, Ahad ini.

    Jurulatih kedua-dua pelumba itu Shahrul Yuzy Ahmad Zaini, berkata posisi pada lima pusingan awal daripada 19 pusingan keseluruhan itu merupakan peringkat yang amat penting bagi menentukan kedudukan pelumba sehingga garisan penamat.

    Bercakap kepada Bernama, bekas pelumba MotoGP kelas 250cc itu berkata, Elly dan Mohd Zulfahmi perlu konsisten pada setiap selekoh agar dapat seiring dengan pelumba lain.

    “Jadi pada peringkat ini (lima pusingan awal) mereka perlu fokus sepenuhnya dan pada masa sama perlu mencari dan berusaha mencapai kedudukan terbaik.
     
    “Oleh itu perancangan perlumbaan adalah penting kerana semua pihak sedar akan saingan kuat daripada pelumba lain yang memang terbukti kehebatan mereka,” katanya.
     
    Bekas pelumba pasukan Petronas Sprinta TVK Yamaha itu berkata beberapa hari menjelang perlumbaan, mereka kini menumpukan usaha memantapkan kecergasan kedua-dua pelumba itu.

    Beliau berkata, di segi mental, mereka perlu bersedia, terutama berkaitan catatan masa lambat kerana sebagai pelumba wild card, ia adalah sesuatu yang biasa jika kurang tiga atau empat saat daripada pelumba lain.

    “Maka, mereka tidak seharusnya rasa tertekan dan dengan pengalaman dimiliki, saya akan pastikan kedua- dua pelumba ini bersedia hadapi situasi itu,” katanya yang beraksi tiga musim dalam kejuaraan MotoGP, bermula 2000.

    Shahrul Yuzy berkata, walaupun mereka pelumba yang lahir daripada kejohanan cub prix, saingan MotoGP jauh berbeza dan mereka perlu sentiasa tenang.

    “Berbanding Kejohanan Cub Prix Malaysia yang hanya membabitkan masa singkat, perlumbaan MotoGP akan memakan masa tiga hari serta banyak sesi latihan dan teknikal. Dalam erti kata lain banyak masa untuk mengubah dan menambah baik motosikal,” katanya.

    Nasib paus biru



    INI adalah pemandangan tragik yang menimpa mamalia terbesar dunia, bangkai seekor ikan paus biru, yang terdampar di pantai selepas dilanggar sebuah kapal.

    Bangkai ikan paus betina sepanjang 70 kaki itu ditemui

    di pantai California Utara dengan dua kesan luka yang dalam.

    Ia ditemui di pantai berhampiran Fort Bragg

    di Mendocino County beberapa jam selepas sebuah kapal penyelidik lautan melaporkan melanggar seekor ikan paus beberapa kilometer dari pantai berkenaan.

    Rabu, 21 Oktober 2009

    Kuasa tangan si pendek



    SECARA fizikal, Joby Matthew memang mengalami kekurangan berbanding orang lain.

    Bagaimanapun, dengan menggunakan fizikalnya, Matthew berjaya membuktikan perbezaan terbabit tidak sekadar kekurangan, sebaliknya memiliki kelebihan.


    Memiliki ketinggian hanya kira-kira 1 meter akibat penyakit Proximal Fimoral Focal Deficiency (PFFD), rahsia lelaki dari Kerala, India, itu terletak pada tangannya.

    Jika bertarung di meja gusti lengan, Matthew mampu mendabik dada kerana setakat ini, dia berjaya mengalahkan pencabar yang bersaiz dua kali ganda daripadanya.

    Buktinya, bapa kepada seorang anak itu mampu menaiki podium kejohanan dunia sebanyak lima kali.

    Dalam beberapa aksi, orang ramai ternyata kagum dengan kemampuan tangannya, termasuk mengangkat berat atau melakukan tekan tubi.

    Kesungguhannya untuk menikmati hidup juga membolehkan Matthew memandu kereta yang dicipta khas untuknya.

    Menceritakan perjalanan hidupnya, pekerja syarikat petroleum itu berkata, dia mengakui bukan mudah berdepan dengan orang ramai yang rencam sifatnya.

    Tambahan pula kediaman keluarga Matthew terletak di atas gunung.

    Justeru, setiap hari dia berdepan dengan pelbagai kesukaran, namun dengan bantuan ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepadanya, Matthew berjaya mengharungi cabaran.

    “Saya sentiasa mendapat galakan di rumah,” katanya.

    Contohnya, pada tahun pertama persekolahan, Matthew terpaksa dikendong ibunya sehingga ke kelas sebelum dia dibenarkan pergi bersendirian.

    Untuk sampai ke sekolah, kata Matthew, dia terpaksa berjalan kira-kira 400 meter sebelum tiba di jalan utama.

    Di sekolah pula, Matthew terpaksa menerima hakikat bahawa dia tidak sama seperti rakan sebayanya.

    Ketika yang lain bermain atau bersukan di padang, Matthew sekadar melihat dari tepi dan tidak mampu menyertai mereka.

    “Saya ada banyak pengalaman pahit di sekolah. Misalnya, saya diketepikan jika ada acara sukan.

    “Saya tak mahu salahkan sesiapa kerana bagi mereka, saya tak mampu bersaing disebabkan kecacatan ini,” katanya.

    Pada ketika lain, hati Matthew sayu melihat kanak-kanak pulang sekolah menaiki basikal kerana dia sedar, dalam keadaan serba kekurangan, tidak mungkin merasai keseronokan itu.

    Justeru, katanya, dia cuba tidak membenarkan fokusnya diganggu mengenai apa yang tidak mampu dibuat, sebaliknya menumpukan sesuatu yang boleh dilakukan.

    “Saya mula bermain bola tampar dan badminton.

    “Tidak lama kemudian, saya mampu bermain seperti budak normal,” katanya.

    Dari sehari ke sehari, kesungguhan Matthew menjadikan dia bersemangat untuk bersaing dengan kanak-kanak yang lebih dewasa daripadanya.

    Di meja gusti lengan, Matthew mempertaruhkan kekuatan tangan untuk membuktikan bahawa dia bukan budak sembarangan.

    “Apabila sedar saya tak mungkin mampu bermain bola sepak, saya mula mencari sukan yang dapat saya sertai dengan baik.

    “Gusti lengan adalah jawapan kepada pencarian saya,” katanya.

    Ketika itu, katanya, seseorang yang hebat dalam sukan gusti lengan dianggap macho.

    Dengan kesungguhannya, Matthew berjaya mengalah seorang demi seorang pencabarnya sehinggalah bakatnya dikesan dan dia diketengahkan ke acara lebih besar.

    Setakat ini, Matthew pernah menggondol ketiga-tiga jenis pingat - emas, perak dan gangsa - di peringkat dunia.

    Di Kejohanan Dunia di Jepun pada 2005, Matthew memperoleh tiga pingat gangsa, termasuk satu bagi kategori umum apabila dia dipertemukan dengan peserta normal.

    Dua lagi pingat dimenangi bagi kategori kurang upaya.

    Dalam kejuaraan peringkat dunia di Sepanyol tahun lalu, Matthew mencapai kejayaan terbesar dalam hidupnya apabila menggondol pingat emas bagi kategori umum dan perak bagi kategori kurang upaya.

    Ketika kejohanan berlangsung, peserta dibahagikan mengikut berat masing-masing.

    Walaupun kurang sempurna, Matthew tidak pernah menganggap dirinya terkebelakang berbanding manusia normal.

    Mengenai dirinya, Matthew berkata, kakinya memang terlalu kecil ketika dilahirkan.

    “Menurut doktor, 60 peratus kaki saya tidak membesar,” katanya.

    Menurut Matthew, sehebat mana pun manusia, sebenarnya setiap orang mengalami kekurangan daripada pelbagai aspek.

    Bagi memastikan dia sentiasa cergas, Matthew menghabiskan masa sejam sehari di gimnasium sebelum berenang di sungai berhampiran rumahnya.

    Di rumah, ada dua manusia paling bermakna menanti - isteri, Megha, seorang pakar tarian berusia 25 tahun dan anak lelakinya yang baru berusia dua bulan.

    Kejayaan di dalam sukan tidak menghalang Matthew mencuba cabaran baru.

    Kini dia menjalani latihan intensif untuk menyiapkan diri menjadi pendaki gunung.

    Selepas memperoleh pengalaman berharga di banjaran Himalaya dan New Zealand, impian Matthew adalah menakluk Gunung Everest.

    “Saya mungkin memerlukan masa lapan tahun untuk benar-benar bersedia, tetapi saya yakin ia dapat dilaksanakan,” katanya.

    DIdera, dirogol, diliwat



    KAJANG: Kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang lelaki Afrika didakwa sanggup mendera, merogol dan meliwat anak kekasihnya yang baru berusia tiga tahun sehingga kanak-kanak itu menemui ajal.

    Malah, kekasih wanita terbabit yang juga seorang janda berusia 24 tahun tergamak bersekongkol dengan warga asing itu apabila sanggup berbohong dengan mereka cerita kononnya anaknya mati akibat didera pembantu rumah.

    Bagaimanapun, siasatan polis mendapati fakta dalam keterangan diberikan wanita yang bekerja sebagai setiausaha itu meragukan sebelum merumuskannya sebagai pembohongan apabila mendapati wanita terbabit tidak pernah menggaji pembantu rumah yang didakwa melarikan diri sejurus selepas tragedi menyayat hati itu.

    Sumber polis berkata, wanita rakyat tempatan itu dikesan menjalinkan hubungan dengan lelaki Sudan terbabit sejak beberapa bulan lalu.

    Menurutnya, lelaki warga asing itu sebelum ini memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar dan menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota.

    “Bagaimanapun, lelaki berusia 24 tahun itu hanya belajar sebulan sebelum tinggal bersama kekasihnya iaitu wanita warga tempatan di sebuah kondominium di Batu 9, Kajang.

    “Difahamkan, lelaki Afrika terbabit tinggal serumah dengan wanita tempatan itu yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun hasil perkahwinannya sebelum ini,” katanya.

    Menurutnya, lelaki terbabit yang kerap diminta menjaga kanak-kanak terbabit dipercayai sering memukul selain merogol dan meliwat mangsa terutama ketika ibunya tiada di rumah kerana keluar bekerja pada waktu siang.

    “Namun, pada 12 Oktober lalu, ibu mangsa yang pulang ke rumah jam 9 malam terkejut apabila mendapati anak perempuannya koma dengan keadaan tubuh tidak bermaya.

    “Wanita terbabit segera membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, namun mangsa dilaporkan mati akibat kecederaan serius terutama di kepala,” katanya.

    Menurutnya, wanita terbabit yang membuat laporan polis susulan kematian anaknya, mendakwa kanak-kanak perempuan itu mati akibat didera pembantu rumahnya.

    “Menurut wanita itu, pembantu rumahnya bagaimanapun melarikan diri sebaik dia pulang ke rumah sejurus kejadian. Namun, polis mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila siasatan mendapati suspek tidak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah asing.

    “Malah, rasa curiga semakin kuat apabila hasil bedah siasat pihak hospital menemui kesan kecederaan pada kemaluan mangsa selain kesan sama pada dubur dipercayai akibat diliwat. Malah, tubuh dan muka mangsa dipenuhi kesan luka lama dan baru dipercayai akibat dipukul dengan teruk,” katanya.

    Menurutnya, polis yang menyedari berlaku kes pembunuhan kejam terhadap mangsa bergegas ke kediaman suspek pada 13 Oktober lalu bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

    “Hasil beberapa bukti diperoleh, polis menahan pasangan kekasih terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.

    “Setakat ini, kedua-dua suspek mengaku melakukan penderaan terhadap kanak-kanak terbabit yang membawa kepada kematiannya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood mengesahkan kejadian pembunuhan itu namun enggan mengulas lanjut.

    “Perbuatan berkenaan amat kejam dan tidak berhati perut terutama terhadap kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Pihak polis akan melakukan siasatan secepat mungkin bagi memastikan individu yang melakukan jenayah itu mendapat hukuman setimpal,” katanya.

    Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

    Kepala masuk longkang



    KUALA LUMPUR: Mengerikan apabila seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan aneh apabila bahagian kepalanya terendam di dalam longkang kecil menyebabkan mangsa dipercayai mati lemas, awal pagi semalam.

    Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mayat lelaki berkenaan ditemui penduduk Blok 15, Pangsapuri Taman Miharja, di sini, yang kebetulan keluar rumah untuk ke tempat kerja.

    Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Hanafiah, 18, berkata, mayat mangsa disedari seorang penghuni yang tinggal di tingkat paling bawah ketika dia ingin menghantar anak ke sekolah.

    Menurutnya, pada mulanya menyangka mangsa tertidur atau sengaja membongkok di dalam longkang kecil terbabit untuk mencari sesuatu.

    “Bagaimanapun, lelaki kurus berkulit gelap berkenaan dilihat kaku untuk sekian lama sebelum diyakini mati sejak beberapa jam lalu. Penduduk kemudian segera menghubungi polis bagi menyiasat kes kematian itu.

    “Apa yang kami tahu, lelaki berkenaan bukan penduduk kawasan perumahan ini, sebaliknya lelaki misteri yang kerap dilihat berkeliaran di kawasan ini bersendirian,” katanya.

    Menurutnya, kali terakhir lelaki itu dilihat merayau-rayau di kawasan pasar malam berhampiran sebelum muncul di kawasan perumahan terbabit beberapa jam kemudian.

    “Ada penduduk yang melihat lelaki berkenaan berjalan terhoyong-hayang sebelum melanggar beberapa pasu bunga penduduk hingga pecah bertaburan,” katanya.

    Sementara itu, pihak polis dari Balai Polis Cheras yang tiba ke lokasi kejadian segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa sama ada ia berunsurkan jenayah.

    Mangsa yang berseluar panjang tanpa baju terbabit dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, yang turut berada di lokasi kejadian berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada tubuh mangsa yang dipercayai berusia 50-an.

    Menurutnya, siasatan awal polis hanya menemui tanda tatu pada tangan kanan mangsa dengan tulisan perkataan ‘saravanan’ yang dipercayai nama mangsa.

    “Polis belum dapat mengenal pasti punca kematian mangsa sama ada akibat jenayah atau sebaliknya. Ia hanya akan dapat diketahui selepas bedah siasat dilakukan,” katanya.

    Ayat suci di badan bayi



    MAKHACHKALA: Seorang bayi Dagestan membingungkan doktor apabila ayat suci al-Quran ditemui pada tubuhnya.

    Ibu bapa kanak-kanak berusia sembilan bulan itu, Ali Yakubov, berkata mereka terkejut apabila perkataan Allah timbul pada dagunya sejurus selepas dia dilahirkan.

    Sejak itu, beberapa ayat suci dalam bahasa Arab muncul pada belakang, lengan, kaki dan perut Ali.

    Keluarganya mendakwa, ayat lama akan hilang dan ayat baru pula muncul.

    Biasanya, ia berlaku dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan malam Jumaat.

    Pegawai perubatan berkata, mereka tidak dapat menjelaskan kejadian misteri itu tetapi menolak kemungkinan ditulis seseorang pada kulit kanak-kanak itu.

    Ibunya, Madina, berkata dia dan suaminya semakin patuh dalam melakukan suruhan agama selepas kejadian itu.

    Madina dan suaminya pada mulanya tidak menunjukkannya kepada sesiapa penemuan itu sehinggalah baru-baru ini apabila perkara itu didedahkan kepada doktor.

    Ali kini menjadi tumpuan masyarakat Islam di Dagestan.

    Anggota Parlimen tempatan, Akhmedpasha Amiralaev, berkata kanak-kanak itu adalah tanda kebesaran Tuhan.

    “Allah menghantarnya ke Dagestan dalam sebagai tanda untuk menghentikan keganasan dan ketegangan di negeri kami,” katanya.

    Menurut Madina, Ali biasanya meragam apabila kejadian aneh itu berlaku.

    “Dia akan menangis dan suhu badannya meningkat. Sukar untuk memegangnya ketika itu.

    “Tubuhnya pula bergerak aktif, memaksa kami meletakkannya dalam buaian.

    “Sungguh sedih melihat dia menderita ketika itu,” katanya.

    Seorang imam tempatan, Abdulla, memberitahu penduduk tempatan, memang ada ayat dalam al-Quran yang menyatakan, Tuhan akan menunjukkan kekuasaan-Nya di pelbagai tempat dalam dunia, selain pada diri manusia sendiri untuk membuktikan bahawa al-Quran itu kitab yang benar.

    “Kejadian itu tidak sepatutnya disembunyikan,” katanya. - Agensi

    Selasa, 20 Oktober 2009

    3 mati ditetak



    KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur bunyi ekzos bising, dua sahabat mati manakala seorang lagi cedera parah akibat ditetak sekumpulan Mat Motor yang bengang dengan teguran itu di kawasan flet Desa Puteri, Seri Petaling di sini, awal pagi semalam.

    Kejadian berlaku jam 1 pagi ketika kedua-dua lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakan mereka sedang minum di bawah pokok berhadapan flet berkenaan.

    Mangsa, S Chaudry, 32, ditemui mati di persimpangan jalan kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, manakala rakannya, B Gunalan, 23, mati di sebuah bilik milik saudaranya di flet berkenaan dan seorang lagi mangsa yang cedera parah kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

    Lebih mengerikan apabila Chaudry yang mempunyai kemahiran taekwondo dengan memiliki tali pinggang coklat, ditetak bertalu-talu, ketika cuba menyelamatkan rakannya yang diserang sebelum itu.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas rakan mangsa yang mabuk, menegur seorang daripada suspek yang menaiki motosikal dan membuat bising di kawasan berkenaan.

    Kumpulan tiga suspek terbabit yang menaiki tiga motosikal sengaja membuat bising dengan memulas alat pengawal minyak motosikal masing-masing sehingga mengganggu Chaudry bersama rakannya yang ketika itu sedang duduk di bawah pokok berhampiran sambil menikmati hidangan.

    Katanya, selepas ditegur dan berlaku pertengkaran sesama mereka, suspek meninggalkan kawasan berkenaan, tetapi muncul kembali tidak lama selepas itu bersama dua rakannya.

    “Kumpulan suspek terus meluru dan menyerang ketiga-tiga mangsa dengan menggunakan parang menyebabkan dua daripada mangsa terbunuh dan seorang lagi cedera parah.

    “Ada kemungkinan Chaudry dan rakannya cuba melarikan diri selepas ditetak untuk mendapat bantuan, namun kecederaan parah yang dialami menyebabkan kedua-dua mereka gagal diselamatkan,” katanya.

    Amir berkata, seorang lagi rakan mangsa yang cedera parah kini dilaporkan kritikal di PPUKM.

    “Berikutan kejadian itu, polis yang menjalankan siasatan menemui sebuah motosikal dipercayai milik suspek di kawasan berdekatan dan susulan itu, polis menahan seorang daripada mereka yang berusia 20 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Menurutnya, polis yang melakukan siasatan di lokasi kejadian turut menemui bukti kesan pergaduhan seperti botol minuman keras yang pecah dan tompokan darah mangsa di sekelilingnya.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan polis.

    Sementara itu, adik mendiang Choudry, Visa Letchumy, 31, yang ditemui di Bilik Mayat PPUKM berkata, abangnya ke flet itu bukan saja untuk menghadiri rumah terbuka Deepavali diadakan seorang rakan, malah mahu menjemput rakannya itu ke rumah terbuka keluarga mereka di Jalan Cochrane di sini, yang sepatutnya diadakan semalam.

    Menurutnya, dia terkilan dengan kejadian itu berikutan abangnya tidak mungkin sempat menatap wajah anak ketiganya yang bakal lahir beberapa hari lagi.

    “Isteri abang saya sedang sarat mengandung dan kami sekeluarga baru saja menyambut Deepavali. Kejadian ini tidak seharusnya berlaku hanya kerana perselisihan faham kecil,” katanya.

    Menurutnya, mereka sekeluarga sangat terkejut apabila menerima berita sedih kematian abangnya itu kira-kira jam 3 pagi.

    “Abang saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Malah, isterinya dijangka melahirkan anak ketiga mereka minggu ini. Setahu saya abang tidak suka bergaduh dan gemar membantu orang dalam kesusahan” katanya.

    Visa Letchumy berkata, seorang bapa saudara memberitahu abangnya yang tinggal serumah dengan mereka ditetak ketika cuba menghalang suspek menetak rakannya.

    12 kali dicekup jual CD cetak rompak



    KUALA LUMPUR: Beberapa ulat sindiket menjual cakera padat digital (DVD) cetak rompak tidak menyangka akhirnya terjerat dalam perangkap pegawai penguat kuasa yang bijak menyamar sebagai Mat Motor untuk mengesan kegiatan penjualan bahan haram berkenaan.

    Dalam kejadian terbaru semalam, sekumpulan lima pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur sengaja melakukan pemantauan dengan menaiki motosikal di sekitar kawasan Setiawangsa yang dikesan menjadi ‘lubuk’ aktiviti penjualan DVD cetak rompak.

    Sumber KPDNKK berkata, pemantauan menaiki motosikal terbabit dilakukan bagi memastikan pergerakan pegawai penguat kuasa tidak diekori tonto yang diupah sindiket berkenaan.

    Menurutnya, dalam operasi bermula jam 8 malam itu, pegawai bertugas yang berpakaian biasa sengaja melakukan rondaan di sekitar kawasan medan selera di Taman Melati, Setiawangsa, di sini.

    “Ketika rondaan, seorang lelaki berusia 20-an dilihat berdiri dalam keadaan mencurigakan di belakang tiang bangunan berhampiran sambil memerhatikan orang ramai yang lalu lalang.

    “Sesekali lelaki berkenaan menegur orang ramai sebelum menunjukkan ratusan DVD cetak rompak yang diisi dalam bakul khas,” katanya.

    Menurutnya, selepas yakin lelaki terbabit menjalankan kegiatan menjual DVD cetak rompak, pegawai KPDNKK segera menghampiri suspek sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota penguat kuasa.

    “Bagaimanapun, suspek yang terkejut segera mencampakkan bakul sebelum melarikan diri. Tindakan suspek terbabit menyebabkan pegawai terpaksa mengejarnya sejauh lebih 100 meter.

    “Lelaki berkenaan akhirnya diberkas sebelum digari. Suspek dibawa ke Balai Polis Setapak sebelum ditahan reman tiga hari bagi siasatan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati semua DVD cetak rompak yang dirampas adalah filem terkini yang baru ditayangkan di pawagam antaranya Gi Joe, G Force, Surrogates, Upin dan Ipin dan pelbagai judul filem barat lain.

    “Sebanyak 217 DVD cetak rompak dirampas daripada suspek yang dijual setiap satu pada harga serendah RM10 sekeping.

    “Suspek yang disoal siasat didapati lebih 12 kali diberkas pegawai penguat kuasa sebelum ini, namun masih belum serik dan terus melakukan kegiatan sama sehingga kini,” katanya.


    Katanya, sebagai manusia biasa, memang berasa trauma dengan kejadian yang menimpa itu. Sekalipun masih trauma, Anita tetap menjalani kehidupan seperti biasa. Anita beruntung kerana suami sentiasa di sisi memberi semangat malah nampaknya Mahathir lebih kuat semangat berbanding dirinya kerana itulah kekuatan lelaki.

    “Takkanlah kerana trauma dengan kejadian itu, kami hanya berkurung dalam rumah dan tidak keluar berjumpa orang pula. Tambah pula musim raya ini, banyak undangan menghadiri rumah terbuka. Justeru, saya dan suami tetap tidak melepaskan peluang menghadiri rumah terbuka Aidilfitri NSTP kali ini.

    “Ini adalah agenda tetap saya dan suami saban tahun. Acara seperti ini juga boleh mengeratkan silaturahim sesama artis lama dan baru serta bertukar fikiran mengenai perkembangan kerjaya seni masing-masing,” katanya.

    Apapun, kata Anita, dia dan suami kini lebih berhati-hati dengan mengelak ke tempat sunyi dan kawasan yang sering terbabit dengan kejadian jenayah. Malah Anita dan suami cuba mengelak keluar rumah pada lewat malam.

    “Kami sering berdoa kepada tuhan semoga sentiasa dilindungi daripada kejadian tidak diingini seperti itu pada masa depan. Apapun, saya baru selesai menjayakan program Perang Kuali untuk Astro.

    “Keputusan pemenang program ini diumumkan Jumaat lalu. Jika tiada aral, saya akan buat untuk musim kedua nanti.

    “Selain itu, selepas tampil dengan single raya Maafkan, saya akan muncul dengan single kedua yang masih dalam perbincangan dengan Astro,” katanya.

    Keramahan Anita memang sudah diakui wartawan. Malah pada majlis rumah terbuka Aidilfitri NSTP di Hotel Hilton Kuala Lumpur itu, Anita bangga digandingkan dengan pelakon dan penyanyi Maya Karin.

    Kata Anita, kali pertama berjumpa dengan Maya ialah beberapa tahun lalu. Ketika itu, mereka berlakon bersama dalam filem.


    “Saya masih ingat, Maya menyambut saya dan suami di lapangan terbang dengan sejambak bunga. Dia juga mengaku sebagai peminat saya. Saya kagum dengan Maya kerana dia kini mencipta nama sebagai pelakon berbakat besar dan menang anugerah.

    “Sampai sekarang, kejelitaan Maya tidak berubah. Selepas berkahwin, dia masih cantik seperti dulu dan bakat lakonannya semakin menyerlah di persada perfileman tanah air. Maya juga artis muda generasi baru yang saya minat,” katanya.

    Jika Anita kini mempertaruhkan single raya Maafkan, Maya pula berdebar menanti reaksi peminat menerusi filem terbarunya, Pisau Cukur arahan Bernard Chauly yang menjengah pawagam tempatan pada 5 November ini.

    Kata Maya, setakat ini, maklum balas yang diterima cukup memberansangkan daripada pihak media pada tayangan malam gala filem itu baru-baru ini. Sebagai pelakon, sudah pasti saya juga berdebar menantikan kutipan filem ini nanti.

    “Demi kejayaan filem ini juga, saya dan pelakon lain akan turun padang untuk mempromosikan filem ini kepada peminat. Pada masa sama, Saya bersyukur kerana suami cukup memahami kerjaya seni yang diceburi dan sentiasa menyokong saya,” katanya.

    Mengenai pandangannya pada Anita, Maya berkata, dia sangat mengagumi Anita sejak dulu. Kehebatannya ketika beraksi di pentas bukan saja memukau penonton, malah dicemburui generasi muda seperti dirinya.

    “Saya kagum dengan tenaga yang dimilikinya hingga mampu beraksi hebat di pentas. Anita juga masih sihat dan aktif dalam bidang seni pada usia sekarang.

    “Selain itu, saya juga mengikuti perkembangan kerjaya seni Anita dari dulu sampai sekarang. Antara persembahan hebatnya yang pernah saya saksikan ialah ketika dia beraksi di Royal Albert Hall London yang disiarkan menerusi laman sesawang You Tube tidak lama dulu,” katanya.

    Seperti Anita, Maya berkata, dia juga tidak pernah ketinggalan menghadiri acara rumah terbuka NSTP saban tahun. Katanya, sesibuk manapun agenda seni, dia tetap pastikan dapat meluangkan masa sekejap pada acara ini.

    “Acara seperti ini juga membolehkan artis yang jarang berjumpa bertanya khabar masing-masing. Ia juga rumah terbuka Aidilfitri ketiga saya hadiri hari ini,” katanya.

    Rumah terbuka Aidilfitri NSTP diadakan setiap tahun sebagai meraikan pelanggan korporatnya. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Ariffin Mohammed Isa; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior kamarul Shahid dan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar.

    Majlis diserikan dengan kehadiran artis terkenal dan popular tanah air. Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa turut hadir walaupun perlu bergegas untuk memenuhi satu lagi majlis. Begitu juga pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira hadir bersama suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin; biduanita negara, Datuk Sharifah Aini; pelakon dan produser Datin Seri Tiara Jacquelina; Rosyam Nor; Azean Irdawaty dan Aznil Nawawi.

    Tidak ketinggalan, produser terkenal, David Teo; Datuk Yusof Haslam; Norman Abdul Halim; penerbit kontroversi ..... Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman; Zaiton Mohd Jiwa dan pereka fesyen terkenal Calvin Thoo.

    Tambah meriah dengan kehadiran artis muda, Linda Onn, Mawi, Ekin, Anuar Zain, Farid Kamil, Scha Al Yahya, Marsha Milan Londoh, Ummi Nazeera, Lufya, Lisa Surihani, Fazli Zainal, Iqram Dinzly, Fouziah Gous, Irma Hasmie, Faezah Elai, Awal Ashaari, Diddy AF, Mila, Aizat, Sheila Abdul, Nubhan, Dafi, Riz, Tania Hudson dan Nikki Palikat.

    FOLLOW ME

    CHATROOM

    http://www.meebo.com/rooms

    BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

    LINK Blog Saya