Cari Blog Ini

Selasa, 29 September 2009

Ajal 2 hari lepas nikah



KUALA TERENGGANU: “Baju Melayu arwah yang dipakai pada majlis persandingan kami dua hari lalu dan Jalur Gemilang yang menutup kerandanya akan menjadi kenangan yang sukar untuk saya lupakan.

“Sebagai tanda ikatan kasih kami, saya akan abadikan baju ini bersama baju kurung yang dipakai ketika majlis berkenaan,” kata Azlinda Muhammad, 24, balu kepada anggota tentera, Mazlan Mustaffa, 29, yang maut selepas dua hari melangsungkan pernikahan dalam kemalangan di Kilometer 99, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Batang Gergaji, Besut, semalam.

Mengimbas kembali kenangan manis selepas bergelar isteri walaupun hanya dua hari, Azlinda yang inai di jari tangannya masih merah berkata, dia tidak menyangka Aidilfitri kali ini yang pertama dan terakhir disambut bersama arwah suami.

“Meskipun hanya dua hari bergelar isteri, banyak perkara yang akan menjadi kenangan sukar dilupakan seumur hidup.

“Selain sepasang baju Melayu hijau pucuk pisang, semua barang hantaran diberikan arwah suami akan saya simpan sebagai nostalgia perkahwinan kami,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Durian Mas, Manir, di sini, semalam.

Menurut Azlinda, sebelum kejadian, arwah suami yang bertugas di Batalion Kedua, Kem Sempadan, Jeli, Kelantan, bertolak dari rumah menaiki motosikal untuk ke tempat kerjanya kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, ketika keluar, dia tidak melihat sebarang perubahan pelik pada arwah suami yang turut menghantarnya ke rumah ibunya di Kampung Paya Datu, di sini, sebelum meneruskan perjalanan ke Jeli.

“Sepatutnya arwah bertolak ke Jeli malam tadi tetapi saya minta dia bertolak awal pagi esok (semalam) kerana bimbang dengan perjalanan pada waktu malam.

“Walaupun arwah sudah biasa berulang-alik dari Jeli ke kampungnya, sebagai isteri, saya tetap bimbang dengan keselamatannya dan berdoa semoga perjalanannya selamat dan tidak menyangka menerima berita buruk ini,” katanya.

Ibu mangsa, Fatimah Besar, 53, berkata, dua hari sebelum majlis akad nikah anaknya itu Sabtu lalu, arwah beria-ia memberitahu tidak mahu berkahwin dan mahu membatalkan majlis perkahwinan itu.

“Sikap arwah menyebabkan mak cik risau dan tidak menyangka rupa-rupanya dia mahu meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Menurutnya, arwah anak kedua daripada empat beradik seorang yang pendiam tetapi beberapa hari sebelum kejadian, dia begitu ceria dan tidak putus-putus bergurau dengan anak saudaranya.

“Walaupun pemergiannya ketika kami masih lagi bergembira dengan majlis bersejarah ketika Aidilfitri ini, mak cik reda kerana ia ketentuan Tuhan,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Mas, di sini, kira-kira jam 8.30 malam semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Roslan Hassan berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya