DAHULU, sebut sahaja ke Pulau Jerejak, ramai menggelengkan kepala. Jika tidak melawat saudara yang menghidap kusta, tibi atau pesalah jenayah, pasti kaki tidak menjejak ke pulau ini.
Imej sebagai penempatan pesakit tibi dan kusta selain menempatkan penjara untuk penjenayah tegar menyebabkan pulau itu turut digelar, 'Alcatraz Malaysia'.
Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, ia mula meniti populariti sebagai destinasi percutian terbaru pulau mutiara itu, selain tarikan bangunan bersejarah di sekitar Georgetown dan kemeriahan di pantai Batu Feringghi.
Mereka yang gemarkan aktiviti mencabar boleh menyertai pelbagai aktiviti ketika menginap di pusat peranginan Jerejak Resort & Spa.
Tetamu berkumpulan terutama dari agensi kerajaan dan syarikat korporat lazimnya memilih lokasi itu untuk mengadakan kem bina semangat berikutan suasana dikelilingi hutan hijau.
Dengan keluasan 362 hektar ini, pulau ini sebahagian besarnya masih dilitupi hutan tebal menjadi medan terbaik untuk menyertai pelbagai aktiviti luar yang menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang.
Tidak perlu pergi jauh, anda hanya perlu berjalan kaki atau berbasikal di sepanjang denai untuk menikmati suasana damai.
Muka buminya yang berbukit juga menjadikannya sesuai untuk aktiviti sukan basikal bukit dengan tiga laluan disediakan iaitu Dipterocarp Trail sepanjang 1.549 kilometer (km), Hill Trail (703 meter), Razak Ridge Trail (1.853km) dan Balqis Bike Trail (2.4km) - masing-masing mempunyai cabaran tersendiri.
Menawarkan halangan semula jadi yang menuntut kepintaran menunggang, trek berkenaan sesuai dijadikan gelanggang latihan bagi mereka yang berminat menceburi sukan lasak berbasikal. Namun, jika baru berjinak-jinak dalam aktiviti ini, pengunjung boleh mendapatkan tunjuk ajar dari pelatih berpengalaman.
Aktiviti paling popular di pusat peranginan ini adalah flying fox dan abseilling menjadi komponen utama dalam kem bina semangat atau boleh dicuba sebagai aktiviti mengisi waktu terluang pada waktu petang.
Jika berminat mempelajari sukan memanah, ia menyediakan lapangan khas untuk menguji kemahiran.
Sebaik senja melabuhkan tirai, tetamu masih boleh menyertai pelbagai aktiviti malam, termasuk merentas denai, atau perkhemahan, jika mahu mencari pengalaman bermalam sambil ditemani bunyi unggas alam.
Ada banyak pilihan penginapan disediakan bergantung kepada kehendak dan bajet setiap golongan pengguna.
Pasangan yang mahu meraikan bulan madu boleh memilih chalet eksekutif untuk suasana lebih eksklusif atau jenis asrama untuk pengembara bajet atau tetamu yang datang secara berkumpulan.
Selain itu, mereka yang mahukan pengalaman berbeza boleh menempah chalet yang bertemakan reka bentuk warisan tradisional termasuk budaya Peranakan, Melayu Kelantan dan Borneo.
Jika kurang berminat dengan aktiviti luar, anda masih menikmati percutian di pulau ini dengan mencuba terapi urutan Bali di spa pusat peranginan ini.
Tidak hanya menempatkan pelbagai khazanah hutan yang tidak ternilai harganya termasuk meranti, mersawa dan keruing, kawasan hutan yang meliputi sebahagian besar pulau juga menjadi kediaman kepada pelbagai spesies tumbuhan herba liar.
Malah, jika kepada pada masanya, anda akan dapat melihat hidupan liar termasuk kera dan helang laut perut putih dan reptilia lain yang turut mendiami pulau itu. Sekiranya sudah puas dengan segala macam aktiviti, pastikan anda meluangkan masa untuk melihat tinggalan penjara dan pusat tahanan, sebelum melangkah pulang.
INFO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan