Cari Blog Ini

Rabu, 21 Oktober 2009

Kuasa tangan si pendek



SECARA fizikal, Joby Matthew memang mengalami kekurangan berbanding orang lain.

Bagaimanapun, dengan menggunakan fizikalnya, Matthew berjaya membuktikan perbezaan terbabit tidak sekadar kekurangan, sebaliknya memiliki kelebihan.


Memiliki ketinggian hanya kira-kira 1 meter akibat penyakit Proximal Fimoral Focal Deficiency (PFFD), rahsia lelaki dari Kerala, India, itu terletak pada tangannya.

Jika bertarung di meja gusti lengan, Matthew mampu mendabik dada kerana setakat ini, dia berjaya mengalahkan pencabar yang bersaiz dua kali ganda daripadanya.

Buktinya, bapa kepada seorang anak itu mampu menaiki podium kejohanan dunia sebanyak lima kali.

Dalam beberapa aksi, orang ramai ternyata kagum dengan kemampuan tangannya, termasuk mengangkat berat atau melakukan tekan tubi.

Kesungguhannya untuk menikmati hidup juga membolehkan Matthew memandu kereta yang dicipta khas untuknya.

Menceritakan perjalanan hidupnya, pekerja syarikat petroleum itu berkata, dia mengakui bukan mudah berdepan dengan orang ramai yang rencam sifatnya.

Tambahan pula kediaman keluarga Matthew terletak di atas gunung.

Justeru, setiap hari dia berdepan dengan pelbagai kesukaran, namun dengan bantuan ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepadanya, Matthew berjaya mengharungi cabaran.

“Saya sentiasa mendapat galakan di rumah,” katanya.

Contohnya, pada tahun pertama persekolahan, Matthew terpaksa dikendong ibunya sehingga ke kelas sebelum dia dibenarkan pergi bersendirian.

Untuk sampai ke sekolah, kata Matthew, dia terpaksa berjalan kira-kira 400 meter sebelum tiba di jalan utama.

Di sekolah pula, Matthew terpaksa menerima hakikat bahawa dia tidak sama seperti rakan sebayanya.

Ketika yang lain bermain atau bersukan di padang, Matthew sekadar melihat dari tepi dan tidak mampu menyertai mereka.

“Saya ada banyak pengalaman pahit di sekolah. Misalnya, saya diketepikan jika ada acara sukan.

“Saya tak mahu salahkan sesiapa kerana bagi mereka, saya tak mampu bersaing disebabkan kecacatan ini,” katanya.

Pada ketika lain, hati Matthew sayu melihat kanak-kanak pulang sekolah menaiki basikal kerana dia sedar, dalam keadaan serba kekurangan, tidak mungkin merasai keseronokan itu.

Justeru, katanya, dia cuba tidak membenarkan fokusnya diganggu mengenai apa yang tidak mampu dibuat, sebaliknya menumpukan sesuatu yang boleh dilakukan.

“Saya mula bermain bola tampar dan badminton.

“Tidak lama kemudian, saya mampu bermain seperti budak normal,” katanya.

Dari sehari ke sehari, kesungguhan Matthew menjadikan dia bersemangat untuk bersaing dengan kanak-kanak yang lebih dewasa daripadanya.

Di meja gusti lengan, Matthew mempertaruhkan kekuatan tangan untuk membuktikan bahawa dia bukan budak sembarangan.

“Apabila sedar saya tak mungkin mampu bermain bola sepak, saya mula mencari sukan yang dapat saya sertai dengan baik.

“Gusti lengan adalah jawapan kepada pencarian saya,” katanya.

Ketika itu, katanya, seseorang yang hebat dalam sukan gusti lengan dianggap macho.

Dengan kesungguhannya, Matthew berjaya mengalah seorang demi seorang pencabarnya sehinggalah bakatnya dikesan dan dia diketengahkan ke acara lebih besar.

Setakat ini, Matthew pernah menggondol ketiga-tiga jenis pingat - emas, perak dan gangsa - di peringkat dunia.

Di Kejohanan Dunia di Jepun pada 2005, Matthew memperoleh tiga pingat gangsa, termasuk satu bagi kategori umum apabila dia dipertemukan dengan peserta normal.

Dua lagi pingat dimenangi bagi kategori kurang upaya.

Dalam kejuaraan peringkat dunia di Sepanyol tahun lalu, Matthew mencapai kejayaan terbesar dalam hidupnya apabila menggondol pingat emas bagi kategori umum dan perak bagi kategori kurang upaya.

Ketika kejohanan berlangsung, peserta dibahagikan mengikut berat masing-masing.

Walaupun kurang sempurna, Matthew tidak pernah menganggap dirinya terkebelakang berbanding manusia normal.

Mengenai dirinya, Matthew berkata, kakinya memang terlalu kecil ketika dilahirkan.

“Menurut doktor, 60 peratus kaki saya tidak membesar,” katanya.

Menurut Matthew, sehebat mana pun manusia, sebenarnya setiap orang mengalami kekurangan daripada pelbagai aspek.

Bagi memastikan dia sentiasa cergas, Matthew menghabiskan masa sejam sehari di gimnasium sebelum berenang di sungai berhampiran rumahnya.

Di rumah, ada dua manusia paling bermakna menanti - isteri, Megha, seorang pakar tarian berusia 25 tahun dan anak lelakinya yang baru berusia dua bulan.

Kejayaan di dalam sukan tidak menghalang Matthew mencuba cabaran baru.

Kini dia menjalani latihan intensif untuk menyiapkan diri menjadi pendaki gunung.

Selepas memperoleh pengalaman berharga di banjaran Himalaya dan New Zealand, impian Matthew adalah menakluk Gunung Everest.

“Saya mungkin memerlukan masa lapan tahun untuk benar-benar bersedia, tetapi saya yakin ia dapat dilaksanakan,” katanya.

2 ulasan:

  1. Owahhh...
    Mengagumkan kebolehannya...
    Jangan dipandang rendah org sebegini..Inilah kelebihan yg diberi Yang Maha Pencipta:)

    BalasPadam
  2. kecik2 cili api ni adiwarnatasya......

    BalasPadam

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya