Cari Blog Ini

Jumaat, 23 Oktober 2009

Dadah serbuk kayu



KUALA LUMPUR: Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan Bukit Aman ke atas tiga makmal syabu dan Ecstasy di sekitar Lembah Klang membawa penemuan beberapa kilogram serbuk kayu dipercayai antara ramuan terbaru untuk membuat dadah terbabit.

Sindiket didalangi warga Iran itu dipercayai bergerak aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan beberapa unit kondominium di negara ini sebagai makmal memproses dadah terbabit bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Bertindak atas maklumat risikan, kegiatan sindiket terbabit ditumpaskan dengan penahanan tujuh lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun dalam beberapa serbuan di ibu negara empat hari lalu selain merampas sejumlah dadah bernilai RM2.3 juta.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat, berkata kegiatan sindiket itu terbongkar susulan penahanan dua lelaki, seorang rakyat tempatan dan Iran di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Syed Putra di sini, kira-kira jam 3.30 petang Isnin lalu.

“Mereka berdua ditahan ketika sedang melakukan urus niaga dengan membawa 1,570 gram dadah jenis syabu. Susulan tangkapan itu, polis menyerbu dua unit kondominium di Taman Gembira di sini, yang dipercayai digunakan sebagai makmal memproses dadah jenis syabu dan Ecstasy serta menahan dua lagi lelaki Iran dan seorang wanita warga Indonesia

“Selain menemui 48 kilogram serbuk Ecstasy, 3.3 kilogram syabu, 4.6 liter cecair syabu, 1,000 pil Ecstasy dan peralatan untuk memproses dadah, polis turut menjumpai beberapa kilogram serbuk kayu dipercayai untuk dicampurkan sewaktu menghasilkan dadah itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), semalam.

Menurutnya, serbuan ketiga dilakukan ke atas tiga unit kondominium di Jalan Putra di sini, kira-kira jam 1.30 pagi membawa penemuan satu lagi makmal memproses dadah.

“Kali ini, polis merampas 6,437 gram dadah jenis syabu dan menahan dua lagi lelaki Iran termasuk ketua sindiket itu.

“Turut ditemui beberapa peralatan memproses termasuk penapis, tong plastik dan lesung batu serta wang tunai RM133,572.46 dalam pelbagai mata wang termasuk RM51,433, AS$10,000 (RM34,019), mata wang Iran IRR 13,951,800 (RM48,054.63) dan HK$150 (RM65.83),” katanya.

Semua mereka ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya sabit kesalahan hukuman gantung mandatori.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya