Cari Blog Ini

Rabu, 7 Oktober 2009

4 penjenayah mati ditembak


KULIM 5 Okt. - Polis menembak mati empat penjenayah yang paling dikehendaki kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya 41 kes samun bersenjata di sekitar Kedah dan Perlis di kawasan tangki air Bukit Kukus, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, kesemua suspek yang merupakan warga tempatan berusia antara 20 dan 29 tahun mati di kawasan persembunyian selepas berbalas tembakan.


Suspek yang terbunuh ialah Jayasilan Murugan, 29, dari Kampung Lengkuas, Pokok Sena; Ramesh Raman, 20, Taman Intan Sungai Petani; Sundrakanapahti Subramaniam, 26, Batu Caves, Selangor dan Suresh Sinasamypillay, 27 dari Kampung Lengkuas, Pokok Sena.

Dua daripada lelaki tersebut iaitu Ramesh dan Sundrakanapahti merupakan bekas banduan yang baru dibebaskan dari Penjara Sungai Petani dan Penjara Pokok Sena pada Februari dan April lalu.
Sementara Jayasilan pula dibebaskan dari Penjara Pokok Sena pada 20 Ogos 2007 berhubung kes samun bersenjata.

Polis turut merampas sepucuk pistol jenis auto, Browning 9 milimeter (mm) bersama tujuh butir peluru hidup dan tiga bilah parang panjang serta dua pisau.

Polis juga merampas sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna hitam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kejayaan itu diperoleh kira-kira pukul 9 pagi setelah polis menerima maklumat awam berhubung kehadiran empat lelaki di dalam kereta Proton Waja tersebut dalam keadaan mencurigakan.Katanya, sepasukan polis yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Asisten Supritendan M. Saravanan kemudiannya bergegas ke tempat tersebut namun mendapati suspek telah beredar.

''Tidak lama selepas itu, polis berjaya mengesan keempat-empat suspek berkeliaran di kawasan perumahan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dipercayai sedang merancang untuk melakukan rompakan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad dan Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Salleh.Syed Ismail memberitahu, selepas menyedari kehadiran sepasukan polis, kumpulan suspek itu bertindak memecut kenderaan mereka ke arah Jalan Paya Besar.

''Suspek terus melarikan diri ke tempat persembunyian mereka di Bukit Kukus. Pada masa sama, anggota kita berjaya mengejar mereka," katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di penghujung jalan berdekatan tangki air, kesemua suspek telah diminta menyerahkan diri tetapi salah seorang daripada suspek melepaskan beberapa das tembakan.
Katanya, tiga lagi lelaki yang masing-masing bersenjatakan parang turut menyerang anggota polis.

''Polis terpaksa membalas tembakan untuk mempertahankan diri,'' katanya.
Syed Ismail berkata, pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menemui sepucuk pistol berisi lima butir peluru hidup dan dua lagi di dalam kenderaan, dipercayai untuk kegunaan rompakan.

Katanya, siasatan menunjukkan kumpulan terbabit bergiat aktif melakukan rompakan bersenjata dengan menjadikan sasaran utama mereka iaitu kedai emas, kilang dan rumah di sekitar Kedah khususnya Kulim, Pulau Pinang dan Perlis.

''Kesemua suspek dikesan mempunyai rekod jenayah berhubung kes ugutan jenayah, rompakan bersenjata dan ragut," katanya.

Tambahnya, salah seorang suspek juga dipercayai terlibat dalam kegiatan merompak kedai emas di Arau, Perlis, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Syed Ismail berkata, semakan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan suspek disewa dari seorang lelaki di Mergong, Alor Setar, pada 2 Oktober lalu.

''Suspek kemudian menggunakan nombor pendaftaran palsu KBA18 untuk menjalankan kegiatan samun termasuk yang terbaru di Bedong, Sungai Petani, semalam," katanya.

Ditanya tentang kemungkinan terdapat lagi saki baki anggota kumpulan itu, Syed Ismail berkata, pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan.

Beliau berkata, mayat kesemua suspek dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1967 (Penalti Lebih Berat).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya