Cari Blog Ini

Selasa, 3 November 2009

Bagasi isi syabu



NILAI: Paparan imej meragukan di bawah bagasi pakaian dibawa warga Jepun ketika melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang membawa kepada penemuan 4.7 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM1.175 juta.

Dalam pemeriksaan jam 9.55 malam Jumaat lalu, pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menemui dadah berkenaan dalam dua bungkusan plastik cerah disembunyikan dalam ruang khas di bawah bagasi dibawa wanita berusia 30-an terbabit.

Kejayaan itu diperoleh apabila Unit Khas Pemeriksaan Penumpang KLIA membuat pemeriksaan ke atas setiap penumpang yang menggunakan penerbangan dari negara berisiko mulai 29 Oktober hingga kelmarin.

Pengarah Kastam KLIA, Azizah Ibrahim, berkata ketika ditahan, wanita yang baru tiba dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu, membawa tiga bagasi pakaian dan imbasan mendapati satu bagasi itu memberi imej meragukan di bahagian bawah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan fizikal, pegawai menemui dua bungkusan plastik cerah di dalamnya mengandungi bahan kristal putih disyaki syabu tersorok di ruang khas di bawah bagasi.

“Kes itu diserahkan kepada cawangan narkotik dan siasatan awal mengesahkan dadah dijumpai itu syabu, dengan anggaran berat kasar 4.7 kg dan nilai pasaran RM1.175 juta.

“Wanita warga Jepun itu ditahan reman enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

“Kejayaan ini memberi gambaran pihak sindiket sentiasa bertukar taktik membabitkan pelbagai bangsa,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Kampung Jijan, dekat sini, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Mohd Subri Awang.

Sementara itu, Azizah berkata, berdasarkan statistik sehingga awal bulan ini, terdapat 50 kes membabitkan dadah cuba dibawa masuk ke negara ini dengan bilangan orang yang kena tuduh seramai 36 orang, 33 membabitkan warga asing manakala selebihnya rakyat tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya