Cari Blog Ini

Khamis, 3 September 2009

Gegaran enjin

 
JELAJAH Menteri Besar Negeri Sembilan dan Festival Motosikal Antarabangsa Port Dickson (PDIBF) baru-baru ini, mendapat sambutan hangat melalui penglibatan 250 penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Program penjelajahan selama dua hari di Negeri Sembilan pada tahun ini turut menerima penyertaan dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

Berbeza dengan festival tahun lalu yang menghimpunkan semua aktiviti di Resort Eagle Ranch, Port Dickson, Negeri Sembilan, acara konvoi kali ini diperluas dengan kunjungan ke setiap daerah di negeri itu.

Kesempatan memberikan peluang kepada peserta untuk mengunjungi lokasi-lokasi menarik dan mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat setempat di Negeri Adat Pepatih itu.

Program anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) dengan kerjasama Tourism Malaysia serta agensi kerajaan negeri tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam usaha mempromosikan sektor pelancongan di setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, penglibatan konvoi motosikal berkuasa tinggi diharap dapat membantu mempromosikan tempat-tempat menarik yang ada.

"Mereka yang terlibat dalam aktiviti bermotor diharap dapat menyebarkan cerita mengenai keistimewaan yang terdapat di negeri ini melalui kelompok mereka," ujarnya.




Hari pertama (31 Julai 200)

Pelepasan konvoi disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Royale Bintang Resort & Spa, Seremban.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS), Badrulhisham Abdul Rahman.

Perjalanan dari Seremban pada pagi itu menuju ke inap desa pertama iaitu Inap Desa Kuala Klawang yang disambut Pengerusinya, Siti Hawa Ab Mukti.

Pada pukul 11 pagi, konvoi meneruskan perjalanan ke Inap Desa Lonek yang disambut meriah dengan paluan Cak Lempong dan majlis Minuman Selamat Datang oleh seluruh penduduk kampong.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lonek, Ramli Abd Hamid berkata, lokasi Inap Desa Lonek yang terletak tidak jauh dari Kuala Pilah itu sesuai dijadikan destinasi tunggangan bagi penggiat aktiviti bermotor.

Hari Kedua (1 Ogos 2009)

Hari kedua bermula dengan acara poco-poco sebelum peserta bergerak ke Adventure Community Centre Sukabumi, Rembau.

Kemeriahan acara yang diatur sepanjang jelajah tidak begitu memenatkan peserta malah laluan yang digunakan menyajikan 'trek' yang cukup menghiburkan bagi kaki-kaki motor.

Cabaran utama sepanjang konvoi adalah ketika laluan menuju ke Inap Desa Pachitan, Port Dickson apabila hujan lebat turun sepanjang perjalanan. Mujurlah lalu lintas dipermudahkan dengan bantuan anggota polis dan kakitangan petugas.

Konvoi turut singgah di beberapa buah lokasi termasuk Muzium Adat (Jelebu), Teratak Za'ba (Jempol), Sawari F' Best (Jempol), Lemang Valley dan Rembau Kristal (Rembau) dan Tugu Sungai Kelamah (Tampin).
Penunggang dari Singapura, Serene Lee, 45, berkata, pengalaman konvoi memberi peluang kepada beliau untuk berkenalan dan berkongsi cerita dengan penunggang-penunggang negara ini.

Serene yang menunggang motosikal Triumph memberitahu, PDIBF antara konvoi yang paling menyeronokkan yang pernah disertai sepanjang sembilan tahun terlibat dalam aktiviti bermotor.
Penjelajahan berakhir di Resort Eagle Ranch Resort Port Dickson dengan sebahagian peserta sudah mula merancang untuk menyertai ekspedisi pada tahun depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya