Jumlah kematian akibat gempa bumi sekuat 7.6 magnitud kelmarin dijangka meningkat apabila anggota penyelamat mengalihkan runtuhan bangunan di bandar padat dengan penduduk itu.
Gegaran kedua semalam - sekuat 6.8 magnitud - merosakkan ratusan bangunan dan memutuskan rangkaian komunikasi di beberapa kawasan.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata, semua pihak tidak sepatutnya memandang ringan bencana itu.
“Mari bersama-sama bersedia menghadapi keadaan lebih buruk.
“Kita akan melakukan apa saja yang termampu untuk menolong mangsa,” katanya semalam.
Pusat Krisis Kementerian Hal Ehwal Sosial mengesahkan, 770 orang maut dan 440 cedera parah, tetapi ketua agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, John Holmes, berkata sekurang-kurangnya 1,100 terbunuh.
Daripada jumlah itu, lebih 400 terbunuh di Padang, manakala selebihnya di empat kawasan berhampiran.
Ketua pusat itu, Rustam Pakaya, berkata beribu-ribu lagi dipercayai masih terperangkap.
Susilo mengarahkan tentera menggerakkan semua pusat krisisnya di Jakarta, Sumatera Barat dan Sumatera Utara ke Padang, selain menyediakan peralatan berat bagi membersihkan runtuhan di kawasan bencana.
Sekurang-kurangnya 500 bangunan ranap atau rosak teruk akibat kejadian kelmarin.
Apabila gegaran kedua berlaku semalam, penduduk yang trauma dan terpaksa tidur di tempat terbuka, gempar ketakutan dan kelam-kabut mencari tempat selamat.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa itu berlaku kira-kira 240 kilometer di selatan Padang.
Kira-kira 1,100 bangunan di Jambi, termasuk kediaman dan masjid terjejas, tetapi tiada kematian dilaporkan.
Pegawai kerajaan berkata, berpuluh-puluh mangsa mengalami kecederaan.
Di Padang, jentera berat digunakan untuk mengalihkan runtuhan bangunan sekolah bagi mengesan lebih 30 pelajar yang dipercayai terperangkap di bawahnya.
Ibu bapa pula berjaga semalaman dengan harapan mendapat berita terkini mengenai anak masing-masing.
“Saya sentiasa terbayang wajah anak perempuan saya,” kata seorang ibu, Imelda, sambil mengalirkan air mata ketika diwawancara stesen televisyen TVOne.
Kata wanita itu, anaknya, Yolanda, 12, mengikuti kelas sains ketika gempa berlaku.
Sementara itu, pakar geologi berpendapat, kejadian di Padang tiada kaitan dengan bencana di kepulauan Pasifik pada Selasa lalu.
Datuk Bandar Padang, Fauzi Bahar, berkata mereka sangat memerlukan bantuan.
Menteri Kewangan, Sri Mulyani, pula berkata bencana itu memberi kesan besar kepada ekonomi Indonesia kerana Sumatera Barat adalah pengeluar utama minyak kelapa sawit.
“Bencana itu menyebabkan Sumatera Barat terjejas teruk,” katanya. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan