Cari Blog Ini

Jumaat, 2 Oktober 2009

Rumah kebajikan Sejahtera di Taman Bahagia


MARANG 1 Okt. - ''Tiada siapa yang tahu, sakit pedih hatiku, tiada tempat untuk ku mengadu," itulah antara baitbait lirik lagu Tiang Seribu nyanyian Azian Mazwan Sapuan yang dapat menggambarkan kehidupan warga emas yang hidup sebatang kara dan tiada tempat perlindungan.

Golongan tersebut pastinya akan merempat di jalan-jalan raya jika tiada pihak yang menghulurkan simpati menyediakan tempat untuk mereka tinggal.

Justeru, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif dengan membuka sebuah rumah kebajikan untuk golongan tersebut dan dikenali sebagai Rumah Sejahtera Taman Bahagia di Bukit Besar, Kuala Terengganu pada awal 1960.

Rumah kebajikan tersebut turut menempatkan insan-insan daif ketika itu.

Ekoran pertambahan penghuni dari semasa ke semasa, kerajaan negeri telah memindahkan rumah kebajikan itu ke kawasan seluas 3.6 hektar di Bukit Payong di sini pada September 1960.

Sejak itu, para penghuni diagihkan ke institusi lain yang lebih sesuai seperti mereka yang uzur ke Taman Kemumim, Pengkalan Chepa, Kelantan dan yang buta ke Seberang Takir, Kuala Terengganu dan Pulau Kerengga, Marang.

Rumah kebajikan tersebut hanya menjaga warga emas yang mampu menjaga diri sahaja.

Penyelia rumah kebajikan tersebut, Rohazeni Mamat berkata, faktor kakitangan yang tidak mencukupi menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan tempat untuk mereka yang uzur.

''Kami ada enam kakitangan sahaja termasuk empat pembantu am untuk menjaga penghuni lelaki dan wanita.
''Untuk menjaga mereka yang sakit atau terlantar di atas katil (bedridden) memerlukan perhatian 24 jam dan kami tidak mempunyai kakitangan yang cukup," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, ujarnya, kakitangan hanya bertugas antara pukul 8 pagi hingga 5 petang sahaja.

Beliau menambah, kakitangan akan memastikan pakaian dan makanan semua penghuni terjaga terlebih dahulu sebelum pulang.

''Ketika ini, seramai 25 warga emas iaitu 14 lelaki dan 11 perempuan menjadi penghuni rumah ini," katanya.

Rohazeni berkata, kemudahan yang ada di rumah kebajikan itu seperti katil mampu menempatkan kira-kira 30 penghuni pada satu-satu masa.

''Jika berlaku pertambahan lebih daripada 30 penghuni, kakitangan di sini tidak akan menang tangan kerana ketika ini kebanyakan warga emas walaupun tidak sakit masih memerlukan bantuan untuk mandi dan ke bilik air," tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga menerima bantuan kewangan sebanyak RM50,000 setahun daripada kerajaan negeri untuk menyelia dan menguruskan rumah kebajikan tersebut.

''Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertindak sebagai penasihat juga menyediakan peruntukan kira-kira RM70,000 setahun untuk pengurusan rumah kebajikan ini," katanya.

Beliau memberitahu, JKM juga yang berperanan menetap dan meluluskan penghuni yang akan tinggal di rumah kebajikan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

FOLLOW ME

CHATROOM

http://www.meebo.com/rooms

BUAT DUIT SAMBIL ONLINE

LINK Blog Saya