Cari Blog Ini

Isnin, 12 Oktober 2009

Janin dalam lubang cetek


MELAKA: Gerak hati serta pengalaman sebagai penjaga dan penggali kubur membuatkan Zul Zelan Bakar, 35, cepat mengesyaki sesuatu apabila terpandang keganjilan pada permukaan tanah di Tanah Perkuburan Jelutung, Ayer Keroh, dekat sini, ketika mengebumikan jenazah seorang bayi sehingga membawa kepada penemuan janin lengkap sifat dalam lubang cetek, semalam.

Janin itu ditemui dibungkus dalam kain putih dan plastik, ditanam dalam lubang kira-kira 10.16 sentimeter selepas Zul bersama bapa saudaranya, Md Said Bachik, 46, menggali kubur yang mempunyai kesan seperti dikorek selepas mereka selesai mengebumikan jenazah bayi yang meninggal dunia selepas dilahirkan di tanah perkuburan itu, kira-kira jam 11 pagi.

Janin lengkap sifat itu ditanam di tengah antara pangkal pokok ubi gajah dengan sebuah kubur lain serta tidak diletak sebarang tanda dipercayai bagi mengelak dikesan.

Malah, lokasi tanah perkuburan berkenaan di atas bukit dan jaraknya hampir satu kilometer dari jalan utama serta terpaksa menempuh beberapa kawasan perkuburan lain termasuk jirat Cina, Kristian, Ceti dan India, sekali gus memudahkan individu terbabit melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Sekali pandang permukaan tanah (kubur) itu, gerak hati saya kuat menyatakan ada sesuatu,” kata Zul Zelan yang berkhidmat dengan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan terkejut apabila menjumpai janin terbabit.

Menurutnya, pengalaman menjadi penjaga dan penggali kubur kira-kira 10 tahun, secara tidak langsung menjadikan dia peka mengenai perkara itu.

“Sepatutnya, sebarang pengebumian di sini, saya dan pak cik akan dapat tahu terlebih dulu kerana kami bekerja dengan Jaim. Namun, setakat hari ini (semalam), kami tidak diberitahu pihak Jaim ada pengebumian lain selain seorang bayi berkenaan.

“Ini menyebabkan saya curiga melihat kawasan tanah berkenaan yang seperti baru dikorek lalu kami mengoreknya selepas selesai mengebumikan bayi terbabit,” katanya yang mendakwa ia kejadian kedua mayat bayi dijumpai ditanam secara haram di situ.

Dia berkata, sejurus melihat objek disyaki janin itu, dia dan Md Said segera mengambus semula tanah dan menutupnya dengan papan sebelum menghubungi Maim manakala bapa saudaranya membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh.

“Ketika sampai di kawasan kubur kira-kira jam 9 pagi, saya sudah nampak tanah seperti di korek tetapi membiarkannya. Namun, selepas selesai kerja dan berehat, saya tidak sedap hati,” katanya.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Gan Chip Pho, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 11.37 pagi dan sepasukan anggota polis dibantu unit forensik dihantar membuat siasatan di tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan, polis mengorek kubur berkenaan sedalam kira-kira 0.1 meter. Ia (kubur) tidak sepatutnya begitu dan kami syak janin berkenaan dilahirkan secara haram.

“Hasil pemeriksaan, janin berkenaan cukup sifat dan dibalut dengan dua lapisan kain putih dan dibungkus dalam plastik. Kami juga menjumpai satu lagi plastik di kubur sama dipercayai mengandungi uri.

“Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran secara sulit,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya