Cari Blog Ini

Khamis, 24 Disember 2009

Lapan kedai runcit hangus



BATANG KALI: “Saya sayu lihat api ‘rakus’ membakar kedai runcit pusaka ini depan mata sendiri, namun bersyukur nyawa masih selamat,” kata seorang mangsa kebakaran lapan kedai runcit di pekan Ulu Yam, dekat sini, malam kelmarin.

Leow Bie Yan, 55, berkata kejadian jam 11.30 malam itu berlaku ketika ketiadaan penghuni di kedai runcit yang diperbuat daripada binaan kayu dan papan sepenuhnya itu.

Katanya, dia dan suaminya, Wong Wing Lee, 62, mengambil masa lima minit bergegas ke tempat kejadian dari rumahnya di Batang Kali selepas dihubungi seorang rakan di situ.

“Kebakaran ini memusnahkan lapan kedai runcit milik penduduk kurang setengah jam kerana cuaca kering ketika itu. Kami tidak dapat mengambil apa-apa dalam kedai ini.



“Saya sedih melihat api marak dengan cepat, tetapi belum dapat dipadam anggota bomba kerana menghadapi masalah tekanan air rendah di sini,” katanya ketika ditemui selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim dan Adun Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun, melawat mangsa kebakaran terbabit.


Berikutan kejadian itu, Leow mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM200,000 apabila barangan jualannya tidak dapat diselamatkan.

Katanya, kejadian semalam adalah kali keempat berlaku dalam tempoh 40 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Hulu Selangor, Superintendan Mohd Zainuddin Nasir, berkata bomba menerima aduan mengenai kebakaran itu pada jam 12.20 tengah malam dari Bilik Gerakan Bomba Selangor melalui panggilan dibuat seorang penduduk di talian 999.

“Kami menghantar dua jentera yang tiba pada 12.37 tengah malam dan tiga minit kemudian pasukan bomba sukarela daripada Ulu Yam tiba.

“Bagaimanapun, kami mengalami kesukaran memadam kebakaran berikutan tekanan rendah selain sumber air jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, anggotanya menghadapi masalah apabila bekalan elektrik belum diputuskan yang juga menyumbang kepada kelewatan dan ini perkara yang perlu diambil berat kerana membabitkan keselamatan.

Katanya, punca kejadian dan kerugian sebenar masih dalam siasatan pihak bomba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya