Cari Blog Ini

Rabu, 7 Oktober 2009

Tawa dan tangis Ahmad Busu



MASIH ingatkah anda dengan kara-kter lucu berbadan besar, bersahaja namun sedikit kelam-kabut dalam siri sitkom popular yang pernah bersiaran di TV3, Pi Mai Pi Mai Tang Tu tidak lama dahulu?.

Ya, watak Mat Deris sudah cukup sinonim dengan diri Ahmad Busu sehingga kini.


Bezanya, kala itu badannya masih lagi berisi berbanding kini yang semakin jelas mengalami penyusutan.
Bayangkan daripada saiz pinggang seluar yang sering dipakainya 40 inci kini menjadi 36 inci sahaja.

Bukan kerana diet tetapi penyusutan berat badannya yang melebihi 10 kilogram itu adalah susulan daripada penyakit kencing manis yang dideritainya sejak 14 tahun lalu.

Bagai jatuh di timpa tangga, bermula dengan penyakit kencing manis, kini deritanya bertambah apabila disahkan oleh doktor mengidap strok.

Tambah terbeban, punca rezekinya turut terjejas apabila satu persatu tawaran seni yang diterima terpaksa dilepaskan kerana ketidakupayaan itu.

Tanggal 10 September lalu dia dimasukkan ke wad Neurosains, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah tidak boleh berdiri dan berjalan selepas bangun dari tidur pada hari yang sama.

Seminggu dia terlantar di PPUM, menerima pelbagai rawatan termasuk rawatan imbasan sinar-X dan ujian elektrokardiogram (ECG). Bagaimanapun, dia dibenarkan pulang pada 18 September lalu.

Bertemu pelawak itu kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang, baru-baru ini ternyata dia lebih banyak berbaring sementelah tidak mampu untuk duduk lama akibat pening.

Berkali-kali dia memohon maaf kerana terpaksa berbaring ketika sesi temu bual dijalankan.
Biarpun masih mampu tersenyum namun sayu di matanya tidak bisa menyembunyikan perasaan sebenarnya ketika itu.

Satu persatu khabar mengenai penyakitnya diutarakan. Namun, seboleh mungkin dia cuba bertenang membalas pertanyaan.



Matanya dipejam rapat

Barangkali menahan kesakitan, sedih, terharu atau mungkin memanjatkan sepenuh harapan agar dirinya segera sihat seperti sediakala?.

Beginilah kehidupannya sebagai pelawak. Dalam tawa menceriakan hati ribuan malah mungkin jutaan peminat dia sebenarnya sarat menanggung penderitaan.

"Kehidupan pelawak sama seperti manusia biasa. Saya juga adalah insan biasa seperti orang lain yang tidak terlepas daripada pelbagai masalah dan penyakit.

"Saya memang pelawak, sebab itulah sehingga ke tahap ini orang boleh lihat saya masih ketawa dan tersenyum. Bagaimanapun, dalam kehidupan harian saya tetap manusia biasa.

"Rasa sedih juga sebab saya sudah tidak boleh melakukan sendiri pelbagai perkara dan hanya bergantung kepada anak-anak dan juga isteri," kata Ahmad Busu sambil memejamkan matanya.

Menurut Ahmad Busu, dua bulan sebelum strok dia hanya mengalami pening kepala.
Namun di luar dugaannya apabila pening yang berterusan itu merupakan petanda awal dia bakal diserang strok.

Dalam pada itu, dia turut mengalami muntah beberapa kali pada malam sebelum di masukkan ke hospital.
Biarpun risau dengan penderitaan yang dialami suaminya, Seri Mohamad, 50, tetap bersyukur kerana suaminya itu masih mempunyai selera untuk makan.

Mengaku tidak berpantang makan, segala yang disarankan oleh PPUM diikutinya demi mengelakkan sebarang komplikasi lain di kemudian hari.

Menyingkap kerjaya seninya, Ahmad Busu tidak berselindung akan perasaan bimbang kerana terpaksa menolak pelbagai tawaran seni yang diterima sebelum ini.

Tanggal 3 oktober lalu, dia sepatutnya ke Pulau Pinang menjayakan rakaman rancangan Bersamamu dengan rakan lawaknya, Imuda.

Dia juga turut membatalkan persetujuan untuk berlakon bangsawan yang bakal dipentaskan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 9 Oktober ini.

Ketiadaan aktiviti seni membataskan keupayaannya dalam menampung perbelanjaan keluarga.

Sedangkan itulah punca pendapatan utama di samping membantu adiknya, Norgayah, 51, yang mengambil kontrak berniaga di kantin Sekolah Menengah Seri Andalas, Klang.

Pilu hatinya bertambah apabila memikirkan masa depan dua anaknya yang masih bersekolah iaitu Muhammad Luqman, 17 dan Nur Hanis, 6.Dua lagi anaknya ialah Nur Hamizah, 25 dan Mohd. Afiq, 24 tahun.

Bagaimanapun, kata Seri, mujur sejak bersara dari Lembaga Pelabuhan Klang pada 1992, suaminya itu memperoleh pencen RM800 sebulan yang setidak-tidaknya boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan rumah tangga.

 
Komedi jiwa saya

Biarpun memulakan kerjaya seni menerusi pementasan teater pada tahun 1978, namun jiwa komedi yang mengalir dalam dirinya tetap utuh.

Pernah mencuba untuk berlakon serius namun, lama kelamaan watak yang dipegangnya masih menjurus ke arah komedi.

"Saya tetap manusia biasa yang perlukan segala yang orang lain perlukan. Dah tugas saya sebagai pelawak, apa sahaja yang saya buat tetap menjadi bahan lawak dan ketawa.

"Walaupun saya pernah cuba untuk berlakon serius tetapi yang terjadi sebaliknya. Malah ramai yang lebih yakin jika saya hanya menjadi pelawak," katanya sambil ketawa kecil.

Selang beberapa minit, sambil menghela nafas panjang dia menyatakan harapan agar segera sembuh seperti sedia kala.

"Saya bernasib baik kerana masih mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan.
"Kepada peminat saya, doakanlah agar saya segera sembuh. Saya pun sebenarnya jemu berkeadaan begini.

Asyik berbaring dan tidak mampu melakukan sebarang aktiviti sendirian.

 "Kalau dulu saya bebas ke sana sini tetapi sekarang semua itu sudah terbatas," katanya yang kini berkerusi roda untuk memudahkan pergerakan berulang alik ke hospital dan klinik berhampiran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya