Cari Blog Ini

Selasa, 17 November 2009

Mohon sah rujuk




HULU LANGAT: Keliru dengan tindakan isteri berkahwin dengan lelaki lain ketika masih mempunyai suami, seorang lelaki semalam memfailkan permohonan pengesahan rujuk yang dibuatnya dengan wanita berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, walaupun isterinya sudah meninggal dunia, dua tahun lalu.

Mohamad Fuzi Sulaiman, 60, mendakwa dia dan Noraini Abu Bakar, 53, masih pasangan suami isteri yang sah selepas mereka merujuk semula sehari selepas bercerai pada 1984.

Berikutan itu, Mohamad Fuzi memfailkan permohonan merujuk dengan Allahyarham Noraini pada Mei tahun lalu dan kes itu didengar di mahkamah semalam yang menetapkan 23 November ini untuk keputusan permohonan itu.

Terdahulu dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Fazil Hasan, peguam syarie Norazmi Mohd Arif yang mewakili Mohamad Fuzi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memasukkan hujah tambahan berhubung nas undang-undang berkaitan kes sedemikian pada 9 November lalu.




Mohamad Fuzi bernikah dengan Noraini pada 1976 dan dikurniakan empat anak perempuan berusia 26 hingga 32 tahun, sebelum mereka bercerai pada 2 November 1984, tetapi rujuk semula pada keesokan harinya.

Pasangan itu tinggal berasingan pada 2001 walaupun masih bergelar suami isteri.

Bagaimanapun, wanita berkenaan yang bertugas sebagai anggota polis didakwa bernikah kali kedua pada 2001 dengan seorang lelaki lain sebelum meninggal dunia pada 2007.

Mohamad Fuzi mendakwa dia tidak pernah dipanggil ke mana-mana mahkamah untuk mengesahkan lafaz cerai dan terkejut apabila isterinya mempunyai surat perceraian sedangkan mereka rujuk kembali dan hidup sebagai suami isteri sehingga 2001.

Sementara itu, anak sulungnya, Mimi Sophia mendakwa, pihaknya sudah membuat siasatan terhadap surat cerai yang didakwa dimiliki arwah ibunya dan mendapati ia meragukan.

Katanya, ini kerana seorang daripada saksi yang dicatatkan dalam surat cerai itu menafikan dia pernah menandatangani borang berkenaan.

Norazmi ketika ditemui berkata, jika berjaya dalam permohonan itu, pihaknya akan mengemukakan permohonan faraq nikah (membatalkan pernikahan) Noraini dengan suami barunya

Syabu RM1 juta



SHAH ALAM: Walaupun melepasi kawalan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), seorang wanita warga Iran gagal mengaburi pihak berkuasa apabila dia ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu di sebuah hotel di Bandar Utama, Petaling Jaya, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi, polis yang menerima maklumat mengenai perbuatan wanita terbabit menyerbu bilik hotel bertaraf lima bintang yang dihuninya bersama seorang lelaki, juga warga Iran.

Hasil pemeriksaan polis menemui dua beg yang mengandung syabu seberat kira-kira empat kilogram yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Abd Razak Md Zin, berkata kejayaan itu hasil maklumat awam sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bukit Aman diketuai Cif Inspektor Azizan Ganti, menyerbu hotel yang disewa suspek.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati wanita berusia 33 tahun baru tiba di negara ini menerusi penerbangan terus Dubai-KLIA, kira-kira jam 6 pagi.

“Hasil siasatan mendapati wanita ini tidak bekerja dan enam kali memasuki negara ini dari awal tahun dan kami sedang menyiasat tujuan dia datang ke negara ini.

“Manakala suspek lelaki yang berusia 43 tahun bekerja sebagai pengurus produk di ibu kota dan tinggal di negara ini sejak lebih tiga tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut dirampas wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk RM5,000, AS$2,000 dan sejumlah matawang Iran.

Abd Razak berkata, wanita dan lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang ikatan dan polis sedang menyiasat sejauh mana pembabitan mereka dalam aktiviti pengedaran dadah di negara ini.

“Siasatan juga dibuat bagaimana suspek berjaya melepasi kawalan ketat di KLIA dan membawa masuk dadah,” katanya, sambil menambah dadah itu untuk pasaran di negara ini.

Kedua-dua suspek itu direman tujuh hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Majikan bela Brooke Magnanti




ONDON: Majikan saintis berusia 34 tahun yang menulis buku mengisahkan kehidupan seorang pelacur semalam membelanya selepas saintis itu menngaku dia sebenarnya pelacur itu, ‘Belle de Jour.’

Doktor Brooke Magnanti yang bekerja di Institut Kajian Kesihatan Kanak-Kanak mendedahkan bahawa dia sebenarnya orang di sebalik nama pena itu, judul filem Perancis terkenal pada 1960-an yang dibintangi Catherine Deneuve.

Brooke menetap di Bristol, barat daya England mendedahkan identiti sebenarnya kepada akhbar The Sunday Times kelmarin kerana bimbang bekas teman lelakinya membocorkan rahsia itu dan untuk meringankan bebannya yang menjalani dua kehidupan serentak.

Brooke menulis pengalamannya sepanjang 2003 hingga 2004 yang kemudian menjadi buku paling laris, “The Intimate Adventures of a London Call Girl”.

ia kemudian dijadikan siri televisyen berjudul ‘Diari Rahsia Seorang Pelacur’ dan ditayangkan di seluruh dunia.

Brooke menganggotai pasukan penyelidik yang terbabit mengkaji ancaman kemungkinan terhadap bayi akibat ibu mereka yang terdedah kepada racun kimia.

Jurucakap majikannya, Universiti Bristol memberitahu AFP: “Brooke adalah kakitangan unversiti tetapi kami tidak mempunyai sebarang kenyataan untuk menambah mengenai perkara itu.

“Dia adalah penyelidik. Dia hanya sebahagian daripada kakitangan di sini dan apa yang berlaku pada masa lalu tidak ada kena mengena dengan apa yang dilakukannya sekarang.”

Brooke berada di London untuk mencari pekerjaan ketika berusaha menyiapkan tesis untuk ijazah kedoktorannya tetapi berdepan dengan masalah kewangan.

Dia menyertai sebuah agensi pelacuran dan mula menawarkan seks dengan mengenakan caj 300 paun (RM1,700) untuk satu sesi.

Doktor itu yang mengekalkan diari Internet yang disimpannya ketika itu menulis: “”Untuk meneruskan dua kehidupan serentak adalah terlalu sukar untuk jangka masa panjang.

“”Saya selalu menyangka sebahagian daripada kehidupan saya yang saya tulis akan hilang begitu sahaja dan membolehkan saya meneruskan kehidupan, memisahkannya daripada kehidupan saya sebenar.”

Penerbitnya, Orion Books berkata: “Belle de Jour bertindak berani untuk mendedahkan identiti sebenarnya dan kami menyokong tindakannya untuk berbuat demikian.” - Agensi

Rabu, 11 November 2009

Bahaya Gerakan Wahabi



GERAKAN Wahabi diasaskan Imam Muhamad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703-1791). Beliau muncul ketika pengaruh mazhab Hambali sedang merosot dan umat Islam ketika itu melakukan pencemaran akidah seperti khurafat dan bidaah.

Perkembangan fahaman berkenaan di Malaysia kebanyakan dibawa pelajar yang pernah menuntut ilmu agama di negara Arab yang terpengaruh dengan ajaran itu.


Kehadiran golongan itu di sini dapat dirasakan berikutan ada pengikutnya berani mencerca ulama ahlu Sunnah Wal-Jamaah termasuk amalan sunat yang terdapat dalam ajaran Islam seperti doa qunut dan berzikir selepas solat.

Aliran Wahabi ibarat api dalam sekam dan boleh mengancam negara dan menyebabkan umat Islam bergaduh sesama sendiri jika tidak dibendung pihak berkuasa agama di Malaysia.

Mereka juga seperti musuh dalam selimut kerana sukar untuk mengenal pasti golongan ini apatah lagi mereka turut hadir dalam majlis agama, bersolat di masjid atau surau dan tidak mengaku diri mereka pengikut ajaran Wahabi.

Bagaimanapun, secara halus mereka menyusup dalam kelompok masyarakat Islam di negara ini dengan menghina mazhab Ahlu Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi rujukan umat Islam dengan membawa Islam mudah sehingga masyarakat keliru.

Mazhab Ahlu-Sunnah dalam syariat beragama sangat penting bukan saja kepada umat Islam sendiri, malah seluruh masyarakat.

Fahaman Wahabi turut menolak ijmak dan qias. Ijmak ialah persepakatan dalam hukum syarak di kalangan umat Islam dari satu zaman ke satu zaman selepas Nabi Muhamad s.a.w wafat.

Ini jelas dibuktikan dengan firman Allah s.a.w yang bermaksud: "Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman. Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah an-Nisaa', ayat 115).

Jadi, wajib kita mengikut apa yang diputuskan ijmak kerana ia senarai yang ketiga terpenting daripada sumber perundangan Islam.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemantauan Akidah dan Pentauliahan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ustaz Mahfuz Mohamad, fahaman Wahabi bertapak di negara ini sejak awal tahun 1900 apabila Sheikh Abdul Hadi membuka sekolah agama di Melaka.

"Bagaimanapun, sekolah itu tidak mendapat sambutan dan beliau berpindah ke Pulau Pinang. Melalui sekolah itu lahir tokoh fahaman Wahabi iaitu Sheikh Abu Bakar al-Ashaari.

"Selepas menamatkan pengajian di sekolah terbabit pada tahun 1925 beliau menyambung pengajiannya di Mesir dan pulang ke negara ini pada tahun 1932.

"Beliau menyebar fahaman Wahabi di Pulau Pinang, tetapi mendapat tentangan hebat ramai tokoh ulama ahlu Sunnah, antaranya Sheikh Abdullah Fahim.

"Beliau lari ke Kedah dan kemudian menetap di Perlis bagi menyebarkan fahaman Wahabi," katanya.

Mahfuz berkata, ketika itu ia dinamakan fahaman muda atau mudah kerana mereka selalu bermudah-mudahan.

Ini dicatatkan di dalam Kitab Senjata Syariat yang diterbitkan pada tahun 1953 khas bagi menjawab gerakan Wahabi oleh tiga tokoh ulama besar ketika itu: Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Tun Hussein Pokok Sena dan Sheikh Abdul Rahman Abdullah Merbok.

Abu Bakar as-Ashaari pernah menerbitkan buku bertajuk Ibadah Rasulullah s.a.w yang menimbulkan keraguan kerana 'menjelmakan' petua menghalalkan memakan biawak, ular, labi-labi dan penyu.

"Di dalam buku itu, Abu Bakar as-Ashaari mencaci amalan bermazhab yang dikatakan haram dan bidaah dalal.

"Ulama ketika itu sudah memberi amaran bahawa gerakan Wahabi sudah menyusup dalam masyarakat dan perlu membendung segera," katanya.

Hasil ketegasan ulama sebelum ini, fahaman Wahabi kian menyepi, tetapi kini muncul kembali berikutan banyak kelonggaran yang diberikan kepada sesiapa sahaja atas 'tiket' menyebarkan Islam.

"Golongan Wahabi tidak berpegang kepada mana-mana mazhab kononnya hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis.

"Tetapi, sejarah membuktikan ramai tokoh tersohor Islam seperti Imam Nawawi, Imam al-Ghazali, Termidzi, Bukhari dan Muslim berpegang kepada mazhab yang empat itu," katanya.

Katanya, tuduhan Wahabi terhadap beberapa amalan yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia seperti doa qunut, membaca al-Quran di atas kubur dan wirid selepas solat membuatkan umat keliru.

Merujuk kepada buku Makna Sebenar Bid'ah : Satu Penjelasan Rapi yang dikarang oleh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari yang turut disemak oleh Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Murtadza Ahmad, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya serta Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Saleh Ahmad menyebutkan ulama bersepakat mengenai pembahagian bid'ah antara yang terpuji dan tercela. Orang pertama yang mengatakan demikian ialah Umar r.a.

Ulama juga bersepakat bahawa sabda Rasulullah s.a.w yang menyebutkan: "Setiap yang bid'ah itu sesat" adalah hadis umum yang perlu dikhususkan.

Imam al-Syafie berkata: "Setiap yang mempunyai sandarannya dari sudut syarak, bukannya bid'ah sekalipun tidak diamalkan oleh generasi salaf. Mereka meninggalkan perkara itu mungkin kerana keuzuran."

Al-Imam Ibn Lub dalam menyangkal pendapat golongan yang tidak menyenangi amalan berdoa selepas sembahyang mengatakan perkara berkenaan tidak diamalkan generasi salaf.

Namun, tidak mungkin mengatakan hukumnya haram atau makruh kerana perkara yang dilakukan itu mempunyai asas dalam syarak.

Mengenai amalan membaca wirid beramai-ramai selepas sembahyang. Memang ia tidak pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, tetapi tidak haram. Sesiapa yang mendakwa amalan ini diharamkan bererti dia melakukan pembohongan atas nama Allah s.w.t.

Pengharaman amalan itu tidak disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Hadis Muslim yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidaklah berkumpul satu kaum di dalam rumah Allah sambil membaca al-Quran dan mengulangkaji antara sesama mereka melainkan turunlah kepada mereka ketenangan, dan mereka diliputi oleh rahmat dan dinaungi oleh malaikat, dan Allah menyebut perihal mereka kepada makhluk yang di sisiNya."

Hadis ini memberikan kefahaman bahawa membaca al-Quran secara beramai-ramai di dalam masjid adalah disyariatkan.

Dalam Sahih Muslim terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya'ari daripada nabi s.a.w yang bersabda yang maksudnya: "Selalulah membaca al-Quran, demi Dia Yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, al-Quran itu lebih mudah terlepas (hilang) daripada unta yang diikat." (Muslim. Kitab Salah al-Musafirin (231/791).

Kesimpulannya, dari segi tauhid, fahaman Wahabi bukan ajaran baru atau termasuk antara 73 cabang ajaran sesat, cuma ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat Islam kerana pendekatan yang diambil terlalu mudah tetapi bahaya.



INFO



Amalan dalam fahaman Wahabi antaranya:


  • Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah


  • Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu sama lain (Talfiq)


  • Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias


  • Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)


  • Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w


  • Menghancurkan tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik


  • Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya


  • Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk Mikraj dan lain-lain


  • Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya


  • Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh


  • Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah


  • Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah s.a.w


  • Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan, tetapi boleh baca dengan lurus sahaja


  • Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang


  • Amalan tariqah dilarang sama sekali


  • Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras

  • Mayat bayi di surau



    KUALA TERENGGANU: “Saya ingatkan ada orang tertinggal anak patung dalam surau, tetapi selepas dihendap dua tiga kali, baru perasan ia sebenarnya bayi yang cukup sifat,” kata bilal Surau Budiman, Mohamad Embong, 60, menceritakan detik awal penemuan mayat bayi lelaki ketika mahu melaungkan azan Asar di surau berkenaan, semalam.

    Menurutnya, mayat bayi itu ditemui dalam satu bungkusan tuala merah jambu yang ditinggalkan di ruang serba guna surau itu.

    “Sebaik melangkah masuk ke kawasan surau kira-kira jam 4 petang, saya terpandang satu bungkusan tuala di depan ruang pelbagai guna dan terpaksa mengendap dua tiga kali untuk memastikan objek berkenaan.

    “Pada mulanya, saya ingatkan anak patung kerana ia begitu comel dan putih selepuk (gebu) tetapi apabila diperhatikan secara dekat ia mayat seorang bayi sebelum terus menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dikenali sebagai Mohd Khani sebelum menghubungi polis,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

    Menurutnya, pemeriksaan polis mengesahkan objek berkenaan mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui.

    Muka koyak




    AMPANG: Ngeri apabila seorang lelaki warga Indonesia ditemui dalam keadaan mukanya berlumuran darah selepas dipercayai diserang sebelum kepalanya ditetak dengan parang oleh penjenayah yang memasuki rumahnya di sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, mangsa yang cedera parah di muka ditemui terbaring di rumahnya, berhampiran pasar Bandar Baru Ampang.

    Difahamkan, mangsa hanya mampu meraung menahan kesakitan sebelum jeritannya didengari orang ramai yang kemudian membantunya.

    Sumber berkata, sebaik mendengar jeritan mangsa, orang ramai pergi ke rumahnya dan terkejut apabila mendapati mangsa yang memakai kemeja-T terbaring dalam keadaan separuh sedar.

    Menurutnya, susulan itu, orang ramai mendapatkan bantuan anggota polis trafik Ampang berikutan kedudukan lokasi kejadian berhampiran dengan Ibu Pejabat Polis Trafik Ampang, di sini.

    “Seorang anggota polis trafik yang segera ke lokasi kejadian mulanya menyangka ia kejadian kemalangan, namun terkejut apabila mendapati mangsa dalam rumah dan ia mempunyai unsur jenayah.

    “Ketika ditemui, mangsa didapati cedera pada mulut dan hidung selain lebam mata kiri dipercayai dipukul dengan objek keras,” katanya.

    Malah, kejadian serangan itu menyebabkan muka mangsa mempunyai kesan koyak hampir 10 sentimeter dipercayai akibat kesan tetakan parang di mukanya.

    “Menyedari mangsa dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah, anggota polis trafik terbabit segera menghubungi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) untuk membantu menyelamatkan mangsa.

    “Beberapa petugas PBSM segera membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Ampang dengan menaiki ambulans,” katanya.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa lelaki warga Indonesia yang mempunyai status taraf penduduk tetap (PR).

    “Motif kejadian berkenaan dan individu yang menyerang mangsa menjadi tanya tanda dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Balai Polis Ampang untuk membantu siasatan,” katanya.

    Ahad, 8 November 2009

    Derita khunsa



    KUALA LUMPUR: “Selalu saya berdoa, ambillah nyawaku ketika masih sihat (ada kudrat), bukannya ketika sudah terlantar. Bukan menolak takdir, tetapi tidak mahu menyusahkan sesiapa. Jika sudah terlantar, nanti menyusahkan orang,” kata seorang khunsa yang menderita pelbagai jenis penyakit termasuk reput tulang sejak 20 tahun lalu.

    Mahu dikenali Suraya, 58, derita ditanggung khunsa yang memilih meneruskan hidup sebagai wanita itu bagaikan tiada kesudahan.

    Ketika zaman kanak-kanak sehingga remaja, dia berdepan tekanan perasaan akibat kecelaruan jantinanya dan sejak dewasa sehingga menjengah ke usia tua dia menanggung kesakitan berikutan penyakit dialaminya.

    Suraya mendakwa episod deritanya bermula apabila dia mengambil sejenis pil hormon wanita dikenali dengan nama ‘dexamethasone’ ketika berusia 27 tahun.

    “Saya ada dua alat kelamin, lelaki dan wanita tapi jiwa serta naluri saya lebih terarah kepada lelaki. Masalahnya, fizikal saya seperti wanita dan ibu bapa pula mendidik saya supaya menjadi wanita. Arwah nenek pula ‘mengisytiharkan’ saya wanita.

    “Biasalah.. cakap orang tua kita kena dengar. Arwah nenek beritahu ayah dan ibu supaya terima ketentuan Allah. Dan, sejak itu saya dididik menjadi wanita,” katanya.

    Suraya berkata, dari kecil dia disuruh memasak, membasuh dan melakukan seperti apa yang dilakukan seorang wanita.

    “Oleh kerana jiwa dan naluri saya lebih terarah kepada lelaki, saya cukup tidak suka melakukan pekerjaan itu (memasak dan membasuh). Saya dipakaikan dengan pakaian wanita tetapi perwatakan saya lebih kepada lelaki,” katanya.

    Menurut Suraya, walaupun jiwanya memberontak mahu menjadi seorang lelaki, dia patuh dengan kehendak ayah dan ibunya.

    “Saya menjadi seperti wanita. Pakai baju wanita dan bersekolah menengah pun di sekolah wanita. Namun, saya tidak mampu mengetepikan jiwa dan naluri lelaki yang ada dalam diri saya.

    “Disebabkan tidak mahu melawan cakap orang tua, sampai satu tahap saya mengambil keputusan untuk menjadi wanita yang sejati,” katanya.

    Menurut Suraya, dia berjumpa doktor dan hasil pemeriksaan doktor pakar mengesahkan fizikalnya lebih cenderung kepada wanita biarpun mempunyai alat sulit lelaki dan wanita.

    “Doktor menyarankan saya mengambil pil ‘dexamethasone’ yang berfungsi menambah hormon wanita dalam tubuh saya.

    “Jika mahu jadi lelaki, saya perlu menjalani pembedahan pada alat kemaluan tapi alat sulit lelaki saya tidak boleh berfungsi seperti lelaki lain dan saya juga tidak boleh mendapat zuriat.

    “Disebabkan tidak mahu ‘pening kepala’ saya ikut nasihat doktor dengan makan pil ‘dexamethasone.’ Hasilnya, ciri-ciri wanita mula terserlah pada diri saya. Saya ada buah dada, tetapi tidaklah sempurna seperti wanita sebenar.

    “Suara saya juga berubah daripada garau kepada sedikit halus. Paling mengejutkan, saya datang haid di ketika usia 28 tahun,” katanya.

    Menurut Suraya, malangnya ‘nikmat’ menjadi wanita hanya dirasakannya buat seketika saja kerana selepas lima bulan, dia mendakwa mula menerima kesan sampingan daripada ubat yang diambil.

    “Berat badan saya naik mendadak, tulang dan sendi sakit. Seluruh badan saya sakit, daripada tengkuk sampailah ke kaki. Pemeriksaan doktor juga mendapati tulang saya mereput.

    “Jari tangan, kaki menjadi bengkok, kaki, tangan bengkak, dan tapak kaki menggelupas dan pecah menyebabkan kesakitan sehingga sukar bergerak,” katanya.

    Suraya berkata, dia berkali-kali dinasihatkan doktor supaya menjalani pembedahan tetapi ayahnya tidak membenarkannya kerana bimbang berlaku perkara tidak dingini kepadanya.

    “Disebabkan itu saya banyak bergantung kepada ubat dan menjalani fisioterapi. Bagaimanapun, pada 2000, saya mengalami sakit yang teruk pada bahagian pinggul sebelah kanan.

    “Kerana tiada pilihan saya terpaksa menjalani pembedahan penggantian sendi pinggul kanan. Pembedahan itu dilakukan pada April 2000,” katanya.

    Menurut Suraya, pada 2006, dalam keadaan masih menderita pelbagai penyakit tulang dan sendi, dia berdepan masalah sakit tulang belakang.

    “Doktor yang merawat saya memberitahu tulang saya mereput dan perlu dibedah. Tulang yang reput itu perlu diganti dengan tulang plastik.

    “Ayah tidak membenarkannya kerana bimbang saya langsung tidak boleh bergerak jika melakukan pembedahan itu,” katanya.

    Suraya berkata, sejak 20 tahun lalu, hospital umpama rumah keduanya kerana dia perlu mendapatkan pelbagai rawatan dan ubat untuk penyakit tulang dan sendi yang dialaminya.

    “Perasaan menyesal kerana memilih mengambil pil berkenaan memang ada, tetapi saya pasrah dan menganggapnya takdir. Derita yang saya tanggung amat perit untuk ditempuh. Fikiran terganggu, perasaan terguris,” katanya.

    Menurut Suraya dia tidak diberitahu kesan pengambilan pil berkenaan oleh doktor yang merawatnya dulu menyebabkan dia tidak berfikir panjang menerima tawaran yang diberi.

    “Mungkin pada tahun itu (1978) doktor tidak arif dengan kesan yang bakal diterima oleh pengguna pil itu. Selepas beberapa tahun barulah saya diberitahu oleh doktor lain bahawa pil berkenaan boleh mereputkan tulang.

    “Saya juga membaca beberapa laporan di akhbar yang turut menyatakan kesan pengambilan pil berkenaan boleh menyebabkan tulang mereput dan sendi rosak,” katanya.

    Suraya berkata, walaupun pil itu menjadi punca kepada penderitaannya, dia tidak boleh berhenti daripada mengambilnya setiap hari.

    “Jika saya tidak makan pil itu, saya tidak boleh bangun dan hanya mampu berbaring. Wajah dan tubuh saya pula dipenuhi bintik merah. Selama tiga hari tidak mengambil pil itu, nyawa saya mungkin melayang. Itu nasihat doktor yang perlu saya patuhi,” katanya.

    Gara-gara penderitaan dialami, dia terpaksa berhenti kerja lebih awal daripada yang sepatutnya dan kini terpaksa menggunakan tongkat dan kerusi roda untuk bergerak.

    “Sudah puas saya menangis. Apa pun saya reda dengan ketentuan Allah SWT. Cuma, saya berasa sangat sunyi,” katanya.

    Suraya kini menetap bersama adiknya di ibu kota dan bercadang untuk pulang ke kampung dan menghabiskan sisa hidupnya di sisi ayah dan ibunya.

    Wanita mengaku anak kerja Jawi




    KUALA LUMPUR: “Tak perlu tangkap saya, anak saya juga anggota Jawi,” itu alasan seorang wanita berusia 30-an yang ditahan kerana disyaki khalwat bersama pasangannya dalam Operasi Bersepadu Cegah Gejala Sosial oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sekitar hotel murah di sini, awal pagi semalam.

    Pasangan wanita terbabit, lelaki warga pakistan pula memberi alasan mereka sudah berkahwin tetapi gagal menunjukkan dokumen berkaitan apabila diminta.

    Ketika serbuan dilakukan di rumah tumpangan di Jalan Petaling, wanita itu pada mulanya bersembunyi di dalam tandas dan mengunci pintu bilik dari dalam.

    Selepas dipaksa akhirnya wanita itu keluar dan berkata Jawi tidak perlu menangkapnya kerana anak bertugas sebagai pegawai Jawi, namun alasan itu gagal melepaskannya daripada dikenakan tindakan.

    Dalam serbuan ke hotel lain, penguat kuasa dikejutkan dengan aksi “selimut berdiri” sebelum mendapati terdapat seorang gadis yang bersembunyi di dalamnya.

    Gadis itu yang malu kerana tidak memakai baju menutup badannya dalam selimut selepas bilik yang dihuninya bersama pasangannya diserbu. Dia yang menangis teresak-esak merayu agar dilepaskan, namun tindakan tetap dikenakan terhadapnya.

    Dalam operasi yang bermula jam 11 malam itu, keseluruhannya enam pasangan ditahan kerana disyaki berkhalwat manakala 24 kutu rayau ditahan dalam operasi bersama antara Jawi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Jurucakap Jawi ketika dihubungi berkata, pasangan yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 27, Akta 559 (a)(b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM3,000, jika didapati bersalah.

    Fibromyalgia serang wanita


    AWAS kepada wanita yang bekerjaya! Anda berisiko mengalami masalah kesihatan yang jarang kita dengar iaitu `fibromyalgia'. Ia boleh menyebabkan seseorang itu menjadi lesu, sakit pada hampir seluruh otot badan selain mengakibatkan penghidapnya berasa serba tidak kena atau menjadi gelisah.

    Dengan masalah kesihatan yang puncanya masih menjadi misteri, penyakit fibromyalgia akan menyebabkan sakit, tegang dan bengkak pada bahagian otot, tendon dan sendi, sekali gus menjejaskan keupayaan bekerja atau untuk melakukan aktiviti harian.

    Sesetengah pakar perubatan berpendapat fibromyalgia kemungkinan disebabkan penghidapnya mempunyai sel saraf terlalu sensitif dan bahan kimia dalam otak (neurotransmitter) keluar daripada keseimbangan atau berkaitan dengan masalah dengan fasa dalam tidur tetapi tiada fakta yang boleh menyokongnya, sekali gus menyebabkan ia menjadi sungguh `unik'.

    Berikutan keunikan fibromyalgia itu, sekumpulan pakar dari seluruh Asia Tenggara cuba menjalankan kaji selidik mengenai penyakit berkenaan menerusi program Kaji Selidik Kesedaran, Kebimbangan dan Gaya Fibromyalgia Asia Tenggara (S.E Asia FACTS) yang diketuai Presiden Persatuan Pengajian Kesakitan Kronik Thailand, Prof Bersekutu Pradit Prateepavanich.

    Kaji selidik itu mendapat sokongan Pfizer Inc dan segala datanya dikumpul selama sebulan sejak Jun lalu dibentangkan kepada media dari Malaysia, Indonesia dan Thailand di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

    Kaji selidik itu dibentangkan sendiri oleh Prof Pradit dan Ketua Kawalan Kesakitan Klinik Makati di Pusat Perubatan Makati, Filipina, Dr Henry Lu.

    Turut serta pesakit fibromyalgia, Angela Chiarapurk, bagi menceritakan pengalamannya sehingga diagnosis.

    Kaji selidik berkenaan membabitkan 506 responden awam dan 941 doktor di lima negara Asia Tenggara iaitu Thailand, Singapura, Filipina, Malaysia dan Indonesia.

    Hasilnya menunjukkan bahawa fibromyalgia kurang difahami sama ada oleh responden awam atau doktor sendiri hingga menyebabkan pesakit terpaksa menunggu antara tiga hingga empat bulan untuk diagnosis.

    Kaji selidik juga mendedahkan pesakit yang mempunyai pengalaman fibromyalgia akan mengalami konsekuensi kewangan yang serius kerana tidak mampu bekerja hingga menyebabkan hidup mereka semakin tertekan.

    “Kaji selidik ini adalah yang pertama dibuat di Asia Tenggara, hasilnya amat penting bagi membolehkan kita menilai tahap dan `berurusan' dengan fibromyalgia di Asia Tenggarai.

    "Saya berharap kesedaran penemuan laporan kami membantu memulakan dialog mengenai cara meningkatkan diagnosis dan pengurusan orang dengan fibromialgia di Asia." kata Prof Bersekutu Pradit.

    Menurutnya, fibromyalgia disifatkan sebagai sesuatu yang umum tetapi ia kronik, tersebar luas dan sudah mempengaruhi 40 juta orang di seluruh dunia.

    Data saintifik menyokong konsep `neuron hiper-sifat dapat dirangsang di bahagian pemprosesan dan emosional dalam otak' dan ini menjelaskan kenapa pesakit fibromyalgia lebih peka terhadap rasa sakit, sakit lebih teruk daripada orang lain, pesakit miskin yang sangat respons terhadap tekanan.

    Beliau berkata, fibromyalgia biasanya disertai kurang tidur, simpulan dan kelelahan. Perempuan lebih senang mengalaminya berbanding lelaki dengan nisbah 9:1.

    Di samping itu, hampir 60 peratus daripada pesakit Thailand dan sekurang-kurangnya 20 peratus responden di empat negara lain yang menjalani kaji selidik menyatakan kualiti kerja mereka terjejas kerana terpaksa mengambil cuti sakit.

    Kira-kira 60 peratus pesakit di Indonesia, Filipina dan Thailand serta 30 peratus lagi di Malaysia dan Singapura mendakwa sukar untuk mendapatkan diagnosis fibromyalgia.

    Pesakit terpaksa menunggu antara lima hingga 15 bulan untuk diagnosis selepas mengalami gejala pertama dan terpaksa melalui tambahan sehingga tiga hingga sembilan bulan lagi untuk rawatan.

    Bagi Ketua Kawalan Kesakitan Klinik Makati di Pusat Perubatan Makati, Filipina, Dr Henry Lu, berkata masalah ketara bukan hanya untuk mencari punca kepada fibromyalgia tetapi juga didapati sebahagian besar doktor di Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand sendiri tidak begitu mengenali fibromyalgia serta lebih separuh daripada mereka tidak yakin mengenai kaedah rawatan atau menguruskan pesakit mereka.

    "Keadaan ini menunjukkan bahawa fibromyalgia adalah topik yang tidak dikenali. Justeru, hasil kaji selidik ini menunjukkan bahawa doktor di seluruh Asia memerlukan lebih banyak pengalaman dan latihan dalam menguruskan pesakit fibromyalgia.

    "Sangat penting bahawa komuniti perubatan sekarang mengambil langkah untuk menyediakan doktor dengan pendidikan, latihan dan sokongan yang mereka perlukan untuk membantu menguruskan pesakit," katanya.

    Secara umumnya, menurut Dr Henry, kesakitan akibat fibromyalgia selalunya bermula daripada otot dan boleh berlaku pada dua bahagian tubuh sama ada di bawah atau atas paras pinggang yang menjejaskan leher, punggung, bahu, lengan, bahagian atas badan dan dada.

    "Fibromyalgia ialah masalah yang biasa berlaku di otot. Tisu yang sakit biasanya tidak disertai dengan masalah radang. Maka, ia tidak merosakkan tubuh atau organ dalaman.

    “Kesakitan pula selalunya bertumpu di kawasan lembut yang membolehkan rasa sakit ketara apabila disentuh, terutama pada bahagian siku, bahu, lutut, pinggul, belakang kepala serta bahagian tepi tulang dada.

    "Walaupun puncanya tidak diketahui, bagi kebanyakan kes, ia lebih kerap berlaku pada wanita berusia 35 hingga 55 tahun. Ada kalanya berlaku sendiri dan ada kalanya berkaitan dengan penyakit lain," katanya.

    Simptom fibromyalgia juga berbeza bagi setiap penghidapnya iaitu hampir 90 peratus pesakitnya akan berasa keletihan yang keterlaluan yang dikaitkan dengan pola tidur yang luar biasa disebabkan tidak mendapat kualiti tidur yang cukup kerana biasanya akan kerap terjaga daripada tidur dan sukar melelapkan mata kerana sakit otot.

    Katanya, pesakit fibromyalgia juga biasanya akan mengalami gangguan emosi yang boleh dilihat menerusi masalah seperti kurang tumpuan, mudah lupa, perasaan mudah berubah-ubah, tertekan dan kerisauan.

    “Satu lagi simptom yang biasa dialami pesakit ialah masalah migrain dan kebas di beberapa bahagian badan. Malah, ada yang mengalami gangguan pada sistem pencernaan. Disebabkan simptom yang pelbagai itulah, setiap pesakit fibromyalgia dianggap unik,” katanya.

    Disebabkan punca fibromyalgia tidak diketahui, tiada satu rawatan khusus untuk membantu melegakan simptom berkenaan. Oleh itu, perbincangan dengan doktor membantu memastikan rawatan terbaik tetapi biasanya akan mengambil pil atau ubat melegakan otot serta senaman terapi yang dikenal pasti juga boleh membantu.

    Sementara itu, Angela, 33, yang mengalami fibromyalgia sejak berusia 24 tahun mengakui pengalaman akibat penyakit berkenaan amat memeritkannya sebelum didiagnosis pada tahun lalu oleh Pradit.

    Sebelum didiagnosis menderita fibromyalgia, Angela sudah bertemu dengan sembilan profesional kesihatan yang berbeza dalam sembilan tahun, termasuk ahli saraf, dua akupunktur, pakar tulang dan pengamal perubatan Cina dengan harapan mendapatkan memberi rawatan terhadap penyakitnya ketika itu.

    “Keadaan tetap tidak berubah dan menyebabkan saya agak kecewa kerana semua itu tidak membantu melegakan sakit dan terus `terseksa' secara fizikal dan mental,” katanya.

    Beliau berkata, kerana sakitnya itu menyebabkan dia berhadapan sukar untuk tidur dan keadaan itu menyebabkan dia mengalami gangguan dalam kemampuannya untuk ke tempat kerja.

    “Saya turut mengalami perubahan dalam kegiatan sosial serta kesakitan itu juga membuat saya cepat hilang sabar dan lebih mudah tersinggung,” katanya.

    Angela kemudian dirujuk kepada Pradit sebelum mengesannya sedang menderita fibromyalgia yang dikenal pasti sebagai penyakit kronik tanpa ubat kekal.

    Namun, Angela tidak menyerah dan bertekad untuk mengembalikan hidup normalnya dan atas nasihat Pradit dengan mengubah gaya hidupnya, termasuk dari segi mengguna bantal ketika tidur hingga kepada pemakaian kasut agar mengikut postur yang lebih seimbang dengan fizikalnya serta mengamalkan senaman terapi.

    Sejak itu, sakitnya semakin berkurangan dan sudah boleh dapat tidur lebih lena dan lama.

    Rabu, 4 November 2009

    Bekas mufti mahu saman



    BUKIT MERTAJAM: “Tuduhan itu melampau dan mahu menjatuhkan kredibiliti saya pada pandangan masyarakat umum.

    “Justeru, saya akan ambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain AlGhari) serta Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam tempoh terdekat,” kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai tindakan pihak berkenaan yang disifatkannya keterlaluan.

    Bercakap kepada pemberita ketika memberi penjelasan mengenai isu berkaitan di Institut al-Qayyim di sini, kira-kira jam 10 malam tadi, beliau berkata tindakan Zamihan adalah perbuatan memfitnah dan berniat memalukannya.

    “Zamihan berkata, sijil saya palsu tapi bagaimana sebagai bekas mufti boleh memalsukan sijil sedangkan ia perlu untuk tujuan tertentu seperti menyambung pelajaran selain bertugas sebagai pensyarah.

    “Sebenarnya saya malu untuk menjawab perkara ini tapi pada masa sama dukacita dengan dakwaan dilemparkannya.

    “Peguam saya kini dalam proses menyiapkan draf terakhir dan esok (hari ini), saya akan menelitinya sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

    Dr Asri berkata demikian ketika mengulas dakwaan Zamihan dalam laporan sebuah akhbar, semalam bahawa beliau memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

    Zamihan mendakwa, bidang pengkhususan Dr Asri ialah Bahasa Arab dan Sastera kerana Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

    Bekas mufti itu berkata, tindakan Zamihan mempunyai niat tertentu yang boleh menjejas dan memalukan institusi berkenaan.

    Pada sidang media itu, Dr Mohd Asri turut menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab/Syariah yang diperolehnya pada 1995.

    “Bagaimana saya hendak palsukan ijazah ini dan saya yakin dia hendak beritahu masyarakat supaya tidak percaya dengan saya,” katanya dengan nada kesal.

    Mengenai tindakan saman ke atas PGSM, beliau berkata, ia berikutan rentetan memorandum yang dihantar persatuan itu serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Oktober lalu yang membantah cadangan melantik beliau sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

    Dr Mohd Asri turut meminta Jakim memohon maaf terhadap tindakan Zamihan dan meminta jabatan itu memberi penjelasan mengenai perkara berkenaan.

    Wanita tendang perut penyamun



    TELUK INTAN: Tindakan pantas seorang wanita menendang kaki serta perut seorang penyamun bersenjata pisau bukan saja mengelaknya daripada risiko kecederaan, malah aksi beraninya itu menyebabkan suspek dicekup dan dibelasah orang ramai sebelum ditahan polis.

    Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, seorang wanita berusia 40-an yang enggan dikenali cuba disamun seorang lelaki bersenjata pisau sebaik keluar dari sebuah bank di Jalan Syed Abu Bakar di sini.

    Pada mulanya, suspek berusia 30 tahun itu mengekori mangsa sehingga ke tempat letak kereta sebelum mendakap mangsa dari belakang dan mengarah mangsa masuk dalam kereta.

    Mangsa yang pada mulanya panik, bertindak berani menendang suspek sebelum menjerit meminta tolong.



    Tindakan mangsa menjerit sekuat-kuat hati menyebabkan orang ramai dan pelanggan dalam bank keluar dan menyebabkan suspek cuba melarikan diri.

    Bagaimanapun, suspek ditahan sebelum diserahkan kepada seorang anggota polis berpakaian biasa yang lalu di kawasan itu.

    Aksi cemas itu bukan saja mengejutkan orang ramai di Jalan Syed Abu Bakar, malah memberi amaran kepada mereka supaya berhati-hati terutama selepas keluar dari bank.

    Suspek yang juga seorang penagih dadah dibawa ke Balai Polis Teluk Intan untuk siasatan sebelum direman untuk siasatan lanjut.

    Kira-kira sebulan lalu, kejadian hampir sama berlaku di depan sebuah bank di Jalan Pasar apabila dua suspek menerpa seorang wanita yang baru hendak menaiki keretanya selepas berurusan di bank berkenaan sebelum diarah masuk dalam kereta.

    Suspek menculik mangsa dan merompak wang RM400 dan melarikan kereta mangsa sebelum ditinggalkan keseorangan di Jalan Tembaga kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

    Selasa, 3 November 2009

    Sasar gadis montel



    KUALA LUMPUR: Kata-kata memikat dan ayat meraih simpati cukup menjadi helah bagi seorang penganggur mengikis wang beberapa gadis berbadan montel sebelum ditinggalkan di kawasan terpencil selepas mereka kehabisan duit.

    Dengan penampilan bertindik sebelah telinga serta berbadan kurus, kasanova junior berusia 19 tahun itu bijak menggunakan laman sosial MySpace di Internet untuk mencari mangsa gadis berbadan gempal sebelum dipujuk bertemu.

    Mangsa diajak bersiar-siar dan amalan itu diulang beberapa hari dan pada masa sama, gadis yang menjadi sasaran tipu, dipujuk supaya meminta wang daripada ibu bapa untuk berbelanja.

    Bagaimanapun, mangsa ditinggalkan sehelai sepinggang di tempat tertentu selepas semua wang dibawa dihabiskan kasanova itu.

    Kegiatan kasanova itu didedahkan seorang bapa yang turut kehilangan anaknya dipercayai mengikut pemuda terbabit hampir dua minggu lalu dan gagal dikesan sehingga kini

    Roni Mat Zin, 45, berkata pada jam 3.30 petang pada 23 Oktober lalu, anaknya, Asmira, 19, menghubunginya untuk meminta izin ke Kuantan, Pahang, bagi membeli peralatan menyiapkan kertas kerja pengajiannya.

    “Anak saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di Kuantan dan dengan ditemani seorang rakan, dia ke bandar tetapi sebenarnya untuk bertemu lelaki itu.

    “Saya tak tahu perkara itu sehinggalah dimaklumkan kehilangan Asmira keesokan hari oleh seorang rakannya dan diberitahu mengenai kejadian sebenar,” katanya yang datang ke Balai Berita, semalam.

    Roni yang bertugas sebagai pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, selepas pertemuan itu, pemuda terbabit menghubungi Asmira sebelah malam memberitahu dia tidak mempunyai wang membeli tiket bas pulang ke Kuala Lumpur.

    “Dengan bantuan seorang rakan, anak saya keluar dari asrama ke stesen bas dan meminta rakannya pulang dulu sehingga dihubungi menjemputnya ke asrama semula. Anak saya ketika itu hanya memakai seluar trek, tudung putih dan baju-T jingga.

    “Asmira gagal dihubungi dan usaha menjejakinya mendapati dia kerap bergerak antara Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur, berdasarkan rekod pengeluaran wang di ATM serta penggunaan telefon bimbitnya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sentul.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada rakan anaknya dan polis, dia mendapatkan gambar wajah pemuda terbabit serta mangsa lain kasanova itu.

    “Saya menemui seorang gadis berusia 21 tahun di Shah Alam dan dimaklumkan dia juga dipengaruhi kasanova itu dan berlegar-legar tanpa tujuan dua minggu sebelum ditinggalkan di sebuah rumah sewa di Ipoh, Perak, selepas tidak lagi mampu memberikan wang.

    “Malah, saya terkejut apabila dia mendakwa lebih daripada empat gadis yang semuanya berbadan besar menjadi mangsa kikis pemuda itu,” katanya.

    Roni berkata, dia tidak tahu sama ada kasanova itu menggunakan ilmu pukau, namun dia didakwa mampu mempengaruhi ramai gadis dengan menceritakan kesusahan dan keperitan hidupnya.

    “Saya bimbang keselamatan Asmira yang tidak diketahui di mana dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi saya di talian 013-3434604 atau balai polis berdekatan,” katanya.

    Bagasi isi syabu



    NILAI: Paparan imej meragukan di bawah bagasi pakaian dibawa warga Jepun ketika melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang membawa kepada penemuan 4.7 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM1.175 juta.

    Dalam pemeriksaan jam 9.55 malam Jumaat lalu, pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menemui dadah berkenaan dalam dua bungkusan plastik cerah disembunyikan dalam ruang khas di bawah bagasi dibawa wanita berusia 30-an terbabit.

    Kejayaan itu diperoleh apabila Unit Khas Pemeriksaan Penumpang KLIA membuat pemeriksaan ke atas setiap penumpang yang menggunakan penerbangan dari negara berisiko mulai 29 Oktober hingga kelmarin.

    Pengarah Kastam KLIA, Azizah Ibrahim, berkata ketika ditahan, wanita yang baru tiba dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu, membawa tiga bagasi pakaian dan imbasan mendapati satu bagasi itu memberi imej meragukan di bahagian bawah.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan fizikal, pegawai menemui dua bungkusan plastik cerah di dalamnya mengandungi bahan kristal putih disyaki syabu tersorok di ruang khas di bawah bagasi.

    “Kes itu diserahkan kepada cawangan narkotik dan siasatan awal mengesahkan dadah dijumpai itu syabu, dengan anggaran berat kasar 4.7 kg dan nilai pasaran RM1.175 juta.

    “Wanita warga Jepun itu ditahan reman enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

    “Kejayaan ini memberi gambaran pihak sindiket sentiasa bertukar taktik membabitkan pelbagai bangsa,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Kampung Jijan, dekat sini, semalam.

    Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Mohd Subri Awang.

    Sementara itu, Azizah berkata, berdasarkan statistik sehingga awal bulan ini, terdapat 50 kes membabitkan dadah cuba dibawa masuk ke negara ini dengan bilangan orang yang kena tuduh seramai 36 orang, 33 membabitkan warga asing manakala selebihnya rakyat tempatan.

    Padah liat bayar hutang



    menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi musim depan. JIKA muncul juara Piala Malaysia musim ini, itu mungkin gelaran terakhir buat Kelantan apabila skuad Wira Merah itu tersenarai sebagai salah satu daripada enam pasukan yang tidak akan dibenarkan beraksi pada saingan Liga M musim depan.

    Kelantan, Perak dan Pulau Pinang adalah tiga pasukan daripada Liga Super yang dilarang beraksi pada musim 2010 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala tiga lagi pasukan ialah Pahang, Shahzan Muda dan Melaka dari Liga Perdana.

    Dua lagi pasukan bertaraf kelab yang sebelum ini dikatakan bakal mengundur diri, UPB/MyTeam dari Liga Super dan Proton FC dari Liga perdana kini sudah sah tidak akan menyertai saingan Liga-M musim depan.

    Perkara itu didedahkan Naib Presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh ketika dihubungi petang semalam dan beliau berkata larangan terhadap enam pasukan itu dibuat selepas semua mereka gagal menyelesaikan hutang tertunggak.

    Khabar terbaru itu pastinya mengejutkan ramai kerana umum tahu bahawa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) adalah antara badan induk yang paling mewah musim ini kerana mampu mengutip jualan tiket yang tinggi selain pernah membawa pemain mereka ‘makan angin’ di luar negara selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.

    Che Mat bagaimanapun menjelaskan bahawa sebarang keputusan muktamad akan ditentukan pada mesyuarat majlis FAM yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    “Sehingga tamat tarikh akhir iaitu 31 Oktober, semua enam pasukan terbabit masih lagi gagal menjelaskan hal-hal yang tertunggak. Kita sudah mengarahkan semua pasukan yang mahu menyertai Liga M musim depan supaya menjelaskan hutang masing-masing.

    “Tarikh asal untuk mereka berbuat demikian ialah pertengahan Oktober tetapi dilanjutkan kepada 31 Oktober bagi memberi peluang kepada semua pasukan untuk menyelesaikan semua masalah yang mereka hadapi.

    “Datuk Azzuddin (Setiausaha Agung FAM) sudah mengeluarkan surat peringatan kepada semua persatuan bola sepak negeri atau kelab tetapi hingga hari ini, enam pasukan berkenaan masih lagi gagal jelaskan hutang tertunggak,” kata Che Mat.

    Bunuh anak kerana tindik lidah



    DURBAN (Afrika Selatan): Polis menahan seorang lelaki kerana didakwa memukul anak perempuannya hingga mati akibat marah terhadap tindakan remaja itu menindik lidahnya.

    Lelaki itu menyerah diri kepada polis selepas memukul anak perempuannya yang berusia 17 tahun dengan menggunakan kabel elektrik.

    Lelaki sebelum itu dipercayai bertengkar dengan anaknya berkaitan isu itu dan memberi amaran supaya mangsa tidak memakai subang di lidahnya itu.

    Lelaki berusia 38 tahun yang menetap di Durban akan dihadapkan di mahkamah atas tuduhan membunuh.

    Jurucakap polis, Konstabel Mumsy Mfeka berkata, remaja itu menghubungi bapanya untuk menjemput beliau di sekolah Sabtu lalu.

    “Sebaik tiba di sekolah, guru mengadu sikap buruk remaja itu kepada bapanya.

    “Dalam perjalan pulang, lelaki itu menyedari anaknya tetap memakai subang di lidahnya meskipun sudah dilarang.

    “Lelaki itu memarahi anaknya kerana engkar terhadap larangannya dan kemudian memukulnya dengan kabel elektrik.

    “Apabila menyedari anaknya tidak lagi bergerak, lelaki itu membawanya ke klinik berhampiran tapi mangsa disahkan sudah meninggal dunia,” katanya. - Agensi

    FOLLOW ME

    CHATROOM

    http://www.meebo.com/rooms

    BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

    LINK Blog Saya