Cari Blog Ini

Rabu, 30 Disember 2009

Bantah roboh gerai


PETALING JAYA: “Di sinilah periuk nasi kami sejak empat tahun lalu, jika dirobohkan di mana kami nak berniaga selepas ini?,” rayu Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Penjaja Kecil (JPPK) Jalan Meranti, Bandar Sri Damansara di sini, Shahron Pin.

Ini berikutan, nasib 21 peniaga gerai makan di jalan itu ibarat telur di hujung tanduk berikutan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan notis mengosongkan tapak perniagaan mereka sebelum hujung tahun ini.

Shahron berkata, permohonan mendapatkan permit dan lesen niaga bagi menjalankan aktiviti perniagaan di situ dibuat sejak beberapa tahun lalu.

“Malah, pada Ogos 2007, MBPJ meluluskan pembinaan 30 tapak gerai penjaja di Jalan SD3/1 dan Jalan SD12/1 di sini untuk kemudahan kami tapi dibatalkan tanpa sebab,” katanya.




Sebelum itu, sebahagian peniaga menemui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu berkenaan.


Menurut Dr Hassan, beliau berjanji akan mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua MBPJ dan Ahli Majlis terbabit mengenai isu berkenaan sebelum aktiviti meroboh gerai dilaksanakan.

Shahron berkata, selain surat permohonan permit, surat bantahan meroboh gerai dan permohonan tapak niaga baru turut dihantar kepada MBPJ melalui Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Norzaton Aini Mohd Kassim.

“MBPJ turut memberi alasan gerai yang didirikan ini mengganggu lalu lintas penduduk sekitar padahal tinjauan bertanda tangan lebih 500 penduduk di sini menunjukkan perkara sebaliknya,” katanya.

Ahli JPPK percaya punca gerai mereka bakal dirobohkan adalah berikutan laporan sebuah akhbar tabloid tempatan berbahasa Inggeris yang menyiarkan laporan kononnya tapak perniagaan mereka kotor dan tidak patut didirikan di situ kerana menyusahkan penduduk.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro semalam mendapati, persekitaran dijaga dengan baik tanpa gangguan bau busuk ataupun sampah di dalam longkang.

Peniaga, Mohd Asri Awang, 41, berkata gerai berkenaan menjadi tumpuan komuniti di sekitar untuk mendapatkan masakan Melayu sejak dulu lagi.

“Selain peniaga, keistimewaan tempat ini sebagai tempat tumpuan masyarakat setempat juga akan turut terjejas.

“Kebanyakan peniaga membuat pinjaman perniagaan daripada pelbagai agensi kerajaan yang sah, tapi jika dirobohkan bagaimana kami nak melunaskan pinjaman?” katanya.

Kata Asri, jika aktiviti meroboh tetap diteruskan, mereka mungkin akan bertindak lebih agresif demi mempertahankan hak sumber pendapatan mereka.

Seorang lagi peniaga, Rosnita Radzali, 35, turut bersetuju kerana mereka bergantung hidup pada aktiviti perniagaan untuk menampung kehidupan seharian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya