Cari Blog Ini

Khamis, 21 Januari 2010

TNB giat kaji sumber tenaga nuklear - 12 Pegawai TNB kini berada di Korea Selatan



KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) semalam mengesahkan syarikat itu semakin giat menjalankan kajian berhubung penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber alternatif di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, TNB telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Korea Electric Power Corporation (Kepco).

"Ya, kami menandatangani MoU dengan Kepco malah (turut) melantik mereka untuk melakukan kajian awal berhubung kemungkinan mendirikan loji nuklear di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan suku tahun pertama tahun kewangan yang berakhir 31 Ogos 2010 di sini semalam.

Hadir bersama ialah Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie.
Mengulas lanjut, Che Khalib berkata, pelbagai kajian dan kerja perlu dilakukan sebelum mendirikan kemudahan janakuasa loji nuklear.

Pasangan pelajar agama dicekup khalwat



DI HOTEL inilah tempat sepasang kekasih dari sebuah kolej agama di Selangor ditahan berkhalwat Isnin lalu
 

SEREMBAN - Sepasang kekasih dari sebuah kolej agama swasta di Selangor yang menginap di sebuah hotel tiga bintang di sini terbongkar apabila mereka dicekup oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) Isnin lalu.

Pasangan masing-masing berusia 20 tahun merupakan pelajar jurusan al-Quran, Sunnah dan Syariah di kolej tersebut.

Mereka ditahan pada pukul 1.30 pagi ketika berada berdua-duaan di dalam bilik hotel itu.
Difahamkan pasangan itu mendaftar masuk ke hotel tersebut pada pukul 8 malam sebaik sampai ke bandar ini dari kolej mereka.

Jurucakap JAINS berkata, pasangan itu ditahan dalam satu pemeriksaan rutin selepas membuat semakan di buku pendaftaran dan mendapati ada satu pasangan beragama Islam yang bermalam di situ.

Hobi gila duda tua



MERSING: Seorang lelaki berusia 56 tahun yang baru tiga bulan kematian isteri membuat kerja gila dengan merayau di beberapa taman perumahan pada tengah malam, sebelum mengintai dan merakam aksi ranjang di bilik tidur penduduk menggunakan perakam video yang baru dibelinya.

Perangai miang warga emas itu terbongkar apabila dia ditahan seorang penduduk ketika dipercayai cuba merakam aksi ranjang sepasang suami isteri di Taman Sri Daik, dekat bandar ini, kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu.

Ketika itu, seorang penduduk di kawasan taman perumahan berkenaan melihat kelibat seseorang di belakang rumahnya menyebabkan dia mengendap kerana menyangkakan pencuri.
Penduduk terbabit menghampiri lelaki berkenaan dan menangkapnya sebelum mendapati suspek memegang sebuah alat perakam video.

Nasib warga emas itu bertambah malang apabila kebetulan pasukan peronda polis melalui taman perumahan berkenaan dan dia terus diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, berkata pemeriksaan terhadap perakam video milik mangsa mendapati banyak rakaman aksi ranjang dan gambar orang sedang mandi disimpan di dalamnya.

Menurutnya, rakaman itu dipercayai dibuat di rumah penduduk di beberapa taman perumahan di daerah ini dan hasil soal siasat, lelaki itu dipercayai melakukan kegiatan tidak senonoh itu sejak lebih setahun lalu.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai buruh mengumpul wang untuk membeli perakam video bagi melakukan kerja terkutuk itu.

Mohd Nor berkata, warga emas yang mempunyai empat anak hasil perkongsian hidup bersama arwah isterinya direman bagi membantu siasatan hingga hari ini.

“Siasatan mendapati hasil rakaman yang dibuat warga emas itu tidak disalur atau disebarkan ke mana-mana, sebaliknya untuk suka-suka dan koleksi peribadi,” katanya.

Menurutnya, warga emas itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.

Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum denda dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-keduanya sekali jika didapati bersalah.

Nenek buta cipta sejarah tangkap keli 97kg


TAK SANGKA...Sheila bersama pemandu pelancong, Dan Davies menunjukkan keli dikailnya sebelum ikan itu dilepaskan ke Sungai Ebro, Barcelona, semalam.


LONDON: Seorang nenek melakar nama sebagai wanita Britain yang berjaya menangkap ikan air tawar terbesar selepas menewaskan ikan keli seberat 97 kilogram

Sheila, 56, bersama suami, Alan, dan anak mereka, Arthur, dalam percutian di Sepanyol.

Menurut Sheila, dia terpaksa diberi arahan oleh suami dan anaknya sebelum ikan itu ditewaskan 30 minit kemudian.

Keli itu juga mencatat rekod sebagai ikan terbesar pernah ditangkap wanita di Sepanyol.

Menurut Sheila, dia hanya menyedari betapa besarnya ikan itu selepas melihatnya dari depan.
“Pengalaman melawannya memang memenatkan tetapi kepuasan memang tidak dapat digambarkan,” katanya.

Menurut Sheila, kejayaannya itu membuktikan bahawa buta tidak menghalang sesiapa mencipta rekod.

Berasal dari Wandsworth, London, Sheila mengisi cuti dengan menyusuri Sungai Ebro, Barcelona.

Ikan sepanjang 2.5 meter itu kemudian dilepaskan ke sungai sebaik saja aksi Sheila dirakam kamera. - Agensi

Dua nahas angkara lori pasir pancit



BUKIT BERUNTUNG: Seorang penunggang cedera parah selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori di Kilometer 427 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berdekatan Plaza Tol Bukit Beruntung di sini, malam kelmarin

Pemandu lori berkenaan, Kamaruzaman Ahmad, 36, berkata lori dipandunya tiba-tiba bocor menyebabkan dia menggunakan laluan paling kiri sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah lori membawa muatan barangan runcit.

Katanya, ketika sedang memeriksa kejadian itu, tiba-tiba sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki merempuh belakang sebuah lori yang sebelum itu merempuh lorinya.

Menurutnya, selepas melihat penunggang itu terjatuh dan cedera parah, dia nekad mengambil langkah keselamatan dengan melambai kepada pemandu lain agar tidak melanggar mangsa yang ketika itu tercampak ke laluan paling kanan lebuh raya.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu sebuah lagi lori, Yap Guan Teh, 51, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur membawa muatan barangan untuk dihantar kepada pelanggan.

Katanya, dia tidak menyedari ada lori yang dipandu perlahan tanpa isyarat kecemasan di selekoh yang gelap itu. “Saya cuba elak lori pasir itu dan mahu ke lorong tengah, tetapi tidak gagal kerana banyak kenderaan laju mengekori di belakang. “Lori saya remuk di hadapan dan sebelah pintu kiri, namun saya bersyukur kerana tidak cedera,” katanya. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kaki terpelanting



KUALA TERENGGANU: “Selepas dirempuh, saya cuba berdiri tetapi terjatuh semula....Saya nyaris pitam apabila kaki kanan sudah tiada,’’ kata Mohammad Ikhwan Muhammad, 16, menceritakan detik cemas dia kehilangan kaki kanannya selepas dirempuh kereta di Kampung Tualan, Manir jam 8.30 malam, Sabtu lalu.

Beliau berkata, sebelum kejadian, dia sudah tidak sedap hati, namun tidak mengendahkannya dan tetap ke keluar ke pekan Manir kira-kira dua kilometer dari rumah untuk membeli kad tambah nilai.

“Disebabkan hati tidak keruan ketika itu, saya menunggang motosikal perlahan sehinggalah dikejutkan dengan silauan cahaya yang terang dan mengaburi mata.

“Saya tidak dapat melihat apa-apa ketika itu sehinggalah muncul sebuah kereta terus merempuh motosikal saya. Saya tercampak beberapa meter dari tempat kejadian,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, selepas itu dia mendapati bahagian bawah badannya kebas dan tidak mampu bangun semula untuk mengambil motosikalnya.

“Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya sebaik menyedari betis kanan terputus akibat kemalangan itu,’’ katanya sebak sambil memberitahu dia dibantu orang kampung.

“Saya dimaklumkan betis kanan yang terputus itu tercampak beberapa meter dari kawasan saya terjatuh dan tidak boleh disambung kembali kerana dijangkiti kuman," katanya.

Bapanya, Muhammad Abdullah, 49, ketika ditemui berkata, dia mengetahui insiden menimpa anaknya selepas dihubungi warisnya kira-kira 30 minit selepas kemalangan berlaku.

Dia yang bekerja sebagai pemandu van berkata, dirinya tergamam menerima berita menyedihkan itu terutama memikirkan masa depan anaknya itu.

Khamis, 14 Januari 2010

RapidKL mungkiri piagam sendiri - Bas tidak ikut jadual, tidak selesa, mengabaikan aspek keselamatan


SEBUAH bas RapidKL di Kuala Lumpur semalam mengambil penumpang di tengah-tengah jalan yang sibuk dengan kenderaan ketika sebuah motosikal (dalam bulatan) memecut laju sehingga membahayakan nyawa penumpang.



KUALA LUMPUR - Selepas tujuh tahun beroperasi dan diberi kuasa mendominasi sistem pengangkutan awam di ibu kota, rupa-rupanya Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) ternyata masih gagal memenuhi janji-janji kepada pengguna.

Pada awal kehadiran RapidKL, ia ternyata lebih baik daripada sistem bas mini yang satu masa dahulu 'menguasai' jalan-jalan utama di ibu kota.

Namun, harapkan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Perkhidmatan bas terbabit ternyata masih banyak yang tidak kena. Ia tidak seperti piagam RapidKL sendiri yang menjanjikan masa yang menjimatkan, perjalanan selesa tambang yang berpatutan dan keselamatan.



Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, Kempat-empat matlamat RapidKL yang mempunyai 750 buah bas dan beroperasi melalui 159 laluan itu masih jauh daripada sasaran.

Buktinya, masih lagi kedengaran pelbagai rungutan di kalangan 300,000 orang penumpang bas di Lembah Klang setiap hari yang tidak puas hati dengan perkhidmatan RapidKL.

Kosmo! dalam tinjauan di beberapa laluan utama perkhidmatan bas tersebut seperti di Perhentian Bas Klang, Pasar Seni, Jalan Pudu, Jalan Bangsar dan Taman Maluri di sini mendapati pengguna mahu RapidKL serius menyelesaikan masalah.



Antara masalahnya ialah bas RapidKL itu ternyata masih lewat dan tidak menepati jadual, kekerapan bas yang masih kurang di banyak laluan serta keadaan bas yang tidak selesa termasuk tanpa pendingin hawa.

Tidak cukup dengan itu, aspek keselamatan juga masih dipandang sebelah mata. 

Masih kelihatan penumpang dibenarkan masuk ke dalam bas walaupun bas sudah padat macam tin sardin.
Tinjauan juga mendapati bukan semua bas RapidKL beroperasi mengikut jadual.




Ada antara bas milik syarikat itu sengaja menunggu lama di satu-satu hentian sehingga penumpang penuh sebelum bergerak menuju ke destinasinya.

Malah had kelajuan ketika bas berhenti satu-satu stesen juga tidak dipatuhi dan ada di kalangan pemandu bas seperti hendak 'berlumba-lumba' dengan kenderaan lain semata-mata mahu merebut tempat letak kenderaan.

Lebih buruk, apabila terdapat deretan teksi di sesuatu hentian, pemandu bas RapidKL sanggup berhenti di tengah jalan untuk mengambil penumpang tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain.



Meskipun pelbagai langkah penambahbaikan perkhidmatan sepanjang beroperasi dilancarkan termasuk sistem bas ekspres transit (BET) yang diperkenalkan semalam, namun masih ada yang tidak kena dengan perkhidmatan terbaru itu.

Wartawan Kosmo! yang menaiki bas RapidKL menggunakan salah satu laluan bas sistem BET dari Pasar Seni ke Kota Damansara - yang menggunakan laluan lebuh raya - mendapati bas itu masih gagal menepati masa.

Pada mulanya, sebaik sampai di terminal Pasar Seni, pemandu bas berkenaan menjerit: "Bas ekspres baru ke Kota Damansara, satu jam boleh sampai."

Wartawan Kosmo! menaiki bas RapidBET1 yang menuju ke Kota Damansara menerusi Penchala Link pukul 5.40 petang. Namun ia hanya mula bergerak tepat pukul 6 petang.



Pada pukul 6.15 petang, bas berkenaan memasuki Penchala Link dan menjelaskan bayaran tol Penchala Link lima minit kemudian sebelum memecut laju.

Di pertengahan jalan, pemandu bas didapati menurunkan seorang penumpang warga Bangladesh yang dipercayai tinggal di kawasan pembinaan di Mutiara Damansara.

Sejurus berhenti di lampu trafik berhadapan pusat beli-belah The Curve, pemandu tiba-tiba membuka pintu bas dan membenarkan penumpang itu turun di tengah jalan yang sesak dengan kenderaan.



Akhirnya apabila sampai ke destinasi terakhir di kawasan perumahan Flat Seksyen 8, Jalan Pekaka 8/1 di Kota Damansara, jam menunjukkan pukul 7.20 malam.
Ternyata sasaran sejam tidak berjaya dipenuhi oleh RapidKL melalui sistem BET yang baru diperkenalkan semalam.
Janji 60 minit, tetapi wartawan Kosmo! berada dalam bas selama 100 minit.

Operasi haram di tengah laut



JOHOR BAHRU - Perairan selatan negara sarang pemindahan minyak secara haram?
Minggu lepas, Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan tiga kapal tangki asing yang sedang memindahkan 350,000 liter minyak secara haram di perairan Pontian.

Namun kelmarin, dua buah lagi kapal didapati melakukan kegiatan pemindahan minyak haram manakala tiga bot tunda juga ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan lain di perairan Tanjung Setapa, Kota Tinggi.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Selatan, Kapten Maritim Mohd. Zubil Mat Som berkata, kedua-dua kapal dan tiga buah bot itu ditahan dalam rondaan di antara pukul 5 petang hingga 8.30 malam kelmarin pada kedudukan tiga batu nautikal di selatan Tanjung Setapa.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal MV Marine Force telah memindahkan sebanyak 199,907 liter minyak 'Marine Fuel Oil' ke sebuah kapal lain, MV Ayu Pertama.

AS salah serang Iraq - Suruhanjaya Belanda



DAVIDS menunjukkan laporan penyiasatan perang Iraq yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di The Hague, Belanda semalam.
 
 
THE HAGUE, Belanda - Pencerobohan ke atas Iraq yang diketuai Amerika Syarikat (AS) pada 2003 jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, kata satu suruhanjaya bebas semalam yang menyiasat sokongan politik Belanda berhubung tindakan kontroversi itu.

"Tiada asas yang kukuh bagi pencerobohan itu," kata pengerusi suruhan jaya berkenaan, Willibrord Davids kepada pemberita di sini.

Dalam laporannya, suruhanjaya itu menyatakan, Resolusi 1441 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan bermakna mana-mana negara anggota PBB diberi kuasa untuk menggunakan kekerasan tentera bagi memaksa Iraq mematuhi resolusi Majlis Keselamatan.

Resolusi Majlis Keselamatan itu yang diluluskan pada 2002, memberi peluang terakhir supaya Baghdad mematuhi tuntutan PBB dengan memusnahkan senjata pemusnah miliknya.

Suruhanjaya sama turut mendapati agensi perisikan Belanda tidak mempunyai bukti kukuh bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah iaitu alasan utama AS untuk menyerang negara berkenaan.
Davids pernah menjadi Presiden Mahkamah Agung Belanda.

Sehingga kini tiada senjata pemusnah pernah ditemui di Iraq seperti didakwa Barat.
Suruhanjaya itu, yang memulakan tugas pada Mac tahun lalu, ditubuhkan oleh kerajaan susulan tekanan pembangkang dan awam berhubung dakwaan sebelum ini bahawa terdapat pihak yang sengaja menyembunyikan maklumat penting bagi mengabui Parlimen Belanda supaya menyokong AS.

Walaupun gagal mendapat maklumat perisikan terperinci, Parlimen Belanda memutuskan untuk menyokong serangan tersebut dengan menghantar 1,100 askar ke Iraq pada Julai 2003.

Pada bulan lalu, seorang bekas penyiasat senjata PBB memberitahu, bekas presiden AS, George W. Bush dan bekas perdana menteri Britain, Tony Blair memejamkan mata berhubung kekurangan bukti kukuh bagi menyerang Iraq.

Mereka sebaliknya berusaha mengabui mata rakyat dengan berulang kali menuduh bekas presiden Iraq, Saddam Hussein sebagai ancaman kepada dunia. - AFP

Ahad, 10 Januari 2010

Gereja Good Shepherd Lutheran di PJ - Sumbangan bukti kerajaan ikhlas




NAJIB (tengah) bersama beberapa orang menteri Kabinet melawat Gereja Metro Tabernacle yang terbakar di Desa Melawati, Kuala Lumpur semalam. Gambar kecil, polis memeriksa bangunan Gereja Good Shepherd Lutheran yang didakwa dibaling molotov cocktail di Petaling Jaya, semalam




KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan geran bantuan sebanyak RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle di Desa Melati bagi membina semula gereja itu di tempat lain.
Jelas beliau, usaha tersebut merupakan bukti sokongan dan tanda keikhlasan kerajaan menangani insiden kebakaran gereja.
“Saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 supaya mereka dapat membangunkan sebuah gereja di tempat yang lain, tempat yang baru untuk menjalankan urusan ibadat dan pentadbiran.
“Ini merupakan sokongan daripada kerajaan dan tanda keikhlasan kerajaan dan semua pihak diharap bertenang kerana kerajaan amat komited untuk jaga keadaan harmoni dan hubungan baik antara kaum dan agama di dalam negara ini,” katanya selepas melawat gereja dua tingkat yang hangus terbakar dipercayai selepas dibaling dengan bom petrol awal pagi kelmarin.



Dua penjenayah ditembak mati - Cuba baling bom ke arah polis tetapi bergolek masuk ke dalam kereta sendiri



BEBERAPA orang anggota polis menjalankan siasatan di kawasan dua 

penjenayah ditembak mati di Sungai Bakap, Pulau Pinang semalam.


NIBONG TEBAL - Dua penjenayah yang sangat-sangat dikehendaki mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Tasek, Sungai Bakap di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, kedua-dua penjenayah yang masing-masing berusia 25 tahun dan 40-an itu bukan sahaja melepaskan tembakan tetapi juga cuba melempar sebutir bom tangan ke arah polis.
Bagaimanapun bom itu tidak meletup dan tersangkut pada pintu sebelum bergolek semula ke dalam kereta jenis Nissan Sentra yang mereka naiki.




Bunuh kekasih gelap isteri


SEORANG penduduk, Shah Kuruddin Mas Kur menunjukkan lubang dipercayai tempat mangsa ditanam di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara 6, Puchong semalam.



SUBANG JAYA - Perasaan cemburu yang meluap-luap terhadap rakan senegara yang disyaki kekasih isterinya sejak tiga bulan lalu mendorong seorang lelaki warga Indonesia membunuh dan menanam mayat mangsa di belakang rumah kongsi di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara 6 di Puchong kelmarin.
Sebelum kejadian, suspek menghubungi mangsa yang bekerja sebagai konduktor bas dengan menyatakan hasrat untuk menceraikan isterinya agar dapat dikahwini oleh lelaki itu.
Bagaimanapun sebaik sahaja mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an tiba di tempat kejadian pukul 11 malam kelmarin, suami wanita itu muncul dengan tiga orang rakannya dan terus menangkap mangsa.

Empat bas hangus dibakar


PUVANESVARI mengutip barangan jualannya yang rosak di hadapan empat buah bas yang hangus dibakar di Stesen Bas Medan Kidd, Ipoh semalam.



IPOH - Dua buah syarikat bas melaporkan kerugian ratusan ribu ringgit apabila empat buah bas henti-henti milik mereka musnah dalam kebakaran yang dipercayai angkara khianat awal pagi semalam.
Kejadian pukul 3.30 pagi di Stesen Bas Medan Kidd di sini itu melibatkan tiga buah bas milik Reliance Omnibus Company Sdn. Bhd. (Reliance Omnibus) manakala sebuah lagi milik Kinta Omnibus Company Sdn. Bhd. (Kinta Omnibus).
Turut terbakar ialah kaunter tiket Reliance Omnibus dan sebahagian daripada tingkat dua stesen bas tersebut yang menempatkan pejabat syarikat bas terbabit.
Selain itu, sebuah gerai menjual kacang putih milik L. Puvanesvari, 46, yang baru tiga hari beroperasi turut terbakar.

Geng Empat Jahanam tumpas - Kes samun klinik selesai dengan tangkapan empat lelaki


OMAR sambil memegang imej rakaman CCTV kes samun klinik di Ampang pada 7 Disember lalu yakin siasatan kes itu selesai selepas empat suspek berjaya ditangkap.



KUALA LUMPUR - Kumpulan samun premis bersenjata yang dianggotai empat lelaki digelar Penjahat Empat Jahanam akhirnya tumpas dengan tangkapan terbaru membabitkan tiga lelaki yang bersembunyi dalam sebuah rumah di Pasir Puteh, Kelantan kelmarin.
Selepas suspek pertama yang berusia 33 tahun ditahan pada 6 Januari lalu dan diikuti dengan kejayaan kelmarin, polis yakin siasatan kes tersebut telah selesai.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah memberitahu, pihaknya turut merampas beberapa buah telefon bimbit milik mangsa di klinik tersebut daripada suspek.

Tragedi Gemencheh bukan baru Pembunuhan kejam empat sekeluarga menggemparkan negara.




"SAYA buat kerana ia perintah daripada kuasa agung. Mereka adalah syaitan-syaitan yang menyamar."
Itulah kononnya kata-kata Rashidi Ismail, 34, kepada pihak polis mengenai tindakannya menyembelih bapanya, Ismail Awang, 76, serta mengerat jari adiknya, Siti Khadijah Ismail, 22, dalam kejadian bunuh melibatkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan, Selasa lalu.
Dalam tragedi yang disifatkan sangat kejam itu, bekas imam kampung yang juga datuk suspek, Atan Daud, 90, dan isterinya, Sufiah Keatas, 80, turut maut dibunuh.
Atan ditemui dengan tangan kiri terputus, Sufiah putus tangan kanan, Ismail hilang kepala manakala Siti Khadijah terbaring kaku dengan pisau tercacak di dada.
Suspek kemudian membawa kepala bapanya dari Tampin ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sejauh 120 kilometer sebelum ditanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
"Masih sukar untuk dilupakan. Setiap kali mahu lelapkan mata, pasti terbayang-bayang wajah orang-orang yang saya sayangi itu menemui ajal dalam keadaan yang menyedihkan," luah Siti Mariam Ismail, 19, orang pertama menemui empat mayat ahli keluarganya itu sekembalinya dari sekolah kira-kira pukul 3.30 petang.




Menurut Mariam, kebiasaannya Ismail akan menjemputnya dengan motosikal di jalan besar. Namun, pada hari kejadian, kelibat bapanya tidak kelihatan dan dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah.
"Sampai saja di rumah, saya panggil kakak, tapi dia tak jawab. Pelik juga sebab biasanya dia akan sambut saya pulang. Bila saya buka pintu, saya nampak kakak terbaring di lantai dengan pisau terpacak di dadanya.
"Saya berlari ke rumah datuk dan nenek yang terletak berdekatan. Malangnya, di sana saya menemui pula datuk, nenek dan ayah terbujur kaku di lantai rumah," katanya yang masih trauma dan murung akibat kejadian itu.
Kasih ibu
Bagi Zaharah Atan, 59, peristiwa itu adalah tragedi paling besar dalam hidupnya. Beliau yang kematian suami, ibu, bapa serta anak perempuan turut diuji apabila suspek utama, Rashidi juga merupakan anaknya.
"Semasa kejadian, saya keluar bekerja di kilang ayam tidak jauh dari sini. Lebih kurang pukul 4.50 petang, ada jiran datang ke kilang dan menjemput saya pulang.
"Bila saya tanya kenapa, dia kata sabarlah. Bila sampai di rumah, saya nampak orang ramai dan kereta polis.
"Saya ingat ada pokok tumbang menghempap rumah. Disebabkan saya tak dibenarkan masuk ke rumah, saya duduklah di kebun getah," cerita beliau.




Apabila Mariam datang, Zaharah bertanya kenapa tetapi Mariam hanya menggelengkan kepala. Mariam pula menjawab 'ada' bila ditanya di mana kakaknya, Siti Khadijah.
Zaharah bertanya lagi, balik sekolah tadi naik apa? Mariam hanya kata jalan kaki dan tidak tahu kenapa bapanya tidak datang menjemput seperti biasa.
"Saya mula rasa sesuatu yang buruk telah berlaku. Setengah jam selepas itu, baru saya dapat tahu, suami, anak, ibu dan bapanya mati dibunuh," beritahu Zaharah kepada Jurnal.
Pada awalnya, Zaharah tidak percaya apabila Rashidi dikaitkan sebagai suspek utama sementelah dia disifatkan sebagai anak yang baik.
"Dia anak saya yang terbaik dalam pelajaran. Tak pernah dia tinggi suara, membentak atau bertempik dengan orang tua. Dengan adik-beradik pun dia tak macam itu," kata Zaharah.
Digambarkan sebagai anak yang soleh, Rashidi yang juga bekas pegawai bank itu sentiasa tersenyum.
Tidak pernah menyusahkan ibu bapa, Rashidi yang mendapat pendidikan sekolah agama juga amat disenangi oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.




"Kalau diikutkan perangai Rashidi yang saya kenal, dia bukan panas baran orangnya. Saya dapat rasakan ada sesuatu yang mendorong dia buat begitu.
"Begitupun, saya reda dengan apa yang telah terjadi. Kalau ditakdirkan anak saya itu bersalah dan dihukum gantung, saya terima.
"Kalau dia disahkan sakit jiwa pun, saya masih terima dia sebagai anak.
"Saya memang marah dan terkilan, tapi itu tidak akan buang perasaan sayang saya pada dia," tuturnya yang sempat mencium pipi Rashidi semasa anaknya itu dibawa ke lokasi pembunuhan.
Bukan kes pertama
Menyelusuri misteri di sebalik kejadian ini, belum ada petunjuk kukuh yang dapat merungkainya.
Ada yang mengatakan ia berpunca daripada tekanan, sakit jiwa dan tidak kurang yang mengaitkannya dengan ilmu hitam.
Apa pun, kejadian yang menimpa keluarga Zaharah bukan kes pembunuhan beramai-ramai sebuah keluarga yang pertama dilaporkan di negara ini.
Pada Jun 1998, empat sekeluarga mati dibunuh kejam di Kampung Parit Hussin, Lubuk Sipat, Benut, Pontian, Johor.
Empat sekeluarga malang itu ditemui mati dalam keadaan ngeri dan berulat oleh seorang ahli keluarga mereka pada 10 Jun. Mereka dipercayai dibunuh tiga hari sebelum itu.




Dalam kejadian yang berlaku di antara pukul 7 petang dan 10 malam itu, mangsa-mangsa yang terlibat ialah Ridlian Mansor, 55, isterinya Rosnah Asari, 44, dan anaknya iaitu Hamsah, 20, dan Mohd. Azizul, lapan tahun.
Mayat Ridlian, Rosnah dan Mohd. Azizul yang mempunyai kesan tetakan di kepala, leher dan dada ditemui di sebuah bilik dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.
Mayat Hamsah, gadis yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 5 Julai pula dijumpai dalam keadaan separuh bogel. Pada lehernya terdapat kesan jerutan dan mulutnya disumbat tuala.
Ekoran kejadian itu, seorang pemandu lori yang juga menantu keluarga itu, Khasiran Jamari, 27, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas tuduhan membunuh. Dia kemudian didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Selain itu, kes tujuh orang termasuk lima wanita daripada sebuah keluarga dibunuh dalam keadaan ngeri, dipercayai diserang oleh sekumpulan pembunuh di rumah mereka di Taman Johor Jaya, Johor Bahru di antara pukul 1.41 pagi hingga 7.43 pagi, 28 Julai 2001.
Mangsa yang terlibat ialah K. Mangala Gowri, 42, S. Muniandi, 71, B. Vasagi, 27, S. Suppiah Amuaavalli, 44, S. Perumal, 49, S. Letchimee, 51 dan S. Ramaiee, 64.
Pakar forensik mengesahkan punca kematian semua mangsa adalah kerana luka yang teruk di leher akibat tetakan dengan senjata tajam.
Ekoran insiden itu, Md Masud Rana, 32, bekas pekerja kilang dan rakannya yang juga berasal dari Jugdumpur, Bangladesh, Razaul Karim Md Soleman Ali Fakiruddin, 37, dituduh membunuh.
Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, pembunuhan berkumpulan yang melibatkan lebih daripada dua mangsa bukan kes baru. Malah ia sudah lama berada dalam landskap jenayah negara.
Jelasnya, wujud dua faktor yang mendorong suspek bertindak di luar kawalan sehingga berupaya membunuh dengan cara yang kejam.




"Kemarahan yang luar biasa dan gangguan jiwa mampu mempengaruhi penjenayah untuk melakukan sesuatu di luar kewarasan mindanya.
"Walaupun pakar psikiatri menolak gangguan jiwa sebagai penyakit namun dari segi kriminalogi, ia tidak boleh dijadikan satu bentuk justifikasi yang menghalalkan golongan pesakit jiwa melakukan jenayah," ujarnya.
Mengulas senario pembunuhan melibatkan lebih daripada dua mangsa, Kamal berpendapat ia merupakan pembunuhan berkumpulan, bukannya pembunuhan beramai-ramai.
"Pembunuhan berkumpulan boleh ditakrifkan sebagai pembunuhan lebih daripada dua mangsa yang mempunyai pertalian antara mereka.
"Mangsa juga dibunuh dengan lebih tragis, sebagai contoh, kes pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh baru-baru ini," katanya.



Isnin, 4 Januari 2010

Penyerang pelukis kartun Nabi Muhammad pernah ditahan



COPENHAGEN - Seorang lelaki Somalia yang menyerang kartunis yang melukis karikatur Nabi Muhammad S.A.W, Kurt Westergaard pernah ditangkap di Kenya, lapor media Denmark semalam.

Akhbar Politiken melaporkan, agensi perisikan Denmark mengetahui bahawa pemuda berusia 28 tahun itu ditahan di Kenya pada September tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam komplot untuk menyerang Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton.

Memetik kenyataan beberapa sumber, ia menyatakan lelaki itu dibebaskan kemudian kerana kekurangan bukti.

Hillary berkunjung ke Kenya sebagai sebahagian rangka lawatan 11 hari beliau ke Afrika pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu, lelaki Somalia berkenaan didakwa di sebuah mahkamah Denmark kerana cuba membunuh Westergaard, 74, apabila dia menceroboh rumah kartunis itu di Aarhus, 157 kilometer dari sini pada Jumaat lalu dengan bersenjatakan sebilah kapak dan pisau.

Suspek yang ditembak dua kali oleh seorang anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian dibawa dengan pengusung ke mahkamah itu kelmarin

Dia diarah ditahan selama empat minggu berhubung beberapa dakwaan kerana percubaan untuk membunuh kartunis itu. - Agensi

Bangunan tertinggi dunia dikawal ketat



DUBAI - Bangunan pencakar langit Burj Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dikawal ketat pada hari perasmiannya hari ini.

Bangunan itu akan dirasmikan pemerintah Dubai manakala beberapa akhbar tempatan melaporkan lebih 1,000 anggota keselamatan termasuk polis berpakaian awam dan pasukan penembak tepat dikerah mengawal majlis perasmian.

Ketinggian tepat Burj Dubai masih belum diumumkan secara rasmi tetapi pemajunya, syarikat Emaar menyatakan ia memiliki ketinggian lebih 800 meter manakala beberapa laman web melaporkan tinggi bangunan tersebut ialah 818 meter tetapi beberapa arkitek di UAE pula memberitahu, ia mungkin lebih tinggi daripada itu.

Bangunan pencakar langit yang mula dibina pada 2004 itu merupakan sebahagian daripada projek urbanisasi mega yang menelan belanja AS$20 bilion (RM68.4 bilion).

Projek itu turut melibatkan pembinaan pusat beli-belah antara terbesar di dunia, Dubai Mall.

Ketinggian Burj Dubai mengatasi bangunan pencakar langit tertinggi dunia sebelum ini, Taipei 101 di Taiwan yang setinggi 508 meter manakala bangunan Pusat Kewangan Dunia Shanghai di China berada di tempat ketiga dengan ketinggian 492 meter.

Menara Sears yang siap dibina pada tahun 1974 di Chicago, Amerika Syarikat (AS) berada di tempat keempat dengan ketinggian 442 meter.

Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur berada di tempat kelima dengan ketinggian 410 meter. - Agensi

Isu penggunaan kalimah Allah dalam akhbar Kristian - Kerajaan akan buat rayuan - PM


PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) meminta umat Islam di negara ini bertenang dan tidak terlalu 'memanaskan' isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katolik menggunakan perkataan 'Allah' dalam penerbitannya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar bahawa isu itu amat sensitif serta menyentuh perasaan umat Islam di negara ini dan kerajaan akan menangani isu itu sebaik mungkin.

"Kerajaan amat sedar dan prihatin akan pelbagai reaksi yang telah kerajaan terima sejak keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

"Isu ini amat sensitif dan menyentuh perasaan terutama sekali umat Islam. Kita hendaklah bersikap bertenang pada masa ini dan membiarkan perkara ini diselesaikan melalui proses mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi pelajar di Parlimen Pekan di sini.

Remaja bikin ‘dapur segera’ untuk lepas gian



GOMBAK: Kreatif songsang itulah istilah tepat diberikan kepada segelintir remaja dan penagih dadah apabila bijak menghasilkan 'dapur segera' menggunakan bahan terpakai sebagai material utama sebelum melepas gian.

Perbuatan remaja itu dikesan dalam pemeriksaan yang pernah dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam beg milik seorang remaja berusia belasan tahun yang juga pelajar sekolah menengah di sekitar Gombak di sini dalam satu operasi, baru-baru ini.

Antara bahan buangan terpakai digunakan untuk menghasilkan dapur terbabit termasuk botol minuman keras, botol air mineral, bekas pewangi, paip getah dan pelbagai bahan lain.

Difahamkan, dapur segera itu kerap digunakan untuk melepaskan gian dadah jenis ganja dan syabu berikutan lebih senang untuk dihisap, selain turut dikongsi dengan rakan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai AADK Gombak, Halili Busu, berkata pihaknya dalam operasi dilakukan sepanjang tahun lalu merampas pelbagai jenis dapur segera yang digunakan penagih dadah untuk melepaskan gian.
"Semuanya dirampas dalam operasi berkala di sekitar Selayang. Bagi mengelak gejala tidak sihat ini menular di kalangan remaja, kami dengan kerjasama pihak sekolah melalui program Sekolah Bebas Dadah sering mengadakan lawatan mengejut ke sekolah terpilih.

"Antara aktiviti dijalankan adalah ceramah juga ujian air kencing secara rambang terhadap pelajar disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah, sekiranya didapati positif mereka ini akan diletakkan di bawah program pemulihan khas," katanya.

Antara langkah pemulihan dilakukan adalah dengan memanggil ibu bapa pelajar terbabit untuk perbincangan dan diletakkan di bawah program khas dikenali Program Intervensi Pelajar supaya mereka tidak lagi terjebak dengan penagihan dadah.

"Mereka ini juga akan diwajibkan menghadiri kem khas yang biasanya dijalankan pada setiap musim cuti sekolah," katanya.

Katanya, sehingga kini daripada ujian air kencing dijalankan 10 pelajar disyaki terbabit penyalahgunaan dadah, bagaimanapun, ujian makmal mengesahkan hanya enam daripada mereka disahkan positif dadah jenis ganja.

Ahad, 3 Januari 2010

Urut badan ke badan




KUALA LUMPUR: Dulu urut batin, tetapi kini ‘urut badan dengan badan’ dijadikan sebagai umpan berahi untuk menarik perhatian lelaki hidung belang berkunjung ke rumah urut.

Dengan bayaran antara RM130 hingga RM150, khidmat ekstra itu hangat diperkatakan sekarang sehingga tauke rumah urut berlumba-lumba menawarkannya.

Wartawan Metro Ahad mengesan kewujudan ‘pakej maksiat’ terbabit selepas diberitahu oleh seorang pelanggan tetap beberapa rumah urut yang menyediakan khidmat itu.

Dikenali sebagai Faizal, 32, dia mendakwa khidmat ekstra itu ditawarkan secara terbuka kepada pelanggan.

Menurutnya, ia dengan panggilan ‘B2B’ (body to body) di kalangan pelanggan yang mengetahuinya, terutama golongan muda.
“Dulu kalau ke rumah urut, tawaran yang selalu diberi adalah urut batin, tetapi sekarang ada urut badan dengan badan. Sebut saja B2B, ia popular di kalangan mereka yang selalu berkunjung ke rumah urut,’ katanya.

Faizal berkata, sama seperti khidmat urut batin yang pada mulanya ditawarkan secara rahsia, kini kebanyakan rumah urut menawarkan khidmat B2B secara terbuka.

“Pada mulanya saya tidak tahu ada khidmat seperti itu di rumah urut kerana sebelum ini yang sering diuar-uarkan adalah urut batin dan seks.

“Ketika berkunjung ke sebuah rumah urut di bandar raya ini, penjaga kaunternya dengan selamba menawarkan saya khidmat B2B yang asyik dikatakan sebagai lain daripada yang lain.

“Penjaga kaunter itu beritahu ia tidak membabitkan seks, sebaliknya hanya gesel menggesel menggunakan tubuh si tukang urut wanita tanpa seurat benang,” katanya.

Menurut Faizal, rumah urut dikunjunginya menetapkan harga antara RM130 hingga RM150 untuk pakej itu.

“Pertama kali mencuba, saya berasa ketagih untuk mengulanginya semula. Kesudahannya pada awalnya seminggu sekali saja, tetapi lama kelamaan dua tiga kali sebulan kerana belanjanya besar.

“Sepanjang berkunjung ke beberapa rumah urut yang menawarkan khidmat itu, saya akui kebanyakan pelanggan ‘kemaruk’ memilih pakej berkenaan,” katanya.

Faizal berkata, tidak kurang daripada 10 rumah urut di Kuala Lumpur dan Selangor menawarkan khidmat itu.

“Ada rumah urut yang dulu hanya menawarkan urut batin kini menyediakan B2B apabila menyedari pakej itu menjadi buruan dan lebih menguntungkan.

“Berdasarkan pengalaman saya, tukang urut yang melakukan ‘tugas’ itu adalah warga asing, terutama dari China dan Thailand. Ada yang langsung tak tahu mengurut, sebaliknya hanya melakukan B2B,” katanya.

Berdasarkan maklumat diberi Faizal, wartawan Metro Ahad berkunjung ke sebuah rumah urut yang menyediakan khidmat itu.

Terbukti dakwaan Faizal benar kerana penjaga kaunter memberitahu ada ‘servis’ B2B sebaik ditanya mengenai pakej ditawarkan.

“Apa ‘servis’ awak mahu? Sini ada B2B, urut badan dengan badan. Tak mahal, RM150 saja untuk satu jam,” kata penjaga rumah urut berkenaan.

Kunjungan sekitar jam 8 malam itu turut membuktikan kegilaan lelaki hidung belang terhadap pakej B2B terserlah apabila penjaga kaunter memberitahu semua tukang urut sibuk melayan pelanggan.

“Awak kena tunggu lagi satu jam sebab tukang urut tiada. Semua layan pelanggan yang kebanyakannya ambil pakej B2B.

“Awak mesti cuba. Tengok... ramai ambil pakej itu,” katanya.


Bagi membuktikan dakwaan itu, wartawan Metro Ahad berpura-pura mendekati seorang pelanggan yang menunggu giliran.

Ketika ditanya tujuannya ke rumah urut itu, tanpa berselindung lelaki terbabit memberitahu mahu mengambil pakej B2B.

“Sudah tiga kali saya ke sini dan ramai juga kawan datang sebab ada pakej B2B. Bukan di sini saja, ada rumah urut lain buat B2B. Saya ada juga pergi ke tempat lain. Banyaklah sekarang (tawarkan B2B),” katanya.

Dalam pada itu, pemantauan di sebuah rumah urut lain mendapati perkhidmatan berkenaan turut disediakan. Penjaga kaunter memaklumkan, selain urut batin, urut badan dengan badan adalah ‘menu istimewa’ mereka.

Bayaran dikenakan adalah RM150 dan khidmat itu dilakukan tukang urut warga Thailand.

Perompak dua kali malang









GEORGETOWN: Seorang lelaki yang disyaki penagih dadah dicekup polis ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah penduduk di Jeti Chew, Jalan Pengkalan Weld, di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut 2, Mohd Soaihami Rahim, berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi apabila suspek berusia 20-an memecah masuk rumah seorang penduduk yang keluar makan di sebuah restoran berhampiran.

Katanya, mangsa yang menyedari rumahnya dipecah masuk terus menghubungi polis dan ketika tiba di lokasi kejadian, polis terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan di Gat Lebuh Chulia, kira-kira beberapa meter dari lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak sempat melarikan apa-apa barang, namun dipercayai berjaya memecah masuk rumah itu,” katanya sambil menambah, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun serta denda.
Sementara itu, berdasarkan maklumat penduduk setempat, kejadian pecah rumah kerap berlaku di kawasan itu, termasuk kehilangan beberapa barangan milik sebuah kuil.

Isu kalimah Allah ke Mahkamah Rayuan


KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membawa isu kalimah Allah ke Mahkamah Rayuan.
Katanya, usaha itu bagi memastikan kesucian agama Islam di negara ini tetap terpelihara dan mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.
"Saya ingin menasihati semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini agar bertenang dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang agar perkara ini dapat diselesaikan melalui proses perundangan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Jamil berkata, beliau akan berjumpa dengan semua NGO berkaitan dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara tersebut.
Tambah beliau, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus untuk agama dan umat Islam.
Oleh itu, tegasnya, perkara tersebut tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain dan wajib bagi setiap umat Islam untuk menjaganya dengan cara yang terbaik.

God ialah tuhan, bukan Allah - Dr. M




KUALA TERENGGANU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) melahirkan rasa bimbang dengan kemarahan di kalangan umat Islam di negara ini berhubung isu kalimah Allah.
Sambil menyifatkan keputusan mahkamah mengenai isu itu sebagai mengejutkan, Dr. Mahathir percaya walau apa pun alasan yang diberi, kemarahan tetap tercetus di kalangan umat Islam terhadap pihak lain yang menggunakan kalimah Allah.
"Terjemahan perkataan god dalam bahasa Inggeris adalah tuhan bukan Allah. Allah adalah spesifik untuk orang Islam sahaja.
"Jadi kalau mereka (agama lain) faham, mereka akan gunakan perkataan tuhan bukannya Allah," katanya kepada pemberita selepas membentangkan ucaptama mengenai Mahasiswa Melayu: Cabaran dan Masa Depan pada Konvensyen Mahasiswa Melayu 2010 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.

Ganjaran bantu tangkap 4 Jahanam


EMPAT lelaki ini dikehendaki polis kerana terlibat dalam jenayah samun bersenjata.


KUALA LUMPUR - Polis menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai identiti Penjahat Empat Jahanam yang bertindak menyamun sebuah klinik di pinggir ibu kota pada awal Disember lalu sebagai usaha untuk memburu mereka hingga ke lubang cacing.



Ganjaran itu akan diberikan kepada orang ramai yang mempunyai maklumat hingga tertangkapnya kesemua atau sebahagian daripada empat suspek tersebut.
Seorang pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya memberitahu, maklumat itu penting kerana kesemua mereka merupakan penjenayah tegar dan berbahaya. Mereka diberi gelaran 'geng penyamun premis bersenjata'.
Gelaran tersebut diberikan selepas pihaknya menjalankan siasatan lanjut sejak menerima laporan daripada mangsa-mangsa kumpulan itu.
Setakat ini, polis masih belum mengenal pasti identiti mereka walaupun telah menunjukkan gambar keempat-empat suspek kepada beberapa individu sama ada yang pernah menjadi mangsa samun atau penduduk beberapa kawasan di sini.
"Kita juga masih belum dapat mengesahkan cap jari yang terdapat di premis tersebut kerana mereka hanya menyamun barangan kemas dan berharga milik mangsa dan pelanggan.
"Cap jari di pintu juga gagal ditimbulkan disebabkan berlaku pertindihan kerana dipegang oleh ramai orang," katanya ketika dihubungi di sini semalam.


KERATAN muka depan Kosmo! semalam.
Semalam Kosmo! menyiarkan gambar aksi empat lelaki Melayu yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV). Ketika itu mereka sedang menyamun sebuah klinik.
Berdasarkan rakaman tersebut, kesemua suspek mula memasuki premis yang mempunyai empat jururawat, seorang doktor dan seorang pesakit pada pukul 2.35 petang. Mereka berpura-pura hendak mendapatkan rawatan.
Menurut jurucakap tersebut, suspek berkemungkinan penduduk di kawasan berkenaan berdasarkan pengetahuan mereka mengenai lokasi dan selok-belok klinik tersebut.

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya