Cari Blog Ini

Sabtu, 5 September 2009

AL-ALLAMAH TUAN GURU HAJI MAHMUD NASRI OTHMANI

 
Dilahirkan pada 13 Safar 1316 / 14 Julai 1898
di Kampung Alor Besar, Kota Sarang Semut, Kedah.

Pulang ke Rahmatullah pada 28 Safar 1400 / 16 Januari 1980
Dilahirkan dan kembali ke Rahmatullah pada hari Rabu


Pengenalan

Nama Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri bukanlah nama yang asing di kalangan masyarakat negeri Kedah dan Seberang Perai. Beliau dikenali sebagai seorang ulama, tuan guru dan pengasas Pondok Lanai Negeri Kedah Darul Aman yang dikenali sebagai Madrasah Misbahul Salam. Selain itu, beliau juga menjadi guru agama di surau-surau dan masjid-masjid yang menjemput beliau mengajar kitab-kitab dalam bidang tauhid, feqah , usuluddin, tasauf dan lain-lain. Isterinya juga mengajar Al-Quran dan kitab-kitab asas fardhu ain. Tuan Guru Sheikh Mahmud banyak memenuhi masa lapangnya dengan beruzlah bersendirian bagi mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T.

Silsilah Keturunan

Keturunan bapa : Haji Mahmud Nasri Othmani bin Haji Othman bin Haji Senik bin Haji Wan Hashim bin Haji Wan Abdul Wahab.

Datuknya ialah Allahyarham Assyahid Tok Nik Had keturunan Tok Mekong Awang Hitam, seorang hulubalang melayu yang syahid dipancung oleh tentera siam ketika sedang menunaikan solat di pinggir medan perang mempertahankan Pattany sekitar tahun 1730M.

Keturunan ibu : Haji Mahmud Nasri bin Hajjah Kamaliah binti Haji Saman bin Haji Abd Samad (Tok Fakeh) bin Hashim bin Wan Abdul Wahab.

Haji Mahmud adalah cicit kepada penghulu kampung Bera Pattany. Semasa kejatuhan Pattany, Wan Hashim (anak kepada AsSyahid Tok Nik Had (Tok Mekong Awang Hitam) telah berpindah ke Negeri Kelantan. Bapanya Haji Othman dilahirkan di Kampung Kuala Lengkung, kawasan bendang padi di pendalaman Kampong Belimbing dalam Jajahan Pasir Mas. Haji Othman dibesarkan dan dididik oleh datuknya dengan pelajaran agama dan kemudiannya di Pondok. Setelah dewasa, Haji Othman dibawa oleh datonya ke Negeri Kedah dan dijodohkan dengan ibunya (Hajjah Kamaliah) bagi merapatkan semula pertalian keluarga keturunannya.

Hasil perkongsian hidup itu, ibubapanya telah dikurniakan Allah SWT dengan 10 orang anak iaitu Ismail, Mahmud Nasri, Saat, Ahmad, Aisyah , Salmah, Cik, Zainab, Rokiah, dan Huduh.

Pengajian Agama

Haji Othman dan Hajjah Kamaliah yang mempunyai pendidikan agama yang baik telah membesar dan mendidik Haji Mahmud. Pada usia 7 tahun, Haji Mahmud telah khatam Al-Qu’ran dan beliau diserahkan kepada seorang guru Al-Quran yang mahir (berasal dari Pattany tetapi telah menetap di Kedah selama 5 tahun) iaitu Pak Ngah Idris untuk mempelajari Al-Quran dan pendidikan agama secara lebih mendalam. Ketika itu, pengajian Islam merupakan pelajaran utama untuk orang Melayu Malaya dan ramai anak-anak watan telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Makkatul Mukarramah.

Pada usia 12 tahun, beliau telah berguru pula dengan Tuan Guru Haji Ismail (Tok Chik Dol) di Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah selama 3 tahun. Tidak lama kemudian, beliau telah berguru dengan Tuan Guru Haji Yaakob Kemelong Sik Kedah, seorang ulamak yang masyhur ketika itu.

Selepas itu, beliau telah berhijrah ke Kelantan (bersama kakandanya Ismail) pada usia 18 tahun dan berguru pula dengan seorang lagi ulama terkenal iaitu Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Abdul Halim (Tok Padang Jelapang).Pondok Jelapang juga ketika itu merupakan pusat pengajian yang terkenal. Pada usia 21 tahun, Haji Mahmud masih meneruskan pelajarannya dengan Haji Wan Ahmad tetapi di Pondok Pasir Mas Salor.

Semasa di Pondok Pasir Mas Salor inilah, Haji Mahmud mengenali seorang lagi Ulama Terkemuka iaitu Al-Allamah Syeikh Yusuf Kenali (Tok Kenali)

Akhirnya Haji Mahmud telah berguru dengan Tok Kenali.

Perguruan dengan Tok Kenali

Tok Kenali adalah seorang tokoh ulama yang menguasai banyak bidang ilmu agama. Beliau juga merupakan murid kesayangan Al-Allamah Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zin Mustafa Al-Fathoni.

Tok Kenali rata-rata dikenali di Kelantan ketika itu sebagai seorang ‘keramat’ dan ‘wali’ di samping seorang ilmuwan yang bertanggungjawab di atas penerbitan Majalah Pengasuh, Majlis Agama Islam Kelantan.

Di sinilah Tok Kenali telah mengajar Syeikh Mahmud ‘rahsia shatar’ (titik perbezaan antara hak-hak hamba dengan Allah SWT) dan ‘amalan khalifah pusaka wali agama Islam’ bagi melayakkan manusia menjadi Khalifah dalam ertikata sebenar di muka bumi dan tahu membezakan antara ar-risalah (yang dikurniakan kepada Para Rasul) dan an-nubuwah (yang dikurniakan kepada Para Anbia) serta mengikuti sunnah/contoh/teladan.

Dengan adanya hak-hak kehambaan kepada Allah SWT semata-mata barulah seseorang manusia yang digelar Khalifah itu dapat mentadbir dan memakmurkan seluruh isi alam ciptaan Allah SWT.

Tok Kenali juga telah mengarahkan Syeikh Mahmud untuk mempelajari langkahan hulubalang (Jabat dll)/Silat Khalifah dengan Tuan Guru Haji Muhammad Taib (rakan kepada Datuk Perdana Nik Mahmud) di Kota Bharu. Syeikh Mahmud juga telah menerima amalan aurad dengan ayah kepada Haji Taib iaitu Al-Allamah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pattany (juga dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jabat/Tengku Abdul Rahman Tok Tama) Tok Kenali telah menjelaskan antara lain tujuan mempelajari langkahan hulubalang dan amalan aurad ini ialah untuk mempertahankan agama, keluarga, bangsa dan negara dari sebarang bentuk penjajahan/serangan luar.

Akhirnya Tok Kenali telah mengijazahkan Amalan Khalifah Pusaka Wali Agama Islam kepada Syeikh Mahmud Nasri Osman.

Sebelum kembali ke Kedah pada usia 27 tahun (bersama sahabat-sahabatnya Tuan Guru Haji Othman Yunusi dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Ibrahim) Tok Kenali telah mendoakan Syeikh Mahmud dan berwasiat :

“Di mana ada rimba di situ tempatmu, di mana kamu duduk, hendaklah mendirikan madrasah, kamu jangan tinggal madrasah”.

Pulang Ke Kedah

Syeikh Mahmud Nasri Othmani telah pulang ke kampung halamannya dan tinggal bersama keluarganya. Tidak lama selepas itu, beliau kembali semula ke Pondok Gajah Mati dan tinggal di sana. Beliau telah dikunjungi oleh Tuan Guru Syeikh Othman Jalaluddin (Lebai Salam Penanti) untuk ke Madrasah Manabil Ulum Penanti Bukit Mertajam bagi guru ganti kepada Tuan Guru Syeikh Othman sementara anaknya Haji Muthalib pulang dari Makkatul Mukarramah.

Berkhidmat Di Penanti

Syeikh Mahmud berkhidmat di Madrasah Manabil Ulum Penanti Bukit Mertajam selama setahun sehingga anak Tuan Guru Syeikh Othman iaitu Setelah itu Tuan Guru Haji Muthalib pulang mengambilalih tugasnya sebagaimana pesanan ayahandanya.

Berkhidmat dan berhijrah ke Lenggong

Syeikh Mahmud Nasri kemudiannya dijemput pula oleh saudara sepupunya iaitu Tuan Imam Haji Yusuf Haji Ibrahim, Imam Masjid Lenggong Perak untuk mengajar agama. Imam Haji Yusuf merupakan murid kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik bin Haji Hasan Pondok Sungai Pinang.

Syeikh Mahmud telah berhijrah/bermukim di Lenggong selama 2 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau mengajar tauhid, feqah, tasauf di masjid dan surau-surau yang terdekat. Pada usia 31 tahun, beliau kemudiannya berkahwin dengan anak saudara sepupunya Tuan Imam Haji Yusuf yang bernama Azizah. Isterinya merupakan seorang guru Al-Qur’an dan Fardhu Ain dan merupakan murid kepada bapanya sendiri dan bapa saudaranya iaitu Haji Ahmad (Pak Chu Mat Kelantan – murid kepada Tuan Guru Haji Abdullah Senik, Pondok Padang, Pasir Mas Kelantan) yang juga telah berhijrah dan menetap di Lenggong.

Selain Pak Chu Mat, Imam Haji Yusuf iaitu mertua Syeikh Mahmud juga telah berhijrah ke Lenggong selepas Hulu Perak, Kelantan dan Pahang telah dibuka dengan selamatnya oleh Tuan Guru Syeikh Abdul Rahman Jabat. Sebelum pembukaan, kawasan ini amat digeruni orang kerana ‘permainan raja orang asli’ yang mempunyai amalan memuja binatang-binatang buas bagi mengganggu sesiapa sahaja yang mencerobohi kawasan-kawasan yang ‘dijaga’ oleh mereka.

Kisah pembukaan ini telah meninggalkan kesan sejarah di hulu Perak, Kelantan dan Pahang menerusi lambang Gajah Putih iaitu tunggangan Tengku Abdul Rahman Tok Tama atau Sheikh Abdul Rahman Jabat.

Kembali Ke Kedah

Tiada berapa lama selepas perkahwinan beliau, Syeikh Mahmud merasakan amanat gurunya Tok Kenali belum dapat dilaksanakan. Pada tahun 1932 M, dia telah kembali ke Kedah dengan hasrat untuk membuka pondoknya di kawasan rimba yang baru diterokai di mana penduduknya tidak mempunyai guru yang boeh mengajar mereka tentang ilmu-ilmu agama.

Membuka Madrasah Misbahus Salam.

Pada 12 Rabi’ul awal 1351 H bersamaan 15 Ogos1932 M, Syeikh Mahmud telah berhijrah ke Kampung Lanai, Baling, Kedah Darul Aman; selaras dengan amanat Tok Kenali; Kampung Lanai merupakan suatu kawasan yang asalnya rimba yang belum diterokai dan hanya didiami oleh beberapa keluarga sahaja.

Semasa itu, penduduk Lanai mengerjakan solat Jumaat dengan berjalan-kaki sejauh 15km di Masjid Kampung Padang. Syeikh Mahmud telah berbincang dengan penduduk setempat seterusnya mencapai kata persetujuan untuk membuka Madrasah Misbahul Salam bagi digunakan sebagai tempat solat dan mempelajari agama.

Madrasah ini akhirnya menjadi terkenal dan semakin ramailah orang berhijrah ke Kampung Lanai untuk mempelajari agama dengan Syeikh Mahmud Nasri Osmani, murid kepada Ulama Terkemuka Asia Tenggara iaitu Al-Allamah Syeikh/Maulana Muhammad Yusuf Al-Kenali Al-Kelantani (Tok Kenali) Akhirnya Madrasah Misbahus Salam telah dipindahkan ke Caruk Salang, 3 km dari tapak asal.

Titah DYMM Sultan Badlishah

Selepas hampir tamat zaman pemerintahan Jepun, komunis cuba mengambilalih pentadbiran dengan menangkap Syed Abu Bakar dan Tuan Adam, DO Baling dan Residennya dan dibawa ke Kampung Dalam Wang Bawah Gunung, Baling dengan diikat seluruh badan mereka untuk ditanam dalam satu lubang secara hidup-hidup.

Syeikh Mahmud Nasri Osmani telah diminta oleh Tuan Guru Syeikh Yahya Taha, Kg. Pisang, Kupang (bapa mertua Tuan Guru Haji Umar Zuhdi) atas titah DYMM Sultan Badlishah untuk mengetuai operasi menyelamatkan Syed Abu Bakar dan Tuan Adam yang ditangkap bagi memaksa DYMM Sultan Badlishah menyerah diri kepada komunis.

Syeikh Mahmud Nasri dibantu oleh Tuan Haji Ahmad Bok Bak dan Tuan Haji Daud Bongor. Mereka telah pergi tanpa menggunakan sebarang senjata. Dengan Izin Allah, komunis seramai 600 orang yang diketuai oleh Chin Peng menjadi seperti terpukau dan melihat sahaja malah membenarkan Syeikh Mahmud dan rakan-rakannya membawa keluar Syed Abu Bakar/Tuan Adam sehingga jarak 40 meter. Komunis tiba-tiba menembak pasukan penyelamat selama 30 minit tetapi sekali lagi dengan izin Allah SWT, tidak ada satu pun peluru yang mengena mereka.

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Othmani dan rakan-rakannya telah menyerahkan Syed Abu Bakar dan Tuan Adam kepada DYMM Tuanku Sultan Badlishah dan Tuan Guru Haji Yahya Taha di Kampung Caruk Bembam, Kupang. Tempat penyerahan inilah hari ini telah didirikan Sekolah Menengah Syed Abu Bakar, Baling sempena nama Syed Abu Bakar.

Perasmian Madrasah Misbahul Falah

Pembukaan semula Madarasah Misbahul Falah telah disempurnakan pada tahun 1957 setelah terjadinya kesepakatan di antara Tuan Haji Abu Bakar dan menantunya Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih, Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Othmani dan penduduk tempatan.

Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih adalah anak kelahiran Kelantan yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Beliau merupakan anak murid kepada Tuan Guru Haji Yahya Taha Kampung Pisang yang kemudiannya telah melanjutkan pelajaran ke Makkatul Mukarramah. Semasa di Mekah, Tuan Guru Haji Umar Zuhdi telah berguru kepada beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir (Pak Da’el), Syeikh Mukhtar Abdul Malik Kudri Al-Makki, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al-Mandili dan Sheikh Muhammad Daud Sulaiman Al-Kelantani Al-Makki.

Sekembalinya beliau dari Makkatul Mukarramah bersama isteri dan anak-anaknya, Tuan Guru Haji Umar berhasrat untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama yang dipelajarinya kepada anak-anak bangsanya. Atas kehendak bapanya, Tuan Guru Hj Umar Zuhdi mengambil keputusan untuk menetap di Banggol Berangan, Lanai, Kupang, Kedah dan bersama-sama membuka semula pondok Madrasah Misbahul Falah.

Atas mengenang jasa Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Othmani dan rakan-rakannya menyelamatkan Syed Abu Bakar dan Tuan Adam, DYMM Sultan Badlishah telah berkenan merancang untuk berangkat merasmikan Misbahul Falah. Namun, hasrat baginda tidak kesampaian kerana telah mangkat pada hari berkenaan Majlis kenduri untuk menyambut baginda telah bertukar menjadi majlis tahlil untuk Almarhum DYMM Baginda dan akhirnya Madrasah Misbahul Falah telah dirasmikan sendiri oleh Tuan Guru Haji Umar Zuhdi Solih.

Madrasah Misbahul Falah terus berkembang mengikut manhaj yang telah disediakan oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi sendiri, mengikut system pengajian Nizhomi dan Umumi.Sistem pengajian nizhomi adalah system pengajian kelas bermula tahun I’dadi hingga ke thanawi dan sistem pengajian umumi adalah pengajian kitab-kitab torah dari kulit ke kulit.Sistem pengajian nizhomi dan umumi mendapat sambutan yang hangat di kalangan masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan agama dan suasana ini berjalan baik sehingga ke hari ini. Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani pula mendirikan sebuah madrasah dengan mengekalkan nama madrasah Misbahus Salam di rumahnya berhampiran dengan madrasah tersebut.Beliau membantu mengajar kitab-kitab torah secara umumi kepada pelajar-pelajar Madrasah Misbahul Falah yang gemar menuntut ilmu dengannya.

Gerak Seni Silat Abjad.

Gerak Seni Silat Abjad telah diasaskan oleh Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani adalah sebagai menggantikan nama ilmu dan amalan yang asal diterima daripada gurunya Sheikh Yusuf Kenali dan menerima latihan daripada gurunya Sheikh Muhammad Taib bin Tuan Guru Sheikh Abdul Rahman Jabat. Nama asal ialah Amalan Khalifah Pusaka Wali.

Syeikh Mahmud Nasri memperkenalkan Gerak Seni Silat Abjad ini ialah kerana pada masa itu beliau melihat kedudukan umat Melayu Islam terumbang-ambing selepas peristiwa 13 Mei, 1969. Ketika itu lahirlah berbagai-bagai unsur-unsur syirik, khurafat dan bidaah berlaku berleluasa dalam masyarakat melayu. Lalu beliau berhasrat untuk membersihkan amalan-amalan karut yang tiada dalam ajaran agama.

Amanat Al-Allamah Syeikh Mahmud Nasri Osmani :

Banyak barang tiruan dalam pasaran,
Barang asli dalam rumah ahli,
Dapat beza dalam majlis tandingan,
Datang benar hancur binasa yang bathil,
Benar tetap benar, bathil tetap bathil,
Datanglah kepada kami jika mahu barang yang asli,
Tiada menjadi korban pengorbanan,
Tiada dimahkotakan pahlawan,
Nafsu tujuh rupa tujuh terbit,
Taulannya di luar atas rupanya baik atau jahat,
Tiap-tiap bergerak ditanya guru asal,
Dosa pahala dikira melaluinya,
Tiada guru syaitan mengaku jadi guru,
Ahli sufi palsu berbagai ragam ratib jampian,
Lumrah insan kalah memakai menang membeli.

----------------------------------

AL-FATIHAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya