Cari Blog Ini

Sabtu, 17 Oktober 2009

‘Abang...sayang kemalangan!’



KUANTAN: “Abang...sayang kemalangan!” begitu perkataan awal diucapkan Nor Hazliza Saat, 29, dengan nada suara lemah ketika menghubungi suaminya, Tengku Hamizi Tengku Husin, 29, bagi memaklumkan kejadian yang meragut nyawa anak angkatnya, Mohd Aris Iman Abdul Razak yang berusia sebulan.

Turut terbunuh di tempat kejadian, adik Nor Hazliza, Mohd Yusof Noor Shafik Saat, 23, dari Felda Kerteh 5, Dungun, Terengganu akibat cedera parah di kepala.

Dalam kejadian jam 11 pagi di Kilometer 237, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) itu, Nor Hazliza bersama seorang lagi adik perempuannya, Nor Atiqah Azwani, 21, cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, tiga beradik berkenaan bersama bayi terbabit dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas bercuti di Kerteh, Terengganu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Myvi dipandu Mohd Yusof Nor Shafik tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas melanggar jambatan.

Suami Nor Hazliza, Tengku Hamizi, pembantu tadbir di ibu pejabat Polis Bukit Aman, berkata dia menerima panggilan isterinya ketika sedang bertugas, kira-kira jam 11.15 pagi.

Menurutnya, dia berasa tidak sedap hati terutama apabila mendengar nada suara isterinya yang lemah sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, ketika bercakap melalui telefon bimbit, isterinya sempat memberitahu yang dia dapat keluar dari kereta manakala dua lagi adik serta anaknya tersepit.

“Terkejut mendengar berita sedih itu, saya bergegas ke Kuantan untuk melihat keadaan mereka.

“Namun, yang menyedihkan anak angkat kami disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di HTAA.

Katanya, dia mengambil Mohd Aris Iman sebagai anak angkat selepas tiga hari dilahirkan berikutan belum dikurniakan anak selepas lapan tahun berkahwin.

Menurutnya, dia reda dengan kejadian itu dan menganggapnya ujian Allah.

“Mungkin Allah lebih menyayanginya, namun saya dan isteri tetap bersedih kerana tidak sempat meraikan Mohd Aris Iman selepas disahkan menjadi anak angkat kami,” katanya.

Katanya, jenazah Mohd Aris Iman dan Mohd Yusof Noor Shafik akan dibawa pulang dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 5, Dungun, pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata, siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

1 ulasan:

  1. sama2 lah kita sedekah Al-Fatihah buat mereka yang pergi, semoga roh mereka di cucuri rahmat dan sama2 lah kite sentiasa beringat-ingat ketika memandu.....

    BalasPadam

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya