KUALA LUMPUR: Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah ungkapan sesuai bagi seorang anak yang sanggup bertindak biadab dengan mencuri puluhan barang kemas ibunya sebelum ke kedai pajak gadai semata-mata mahu membelanja rakannya makan.
Dalam kejadian jam 8 malam, Rabu minggu lalu, seorang wanita berusia 53 tahun menyedari puluhan barang kemas miliknya bernilai RM6,500 yang diletakkan di atas almari dengan ditutupi barangan lain tiba-tiba lesap di kediamannya di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, di sini.
Kerana pelik dengan apa yang berlaku dan mengesyaki angkara anak lelakinya, tukang sapu itu segera membuat laporan di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Brickfields, Superintendan Azri Abd Rahman, berkata pihaknya kemudian pergi ke rumah mangsa dan hasil siasatan mendapati barang kemas berkenaan sememangnya dicuri anak mangsa yang berusia 19 tahun.
“Suspek yang juga penganggur mengaku perbuatannya dan memberitahu menjual semua aksesori terbabit di sebuah kedai pajak gadai di sekitar Jalan Klang Lama.
|
Azri berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati semua barangan itu dibeli seorang wanita berusia 32 tahun di premis berkenaan pada hari sama.
“Berikutan itu, kami terpaksa menahan wanita berkenaan kerana kesalahan memiliki barangan curi, sekali gus membantu siasatan.
“Suspek yang direman sehingga Rabu ini (esok) bertindak seumpama itu untuk kegunaan peribadi dan dipercayai mahu membelanja rakannya,” katanya.
Beliau berkata, pemilik kedai pajak gadai seharusnya meneliti terlebih dulu barangan yang dibeli dan tidak menjual dengan sewenang-wenangnya sehingga menyusahkan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan