Cari Blog Ini

Khamis, 1 Oktober 2009

Peragut tumpas di tangan gadis




KUALA LUMPUR 30 Sept. - Seorang peragut kecundang di tangan seorang gadis berusia 22 tahun semalam dalam cubaan meragut dompet mangsa.

Disebabkan keberanian gadis itu, penjenayah tersebut yang sempat dibelasah oleh gadis berkenaan berjaya ditangkap dengan bantuan orang ramai.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika mangsa, Dzil Falilah Abdul Rashid menunggu teman lelakinya di koridor kediamannya di Batu Caves Centrepoint di sini.

Dia yang bekerja sebagai pembantu pereka dalaman tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali.
 

Ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini, gadis itu berkata, suspek tiba-tiba mencekik leher dan cuba meragut dompet dari genggamannya.

"Dia kemudian menendang serta menumbuk kepala dan paha saya. Saya pun membalas balik serangan itu sambil menjerit sekuat hati meminta tolong.

"Walaupun dompet itu hanya berisi RM10, saya bertindak melawan peragut itu kerana duit itu hasil titik peluh saya dan saya juga memang pantang dibuli," katanya yang lebam di kedua-dua lutut, paha dan kepala.

Menurutnya lagi, suspek kemudian melarikan diri ke motosikal yang terletak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian tetapi dia bertindak mengejar lelaki itu.

"Saya tak sanggup melihat peragut itu terlepas begitu saja, jadi saya kejar dia dan terus menyerangnya. Peragut itu juga cuba menyelak baju kurung saya ketika kami bergelut kerana menyangka saya akan malu dan berhenti menyerangnya tetapi dia silap," ujarnya.

Dzil Falilah memberitahu, belum sempat suspek menghidupkan enjin motosikalnya, teman lelakinya tiba dan merempuh motosikal menyebabkan dia terjatuh.

"Ketika itulah orang ramai datang membantu menangkapnya sebelum polis tiba," jelasnya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memuji keberanian gadis itu sehingga tertangkapnya suspek.

Katanya, lelaki berusia 20 tahun yang memiliki dua rekod jenayah curi dan dadah itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat sekiranya dia turut terlibat dalam jenayah lain.

1 ulasan:

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya