Cari Blog Ini

Rabu, 28 Oktober 2009

Amuk tauke bengkel



KUALA LUMPUR: Berang selepas ditetak berulang kali, seorang pemilik bengkel kereta mengamuk sebelum melawan dua lelaki yang menetaknya dengan bersenjatakan perkakas membaiki kenderaan menyebabkan mereka melarikan diri.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, mangsa, Woon Kim Yu, 46, yang bersendirian dikatakan datang ke premisnya di Segambut di sini, untuk membaiki kenderaan.

Dia yang ditemui semalam berkata, sudah menjadi kelazimannya datang awal ke kedainya bagi memulakan tugas sejak mula membuka bengkel 10 tahun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menyapu sampah dan membersih perkakas di hadapan kaki lima premisnya sebelum dua lelaki tidak dikenali tiba-tiba muncul dengan menunggang motosikal.

“Saya benar-benar terkejut apabila seorang daripada lelaki itu tiba-tiba mendekati saya sambil mengeluarkan parang dari dalam jaketnya.

“Lelaki terbabit yang membalut parang itu dengan kertas surat khabar terus menyerang dan menetak kepala saya berulang kali tanpa memberi sebarang amaran,” katanya.

Menurutnya, tindakan lelaki berkenaan menyebabkan kepalanya berlumuran darah.

“Saya hanya mampu merayu tidak dicederakan. Bimbang keselamatan nyawa terancam, saya terus menawarkan wang kepada suspek.

“Walaupun ditawarkan wang, lelaki terbabit menolak tetapi memberitahu inginkan Nissan Sentra milik saya,” katanya.

Katanya, dia masuk ke dalam bengkel untuk mengambil kunci kereta terbabit sambil diekori lelaki berkenaan.

“Ketika dalam kedai, suspek sekali lagi menetak kepala saya menyebabkan saya hilang sabar sebelum melawan menggunakan pelbagai peralatan membaiki kenderaan yang sempat dicapai.

“Saya tidak hanya memukul suspek dengan besi, malah turut membalingnya dengan pelbagai peralatan menyebabkan mangsa kelam-kabut melarikan diri,” katanya.

Woon berkata, tindakannya melawan menyebabkan suspek yang berusia 20-an itu segera melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di atas motosikal di hadapan premisnya.

“Dalam keadaan cedera parah, saya cuba untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai di hadapan premis. Mujur seorang kenalan melalui hadapan premis saya sebelum membawa saya ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Berikutan itu, dia terpaksa menerima 30 jahitan di kepala.

Sementara itu Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, yang dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu polis sedang mengenal pasti kedua-dua suspek yang melakukan jenayah berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya