Cari Blog Ini

Khamis, 3 September 2009

Taman Tema Bukit Gambang

 
 
GAMBANG 2 Sept. - Selama ini penduduk di kawasan Pantai Timur terutama Pahang yang ingin bercuti atau membawa keluarga berkelah, mereka hanya tertumpu ke pantai atau air terjun yang banyak terdapat di kawasan itu.

Oleh kerana kawasan Pantai Timur mempunyai musim tengkujuh menyebabkan percutian di pantai atau air terjun mengundang bahaya.

Tidak hairanlah saban tahun pasti ada yang menjadi mangsa korban di pantai atau air terjun berikutan arus deras.

Sebagai pilihan, penduduk Pantai Timur jika ingin merasai permainan di taman-taman tema, mereka perlu berkunjung ke Kuala Lumpur atau Perak.

Menyedari hakikat bahawa kawasan pantai dan air terjun bukanlah destinasi percutian yang selamat, sebuah syarikat tempatan membina sebuah taman tema sebagai alternatif kepada orang ramai yang ingin berkelah atau bercuti.

Dengan kewujudan taman tema itu, penduduk di Pantai Timur tidak perlu lagi pergi jauh ke tempat lain kerana ia telah pun wujud di depan mata.

Taman Tema Bukit Gambang yang beroperasi sejak pertengahan bulan lalu bakal menjanjikan keseronokan yang tiada tandingannya kepada penduduk di Pantai Timur.

Taman tema yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, Sentoria Themeparks And Resort Sdn. Bhd. itu merupakan taman tema pertama dibina di Pantai Timur di kawasan seluas 24 hektar di Gambang.

Kedudukan taman tema tersebut dianggap strategik kerana berdekatan dengan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang memudahkan orang ramai termasuk dari Terengganu berkunjung.

Orang ramai tidak perlu bimbang kerana aspek keselamatan adalah perkara yang paling diutamakan oleh pengurusan taman tema itu.

Berada di taman tema itu, pengunjung boleh merasai sendiri keunikannya yang mempunyai empat segmen permainan yang setiap satunya mempunyai kelainan tersendiri.

Orang ramai boleh merasai sendiri ombak buatan terbesar di Malaysia di 'Coco Beach' malah di taman tema itu juga terdapat pantai buatan manusia seluas satu kilometer persegi.

Di sini juga terdapat segmen kanak-kanak iaitu di 'Pulau Penguin' yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi untuk kanak-kanak.

Pengunjung juga boleh merasai sendiri gelongsor yang menyeronokkan di segmen 'Tree Top Hill' di mana terdapat lima jenis gelongsor yang berbeza yang boleh dipilih sendiri oleh pengunjung.

Segmen yang terakhir iaitu 'Garden Terrace' dikhususkan kepada pengunjung yang ingin mengadakan mesyuarat atau majlis keramaian.

Kadar sewa yang dikenakan kepada pengunjung adalah amat berpatutan.
Selain itu, taman tema tersebut juga dilengkapi kemudahan surau bagi pengunjung beragama Islam menunaikan solat.

Kemudahan-kemudahan lain yang turut disediakan ialah almari bagi memudahkan orang ramai menyimpan barang-barang mereka selain tandas dan bilik persalinan.

Jika pengunjung berasa lapar, mereka tidak perlu bimbang kerana di Taman Tema Bukit Gambang ini terdapat beberapa kedai makanan antaranya 'Tinmine Kopitiam' yang berkapasiti 70 tempat duduk, 'Coco Pizza' dengan kapasiti 250 tempat duduk, 'Penguin Express' dengan kapasiti 550 tempat duduk dan 'Coco Station' dengan 30 tempat duduk.

Dengan kemudahan yang disediakan itu, tidak keterlaluan dikatakan bahawa Taman Tema Bukit Gambang dianggap lebih baik berbanding taman tema sedia ada di tempat lain.

Menurut Pengarah Eksekutif Sentoria Themeparks And Resort, Datuk Gan Kim Leong, Taman Tema Bukit Gambang merupakan kawasan rekreasi buatan manusia pertama di pantai timur.

Katanya, taman tema yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi itu dibina sejak dua tahun lalu dengan kos sebanyak RM40 juta.

''Kami juga menggunakan bahan-bahan pembinaan yang selamat yang diperoleh daripada pembekal yang membekalkan bahan kepada Taman Tema Disneyland," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, keselamatan adalah aspek paling diutamakan oleh pihak pengurusan taman tema kerana di sini terdapat 100 pekerja yang sentiasa mengawasi pengunjung.
 "Saya mahu orang ramai yang datang ke sini berasa tenang dan dapat merehatkan minda mereka," katanya.

Jika anda mahukan kelainan, alamilah sendiri pengalaman di Taman Tema Bukit Gambang hari ini.

3 ulasan:

  1. slm nk tnye
    bape tiket masuk?
    mainan ape yg best kt dlm tu

    BalasPadam
  2. what a useless entry. tak ada gambar. tak ada alamat. tak ada info apa-apa pun yang berguna untuk pelawat blog ini. tak ada map lokasi. tak ada segalanya!!!!!

    BalasPadam
  3. aku dah pergi dah best sangat.yang paling best sekali ialah yang ikan tu.mulut ikan tu biar je dimasuk air.lepas itu,tunggu ikan tu mulut dia jatuh ke bawah.kalau ada yang berdiri,dia ditolak tau.best sangat.Assalamualaikum

    BalasPadam

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya