Cari Blog Ini

Rabu, 9 Disember 2009

Curiga isteri dengan jiran



SHAH ALAM: Bekas isteri Raja Pop, Jamal Abdillah mendakwa penyanyi itu curiga dan mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan jiran sebelum memukulnya sehingga bengkak pada bahagian kanan kepala dan jari tangan.

Perkara itu dimaklumkan Pegawai Penyiasat, Cif Inspektor Rokiah Majid, 37, yang juga saksi pertama dalam perbicaraan Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 49, yang menghadapi tuduhan mengugut bekas isterinya, Fatimatu Zahra Samad, 25, dua tahun lalu, di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Rokiah berkata, berdasarkan rakaman percakapan, bekas isteri penyanyi itu mendakwa mereka bertengkar sehingga berlaku pergelutan sebelum Jamal menumbuk wanita berkenaan.

“Suspek (Jamal) mengambil penyapu dan cuba serang pengadu (Fatimatu ), tetapi wanita itu melarikan diri ke dalam bilik.

“Pada masa sama, bapa pengadu sampai dan menghalang suspek memukul Fatimatu Zahra,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim pada hari pertama perbicaraan selepas tujuh kali kes itu tertangguh.

Mengikut pertuduhan, Jamal yang juga Juara Bintang RTM 1979 didakwa mendatangkan ketakutan jenayah terhadap Fatimatu Zahra dengan menyatakan kata ugutan jenayah melalui SMS.

Dia didakwa menghantar ugutan berbunyi: ‘Tunggu dan lihat apa akan terjadi’ menggunakan nombor telefon miliknya kepada telefon Fatimatu Zahra di No 2, Jalan Pauh 4/2B, Seksyen 4 di sini, jam 7.44 pagi, 30 April 2007.

Jamal didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

SITI SYAKIMAH: Ketika merakam percakapan, ada kamu merujuk laporan polis dibuat Fatimah Zahra pada 21 April 2007?

ROKIAH: Ada.

SITI SYAKIMAH: Laporan apa?

ROKIAH: Pengadu dipukul suspek akibat mendakwa wanita itu ada hubungan dengan jiran sebelah. Pengadu mengalami bengkak pada bahagian kanan kepala dan jari. Suspek ada memegang kayu, tetapi pengadu sempat melarikan diri.

SITI SYAKIMAH: Selepas itu?

ROKIAH: Saya menyuruh pengadu mendapat rawatan di hospital.

SITI SYAKIMAH: Kemudian?

ROKIAH: Saya memaklumkan kes ini kepada pegawai bahagian jenayah untuk membuat siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun yang sama.

SITI SYAKIMAH: Selepas siasatan dibuka?

ROKIAH: Pihak kami membuat tangkapan dan menangkapnya di Angkasapuri Kuala Lumpur pada 30 April 2007.

SITI SYAKIMAH: Berapa ramai membuat tangkapan itu?

ROKIAH: Saya bersama lima anggota detektif menangkapnya pada jam 11.09 malam serta membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk merakam percakapan.

SITI SYAKIMAH: Bagaimana reaksinya?

ROKIAH: Dia ikut saja dan memberi kerjasama kepada pihak polis.

Rokiah bersetuju laporan polis itu tidak mempunyai perkataan mengugut ketika ditanya peguam Ahmad Fariz Mohamed yang mewakili Jamal.

Menurutnya, Fatimatu Zahra tidak diiringi anggota polis membuat rawatan berikutan wanita terbabit masih boleh berjalan dan tidak cedera parah.

Sementara itu, Fatimatu Zahra yang juga saksi kedua perbicaraan itu memberitahu dia tidak mahu meneruskan perbicaraan berkenaan.

“Saya minta kes ini ditarik balik balik atas alasan menjaga maruah saya, anak dan keluarga. Saya tidak mahu meneruskan kes ini lagi.

“Sudah dua kali saya membuat rayuan supaya kes ini ditarik balik, tetapi Peguam Negara menolaknya. Bagaimanapun, saya mencuba sekali lagi membuat rayuan,” katanya.

Justeru, Majistret Norkamilah Aziz menangguhkan perbicaraan itu pada 27 Januari depan untuk mendapat jawapan bagi permohonan Fatimatu Zahra.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya