HULU TERENGGANU - Bumbung Terminal Pengangkutan Awam bernilai RM4.2 juta yang dalam pembinaan di Kuala Berang dekat sini runtuh menyebabkan empat pekerja di situ cedera.
Kejadian pada pukul 3 petang semalam berlaku ketika 15 pekerja dengan dua daripada mereka sedang memasang kaca sebagai bumbung penghadang cahaya.
Kerja-kerja memasang kaca di atas bumbung penghadang cahaya di terminal pengangkutan awam itu telah bermula sejak seminggu lalu.
Penyelia projek, Zahir Hariri berkata, dia terdengar bunyi kuat ketika berada di pejabatnya dan terkejut apabila mendapati bumbung sepanjang 27.4 meter itu telah runtuh.
"Ia menyebabkan dua pekerja warga Bangladesh yang berada di atas bumbung dan dua lagi iaitu seorang warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan yang berada di bawah cedera," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.
Menurut beliau, kesemua yang mengalami cedera ringan di kaki, dahi dan tangan akibat terkena serpihan kaca itu dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan dirawat sebagai pesakit luar.
Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada penyambungan panel yang tidak sempurna pada penghadang cahaya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan