Cari Blog Ini

Khamis, 24 Disember 2009

10 jenis ubat di sisi katil



LOS ANGELES: Sepuluh jenis ubat berbahaya, termasuk ubat penenang dan tahan sakit ditemui dalam botol di sisi katil pelakon, Brittany Murphy selepas kematiannya.

Menurut akhbar laman web selebriti, TMZ, antara ubat yang dibimbangi dimakan oleh aktres berusia 32 tahun itu termasuk ubat untuk rawatan mencegah radang.

Polis yang menyiasat kematiannya Ahad lalu akibat serangan sakit jantung dijangka menyoalsiasat doktor yang memberikan ubat itu kepadanya.

Britanny disahkan mati di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di Los Angeles selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di Hollywood Hills.

Pejabat koroner daerah kini menanti ujian toksik dan tisu sebelum menyatakan secara rasmi punca kematiannya.

Suaminya, penulis skrip lakon layar warga Britain, Simon Monjack yang bercakap kali pertama mengenai kematian isterinya semalam berkata: “Kehidupan saya musnah pada hari kematiannya.”

Senarai ubat-ubatan itu terkandung dalam laporan penyiasat.

Laporan itu antara lain menyebut: “Pemeriksaan yang dilakukan mendapati sejumlah besar ubat-ubatan atas nama si mati.

“Turut ditemui ialah beberapa botol ubat atas nama suami dan ibunya serta nama orang ketiga.”

Ubat yang temui itu termasuk Carbamazepine, ubat sawan, Methylprednisolone, ubat pencegah radang, Propranolol, ubat jantung, Klonopin dan Ativan, dua ubat penenang, Topamax, satu lagi ubat pencegah sawan, Biaxin, ubat antibiotik, Vicoprofen, Fluoxetine dan Hydrocodone iaitu tiga ubat tahan sakit.

Aktres berkenaan berlakon dalam beberapa projek perfileman beberapa bulan sebelum kematiannya.

Dia sepatutnya memulakan penggambaran untuk filem Shrinking Charlotte bulan depan.

Penulis yang juga pengarah filem, Rene Eram menyifatkan Brittany sebagai pelakon yang hebat dan profesional tetapi kelihatan terlalu kurus.

“Saya menyedari berat badannya turun secara mendadak sepanjang enam bulan lalu,” kata Eram.

Adik tiri pelakon 8 Mile dan Clueless itu, Jeff Bertolotti berkata, Hollywood menjadi sebahagian daripada punca kematian Brittany.

“Mereka yang bercita-cita menjadi selebriti datang ke Hollywood dan sama ada mereka berjaya atau tidak, mereka akan tenggelam akhirnya. Itu yang berlaku pada Brittany,” kata Bertolotti. — Agensi

2 ulasan:

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya