JOHOR BAHRU: Kemaruk bedah plastik serta tidak mahu menunggu lama untuk mencantikkan wajah dan penampilan diri, ada wanita sanggup menghadapi risiko mendapatkan perkhidmatan ‘doktor ajaib’ dari luar negara yang melakukan pembedahan kosmetik selama tiga jam di bilik hotel di bandar raya ini.
Lebih mengejutkan, tanpa was-was dan prasangka terhadap keselamatan masing-masing, wanita terbabit juga sanggup memperjudikan anggota tubuh yang ingin diubah doktor dikatakan berkebolehan melakukan proses pembedahan hidung, kelopak mata dan menegangkan wajah dalam tempoh singkat.
Pakar bedah tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Roy berkata, doktor dari Hong Kong dan China itu mendakwa kononnya memiliki kepakaran lebih tinggi berikutan berkebolehan melakukan pembedahan di bilik hotel tanpa peralatan lengkap, manakala pesakit tidak perlu melalui prosedur sulit.
Menurutnya, berbekalkan suntikan bius bagi menahan sakit, jarum, benang, pisau, gunting dan beberapa peralatan asas pembedahan, ‘doktor ajaib’ terbabit didakwa mampu mengubah penampilan wanita tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.
“Mana-mana wanita boleh membuat temu janji bagi menjalani pembedahan kosmetik dengan doktor yang tinggal di luar negara itu dengan mudah selepas menghubunginya.
Roy berkata, antara syarat ditetapkan ialah tidak membongkar rahsia mengenai pembedahan yang bakal dijalankan kepada pihak lain bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.
Menurutnya, pesakit juga perlu membiayai kos tiket penerbangan doktor dan pembantunya yang dibawa bersama.
“Ada antara pelanggan juga dikenakan syarat membayar bilik hotel yang disewa berkenaan.
“Hakikatnya, kos pembedahan yang terpaksa dibiayai wanita terbabit adalah dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding di pusat perubatan tempatan kerana mencecah belasan ribu ringgit,” katanya.
Roy berkata, wanita yang kebiasaannya mendapatkan perkhidmatan doktor terbabit terdiri daripada ahli perniagaan, suri rumah serta eksekutif yang mempunyai pelbagai masalah berusia 30-an hingga 50-an.
“Perbuatan itu mengundang padah kepada wanita terbabit kerana bukan saja perlu menanggung kos berlipat kali ganda, malah mudah terdedah pada jangkitan kuman hingga memudaratkan kesihatan.
“Ada juga yang tertipu apabila doktor terbabit gagal menawarkan rawatan susulan selepas mengambil wang mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Lipolisis and Mediceutical Clinic, Dr Ungku Mohd Shahrin, berkata seorang pelanggan ‘doktor ajaib’ terbabit pernah datang ke kliniknya dengan hidung berbalut dan terpaksa menanggung penderitaan selepas melakukan pembedahan kosmetik di hidung.
“Ini berikutan ‘doktor’ terbabit gagal memberi rawatan susulan terhadap wanita berusia 30-an itu yang sepatutnya membuka jahitan di hidung selepas tempoh tertentu.
“Wanita itu mengakui menjalani pembedahan di bilik hotel. Bagaimanapun, ‘doktor’ terbabit gagal kembali semula ke negara ini bagi melakukan rawatan susulan hingga mengakibatkan wanita itu kesakitan.
“Kerana simpati, klinik kami terpaksa merawat wanita berkenaan bagi mengelakkan keadaannya bertambah parah,” katanya.
Dr Ungku Mohd Shahrin berkata, mengikut prosedur, setiap pesakit yang ingin menjalankan pembedahan perlu dinilai tahap kesihatan mereka terlebih dulu.
“Sekiranya mereka mempunyai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi, pakar bedah terpaksa melakukan kawalan lebih ketat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub, berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkenaan sepatutnya melaporkan kepada jabatan secepat mungkin.
Katanya, tindakan segera itu membolehkan jabatan mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa sanggup menjalankan pembedahan di bilik hotel.
“Menjadikan bilik hotel sebagai premis menawarkan perkhidmatan perubatan adalah satu kesalahan.
“Hingga kini kami tidak menerima sebarang aduan mengenai kegiatan itu. Mungkin wanita yang terpaksa menanggung derita segan untuk tampil melaporkannya.
“Orang ramai dinasihati mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang berdaftar dan berlesen,” katanya ketika dihubungi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan