Cari Blog Ini

Rabu, 21 Oktober 2009

Kepala masuk longkang



KUALA LUMPUR: Mengerikan apabila seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan aneh apabila bahagian kepalanya terendam di dalam longkang kecil menyebabkan mangsa dipercayai mati lemas, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mayat lelaki berkenaan ditemui penduduk Blok 15, Pangsapuri Taman Miharja, di sini, yang kebetulan keluar rumah untuk ke tempat kerja.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Hanafiah, 18, berkata, mayat mangsa disedari seorang penghuni yang tinggal di tingkat paling bawah ketika dia ingin menghantar anak ke sekolah.

Menurutnya, pada mulanya menyangka mangsa tertidur atau sengaja membongkok di dalam longkang kecil terbabit untuk mencari sesuatu.

“Bagaimanapun, lelaki kurus berkulit gelap berkenaan dilihat kaku untuk sekian lama sebelum diyakini mati sejak beberapa jam lalu. Penduduk kemudian segera menghubungi polis bagi menyiasat kes kematian itu.

“Apa yang kami tahu, lelaki berkenaan bukan penduduk kawasan perumahan ini, sebaliknya lelaki misteri yang kerap dilihat berkeliaran di kawasan ini bersendirian,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir lelaki itu dilihat merayau-rayau di kawasan pasar malam berhampiran sebelum muncul di kawasan perumahan terbabit beberapa jam kemudian.

“Ada penduduk yang melihat lelaki berkenaan berjalan terhoyong-hayang sebelum melanggar beberapa pasu bunga penduduk hingga pecah bertaburan,” katanya.

Sementara itu, pihak polis dari Balai Polis Cheras yang tiba ke lokasi kejadian segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa sama ada ia berunsurkan jenayah.

Mangsa yang berseluar panjang tanpa baju terbabit dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, yang turut berada di lokasi kejadian berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada tubuh mangsa yang dipercayai berusia 50-an.

Menurutnya, siasatan awal polis hanya menemui tanda tatu pada tangan kanan mangsa dengan tulisan perkataan ‘saravanan’ yang dipercayai nama mangsa.

“Polis belum dapat mengenal pasti punca kematian mangsa sama ada akibat jenayah atau sebaliknya. Ia hanya akan dapat diketahui selepas bedah siasat dilakukan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya