Cari Blog Ini

Khamis, 1 Oktober 2009

Pasport pemimpin Hindaf tidak di rampas



Hishammuddin Tun Hussein menunjukkan salinan pasport P. Waythamoorthy yang masih sah digunakan, pada sidang akhbar di di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, semalam.
 
PUTRAJAYA 30 Sept. – Kerajaan tidak pernah menarik balik atau menahan pasport antarabangsa milik pemimpin Hindraf, P. Waythamoorthy yang melarikan diri ke London, United Kingdom.

Malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, pasport pemimpin pertubuhan haram itu masih sah digunakan sehingga 17 Oktober 2010 sekali gus membolehkan dia pulang ke Malaysia pada bila-bila masa sahaja.

‘‘Sebenarnya bukan kita rampas pasport dia, sebaliknya dia yang serahkan kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London.

‘‘Jadi tidak timbul kita sekat atau kita tidak benarkan (tahan) pasport dia, kalau dia nak balik pasport itu, pergilah ke kedutaan kerana ia masih sah digunakan,” kata beliau

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas laporan akhbar Isnin lalu yang memetik dakwaan Waythamoorthy kerajaan telah menarik balik pasport antarabangsa miliknya sehingga menghalang dia pulang ke tanah air.

Pemimpin Hindraf itu sebelum ini dilaporkan berhasrat pulang ke Malaysia setelah kerajaan membebaskan lima pemimpin Hindraf termasuk abangnya, P. Uthayakumar daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mahmood Adam sebelum ini turut mengesahkan tiada sebarang waran dikeluarkan bagi menahan Waythamoorthy di bawah ISA.

Hishammuddin berkata, kerajaan juga tidak mempunyai sebarang sebab untuk memohon maaf kepada Waythamoorthy atas apa yang telah berlaku membabitkan urusan pasportnya.

Ditanya sama ada pemimpin Hindraf itu bebas pulang ke tanah air, beliau berkata, sekiranya Waythamoorthy pulang ke negara ini, dia tetap akan dilayan seperti rakyat Malaysia yang lain dan tertakluk kepada undang-undang.

‘‘Seperti yang selalu saya nyatakan, sesiapa yang berada di bumi Malaysia ini, kita perlu patuh dan akur kepada undang-undang negara.

‘‘Dia boleh balik tetapi kalau ada perkara yang boleh didakwa, dia tetap akan didakwa,” kata sumber.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya