KLANG 1 Okt. – Setiap kali menjelang Deepavali, Jalan Tengku Kelana di sini atau lebih terkenal sebagai Little India merupakan antara kawasan yang paling sibuk.
Seperti juga Aidilfitri dan perayaan utama yang lain, mereka yang akan merayakan Deepavali juga mahu membuat persiapan bagi memeriahkan sambutan pesta cahaya itu.
Namun, bagi kalangan peniaga-peniaga di situ, ketibaan Deepavali bermakna masalah yang mereka hadapi saban tahun akan berulang.
Kawasan itu akan menjadi sesak dengan kenderaan dan orang ramai tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan oleh peniaga di situ untuk membantu pelanggan mereka.
Justeru, mereka memohon pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyediakan tempat meletak kenderaan tambahan di kawasan itu untuk kemudahan orang ramai dan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Mereka mendakwa kebanyakan pengunjung terpaksa meletak kenderaan di tepi jalan kerana tempat meletak kenderaan di situ tidak mencukupi.
Namun, tindakan pengunjung itu hanya menyebabkan kesesakan di kawasan itu menjadi semakin teruk.
Seorang peniaga kain, N. Ravi Chandran, 45, berkata, kawasan itu seharusnya dilengkapi dengan kemudahan tempat meletak kenderaan yang mencukupi kerana ia adalah salah satu kawasan yang selalu dikunjungi orang ramai termasuk pelancong asing.
Menurut beliau, kebanyakan pengunjung gemar ke situ kerana kawasan tersebut hampir serupa dengan Chennai di India dan segala keperluan untuk masyarakat India boleh diperoleh di situ.
“Keadaan inilah yang menyebabkan kami para peniaga memohon agar pihak MPK menyediakan lebih banyak tempat letak kenderaan di sini supaya pengguna tidak meletak kenderaan mereka sesuka hati di tepi jalan.
“Kami juga tidak boleh melarang mereka meletak kenderaan di situ kerana mereka adalah bakal pelanggan yang memberikan rezeki kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, kadangkala ada juga pelanggan yang mengadu kerana kenderaan mereka di saman oleh pihak MPK dan polis trafik tetapi tiada apa yang peniaga di situ boleh bantu.
“Bukan sekali tetapi kadangkala sampai dua tiga kali sehari,” katanya.
Beliau berkata, masalah itu sudah berlaku sejak bertahun-tahun yang lalu tetapi jalan penyelesaian yang total masih belum ditemui.
“Kita sangat berharap MPK dapat mengambil langkah dengan segera bagi mengatasi masalah tersebut.
“Di samping dapat mengurangkan kesesakan di bandar ini, penyediaan kemudahan itu juga boleh menarik
minat lebih ramai orang datang ke Jalan Tengku Kelana dan Klang, amnya,” katanya lagi.
Seorang lagi peniaga yang ditemui, K. Kanagavalli, 49, memberitahu, beliau sendiri kadangkala tiada tempat meletak kenderaannya walaupun datang pada awal pagi.
Dia juga mengakui adakalanya terpaksa meletak kenderaan di tempat yang salah sehingga disaman oleh pihak MPK ataupun polis trafik.
“Saya sendiri pernah disaman sebanyak tiga kali sehari dan kadangkala hari berikutnya begitu juga.
“Sememangnya saya yang bersalah tetapi apakan daya kawasan tempat meletak kenderaan tidak mencukupi membuatkan kebanyakan peniaga melakukan perkara yang sama,” katanya.
Seorang peniaga barang-barang kemas, K. Pasupathi, 35, pula memberitahu, sekiranya penyediaan tempat letak kenderaan tidak disegerakan mungkin pendapatan para peniaga di situ akan berkurangan.
Ini kerana, katanya, pelanggan susah untuk datang berkunjung ke situ kerana kesukaran mendapatkan tempat letak kenderaan yang selesa dan selamat.
“Apabila pelanggan terfikir perkara itu, mereka mungkin ‘malas’ untuk ke sini dan akhirnya kami yang menerima kesannya,” kata beliau.
Pasupathi berharap pihak MPK prihatin terhadap masalah itu dan menyegerakan penyediaan tempat letak kereta tambahan agar mereka tidak kehilangan pelanggan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan