Mayat Muda Mat Zin, 80, ditemui anak perempuannya, Rokiah Ali, 56, kira-kira jam 6.30 petang ketika mahu menghantar hidangan makan malam kepada ibunya.
“Pembunuh terbabit cukup kejam apabila mayat ibu ditemui dalam keadaan terduduk dengan kepala terendam dalam besen berisi air yang diletakkan di celah kakinya dipenuhi darah,” kata Rokiah, anak keempat mangsa ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Dungun di sini, semalam.
Mangsa tinggal seorang diri dan kejadian itu dipercayai bermotifkan rompakan.
Menurut Rokiah yang tinggal bersebelahan rumah ibunya, ketika menghantar makanan, dia memanggil ibunya berulang kali, namun tidak berjawab sebelum menyuruh seorang cucu mangsa, Izrin Amri, 10, memasuki rumah itu melalui tingkap yang terbuka untuk membuka pintu dapur yang terkunci dari dalam.
“Selepas pintu dibuka, saya segera masuk ke ruang tamu dan menghidupkan suis lampu dapur serta ruang tamu sebelum terkejut apabila melihat mayat ibu dalam keadaan menyayat hati dalam bilik tidurnya.
“Sebaik melihat mayat ibu, saya terus meraung dan hampir pitam sebelum segera berlari ke rumah memaklumkan kejadian itu kepada suami, Abdullah Said, 61, yang ketika itu berada di warung kopi miliknya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya.
Menurutnya, sebelum menemui mayat ibu, hatinya berdebar selepas panggilannya tidak berjawab dan mengesyaki sesuatu buruk berlaku.
“Saya tak menyangka arwah mati dibunuh, sebaliknya menyangkakan dia mungkin sesak nafas atau tertidur berikutan keletihan kerana malam sebelum kejadian, kami sekeluarga baru tiba dari Kuantan menghadiri majlis perkahwinan seorang cucu di Indera Mahkota, Khamis lalu.
“Saya langsung tidak terfikir ibu akan mati dalam keadaan begitu menyayat hati. Ketika bermalam di rumah saya sebaik tiba dari Kuantan, ibu memberitahu dia tidak selera makan dan rasa macam nak mati, tapi tidak menyangka rupa-rupanya apa yang diberitahu itu akan berlaku,” katanya.
Rokiah berkata, penjenayah dipercayai menetak kepala ibunya dengan tukul yang disembunyikan berhampiran rak baju dalam bilik itu sebelum merendam kepalanya dalam besen dipenuhi air.
Menurutnya, rumah berkenaan didiami ibunya sendirian manakala adik-beradik lain tinggal berasingan kecuali dia yang menghuni bersebelahan rumah berkenaan.
Katanya, sebagai anak yang tinggal berhampiran, menjadi rutin hariannya menghantar makanan pagi dan petang untuk arwah, tetapi pada hari kejadian, dia tidak menghantar makanan pagi berikutan ibunya sudah menjamah makanan sebelum pulang ke rumahnya jam 7 pagi hari kejadian.
“Saya percaya kejadian itu berlaku lebih awal, tapi kami menyedarinya sudah lewat petang,” katanya.
Menurutnya, semua barangan kemas yang ada pada badan arwah iaitu tiga gelang tangan dan satu rantai putus disimpan dalam beg tangannya dianggarkan bernilai RM20,000 didapati hilang.
“Saya tak tahu macam mana penjenayah boleh menceroboh bilik tidur arwah sedangkan kunci bilik berkenaan ada pada adik saya, Asmah kerana tertinggal di rumahnya ketika dalam perjalanan balik dari Kuantan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 6.40 petang dan bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa mati akibat lemas dan cedera di kepala dipukul dengan objek keras.
Semakin hari semakin meningkat jenayah di DUNGUN Terengganu apa dah jadi.....
BalasPadam