Cari Blog Ini

Isnin, 12 Oktober 2009

Nak kahwin susah mati lagi susah




PONTIAN: “Nak kahwin susah, mati nanti lagi susah...,” keluh seorang lelaki mengaku berketurunan Cina dan mengamalkan ajaran Buddha yang bingung apabila tidak dapat mendaftarkan perkahwinannya kerana namanya direkodkan sebagai Ali bin Bakar dan beragama Islam.

Ali atau Ah Tee, 23, mendakwa mengamalkan ajaran Buddha sejak lahir dan bukannya beragama Islam seperti tertera pada kad pengenalan (MyKad), sekali gus menyebabkan dia gagal mendaftarkan perkahwinannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah ini, baru-baru ini.

“Saya orang Cina, bukan Melayu walaupun nama saya Ali Bakar,” katanya yang menetap di Pekan Nanas, dekat sini.

Katanya, dia mengalami kesukaran untuk mendaftar perkahwinan disebabkan MyKadnya tertulis nama Ali bin Bakar dan beragama Islam sedangkan dia tidak pernah mengamalkan agama terbabit sejak kecil.

Ali berkata, kekeliruan itu berpunca daripada bapanya, lelaki Melayu bernama Bakar Dolah yang berkahwin dengan ibunya, Suki, wanita Cina beragama Buddha dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima anak.

Wanita itu memeluk Islam untuk berkahwin dengan Bakar, tetapi masih mengamalkan ajaran asal sehingga menyebabkan masa depan lima anaknya bercelaru.

Menurut Ali, kakak sulungnya dinamakan mengikut nama Cina iaitu Ah Ni dan tidak mengalami sebarang kesukaran untuk mendaftar perkahwinan, tetapi abang dan adiknya dinamakan mengikut nama Melayu iaitu Lan, 25, adik lelaki, Hamid, 21, dan adik perempuan, Rani, 15.

“Inilah yang menjadi masalah kami empat beradik dan saya tidak tahu sama ada bapa saya Islam atau tidak kerana mereka tidak beritahu perkara sebenar. Saya, ibu serta adik-beradik mengamalkan ajaran Buddha,” katanya ketika ditemui di Pejabat Agama Pontian di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika hendak mendaftar perkahwinan, pegawai JPN terperanjat kerana MyKadnya tertulis nama Melayu dan pegawai terbabit membawanya ke pejabat agama daerah untuk meminta penjelasan lanjut.

Dia berkata, pendaftaran perkahwinannya terpaksa ditangguhkan buat sementara sehingga kemelut ini dapat diselesaikan.

Ali turut risau kemungkinan mayat mereka menjadi pertikaian jika mati kelak, sekali gus mengulangi apa yang berlaku terhadap bapanya.

Menurut sumber, bapa Ali seorang Melayu beragama Islam bernama Bakar Dollah dan mempunyai tiga isteri.

Isteri pertama dan kedua dipercayai berketurunan Melayu manakala isteri ketiga seorang Cina iaitu ibu Ah Tee.

Katanya, Bakar pernah memberitahu orang ramai bahawa dia bukan Islam, tetapi tiada rekod pendaftaran yang mengesahkan dia seorang berketurunan Cina atau beragama Buddha.

“Ketika Bakar meninggal dunia dan hendak dikebumikan Februari lalu, keluarga sebelah isteri Cinanya menuntut jenazah itu dikebumikan di tanah perkuburan bukan Islam, tetapi dihalang Jabatan Agama Johor.

“Akhirnya Bakar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ali berkata, ibunya kini menetap di Kota Tinggi bersama kakak dan adik bongsunya manakala dia bersama abangnya tinggal di Pekan Nanas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya