Cari Blog Ini

Jumaat, 2 Oktober 2009

Ratapan minang (Susulan gempa Bumi)



PADANG: Titisan air mata darah sekalipun tidak cukup untuk menggambarkan kesedihan Suleiman Wijoyo, 46, yang kehilangan dua anak serentak apabila bangunan kelas tuisyen mereka menyembah bumi dalam kejadian gempa bumi di kota ini, petang kelmarin.

Berita sedih itu sekali gus mengembalikan nostalgia menyayatkan hati lelaki terbabit yang turut kehilangan isteri tersayang akibat tragedi sama, kira-kira dua tahun lalu.

Jenazah kedua-dua anaknya, Cahaya Putri, 10, dan Budi, 8, ditemui bersama mayat 16 pelajar lain yang tertimbus di bawah bangunan kelas tuisyen yang runtuh akibat gegaran gempa sekuat 7.9 skala Richter, pada jam 5.16 petang kelmarin (waktu Indonesia).

Dalam kejadian 7 Mac 2007, Suleiman yang juga seorang peniaga bakso kaki lima kematian isterinya, Hernawati Amed, 37, selepas rumah mereka menyembah bumi dan menghempap wanita berkenaan yang ketika itu sedang memasak di dapur.

Suleiman yang ditemui di perkampungan Jalan Amdul Muis di sini, malam tadi, berkata dalam kejadian gempa bumi mendadak petang kelmarin, kedua-dua anaknya yang sedang menghadiri kelas tambahan di kos Gama 1 di sini, tenggelam dalam runtuhan bangunan dua tingkat itu.

Menurutnya, dia yang ketika itu di gerai baksonya berasa tidak sedap hati sejurus gempa bumi menggegarkan kawasan sekitar kota Padang, menyebabkan rusuk belakang gerainya runtuh.

“Gegaran kurang satu minit itu cukup kuat sehingga menyebabkan saya terhoyong-hayang sebelum terjatuh. Malah, orang ramai yang berada di sekitar saya hanya mampu menjerit sambil berlari keluar dari rumah.

“Sebaik gempa bumi itu berakhir, saya yang masih dalam keadaan pening bingkas bangun dan terus berlari ke arah bangunan kelas tambahan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika itu yang terlintas di fikirannya hanyalah nasib Cahaya Putri dan Budi, yang ketika itu sedang mengikut kelas tuisyen di bangunan berkenaan bersama 39 pelajar lain.

Namun, sebaik tiba di bangunan kelas tambahan rakyat itu, dia terus longlai seolah-olah tidak percaya apabila mendapati keseluruhan bangunan dua tingkat berkenaan menyembah bumi.

“Ketika itu tiada langsung kedengaran suara jeritan kanak-kanak meminta tolong. Semuanya menjadi sepi seolah-olah semua pelajar di dalamnya sudah tidak lagi bernyawa.

“Saya cuba menenangkan diri dan beristighfar panjang, namun ketika itu hati saya berat mengatakan kedua-dua anak saya sudah tiada harapan lagi,” katanya sebak.

Menurut Suleiman, dia bersama beberapa penduduk dan ibu bapa pelajar lain kemudian terus berusaha mengangkat batu runtuhan terbabit, namun usaha mereka sia-sia kerana hanya menggunakan kudrat tulang empat kerat saja.

“Saya hanya mampu menangis sambil meratap dan menadah tangan ke langit memohon bantuan llahi.

“Dan sehingga kini (malam tadi), ramai lagi pelajar masih gagal dikeluarkan dari runtuhan konkrit itu,” katanya.

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat semua kanak-kanak malang itu terbatas berikutan hanya satu jengkaut digunakan dengan bantuan satu generator kecil.

Sementara itu, seorang penduduk Kota Padang, Tuswandi Aria, 46, berkata kejadian gempa bumi kuat petang kelmarin bukan hanya meranapkan rumah usangnya, malah turut menyebabkan isterinya koma akibat dihempap kayu alang rumah.

Menurutnya, isterinya, Titi, 45, tidak sempat melarikan diri keluar dari rumah sebelum dihempap kayu di kepalanya.

“Isteri saya yang berlumuran darah itu dihantar ke Unit Gawat Darurat Rumah Sakit Tentera dan masih tidak sedarkan diri sehingga kini,” katanya.

1 ulasan:

  1. Ya Allah, selamatkan kami rakyat Malaysaia dari bencana spi ini.
    ______________________
    View Profile: Rantong™

    BalasPadam

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya